Categories
SELANGOR

Dr Daroyah angkat sumpah Timbalan Speaker, Zakaria ADN baharu Semenyih

OLEH AFIX REDZUAN & ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengangkat sumpah selaku Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menggantikan ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Pelantikan Dr Daroyah dibuat selepas Mohd Khairuddin dilantik menjadi EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 10 Disember 2018.

Sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir Selangor pada 2008, ni merupakan kali kedua Timbalan Speaker DNS di lantik dalam kalangan ADN wanita.

Sebelum ini, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar yang juga ADN Lembah Jaya, Haniza Talha pernah dilantik selaku Timbalan Speaker DNS bergandingan ADN Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Kim selaku Speaker DNS.

Turut mengangkat sumpah, Zakaria Hanafi yang secara rasmi telah dipilih sebagai ADN Semenyih.

Kedua-dua mereka mengangkat dan menandatangani surat sumpah di hadapan Speaker DNS, Ng Suee Lim tepat jam 10.08 pagi sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada 2 Mac lalu, Zakaria memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam PRK itu.

PRK Semenyih diadakan ekoran kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PAKATAN, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Ia adalah PRK keenam selepas PRU-14 pada Mei tahun lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).

Categories
SELANGOR

Calon N.43 Sementa selesai tunai tanggungjawab

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 MEI: Calon N.43 Sementa, Dr Daroyah Alwi selesai menunaikan tanggungjawab beliau membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Beliau mengenakan baju kurung biru muda seakan warna bendera Pakatan Harapan (PAKATAN) itu turut mendapat perhatian pengundi di daerah berkenaan.

Daroyah berkata, beliau bangga apabila ada segelintir pihak yang mengenalinya walaupun beliau bukan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ.

“Sedang saya beratur, ada beberapa pengundi di belakang dan hadapan saya menyapa dan mahu berswafoto.

“Pada masa sama, saya amat teruja apabila melihat sangat ramai orang keluar mengundi dan sanggup beratur di tengah panas,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, semoga dengan kehadiran ramai pengundi itu dapat mengubah kerajaan sedia ada pada masa kini.

“Sebelum anda membuang undi, fikirlah yang terbaik demi masa depan anak cucu cicit kita pada masa akan datang,” katanya.

Seusai sahaja membuang undi, Daroyah terus bergerak ke beberapa daerah mengundi yang lain untuk menyantuni pengundi di DUN beliau bersama jentera kempennya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Dr Daroyah anak jati Bukit Kapar ikrar pertahan tanah kelahiran

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAPAR, 2 MEI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berikrar mempertahankan Bukit Kapar yang juga tempat kelahirannya.

Dr Daroyah berkata, beliau berbangga apabila Bukit Kapar yang berada di DUN Meru telahpun termasuk dalam DUN Sementa selepas proses persempadanan semula.

“Dahulu lokasi kampung ini bersebelahan DUN Sementa, walaupun ia kampung halaman sendiri tapi saya tidak boleh masuk campur kerana ia tanggungjawab orang lain.

“Tetapi sekarang saya cukup gembira apabila Kampung Bukit Kapar, tempat saya membesar makin berada dalam genggaman, saya amat gembira untuk berbakti kepada masyarakat yang juga keluarga saya,” katanya ketika Ceramah Jelajah Harapan DUN Sementa.

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu menyaksikan Dr Daroyah menang dengan majoriti undi sebanyak 7,846 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan juga bebas.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga itu sekali lagi diberi mandat oleh Pakatan Harapan (PAKATAN) sekaligus tampil sebagai calon DUN Sementa.

Dr Daroyah berkata, taktik persempadanan semula itu adalah bagi mengalih majoriti undi yang pernah diraihnya termasuk 76 peratus undi orang Melayu.

“Umno dan BN fikir orang Bukit Kapar hendak pangkah mereka, adakah penduduk di sini mahu BN mentadbir mereka?.

“Saya tidak akan benarkan, dahulu memang tidak dinafikan saya dibesarkan dengan bantuan Umno, termasuk menerima pendidikan percuma. Tetapi itu Umno dengan barisan kepimpinan yang lama, mempunyai jiwa rakyat.

“Tetapi pemimpin Umno sekarang sudah tidak sayangkan rakyat, pendidikan percuma susah hendak kita dapat, adakah itu yang penduduk Bukit Kapar mahukan?,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Bukit Kapar bukan lagi kubu kuat Umno

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAPAR, 1 MEI: Barisan calon Parlimen Kapar (P109) Pakatan Harapan (PAKATAN) terkejut dengan kehadiran penduduk Kampung Bukit Kapar yang melebihi jangkaan ketika ceramah perdana malam tadi.

Sebelum Ceramah Jelajah Harapan Sementa itu bermula pada jam 10.45 malam, terdengar khabar angin hanya 50 orang penduduk sahaja yang akan datang.

Namun sangkaan tersebut meleset apabila lebih daripada 1,000 penduduk Kampung Bukit Kapar membanjiri ceramah perdana tersebut.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali juga menyatakan rasa terkejutnya dengan jumlah kehadiran orang ramai itu.

Katanya, ia jelas menunjukkan kampung berkenaan bukan lagi kubu kuat Umno yang selama ini selalu dicanangkan.

“Saya tidak sangka begitu ramai penduduk Bukit Kapar hadir pada malam ini, sedangkan saya dengar kononnya di sini kubu kuat Umno.

“Lagi ramai orang Umno, lagi hendak saya datang, ini kerana presidennya yang telah bersama Umno lebih 20 tahun iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed sudah tinggalkan Umno, beliau sendiri mengatakan pengundi perlu ‘kuburkan’ Umno pada 9 Mei nanti.

“Tun Mahathir sudah buang Umno, kita pula hendak tunggu apa lagi?, jangan gadaikan maruah dengan pemberian kain pelikat, beras dan sebagainya. Maruah kita lebih tinggi daripada itu, jangan gadaikan negara sendiri,” katanya sambil disorak hadirin.

Ceramah perdana itu turut dihadiri calon Parlimen Kapar (P109), Datuk Abdullah Sani Hamid, calon N42 Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, calon N43 Sementa, Dr Daroyah Alwi dan Datuk Abdul Rashid Asari, calon N44 Selat Klang.

Sehingga 12 April 2018, seramai 124, 983 pengundi direkodkan di Parlimen Kapar, dengan majoriti pengundi Melayu sebanyak 71 peratus, Cina sebanyak 15 peratus, manakala India sebanyak 14 peratus dan lain-lain, satu peratus.

 

 

 

 

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mahu lebih ramai peniaga mohon sebagai kedai panel KISS

OLEH SABIRAH AZIZ

PELABUHAN KLANG, 29 MAC: Peniaga dan peruncit digalakkan untuk menghantar permohonan bagi menjadi sebahagian daripada kedai panel program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, permohonan untuk menjadi kedai panel program KISS masih dibuka sehingga kini.

“Sebenarnya kita mahu menggalakkan lagi peniaga dan peruncit khususnya rakyat Malaysia supaya mendaftar, sekali gus memudahkan penerima KISS berbelanja di kedai panel berdaftar.

“Walaupun saiz kedai mereka mungkin tidak besar seperti pasaraya lain, namun atas semangat dan sokongan yang diberikan, mereka telah bersama-sama menjadi sebahagian dari ahli keluarga KISS.

“Maka, diharapkan akan ada lebih ramai lagi peniaga dan peruncit bekerjasama dengan program KISS untuk menjual barangan keperluan asas kepada para ibu,” katanya selepas merasmikan Kedai Runcit Wak Adon di Kampung Perajurit, Telok Gong di sini.

Dr Daroyah berkata, pelaksanaan program KISS bukan hanya memberikan kemudahan kepada golongan ibu, malahan tidak melupakan peniaga dan peruncit kedai dengan memberi galakan kepada mereka.

Setakat ini, terdapat lebih 300 kedai runcit dan pasaraya panel KISS berdaftar di seluruh Selangor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco teguh berdiri belakang MB sokong pendirian tegas Raja-Raja Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OKT: Exco Kerajaan Negeri berdiri teguh di belakang Dato’ Menteri Besar bagi mendukung pendirian tegas Raja-raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni rakyat Malaysia.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, hal ini berikutan kemajuan tidak akan dicapai sekiranya tiada rasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan masyarakat menganut pelbagai agama dan perlu ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain agar wujud keharmonian dalam masyarakat.

“Mereka mesti faham memahami antara satu sama lain, tidak boleh buruk sangka dan tuduh menuduh serta tidak cepat melatah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kenyataan Dato’ Seri Azmin Ali itu sangat bertepatan dengan pendirian Kerajaan Negeri yang sentiasa mempertahankan kepentingan semua kaum dan agama di negeri Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman pula berkata, beliau menyokong pendirian Kerajaan Negeri yang menentang golongan ekstremis.

“Memang tepat pada masanya Dato’ Menteri Besar menjunjung titah Raja-Raja Melayu dan menyatakan tiada ruang untuk sebarang ekstremis dalam Malaysia dan Selangor khasnya.

“Saya sebagai Exco yang mewakili kaum India sangat bersetuju dan menjunjung titah Raja-Raja di mana golongan atau individu yang sewenang-wenangnya menggunakan kaum dan agama untuk memperlekehkan pihak lain harus ditolak,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan aset penting Negeri Selangor.

“Kemajmukan rakyat di Malaysia ini adalah aset penting negara dan Selangor khasnya. Inilah sebab kita menjunjung kasih sangat terhadap kenyataan ini kerana Raja-Raja Melayu memahami tentang situasi yang ada di negara kita bahawa kita ini insklusif dan sememangnya benar.

“Orang luar sendiri kagum dengan keharmonian kaum yang ada di Selangor. Penegasan daripada Raja-Raja Melayu ini menambahkan lagi kebenaran hal ini,” katanya.

Jelasnya, tindakan menggunakan isu perkauman oleh sesetengah golongan bagi meraih kedudukan dalam politik merupakan sesuatu yang tidak wajar dan perlu dijauhkan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Perlembagaan: Denggi tanggungjawab Persekutuan, negeri hanya bantu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 OKT: Isu denggi merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sepertimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, kata Dr Daroyah Alwi.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga itu berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun tetap mengambil inisiatif membantu Kerajaan Persekutuan membanteras denggi secara konsisten.

Katanya, pendirian itu diambil kerana isu denggi melibatkan kesihatan awam dan nyawa rakyat Selangor.

“Kita sedia maklum, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas beberapa perkara diletakkan di bawah Kerajaan Persekutuan dan perkara berbeza diletakkan di bawah Kerajaan Negeri.

“Antara perkara yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah berkaitan isu pendidikan dan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Daroyah berkata, sejumlah RM5 juta peruntukan khas disediakan Kerajaan Negeri untuk program pencegahan dan pengawalan Aedes dan denggi, pada 2017.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk bajet 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menjadikan jumlah bajet keseluruhan adalah sekitar RM20 juta setahun.

“Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif melantik Ahli-Ahli Majlis PBT sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Denggi Zon.

“Ia bagi memastikan setiap zon di bawah seliaan masing-masing terjaga dan akhirnya bebas dari gejala itu,” katanya.

Untuk rekod, jumlah kes daftar denggi Selangor mencatatkan penurunan kes signifikan mulai minggu epid ke-28 sehingga kini.

Kes daftar terendah untuk sepanjang tahun 2017 adalah 527 kes iaitu pada minggu epid ke-38, yang berakhir pada 23 September lalu.

Sementara itu, minggu epid terkini iaitu minggu epid ke-39 Selangor pula mencatatkan jumlah hotspot terendah sepanjang 2017 iaitu hanya 23 lokaliti hotspot sahaja.

=EZY=

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Exco sampaikan bantuan mangsa kebakaran Maahad Tahfiz

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 OKT : Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi konsisten memastikan kebajikan masyarakat negeri ini kekal terjamin.

Komitmen itu dilaksanakan secara berterusan menerusi program kebajikan dan lawatan rasmi ke lokasi kebakaran di Maahad Tahfiz Nur Alquran, Jalan Pengkalan, Off Jalan Genting, Kampung Rantau Panjang Klang, semalam.

Berkongsi di Facebook, Dr Daroyah berkata, keprihatinan terhadap insiden yang menimpa warga Maahd Tahfiz disalurkan menerusi pemberian bantuan kepada mangsa terlibat.

“Alhamdulillah syukur tiada kemalangan jiwa berlaku, punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Sedikit sumbangan saya sampaikan, selain daripada itu sumbangan barangan keperluan asas kering daripada Unit Bencana Negeri Selangor turut disampaikan tidak ketinggalan sumbangan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE),” katanya.

Dr Daroyah bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Hanadi Maulud menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Terdahulu, bilik asrama pelajar lelaki Pusat Pengajian dan Tahfiz Nur Al-Quran, Rantau Panjang, dekat sini, musnah terbakar dalam kejadian jam 2.30 pagi 9 Oktober lalu.

Difahamkan, bilik berkeluasan 150 meter persegi itu menempatkan 25 pelajar lelaki berusia antara 10 hingga 19 tahun.

Pusat tahfiz berkenaan sudah beroperasi di tapak berkenaan sejak kira-kira empat tahun lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bersihkan kediaman elak jadi sarang aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 SEPT: Penduduk sekitar disarankan mengambil tanggungjawab membersihkan kawasan kediaman masing-masing sebagai usaha memastikan tempat tinggal mereka bebas dari pembiakan nyamuk aedes.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pembangunan Wanita serta Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, hal itu kerana ia merupakan perkara asas sekiranya mahu kawasan berisiko tinggi menjadi bebas denggi.

“Sikap itu perlu dididik dari akar umbi membabitkan pelbagai golongan supaya penduduk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan kediaman masing-masing.

aedes“Kita mengalukan kerjasama penduduk supaya kawasan yang berisiko tinggi dapat dihapuskan secara berkesan,” katanya di Majlis Perasmian Penutup Gotong Royong Denggi 12 minggu dan Hari Keluarga Merdeka Taman Pelangi Semenyih, baru-baru ini.

Pada masa sama, Dr Daroyah memuji komitmen tinggi penduduk Taman Pelangi yang berusaha mengadakan gotong royong secara berterusan sekaligus menjadikan kawasan kediaman mereka keluar daripada kawasan hotspot denggi.

IMG_7587“Saya berbangga dengan semangat penduduk kawasan ini yang berusaha untuk membebaskan kawasan mereka dari hotspot denggi. Kini, kawasan ini bersih dan tidak lagi dilabel sebagai hotspot denggi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya memastikan melaksanakan pemeriksaan dan membersihkan takungan air secara berkala.

Menurut sumber daripada bilik gerakan denggi kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sejumlah 127 kes di Selangor setakat 12 September (semalam) dengan jumlah terkumpul dari 1 Januari hingga tempoh itu sebanyak 36,888 kes.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor bebas jangkitan rabies namun waspada

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JULAI: Penduduk di negeri ini diminta berhati-hati dan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya digigit anjing atau kucing.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, walaupun Selangor bebas jangkitan setakat ini namun ia menyebabkan kebimbangan orang ramai.

Katanya, hal itu kerana sekiranya mereka digigit atau dicakar haiwan terbabit ianya mempunyai risiko jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.

“Individu yang digigit anjing atau kucing harus segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan walaupun tinggal di luar kawasan jangkitan rabies.

“Wabak ini agak menakutkan dan menimbulkan kebimbangan orang ramai, oleh itu saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Rumah Terbuka Invest Selangor, di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini.

Dr Daroyah berkata pemilik haiwan terbabit turut disarankan memastikan haiwan peliharaan mereka dalam keadaan sihat dan bebas sebarang jangkitan.

Selain itu, katanya ibu bapa perlu memastikan atau mengawal pergerakan anak-anak di luar rumah.

Pada masa sama, Dr Daroyah berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu mengambil tindakan tegas dan memantau anjing yang berkeliaran di kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlalu panik dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Dr Fuziah Muhayat berkata risiko jangkitan penyakit itu bukan hanya melibatkan anjing.

Selasa lalu, seorang suri rumah digigit kucing peliharaannya di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, namun pemeriksaan mendapati tiada tanda klinikal pada kucing tersebut dan tindakan kuarantin serta pemerhatian klinikal dilakukan ke atas haiwan itu sehingga tempoh 14 hari.

Terbaru, seorang lelaki disahkan dijangkiti rabies, atau penyakit anjing gila di daerah Serian, menjadikan dia sebagai orang kelima yang dijangkiti penyakit itu sejak dikesan di daerah berkenaan bulan lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berumur 52 tahun dari Kampung Remun, Serian itu disahkan dijangkiti rabies menerusi ujian makmal pada 18 Julai.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor lancar Kempen Hormat Wanita

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 APR: Kerajaan Negeri buat julung kalinya melancarkan Kempen Hormat Wanita (KWH) dalam usaha mendidik masyarakat berkenaan kepentingan keadilan sosial terhadap kaum berkenaan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pelbagai Inisiatif Hormat Wanita (IWH) bakal diperkenal sempena KWH terutama membabitkan penyediaan kemudahan mesra wanita di tempat kerja.

Katanya, inisiatif lain termasuk melaksanakan dasar 30 peratus pembabitan wanita di peringkat pembuat keputusan serta pencegahan jenayah dan gangguan seksual melalui penguatkuasaan agensi Kerajaan Negeri, badan berkanun dan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

DR DAROYAH“Kerajaan Negeri sentiasa beranggapan bahawa wanita tonggak dan penggerak masyarakat dalam memenuhi tanggungjawab sosial sebagai rakyat.

“Maka, menjadi kewajipan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kempen dan inisiatif sebagai penghormatan kepada golongan penting ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Hormat Wanita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Daroyah berkata, ia membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengiktiraf golongan wanita bekerjaya dengan menyediakan sistem sokongan kukuh.

“Kita mahu mereka terus menyumbang bakti kepada negeri selain meletakkan keluarga sebagai keutamaan demi kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Hadir sama, Penasihat Pusat Wanita Berdaya, Zuraida Kamaruddin dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh.

Sebelum ini, Belanjawan Selangor 2017 memperuntukkan RM10 juta bagi memberdaya wanita dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya termasuk RM1 juta untuk Institut Wanita Berdaya (IWB).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Denggi: Kerajaan Negeri lulus peruntukan tambahan RM600,00

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 DIS: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan tambahan RM600,000 kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai usaha memerangi denggi hujung tahun ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, penambahan peruntukan itu akan digunakan khusus bagi mempergiatkan aktiviti kawalan dan pencegahan seperti ‘fogging’ serta ‘larvasiding’ melalui Pest Controller Operator (PCO) yang dilantik.

“Secara statistik, jumlah kumulatif Kes Daftar Denggi 2016 pada ME-50 yang berakhir pada 17 Disember lalu adalah 50,157 kes berbanding 60,711 untuk tempoh sama, pada 2015.

DENGGI-GRAFIK“Ini menunjukkan penurunan 10,554 kes atau penyusutan 17.4 peratus.

“Manakala, kadar kumulatif kematian pula menurun daripada 122 kematian pada 2015 kepada 77 kes sahaja tahun ini, sekali gus menunjukkan pengurangan 33.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri tidak berdiam diri dan selesa walaupun Selangor berjaya mengawal wabak itu dengan mencatatkan kedua terendah iaitu 0.15 peratus berbanding negeri lain.

“Inisiatif penubuhan Unit Tindakan Khas Denggi (UTKD) memperlihatkan impak positif dalam usaha kita memerangi wabak dan membasmi lokaliti hotspot.

“UTKD ini akan ditempatkan khas di mana-mana lokaliti hotspot yang mempunyai tempoh wabak melebihi 100 hari.

“Tugas mereka khusus untuk memantau, membuat aktiviti kawalan dan pencegahan juga memberi bimbingan serta nasihat kepada penduduk demi memastikan persekitaran mereka bebas tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Beliau berharap, tahun depan Selangor berjaya mencatatkan penurunan lebih banyak ekoran perlbagai perancangan yang dirangka menampakkan hasil memberangsangkan.

Untuk rekod, pola sepanjang 2014 dan 2015 menunjukkan terdapat tiga puncak kes denggi setiap tahun.

-NFN-