Categories
AGENDA NASIONAL

Dua vaksin tempatan dalam proses ujian klinikal – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang dalam proses menjalankan dua ujian klinikal terhadap vaksin yang dihasilkan dalam negara melalui penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), kata menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata dua vaksin itu ialah vaksin kanser kepala dan leher atau “nasopharyngeal cancer” dan vaksin kolera, yang masing-masing akan melalui ujian klinikal di United Kingdom dan India, seawal tahun depan.

“Kita juga kini dalam proses pembangunan vaksin Covid-19 yang sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama Universiti Malaya.

Kita yakin dengan adanya MGVI ini, Malaysia mampu menjadi hab pengeluaran vaksin yang dapat digunakan secara domestik dan juga dieksport ke luar negara,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini: Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari terbitan Bernama TV di sini, semalam.

Pada 1 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta MGVI dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin.

“MGVI akan menjadi sebuah badan yang menjalankan koordinasi antara pakar, industri dalam dan luar negara, serta pembangunan bakat yang perlu untuk menjadi tunjang kepada pembangunan vaksin di masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata peranti mudah alih saringan Covid-19, i-Breath yang kini memasuki fasa akhir praklinikal dijangka dapat dikomersialkan menjelang Jun tahun depan, selepas melalui ujian klinikal.

“i-Breath akan masuk ke fasa ujian klinikal yang terdiri daripada beberapa fasa dalam tempoh enam bulan, sebelum ia selesai dan boleh dikomersialkan dan dipasarkan.

Kita harap ada pihak antarabangsa yang akan mendapatkan peranti ini untuk kegunaan mereka kerana kita menyasarkan penggunaan i-Breath ini bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

MOSTI memperuntukkan dana sejumlah RM1.05 juta dalam pembangunan peranti i-Breath dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang boleh mengesan Covid-19 dengan sensitiviti sehingga 93 peratus dengan hanya perlu bernafas menggunakan peranti mudah alih itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1.8 peratus lagi capai 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

JOHOR BAHRU, 19 SEPT: Kira-kira 1.8 peratus sahaja lagi diperlukan bagi mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata sehingga semalam, Malaysia telah merekodkan 78.2 peratus daripada populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

“Tumpuan ketika ini kepada negeri-negeri bagi mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi menjelang akhir September.

“Kadar liputan vaksinasi pada bulan ini juga lebih tinggi di beberapa negeri setelah usaha pemvaksinan ditumpukan kepada negeri-negeri yang sebelum ini masih mencatat kadar lebih rendah seperti Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, Arena Larkin, di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dr Adham menjelaskan liputan vaksinasi di kebanyakan negeri ketika ini berada di landasan yang baik terutamanya di Sarawak, Labuan dan di Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun katanya, ini  tidak bermakna usaha vaksinasi diperlahankan sebaliknya lebih tertumpu kepada negeri dan kawasan tertentu termasuk menyasarkan kumpulan yang tercicir.

“Kadar vaksinasi (harian) negara yang dicatatkan sehingga semalam adalah sebanyak 232,559 dos dengan jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang,” katanya.

Mengenai vaksinasi melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Dr Adham berkata mengikut data Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), seramai 517,447 atau 89.9 peratus daripada 575,564 OKU telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, seramai 401,425 OKU telah lengkap vaksinasi penuh meliputi 69.74 peratus daripada jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi, katanya.

Katanya, PPV juga akan mula dibuka untuk orang ramai secara walk-in pandu lalu mulai esok sehingga 30 Sept.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 9.5 juta individu lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Seramai 25,863,563 orang vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 16,347,422 orang menerima suntikan dos pertama manakala 9,516,141 orang menerima dos kedua.

Mengikut peratusan, 50.1 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 29.1 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mereka.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 497,352 dos diberikan semalam dengan 227,506 adalah pemberian dos pertama manakala 269,846 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 25 juta dos vaksin diberikan sejak Februari

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Sebanyak 25,008,230 dos vaksin Covid-19 diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau memaklumkan jumlah yang terima dos pertama ialah 15,959,596 orang manakala 9,048,634 orang terima dos kedua.

“Mengikut peratusan, 68.2 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 38.7 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mereka,” katanya.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 465,793 dos diberikan semalam dengan 187,495 adalah dos pertama manakala 278,298 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

26.9 peratus populasi lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Sebanyak 24,542,437 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 15,772,101 orang menerima suntikan dos pertama manakala 8,770,336 orang menerima dos kedua.

“Mengikut peratusan, 48.3 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 26.9 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mereka,” katanya.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 389,641 dos diberikan semalam dengan 156,816 adalah pemberian dos pertama manakala 232,825 lagi adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua guru terima vaksin sebelum sekolah dibuka bulan depan

KOTA TINGGI, 1 OGOS: Seramai 85,000 guru di seluruh negara yang masih belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dijangka menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin itu sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ketika ini senarai penuh nama guru telah diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam memastikan semua warga pendidikan divaksinasi sebelum sekolah dibuka.

Dr Adham berkata selain guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas dan van sekolah, serta pengawal keselamatan sekolah, juga akan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha mencapai imuniti di kawasan sekolah.

“…dan saya sendiri telah meneliti dan membuat permintaan kepada CITF untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan ini sebelum September,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di Dewan Serbaguna Semanggar, di sini hari ini.

Setakat ini, 326,998 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala seramai 215,999 orang guru telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Mengenai pemberian vaksin kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, beliau berkata kementeriannya sedang meneliti data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum membuat keputusan untuk menjalankan vaksinasi terhadap kumpulan itu.

Sementara itu, 1,500 vaksin telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli dari Kampung Kempas Menang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Sayung Pinang di daerah Kota Tinggi menerusi program outreach tersebut, yang bermula Jumaat lepas.

Seorang penerima, Norliah Salleh, 57, menyifatkan usaha yang dilaksanakan kerajaan bersama IJN itu amat memudahkan proses pemberian vaksin kepada masyarakat yang berada di pedalaman.

“Saya mulanya takut, tapi dah cucuk saya rasa baik sahaja, harapnya selepas ini boleh ziarah cucu dan tadi semuanya lancar,” katanya yang berasal dari Kampung Kempas Menang.

Senada dengan Norliah, Amirul Rahim, 25, berkata meskipun masih belum dilindungi seratus peratus, beliau bersyukur dapat melunaskan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang prihatin untuk sama-sama berusaha mencapai imuniti kelompok.

“Kita buat untuk lindungi diri dan keluarga semua, jadi saya rasa bersyukur dan segala proses hari ini berjalan sangat lancar, tiada masalah,” katanya yang bekerja sendiri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suntikan lebih 500,000 dos enam hari berturut-turut

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Jumlah vaksinasi harian Covid-19 di negara ini mencatat angka melebihi 500,000 dos selama enam hari berturut-turut dengan 519,111 dos suntikan diberikan semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya berkata daripada jumlah yang diberikan semalam, sebanyak 316,492 adalah dos pertama manakala 202,619 lagi dos kedua.

Secara kumulatifnya, sebanyak 20,533,660 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Feb lalu.

Jumlah itu meliputi 13,816,971 untuk suntikan vaksin dos pertama, manakala 6,716,689 lagi bagi dos kedua.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 17 juta dos vaksin disuntik setakat semalam

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Jumlah pemberian vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dimulakan pada 24 Februari lepas hingga semalam, mencecah 17,317,553 dos suntikan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian dalam Twitter berkata setakat 11.59 malam tadi, jumlah keseluruhan populasi yang telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin adalah 5,519,845 atau 16.9 peratus.

“Sementara itu, 36.1 peratus atau 11,797,708 lagi telah mendapat suntikan dos pertama vaksin,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Bagi vaksinasi harian, Dr Adham berkata 399,135 dos diberikan semalam, merangkumi 281,481 individu menerima suntikan pertama dan 117,654 penerima dos kedua.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih lima juta penduduk lengkap dua dos setakat semalam

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Jumlah pemberian vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dimulakan pada 24 Feb lalu sehingga semalam mencecah 16,904,896 dos suntikan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian di Twitternya berkata setakat 11.59 malam tadi, jumlah keseluruhan populasi yang telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin adalah 5,397,826.

“Sementara itu, 11,507,070 lagi telah mendapat suntikan dos pertama vaksin,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Bagi vaksinasi harian, Dr Adham berkata 417,738 dos diberikan semalam, merangkumi 284,672 individu menerima suntikan pertama manakala 133,066 penerima dos kedua.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 15 juta dos vaksin diberikan sejak Februari

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Jumlah pemberian vaksin Covid-19 kini 15,517,866 dos suntikan di seluruh negara setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau memaklumkan sebanyak 446,052 dos vaksin diberikan hingga 11.59 malam tadi, merangkumi 282,980 individu menerima suntikan pertama manakala 163,072 penerima dos kedua.

“Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah terkini individu lengkap dua dos vaksin sebanyak 4,932,981 iaitu 15.1 peratus, populasi rakyat negara ini,” katanya.

Labuan kekal negeri yang mencatatkan peratusan penduduk dewasa lengkap dua dos vaksinasi tertinggi dengan 68 peratus, diikuti Sarawak (49.4 peratus), Perlis (36.5 peratus), Lembah Klang (22.7 peratus) dan Negeri Sembilan (21.8 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelonggaran terhadap individu lengkap vaksin diumum tidak lama lagi

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Kelonggaran tertentu yang akan diberikan kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Pengumumannya tidak lama lagi,” katanya susulan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai pertimbangan memberikan kelonggaran tertentu kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin termasuk kebenaran makan di kedai dan melakukan rentas daerah atau negeri.

Muhyiddin berkata beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk membuat penilaian semula berhubung tatacara operasi piawai (SOP) untuk memberi kelonggaran kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Dalam sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara maya bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin hari ini, Dr Adham berkata seramai 172 petugas kesihatan yang hamil telah dijangkiti Covid-19 dan kebanyakannya adalah daripada kategori 1 dan 2.

Menurutnya, 51 individu daripadanya kategori 1, 117 dalam kategori 2 dan bakinya adalah kategori 5.

Pesakit Covid-19 kategori 1 adalah tidak bergejala; kategori 2 (gejala ringan), kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru), kategori 4 (pesakit yang memerlukan oksigen) dan kategori 5 adalah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Adham berkata dalam tempoh 4 hingga 10 Julai, sebanyak 870 kluster aktif dikesan di seluruh negara dan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) yang direkodkan adalah 1.13.

“Kluster-kluster yang mencatatkan peningkatan dalam minggu tersebut adalah kluster tempat kerja, pendidikan dan pusat tahanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 19.0 respons kendiri berhubung kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) diterima melalui aplikasi Mysejahtera bagi setiap 1,000 dos vaksin diberikan sejak bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Antara kesan sampingan yang dilaporkan adalah kesakitan di tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan, katanya.

Berdasarkan sistem pemantauan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara, hanya 0.06 pelaporan diterima bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diklasifikasikan sebagai serius yang memerlukan rawatan lanjut dan kemasukan ke hospital.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tambah petugas, katil tangani kenaikan kes di Lembah Klang

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk menambah segera 1,190 petugas kesihatan dan 5,000 sukarelawan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan di Selangor, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata KKM turut menggerakkan 417 petugas kesihatan dari negeri lain ke tiga negeri terbabit bagi menangani peningkatan pandemik itu.

Beliau berkata bagi menambah baik pengurusan pesakit di hospital, KKM menambah kapasiti katil di semua hospital di Lembah Klang iaitu daripada 3,412 unit kepada 3,777 di Selangor manakala daripada 795 unit kepada 1,129 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, kerjasama dengan tiga hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia bagi mengoptimumkan penggunaan katil di tiga hospital tersebut.

“(Ini) menjadikan keseluruhan katil bagi perawatan Covid-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 unit,” katanya pada sidang media khas pelan strategi Pengurusan Pandemik Covid-19 di Lembah Klang hari ini.

Dr Adham juga berkata KKM akan turut memperluas skop perkhidmatan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 sebagai Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama seperti hospital kerajaan lain.

Beliau berkata PKRC MAEPS 2.0 akan memberi perawatan pemulihan kecemasan kes Covid-19 kategori 3 dan 4 dengan menambah kapasiti bekalan oksigen kepada lebih 1,500 pesakit.

“Selain itu, KKM akan menambah kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor dengan meningkatkan jumlah katil kecemasan daripada 486 kepada 591 katil.

“KKM turut menambah kapasiti perawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital daripada 280 katil kepada 349 di Selangor manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, daripada 90 kepada 117 katil,” katanya.

Dr Adham berkata buat masa ini, Selangor memiliki 6,391 bekalan oksigen dengan pencapaian penggunaan sebanyak 3,413 atau 53 peratus.

“Bagi meningkatkan kapasiti (bekalan) oksigen di PKRC MAEPS 2.0 yang dijadikan sebagai Hospital Bersepadu MAEPS dalam perawatan Covid-19, penambahan sebanyak 1,000 tangki oksigen serta 1,000 pemekat oksigen telah pun dilakukan,” katanya.

-BERNAMA