Categories
BERITA UTAMA

Usaha pecah belah muafakat PAKATAN Selangor kerja sia-sia

SHAH ALAM, 10 OGOS: Usaha memecah belahkan muafakat kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) disifatkan kerana ‘iri hati’ terhadap pencapaian cemerlang pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, tindakan propaganda yang dicetuskan pihak tertentu perlu dihentikan segera kerana ia sia-sia dan tidak mendatangkan hasil.

“Selangor adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar nasional dengan nilai RM91.2 bilion atau 23.7 peratus, pada 2018.

“Segala khabar angin yang dimainkan tidak memberi kesan, malah ia menguatkan lagi permuafakatan kerajaan untuk terus tekad memberi fokus membangunkan agenda Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.

Dr Daroyah berkata, kepimpinan Amirudin akan terus diyakini dan mendapat sokongan penuh bukan sahaja daripada PAKATAN negeri, malah juga pembangkang.

“Wanita KEADILAN Selangor tekad akan terus bersama-sama Dato’ Menteri Besar memajukan negeri ini, seiring dan sederap memberi khidmat serta keutamaan kepada rakyat.

“Kebelakangan ini, banyak kedengaran khabar angin yang bertujuan mengganggu kestabilan pentadbiran Selangor, termasuk pertukaran Dato’ Menteri Besar dan pemecatan Speaker Dewan Negeri Selangor.

“Malah, majlis pertemuan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) semalam juga dijadikan isu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Wanita KEADILAN menyokong penuh usaha giat Amirudin dan Mohamed Azmin serta pimpinan lain yang bekerja keras dalam mengangkat ekonomi juga martabat rakyat.

Categories
NASIONAL

Tidak wajar persoal kelayakan Latheefa – Dr Daroyah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUN: Kelayakan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu tidak perlu dipersoalkan, kata Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Malaysia.

Dr Daroyah Alwi berkata, perjuangan Latheefa selama 20 tahun dan beristiqamah hingga kini untuk mereformasikan undang-undang negara serta mencegah rasuah sememangnya menjadi ‘trademark’ beliau.

“Sebagai seorang tokoh wanita yang berani, berintegriti tinggi, Latheefa Koya tidak pernah mengkompromi perjuangannya berlandasan kebenaran, integriti dan reformasi.

“Sebenarnya, sangat susah untuk mencari tokoh sebegini yang memahami dan menghayati erti reformasi yang kita sama-sama perjuangkan selama 20 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembantahan individu-individu atas pelantikan berkenaan sepatutnya menilaikan sumbangan Latheefa kepada rakyat selama ini, sebaliknya bukan mencari dan memburukkan nama baik mantan Pengerusi Lawyers for Liberty semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

“Latheefa Koya mempunyai sokongan padu daripada masyarakat sivil dan juga daripada rakyat kecuali segenlintir orang-orang yang takut bayang-bayang sendiri dan lantas mempersoalkan kelayakkannya.

“Tahniah saya ucapkan kepada Latheefa Koya di atas pelantikannya,” katanya.

Terdahulu, Latheefa dilantik sebagai orang nombor satu SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Mohd Shukri yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.

Kontrak Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Categories
SELANGOR

Daroyah tekad pastikan sidang DUN berjalan lancar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MAC: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baharu, Dr Daroyah Alwi bertekad memastikan persidangan DUN berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa berkata, pengalaman selama sepenggal mentadbir di DUN berkenaan menjadi medan terbaik untuk beliau terus komited dalam menggalas amanah dan tanggungjawab itu.

“Kali ini 50 ADN adalah daripada rakan-rakan saya, jadi kita harap sidang DUN berjalan dengan tertib dan teratur serta tiada sebarang masalah.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan rakan-rakan ADN yang melantik saya menjadi Timbalan Speaker yang sebelum ini kosong selepas Mohd Khairuddin Othman dilantik menjadi EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, pada Disember lalu,” katanya ketika ditemui SelangorKini

Terdahulu, Dr Daroyah Alwi merangkap Timbalan Ketua Wanita KEADILAN mengangkat sumpah memegang jawatan itu pada Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor ke-14, di sini, hari ini.

Beliau Timbalan Speaker wanita kedua di DUN Selangor selepas Hanizah Mohamed Talha (sebelum ini ADUN Taman Medan) pada 2008.

Sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir Selangor pada 2008 yang ketika itu (Pakatan Rakyat), ini adalah kali kedua Timbalan Speaker DNS dilantik dalam kalangan ADN wanita.

Sebelum ini, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar yang juga ADN Lembah Jaya, Haniza Talha pernah dilantik selaku Timbalan Speaker DNS bergandingan ADN Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Kim selaku Speaker DNS.

Categories
SELANGOR

100 peserta kongsi idea hasil dapatan potensi wanita pada PRU14

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 JAN: Seramai 100 peserta terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, ahli akademik, parti politik dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta individu berkepentingan berkongsi idea, pendapat dan idea dalam Seminar Nasional Wanita dan Politik diadakan di Hotel Armada di sini, hari ini.

Pengerusi Institut Wanita Berdaya, Dr Daroyah Alwi berkata, seminar nasional itu membincangkan hasil kajian yang dilakukan penyelidik untuk melihat senario berkaitan dengan calon wanita di beberapa negeri.

Katanya, usaha mencapai kesaksamaan gender itu perlu diteruskan dan dipergiat kerana ia semakin memperlihatkan hasil dari tahun ke tahun.

“Menurut Laporan Jurang Gender Global yang dikeluarkan World Economic Forum baru-baru ini mendapati, Malaysia berada di kedudukan terbawah dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan kedudukan 104 daripada 144 buah negara dunia pada 2017.

“Justeru, kerajaan dan parti politik perlu mempercepatkan penyertaan wanita dalam proses pembuatan keputusan demi merealisasikan matlamat kuota 30 peratus dicapai,” katanya.

Dr Daroyah berharap seminar itu dapat mengangkat tindakan dan mengutarakan cadangan bagi membincangkan penyertaan wanita dan mempercepatkan lebih banyak kehadiran wanita sebagai pembuat dasar dalam negara.

“IWB turut berharap hasil daripada seminar ini dapat membantu kerajaan khususnya Selangor untuk merealisasikan usaha mempercepatkan penyertaan wanita dalam politik.

“Selain mewujudkan program susulan seperti pendidikan, latihan dan kesedaran yang dapat meningkatkan potensi dan aktiviti untuk memperbanyakkan perwakilan wanita dalam politik masa kini.

“Ia seterusnya, menjadi contoh kepada negara dan negeri lain dalam memberdayakan wanita dan mengiktiraf potensi besar wanita apabila diberikan peluang dan akses yang sama rata dalam aspek kerjaya serta kehidupan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ketua Cabang KEADILAN dinasihat tidak pilih kaum

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 13 JAN : Ketua Wanita KEADILAN Cabang Selangor dinasihat tidak memilih kaum dalam mencorak Malaysia baharu ke arah lebih sejahtera dan membangun.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, setiap ketua disaran menjadi pemimpin kepada semua kaum tidak kira Melayu, Cina dan India.

“Walau apa juga bangsa, dalam parti kita tetap satu entiti untuk memperjuangkan keadilan kepada rakyat seluruh negara. Jangan lihat perbezaan warna kulit sebagai penghalang, namun anggap kita semua adalah satu keluarga.

“Oleh itu, dengan minda sebegini, saya percaya wanita KEADILAN mampu mencorakkan Malaysia baharu sebagai negara inklusif untuk semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen Wanita Keadilan 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Haniza Talha dan Ketua Wanita KEADILAN Wilayah Persekutuan, Idawate Pariman.

Pada masa sama, katanya, wanita KEADILAN perlu memperkasakan lagi sayap wanita dalam parti demi kesejahteraan golongan terbabit, di Malaysia.

“Kita perlu pastikan pembabitan 30 peratus kepimpinan wanita sebagai pembuat keputusan diperkasa dan bukan jadikan ia sekadar retorik.

“Malah, Selangor sudah berjaya membuktikan pembabitan 13 peratus wanita sebagai pembuat keputusan apabila berjaya memperoleh kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan pelantikan hampir 30 peratus Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Terdahulu, Konvensyen zon tengah itu turut menghimpunkan hampir 500 jawatankuasa wanita KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan bertujuan memperkenalkan saf kepimpinan wanita peringkat pusat dan negeri.

Seramai 22 Ketua Wanita Cabang Selangor turut diperkenalkan, pada konvensyen terbabit.

Categories
SELANGOR

Maklumat lengkap lapor keganasan ada di ‘Sticker’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Pelekat (Sticker) yang dilancarkan sempena kempen #DengarlahSuaraKami mempunyai maklumat lengkap yang diperlukan mangsa keganasan untuk mendapatkan bantuan.

Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, melalui pelekat itu, mangsa keganasan dapat keluar daripada kitaran keganasan dengan bantuan daripada organisasi, mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menawarkan khidmat kaunseling, maklumat undang-undang dan rumah perlindungan.

Katanya, teori kognitif sosial diketengahkan iaitu mangsa perlu dilengkapi dengan maklumat secukupnya seterusnya mendorong mereka bertindak mendapatkan bantuan.

“Organisasi dan NGO yang berkaitan juga sudah dihubungi dan bersetuju talian mereka dimasukkan sebagai maklumat pada ‘sticker’ yang diedarkan.

“Justeru, kerjasama dan keprihatinan pemilik bangunan dan premis sangat diharapkan untuk menempatkan ‘sticker’ ini, di lokasi strategik awam yang ada di premis masing-masing seperti tandas wanita, lif dan papan kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen #DengarSuaraKami yang mengangkat tema #HearMeToo, di Foyer SUK, di sini, hari ini.

Dr Daroyah yang juga Ahli Dewan Negeri Sementa berkata, kempen berkenaan menyasarkan supaya lebih ramai mangsa tampil mendapatkan bantuan yang disediakan secara percuma.

“Ini memudahkan akses maklumat kepada mangsa atau masyarakat yang mengetahui mengenai mangsa di sekeliling mereka.

“Malah, IWB Selangor akan terus memainkan peranan dalam usaha memastikan wanita, di negeri ini dapat hidup dengan aman dan sentosa,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa seluruh masyarakat, khususnya di Selangor supaya lebih peka dan terus melaporkan segala insiden keganasan kepada pihak berkuasa, jika mendapat maklumat berhubung isu itu.

Categories
SELANGOR

Air pasang besar: Unit Bencana Daerah Klang lakukan persiapan rapi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 SEPT: Unit Bencana Daerah Klang bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar di kawasan berpotensi dinaiki air khususnya di dua kampung utama, Kampung Tok Muda dan Kampung Sungai Serdang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, beliau dan pasukan keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi tempoh tiga hari ini dan akan bertindak segera jika paras air laut naik tinggi.

“Kita mempunyai wakil di setiap tempat untuk memaklumkan kita berlakunya air pasang besar. Semalam ada kebocoran benteng di Kampung Tok Muda.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melakukan kerja-kerja baik pulih benteng tersebut dan saya sendiri sudah melihatnya. Buat masa ini keadaan terkawal,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan hujan turun di kawasan darat di Kapar mengurangkan risiko banjir tetapi pihaknya tetap memberikan perhatian serius terhadap kemudahan jika terpaksa memindahkan penduduk setempat.

Ini termasuk kerja-kerja menyelamat yang akan dilakukan Bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan RELA.

Untuk rekod, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal bermula semalam hingga 12 September di pesisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri disaran kaji, tambah baik IPR

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri disaran mengkaji dan menambak baik 42 program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bersesuaian semangat federalisme demi manfaat rakyat dan semua pihak berkaitan.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, selaras perubahan pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan, penambahbaikan itu dianggap penting kerana ia banyak membawa manfaat kepada rakyat dan mendapat perhatian negeri lain.

“IPR dijayakan Kerajaan Negeri menjadi program contoh dan buah mulut di seluruh negara, maka melalui semangat federalisme, saya berharap ia dikaji serta ditambah baik demi kebaikan semua pihak.

“Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai rizab negeri yang tinggi tetapi ia boleh diselaraskan dan sebahagiannya dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan serta mengurangkan penggunaan peruntukan negeri,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan dan penyokong titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS Ke-14 Tahun 2018.

Beliau berkata, IPR dijalankan Kerajaan Negeri terbukti membawa banyak manfaat kepada rakyat walaupun tidak mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi konsep berkongsi kekayaan negeri bersama rakyat, jelas membawa manfaat dengan beberapa program IPR seperti Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Hijrah Selangor menjadi tumpuan serta terdapat beberapa program dicontohi negeri lain.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri dan semua ADN yang memenangi 51 daripada 56 kerusi dalam DNS (pada PRU14) dan bukan sekadar Selangor tetapi juga di peringkat Persekutuan.

“Rakyat sememangnya menaruh harapan tinggi terhadap Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan kepimpinan Kerajaan Negeri demi meneruskan kecemerlangan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tabung Harapan: Persatuan Kebajikan Pan Keong sumbang lebih RM15,000

KLANG, 22 Julai 2018: Sejumlah RM15,446 berjaya dikumpulkan dalam sebuah majlis makan malam anjuran Persatuan Kebajikan Pan Keong, pada 21 Ogos lalu.

Sumbangan dikumpul untuk disalurkan ke Tabung Harapan Negara bagi membantu kerajaan menguruskan hutang negara yang telah ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Cek sumbangan diserahkan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi di hadapan kira-kira 1,500 hadirin pada majlis yang diadakan cukup meriah di Restoran Taman Rashna, Klang.

“Satu usaha yang baik dan setinggi penghargaan kepada penderma yang prihatin membantu negara tercinta.

“Semangat ini wajar diteladani kerana rakyat adalah tulang belakang kepada keutuhan dan kesejahteraan sebuah negara yang berjaya,” kata Daroyah.

Terdahulu, kutipan dibuat terus dari meja ke meja sebelum dikumpulkan, dikira dan diumumkan secara terbuka kepada semua yang hadir.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Penyelidikan IPT perlu berinovasi dan mesra alam sekitar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OGOS: Penyelidikan yang dijalankan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bukan sekadar memenuhi pencapaian tahunan, bahkan wajar membabitkan masyarakat dan menghasilkan inovasi yang memenuhi keperluan mereka, di samping mesra alam sekitar.

Ahli Dewan Negeri, Dr Daroyah Alwi berkata, pengembangan itu perlu berlaku, sekali gus dapat meninggalkan cara pemikiran lama .

“IPT perlu meninggalkan cara yang kurang memberi perhatian kepada penyelidikan, sebaliknya beralih kepada bentuk yang melahirkan inovasi,” katanya ketika mewakili Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, merasmikan majlis penutup International Research Management and Innovation Conference (5th IRMIC 2018), di Hotel Palm Garden, Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Daroyah berkata, pihaknya berharap aktiviti penyelidikan diteruskan dengan membabitkan kerjasama daripada badan berkepentingan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Katanya, Kerajaan Negeri mahu menekankan pembudayaan penyelidikan turut menekankan berhubung pentingnya pembabitan masyarakat, khususnya bakal pengguna dalam penyelidikan yang menghasilkan inovasi.

“Ini kerana pada akhirnya, hasil penyelidikan yang biasanya menggunakan dana awam perlu menepati kesesuaian dan keperluan mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan pembentukan kumpulan penyelidik daripada pelbagai latar bidang.

Seminar Antarabangsa Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi terbabit dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi ahli akademik dari dalam dan luar negara secara umum berkongsi hasil penyelidikan.

Selain itu, laporan kemajuan penyelidikan yang membabitkan kakitangan KUIS turut dibentangkan.

Seminar sehari itu turut diserikan dengan ucaptama oleh Prof Datuk Ir Dr Jailani Mohd Nor; Naib Canselor dan Presiden Universiti Antarabangsa Albukhary dan mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Ucaptama yang bertemakan ‘Fostering Research and Innovation towards Sustainable Development’ itu dimulakan dengan galakan penyelidikan bagi membolehkan eksplorasi pengetahuan baharu yang diperlukan sebagai bekalan pengajaran oleh ahli akademik.

Seminar sehari itu yang diadakan secara tahunan buat kali kelima membabitkan 94 pembentangan.

Tiga orang pembentang menerima hadiah kertas kerja terbaik iaitu Dr Nasimah Abdullah (KUIS), Dr Norsaleha Mohd Saleh (KUIS) dan Dr Lim Siew Mooi (Universiti Malaysia Sains Komputer dan Kejuruteraan).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Gandingan Anwar dan Azmin igauan buat lawan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JULAI: Gandingan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merupakan igauan ngeri kepada parti lawan.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, gandingan padu itu mampu menstabilkan dan memaksima perjuangan agenda Reformasi yang dibawa sejak 20 tahun lalu, demi permuafakatan serta perpaduan secara menyeluruh tanpa mengira perbezaan kaum mahupun warna kulit.

Beliau berkata, hasrat dan kesediaan Anwar menawarkan diri bertanding jawatan Presiden KEADILAN, pada pemilihan kali ini adalah rahmat bagi seluruh keanggotaan juga Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kesediaan Bapa Reformasi Negara kembali berada di tampuk kepimpinan parti yang menyatu-padukan bangsa dilihat tepat, pada masanya sehingga PAKATAN diangkat sebagai juara rakyat membentuk kerajaan baru dengan menghukum Barisan Nasional, pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

“Bagaimanapun, hasil kerja dan kepimpinan Presiden KEADILAN, Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendokong perjuangan hingga ke tahap ini diiktiraf umum dan pengorbanannya memberi ruang jawatan itu kepada Anwar sangat menyentuh hati ramai pihak,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Daroyah berkata, pacuan kegemilangan itu wajar dibawa sama bukti kisah kejayaan dan kecemerlangan Kerajaan Negeri yang dilonjak semasa pimpinan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin selaku Dato’ Menteri Besar, sebelum ini.

“Pengalaman bersama pentadbiran beliau sepenggal dengan membawa dasar #SmartSelangor Membangun Bangsa Memakmur Negeri sangat mengujakan selain menerima sokongan sangat positif daripada rakyat.

“Pelbagai tawaran Inisiatif Peduli Rakyat diilhamkan jelas berjaya membuka mata bukan sahaja rakyat Selangor, malah seluruh negara sehingga menyemarakkan tsunami rakyat yang akhirnya membuahkan kejayaan dengan pembinaan Malaysia Baru, hari ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Teladani anak muda Kapar martabat juadah warisan Melayu

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 9 JUN: Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) meneruskan tradisi kacau dodol dalam Pertandingan Kacau Dodol Pemuda PAKATAN peringkat Parlimen Kapar.

Julung kali dianjurkan, proses pembuatan makanan tradisional Melayu itu berlangsung selama lima jam di Kompleks Rakan Muda Kapar, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, usaha anak muda itu wajar dipuji dan diteladani dalam mengangkat semula juadah warisan nenek moyang.

“Amat jarang sekali kita lihat golongan muda berminat untuk melibatkan diri dalam program sebegini namun hari ini saya memuji semangat mereka.

“Kita sedia maklum cara pembuatan dan resepi untuk menyediakan dodol bukanlah semudah disangka, namun ia bukan halangan dipelajari supaya ia tidak ditelan zaman,” katanya.

Terdahulu, Pertandingan Kacau Dodol itu dirasmikan oleh Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani.

Pertandingan bermula jam 10 malam itu berakhir pada 3 pagi dengan disertai 100 peserta membabitkan 20 pasukan terdiri dari penduduk kampung di sekitar Parlimen Kapar.

Juara pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 beserta hamper dan tempat kedua RM300 beserta hamper.

Sementara, bagi tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM150 beserta hamper manakala tempat kelima hingga kesepuluh menerima hamper sebagai saguhati.

Selesai sahaja program, dodol berkenaan serta juadah lemang turut diagihkan kepada kariah setempat untuk juadah bersahur.