Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia berhak semak semula harga air ke Singapura

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Malaysia masih mempunyai hak untuk menyemak semula harga air yang dibekal ke Singapura walaupun negara jiran berkenaan mendakwa negara ini kehilangan hak berbuat demikian setelah gagal melakukan perkara itu pada 1987 sehingga 2012.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr A Xavier Jayakumar berkata Jabatan Peguam Negara mengesahkan perkara itu berdasarkan klausa 14 Perjanjian 1962, yang menyebut semakan harga air masih boleh dilakukan setiap tahun selepas perjanjian itu ditandatangani.

Katanya pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Singapura berhubung isu itu.

“Jadi kita harap Singapura boleh terima cadangan daripada kerajaan Malaysia untuk kita adakan perbincangan isu ini.

“Kita perlu lakukan sesuatu kerana kadar (tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air) ini tidak munasabah dan terlalu murah jika dibandingkan dengan kadar penjualan air mentah di negara lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramandu (PAKATAN-Segamat) yang bertanyakan tentang isu penjualan air mentah kepada Singapura dan langkah kementerian untuk memastikan kemampanan bekalan air dalam jangka panjang.

Contohnya, Xavier berkata China menjual air ke Hong Kong pada kadar RM14.50 untuk 1,000 gelen, dan China-Taiwan (RM5.80), malah penjualan air mentah dalam negara seperti di Pahang-Selangor juga tinggi iaitu (46 sen), dan Johor-Melaka (50 sen).

Sehubungan itu, beliau berkata tidak wajar untuk Malaysia terus menjual air kepada Singapura dengan kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Katanya walaupun kementerian menghormati obligasi Malaysia seperti yang termaktub dalam perjanjian itu, Malaysia telah berkorban sumber air untuk kepentingan pihak lain dengan mempertaruhkan kepentingan seluruh rakyat Johor.

Menurutnya, banyak perbelanjaan juga perlu dikeluarkan bagi memastikan Singapura dapat mengkestrak 250 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Johor, malah kementerian sendiri membelanjakan hampir RM100 juta bagi membina baraj Sungai Johor untuk mengelak kemasukan air masin ke sungai itu.

Sehubungan itu beliau sekali lagi menegaskan pelaburan besar kerajaan itu tidak setimpal dengan harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dijual dan berharap kerajaan Singapura dapat bersikap terbuka dalam soal tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRAB beroperasi sepenuhnya dalam RMK-12

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) dijangka beroperasi sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata, program itu akan memfokuskan 41 lembangan sungai di seluruh negara dalam usaha kerajaan memantau status semasa curahan hujan dan aras sungai bagi menghadapi musibah banjir.

“PRAB merupakan program jangka panjang dan menyeluruh untuk tempoh tujuh tahun bermula 2015 hingga 2022.

“Apabila siap nanti pihak terbabit seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri-negeri akan dapat melaksana simulasi banjir tujuh hari lebih awal, serta dapat mengeluarkan amaran banjir dua hari lebih awal daripada jangkaan banjir yang akan berlaku,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) mengenai persediaan kementerian dalam menghadapi kemungkinan kejadian banjir yang akan berlaku di seluruh negara tidak lama lagi.

Menjelas lanjut, Dr Xavier Jayakumar berkata PRAB merangkumi empat komponen utama iaitu pengesanan, Pusat Data Ramalan, Pemodelan Ramalan dan Hebahan Amaran.

Untuk rekod, PRAB Fasa 1 melibatkan tiga lembangan sungai iaitu Sungai Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang mana ia masih sedang diuji jalan, pengemaskinian data-data hidrologi dan data-data berkaitan bagi kegunaan model-model ramalan yang sedang dibangunkan.

Fasa 2 pula melibatkan 38 sungai di seluruh negara dan juga sedang melaksana kerja-kerja kecil Kecemasan Luar Jangka bagi menaik taraf sistem saliran serta struktur-struktur saliran selain ban pantai bagi mengurangkan kejadian banjir kilat dan banjir akibat limpahan air laut.

Katanya sebanyak RM22 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkenaan di seluruh negara tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua kerajaan negeri digesa serius atasi pencemaran sungai

BANTING, 27 JUL: Semua kerajaan negeri digesa mengambil serius langkah mengatasi isu pencemaran sungai kerana perubahan cuaca tidak menentu kini memungkinan negara mengalami musim kemarau berpanjangan pada masa depan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, ini kerana isu pencemaran sungai bukan perkara baharu namun jika ia masih tidak diendahkan, negara bakal berhadapan masalah kekurangan sumber air bersih ketika menghadapi musim kemarau.

“Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, negara mungkin menghadapi musim kemarau yang boleh lebih 60 hari akibat berlakunya perubahan musim cuaca dan kita akan kekurangan sumber air jika isu pencemaran sungai masih tidak diatasi.

“Sebab itu, penguatkuasaan (dalam isu pencemaran sungai) harus diperkukuhkan dan semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat berkaitan mesti memainkan peranan besar untuk mengatasi isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Tamil Daerah Klang di Stadium Jugra di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mengatakan penguatkuasaan terhadap faktor pencemaran sungai-sungai di negara ini berada pada tahap lemah.

Memahami bahawa tindakan pemuliharaan sungai tercemar pasti mengambil masa lama, namun Dr Xavier menegaskan, perancangan teliti harus dimulakan segera dengan memberi keutamaan kepada usaha memulihara sungai yang paling tercemar terlebih dahulu.

Tambah beliau, kempen sayangi sungai yang pernah dilaksanakan sebelum ini juga akan terus dipergiatkan selain memupuk kerjasama dengan semua pihak termasuk penduduk, peladang dan syarikat pembakalan supaya mematuhi peraturan memelihara sungai yang dikuatkuasakan kini.

“Kami akan masuk ke sekolah-sekolah untuk mempergiat kempen sayangi sungai ini malah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah diminta supaya mewujudkan program-program pendidikan mengenai isu ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan menjalankan kajian sepenuhnya berkaitan sungai dan pencemaran yang mana dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), satu peruntukan untuk memelihara sungai termasuk penghasilan air terawat dan air mentah dirancang untuk disediakan.

Dalam pada itu, Dr Xavier berkata, pihaknya merancang untuk menyemak semula Akta Perhutanan Negara dan membawanya ke persidangan Parlimen selewatnya-lewatnya Mac tahun depan untuk membuat beberapa pindaan.

Katanya, pindaan akta yang melibatkan hutan-hutan di Semenanjung Malaysia itu adalah bagi memperketatkan lagi pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk hukumannya.

“Sekarang kita tengok orang masuk ke hutan (khususnya hutan simpan) tidak ada lesen dan kebenaran. Apakah tujuan mereka masuk ke hutan jika bukan berbuat sesuatu. Jika mahu masuk hutan, perlu mengisytiharkan apakah tujuan mereka.

“Disebabkan itu, langkah ini (semakan semula akta) adalah untuk mengehadkan kemasukan orang ke dalam hutan (khususnya hutan simpan) dan memberi kuasa kepada pengarah jabatan hutan dan penguatkuasanya supaya mereka dapat mengawal ekosistem hutan dengan lebih baik,” katanya. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPAN, Jabatan Bekalan Air akan audit sistem air

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Bekalan Air telah ditugaskan untuk menjalankan audit mengenai sistem air semasa di semua negeri.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata audit itu akan menumpukan kepada sistem serta pengurusan air semasa dan pada masa yang sama mengenal pasti rancangan dan penyelesaian dalam menangani sebarang krisis air.

“Pembangunan masa kini menjadikan permintaan air lebih tinggi berbanding bekalan. Oleh itu, kita perlu berbincang dan menyusun semula rancangan kita mengenai sumber air untuk 25 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen Air Antarabangsa Malaysia 2019, di sini semalam.

Dr Xavier berkata, pada masa ini, tidak ada data sebenar mengenai keseluruhan ekosistem industri air di negeri-negeri.

Mengenai perancangan untuk memanfaatkan bekalan air bawah tanah sebagai alternatif bagi menyelesaikan masalah air di negara ini, beliau berkata kajian kementerian tentang idea itu dijangka siap tahun depan.

“Menurut Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan dan jabatan-jabatan lain di kementerian, Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah yang besar yang belum kita terokai dan kita mungkin mempunyai lima trilion meter padu air bawah tanah dan apa yang perlu kita lakukan ialah memanfaat kira-kira 20 peratus daripadanya untuk mempunyai rizab air yang kita perlukan.

“Sekarang adalah masa untuk mencari permukaan aktif yang memberikan bekalan air berterusan dan mencari cara bagaimana kita akan memanfaatkannya,” katanya.

Dr Xavier berkata, air bawah tanah juga boleh menjadi sumber bagi Malaysia untuk menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih lama disebabkan oleh perubahan iklim. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih banyak loji rawatan air dibina dalam RMK12

IPOH, 26 MEI: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan membina lebih banyak Loji Rawatan Air (LRA) baharu dalam usaha menambah baik sistem bekalan air di negara ini.

Menterinya, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bermula 2021 dan dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang.

Beliau juga mengakui cadangan tersebut jika direalisasikan memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

“Sebagai contoh, sistem bekalan air di kawasan utara Perak seperti Kuala Kangsar dan Larut sering kali berlaku kekurangan bekalan air disebabkan tidak mempunyai air yang cukup untuk menampung keperluan terutamanya semasa musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak di sini, malam tadi.

Menurut Xavier pihaknya juga akan menukar atau memperbaiki menara tangki air yang sudah uzur di kawasan penempatan penduduk di beberapa negeri yang tidak mempunyai simpanan air mentah yang mencukupi.

Katanya, ia penting supaya jika berlaku gangguan, bekalan air mentah itu dapat menampung keperluan penduduk di sesuatu kawasan.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, apabila gangguan bekalan air kerap berlaku, selain menyusahkan rakyat, ia juga menyebabkan syarikat utiliti air mengalami kerugian besar.

“Kita mahu memastikan simpanan air mentah di sesuatu kawasan melebihi daripada lima atau enam peratus bagi memenuhi keperluan penduduk berbanding ketika ini simpanan air mentah di tangki air hanya sekitar dua peratus sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Xavier: Segerakan kerja pembaikan paip

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 MEI: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar mengarahkan Air Selangor menyegerakan kerja pembaikan tiga paip utama yang mengakibatkan bekalan air sebahagian penduduk di Klang terjejas.

Katanya, kerja pembaikian berkenaan sudah siap dan bersedia untuk menyalurkan bekalan, namun terdapat kerosakan baru malam tadi yang berpunca daripada pergerakan tanah.

“Air Selangor sedang berusaha membaik pulih keadaan bagi memastikan bekalan air kembali secepat mungkin. Ketiga-tiga paip yang rosak itu adalah paip utama.

“Kerosakan itu berlaku akibat kegagalan dinding penahan baru yang dibina pemaju Lebuhraya West Coast Expressway (WCE), justeru kerja pembaikan sukar dan berisiko tinggi kerana terdapat tanda-tanda tanah pergerakan di dinding penahan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Air Selangor mengesahkan tempoh siap kerja pembaikan tiga paip utama berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Banting-Taiping yang pecah hujung minggu lalu, terpaksa dilanjutkan.

Sebanyak 65 kawasan membabitkan 175,000 pemegang akaun khususnya sebahagian Klang terjejas.

Categories
NASIONAL

Satu projek tebatan banjir di Sandakan siap September

SANDAKAN, 4 MEI: Satu daripada dua projek tebatan banjir di Sandakan dijadualkan siap September ini, manakala satu lagi dijangka bermula dalam tiga bulan lagi.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, Projek Saliran Mesra Alam Parit Batu 7 Sungai Sibuga di sini, yang menelan belanja RM21 juta, kini kira-kira 88 peratus siap dan bakal mengurangkan masalah banjir di kawasan sekitar.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk di empat taman perumahan sekitar dengan keluasan 393 hektar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek itu hari ini.

Menurut Dr Xavier, kawasan tadahan parit di kawasan itu merupakan satu daripada lokasi yang kerap dilanda banjir dengan kejadian banjir terbesar berlaku pada 2011 yang mencatatkan kedalaman sehingga satu meter.

Satu lagi projek sama iaitu Projek Tebatan Banjir Sungai Anip kini dalam proses perolehan melibatkan kos hampir RM40 juta dan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk pembinaan, katanya.

-BERNAMA