Categories
AGENDA NASIONAL

86.6 peratus remaja lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Seramai 2,724,238 individu atau 86.6 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman CovidNow, seramai 2,832,379 individu atau 90 peratus golongan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa pula, sebanyak 22,729,076 individu atau 97.1 peratus telah melengkapkan vaksinasi manakala 23,054,211 atau 98.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, bagi vaksinasi harian sebanyak 93,743 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 4,722 dos pertama, 5,929 dos lengkap serta 87,074 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini meningkat kepada 54,197,452 dos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

24.6 juta individu lengkap dos vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Sebanyak 95 peratus atau 22,228,388 individu bagi populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima dos vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman CovidNow, sejumlah 97.6 peratus atau 22,828,481 individu bagi populasi dewasa pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara, sebanyak 75.5 peratus atau 24,642,379 individu di negara ini lengkap diberi vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, 116,642 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 30,700 suntikan dos lengkap, 7,877 menerima dos pertama dan 78,065 pula mendapat suntikan dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 50,656,181.

Setakat semalam, sebanyak 2,413,991 atau 76.7 peratus individu remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksin, manakala 86.5 peratus atau 2,722,418 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, jumlah kumulatif dos penggalak pula kini sebanyak 644,664.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan luar jangka, Kerajaan Negeri disaran tambah kuota dos vaksin percuma

PETALING JAYA, 18 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menambah kuota dos vaksin percuma dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak kerana masih ramai belum mendapat suntikan pelalian.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata ini kerana bilangan individu berdaftar di SELangkah melebihi kuota dos vaksin ditetapkan dalam program Selvax bergerak.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi lebih separuh dos vaksin daripada 600 jumlah pelalian diperuntukkan untuk kawasan Kampung Tunku habis diguna.

“Rata-rata peserta yang hadir adalah dalam kalangan warga asing, apabila mereka divaksin kita rasa lega kerana secara tidak langsung turut melindungi diri kita daripada wabak,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif menambah dos vaksin percuma dalam program Selvax akan mempercepat usaha negara mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Selvax bergerak di tapak pasar malam Sungai Way, Jalan SS9A/12, di sini hari ini.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Kampung Tunku, DUN terlibat Hulu Bernam, Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai dan Dengkil.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor pinjamkan 200,000 dos vaksin, Pulau Pinang ucap terima kasih

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan bahawa Selangor telah bersetuju untuk meminjamkan 200,000 dos vaksin Covid-19 bagi tujuan memvaksin baki penduduk negeri ini yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Norlela Ariffin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, exco kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud dan klinik SelCare atas kelulusan dan penghantaran vaksin itu.

“Kami berharap semua penduduk Pulau Pinang menerima dos pertama vaksin Covid-19 mereka pada minggu pertama bulan September,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini 225,226 penduduk Pulau Pinang belum menerima suntikan dos pertama vaksin, dengan majoriti merupakan penduduk di daerah Seberang Perai Tengah.

“Daerah Seberang Perai Tengah yang merupakan tumpuan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang, mempunyai 76,000 orang yang belum menerima dos pertama. Selain itu 75,000 hingga 80,000 lagi pekerja di kilang-kilang kecil yang telah mendaftar dengan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga masih belum menerima suntikan vaksin,” katanya.

Berdasarkan kajian analisis yang dilakukan oleh PhD Mathematics dari Stanford Dr David Benjamin Lim, Norlela berkata kilang dan tempat kerja lain telah menyumbang 70 peratus jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) 3.0.

Beliau seterusnya mencadangkan penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah swasta (PKRC Swasta) yang dipantau oleh pengamal perubatan am, dan juga pelaksanaan kuarantin, bagi tujuan mengurangkan beban jabatan kesihatan negeri.

“Dengan adanya PKRC swasta untuk melaksanakan kuarantin pesakit, terutama pekerja kilang di Daerah Seberang Perai Tengah, ia akan membantu mengurangkan penyebaran jangkitan Covid-19 kepada masyarakat,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

26.9 peratus populasi lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Sebanyak 24,542,437 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 15,772,101 orang menerima suntikan dos pertama manakala 8,770,336 orang menerima dos kedua.

“Mengikut peratusan, 48.3 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 26.9 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mereka,” katanya.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 389,641 dos diberikan semalam dengan 156,816 adalah pemberian dos pertama manakala 232,825 lagi adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 23 juta dos vaksin Covid-19 diberi setakat semalam

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Sebanyak 22,646,581 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 14,941,585 orang menerima suntikan dos pertama manakala 7,704,996 orang menerima dos kedua.

“Mengikut peratusan, 45.8 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 23.6 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 mereka,” katanya.

Sementara itu, vaksinasi harian pula mencatatkan sebanyak 494,214 dos diberikan semalam dengan 230,053 adalah pemberian dos pertama manakala 264,161 lagi adalah dos kedua.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kad fizikal lengkap suntik vaksin belum dikeluarkan, hanya sijil digital

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Kerajaan belum mengeluarkan sijil lengkap pengambilan dos vaksin berbentuk kad yang dicetak, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang kad yang dijual di pasaran dan ditularkan baru-baru ini, bukan dikeluarkan oleh kerajaan.

“Tidak ada kad fizikal, hanya ada sijil digital di aplikasi MySejahtera. Itu sahaja,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini hari ini.

Dr Adham turut menegaskan bahawa kad tersebut tidak diiktiraf kerajaan atau diterima sebagai bukti telah melengkapkan dos suntikan vaksin.

Menurutnya kerajaan akan mengeluarkan MY Covid-19 Vaccination Badge dalam bentuk kad dicetak tidak lama lagi sebagai bukti bahawa seseorang individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Hanya sijil digital dalam aplikasi MySejahtera sahaja diakui kerajaan. Buat masa ini, kami menunggu kelulusan Kabinet untuk keluarkan MY Covid-19 Vaccination Badge,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

340,043 rekod tertinggi pemberian dos vaksin harian – Menteri

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Jumlah pemberian dos suntikan vaksin di negara ini terus meningkat dengan sejumlah 340,043 dos diberikan semalam, iaitu angka tertinggi dalam sehari setakat ini.

Menerusi hantaran di Twitter, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan daripada jumlah itu, 133,286 merupakan pemberian dos kedua.

“Sebanyak 206,757 dos pula adalah pemberian dos pertama bagi tempoh sama,” katanya.

Dr Adham turut memaklumkan lima negeri tertinggi mencatatkan pemberian dos pertama dan kedua semalam adalah Selangor dengan 79,998 orang diikuti Sarawak (59,269), Kuala Lumpur (53,155), Perak (20,759) dan Johor (18,431).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sedia 500,000 dos vaksin buat B40, warga emas

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin secara percuma yang menyasarkan warga emas dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti bakal memanfaat 250,000 penduduk negeri ini yang belum disuntik.

“Antara sasarannya adalah melindungi warga emas, kumpulan B40, penerima Inisiatif Peduli Rakyat sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

“Kategori lain akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pengumuman khas Selvax secara maya hari ini.

Beliau berkata hasrat negeri untuk membeli vaksin dinyatakan sejak 11 Januari lalu bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal.

Jelasnya, usaha itu digerakkan Selgate Healthcare hingga termeterai perjanjian pembekalan dan pengedaran (SDA) Pharmaniaga Berhad, pembekal tunggal Sinovac di Malaysia.

“Ini melahirkan program Selvax dengan jumlah 2.5 juta dos yang telah ditempah, dengan jangkaan 1.25 juta orang penerima vaksin,” kata Amirudin.

Pada 15 Jun, mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan tumpuan vaksin diberikan kepada golongan rentan seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Badan itu turut bersetuju mempergiat pemberian vaksin di Selangor sehingga mencapai sebanyak 135,000 orang sehari menjelang Julai dan terus meningkat 165,000 menjelang Ogos.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

Categories
EXCO SELANGOR

Setengah juta rakyat Selangor terima satu dos vaksin

JERAM, 7 JUN : Hampir setengah juta rakyat Selangor terdiri daripada petugas barisan hadapan dan golongan berisiko menerima satu dos vaksin, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu melibatkan seramai 238,474 petugas barisan hadapan serta 248,013 warga emas dan golongan berpenyakit.

“Mereka akan melengkapkan suntikan dos kedua dalam tempoh terdekat. Selain itu saya minta rakyat Selangor yang belum mendaftar suntikan vaksin segera berbuat demikian,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau Program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah hari ini.

Padi tadi menerusi Twitter, menteri kesihatan berkata seramai 1,130,301 individu di negara ini melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Menurut Datuk Seri Dr Adham Baba seramai 2,444,075 individu menerima dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua ialah 3,574,376 dos setakat semalam.

Beliau berkata lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 145,972 dos diikuti Sarawak (119,421), Perak (105,546), Kuala Lumpur (101,822) dan Johor (98,429).