Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 meningkat, orang ramai dinasihat ambil dos penggalak

SHAH ALAM, 22 NOV: Masyarakat dinasihat mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata dos tersebut perlu diambil terutama bagi individu yang kerap berada di luar dan bertemu ramai orang.

“Baru-baru ini saya ada melihat data kes Covid-19 naik sedikit dan kita bimbang sekiranya trend ini berterusan disebabkan oleh imunisasi badan mulai turun selepas enam bulan lengkap suntikan dos.

“Sebab itu dos penggalak diberi bermula kepada warga emas dan pesakit kronik. Bagi mereka yang kerap berada di luar rumah juga bagus mengambilnya untuk melindungi diri dan orang sekeliling…mungkin bukan 100 peratus tetapi jika dijangkiti ia tidak begitu teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Talian SELamat di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di sini hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sentiasa bersiap sedia sekiranya berlaku peningkatan kes yang drastik.

“Malah, Kerajaan Selangor sebelum ini juga meluluskan RM10 juta untuk memantau mereka yang positif Covid-19 di rumah menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Ini untuk memastikan pengesanan awal sebab kita tidak mahu ada kematian di luar hospital (BID) akibat Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli Parlimen diberi dos penggalak mulai esok

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada Ahli Parlimen bermula esok.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dalam pemakluman berkata sesi pemberian dos penggalak akan bermula 9.30 pagi di dewan bankuet Parlimen.

“Bagi melindungi Ahli-ahli Yang Berhormat yang mempunyai tanggungjawab untuk kerap bersama rakyat dan berisiko mendapat jangkitan Covid-19, maka KKM akan memberikan dos penggalak kepada Ahli-ahli Yang Berhormat,” katanya sambil menambah tarikh pemberian dos penggalak seterusnya akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, sempena sambutan Deepavali pada Khamis, Mohd Rashid berkata adalah dicadangkan supaya mesyuarat Dewan Rakyat pada Rabu bersidang berterusan dari 10 pagi hingga 2 petang.

“… Ini bagi membolehkan Ahli-ahli Yang Berhormat pulang awal ke kawasan masing-masing menyambut perayaan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin bangkit mencadangkan usul berhubung perkara itu mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1).

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1), saya mohon mencadangkan mesyuarat pada hari Rabu, 3 Nov 2021 bersidang dari pukul 10 pagi hingga 2 petang,” katanya dan usul itu kemudian disokong Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

-BERNAMA