Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kelas percuma bimbing 25 murid lemah pembelajaran kuasai 3M

SHAH ALAM, 3 MEI: Seramai 25 murid yang mempunyai masalah pembelajaran sekitar Sentosa, Klang dipilih mengikuti kelas bimbingan percuma selama tiga bulan.

Wakil rakyatnya Dr Gunarajah R George berkata semua pelajar program Sinar Ilmu Harapan Sentosa akan dibimbing oleh guru terlatih dari Persatuan Dyslexia Selangor.

“Kelmarin kita adakan pertemuan bersama ibu bapa bagi menyatakan komitmen mereka selama tiga bulan akan datang.

“Semoga segala urusan dipermudah dan anak-anak ini dapat mempertingkatkan kemahiran 3M mereka iaitu membaca, menulis dan mengira,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pengarah program berkenaan Dr R Uma Rani berkata murid yang terpilih dalam lingkungan usia antara sembilan sehingga 13 tahun.

“Kita akan bahagikan mereka mengikut tahap kemahiran membaca dengan lima pelajar dibimbing oleh seorang guru pada setiap Sabtu selama tiga bulan.

“Kita jangka kelas bermula selepas Aidilfitri, bergantung situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya yang juga salah seorang tenaga pengajar.

Pada 18 April, lebih 100 pelajar hadir ke Pusat Khidmat DUN Sentosa untuk menjalani saringan bagi mengikuti program berkenaan.

Inisiatif yang diuar-uarkan secara meluas melalui media sosial sejak 8 April turut mendapat sambutan dari mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

500 asnaf sekitar Sentosa dapat bantuan Ramadan

KLANG, 18 APRIL: Seramai 500 asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dikenal pasti untuk menerima bantuan sempena Ramadan.

Wakil rakyatnya Dr Gunarajah R George berkata pemilihan nama melalui jawatankuasa masjid dan surau meliputi sumbangan berbuka puasa dan moreh.

“Kita ada beberapa program yang sudah dirancang seperti majlis berbuka puasa, sumbangan moreh dan Kerajaan Selangor akan beri sumbangan baucar membabitkan 500 keluarga asnaf.

“Mereka yang memerlukan boleh datang mendaftar di pusat khidmat selain nama mereka yang layak akan diberikan oleh jawatankuasa masjid dan surau,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau kelas percuma Sinar Ilmu Harapan Sentosa di pusat khidmatnya yang menyasar 30 murid bermasalah dalam pembelajaran.

Kelas yang berlangsung setiap Sabtu bagi memastikan murid berkenaan menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Sementara itu, Gunarajah berkata sebanyak tujuh surau dan masjid sekitar Sentosa menerima sumbangan kurma awal Ramadan lalu.