Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir masuk IJN, jalani pemeriksaan kesihatan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara di sini hari ini untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan pemantauan lanjut.

Menurut satu kenyataan daripada IJN, Dr Mahathir tiba di institut itu pada pukul 7 malam ini.

“Yang Amat Berbahagia Tun dijangka berada di IJN untuk beberapa hari lagi,” katanya.

Seorang daripada pegawainya ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Ya , benar sebagaimana dalam kenyataan,” kata beliau.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selepas Agong ‘amat dukacita’ isu darurat, Dr Mahathir dakwa PM ‘tipu’ Parlimen

SHAH ALAM, 29 JULAI: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa perdana menteri “menipu” Parlimen setelah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita isu pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

“Titah Yang di-Pertuan Agong hari ini menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sengaja berbohong kepada Parlimen berhubung pembatalan Ordinan-ordinan Darurat,” kata ahli parlimen Langkawi dalam kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri berkata Muhyiddin tidak cuba membetulkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung pembatalan darurat pada sidang khas Isnin lalu.

“(Muhyiddin juga) tidak menahan Takiyuddin daripada terus berucap walau duduk di depannya. Muhyiddin juga tidak membuat penjelasan pada hari-hari persidangan berikutnya,” kata Dr Mahathir lagi.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan tersebut yang diumumkan oleh menteri itu tanpa perkenan Baginda seperti ditetapkan Perlembagaan.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan Istana Negara hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pad 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.”

Baginda turut menzahirkan rasa “amat dukacita” berhubung titah pembatalan semua ordinan berkenaan mestilah dibentang dan dibahaskan di Parlimen seperti persetujuan dalam majlis menghadap secara maya pada 24 Julai.

Menurut kenyataan istana lagi, majlis menghadap dua hari sebelum sidang khas Dewan Rakyat awal minggu ini disertai Takiyuddin, yang mengendali hal-ehwal Parlimen dan perundangan, bersama Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Ketika sidang khas itu bermula, Takiyuddin tiba-tiba memaklumkan semua ordinan tersebut telah dibatalkan pada 21 Julai. Namun semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen terkejut dengan kenyataan tersebut yang dibuat tanpa warta atau hebahan umum.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir juga mendesak perdana menteri bersama seluruh anggota kabinet bertanggungjawab atas tindakan mereka di Parlimen yang disifatkannya “memalukan” dan meletakkan jawatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Umat Islam perlu terima sekatan ketika Ramadan – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua umat Islam di negara ini agar menerima baik pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui dalam suasana mereka melaksanakan ibadah puasa kali ini.

Dr Mahathir berkata sekatan yang terpaksa dilakukan untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 itu sudah tentu mengubah banyak tradisi sambutan Ramadan sebelum ini di negara ini, namun ia tidak akan menjadi beban sekiranya umat Islam mengamalkan sikap kesederhanaan dan dapat mengekang hawa nafsu.

“Antara yang terpaksa kita hentikan ialah majlis berbuka puasa beramai-ramai dan sembahyang tarawih secara berjemaah. Kita juga tidak dapat membeli juadah yang enak di bazar-bazar Ramadan. Selain itu, pergerakan kita untuk melawat dan berbuka puasa dengan seanak-saudara juga turut terjejas.

“Dalam lain perkataan, Ramadan kali ini menuntut kesabaran dan kekangan nafsu dari kita yang jauh lebih berat berbanding dahulu. Sama ada kita sedar atau tidak, cabaran yang kita hadapi dalam bulan Ramadan kali ini sebenarnya menguji tahap kesungguhan kita untuk kita mempertahankan rakyat dan negara,” katanya menerusi catatan Facebook.

“Ini kerana jika kita tidak dapat membendung nafsu dan masih mahu menjalankan ibadah puasa seperti tahun-tahun yang lalu, kita akan memperjudikan kehidupan rakyat yang lain termasuk diri kita sendiri,” tambahnya.

Menurut Dr Mahathir pengorbanan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dengan mematuhi pelbagai sekatan berkenaan adalah jauh lebih kecil berbanding pengorbanan mereka yang berada di barisan hadapan untuk mempertahankan semua rakyat Malaysia.

Katanya jika umat Islam meredai semua perkara yang berlaku, insya Allah mereka akan dapat menjalani ibadah puasa ini dengan sempurna seterusnya dapat menyambut syawal dengan penuh kesedaran dan kesyukuran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukan masa cari siapa popular, semua pihak perlu tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Krisis Covid-19 yang dihadapi oleh negara ketika ini bukan masa untuk mencari siapa lebih popular, sebaliknya semua pihak perlu berusaha untuk mendepani dan menangani isu berkenaan secara bersama.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia kini berdepan krisis kesihatan dan ekonomi terburuk dalam sejarah, sehubungan itu usaha perlu ditumpukan untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita bukan sahaja perlu ucap terima kasih kepada barisan hadapan, bahkan kita perlu sama-sama tunjuk sokongan dan beri perhatian dengan menyahut nasihat-nasihat yang diberikan oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi akaun Twitternya @chedetofficial hari ini.

Sehingga 12 tengah hari semalam, terdapat 4,530 jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini dengan 73 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir tawar diri calon PM dengan sokongan Pakatan

KUALA LUMPUR, 29 FEB: Semasa kekalutan politik negara memasuki hari ke tujuh, hari ini menyaksikan satu lagi episod baharu terungkai, dengan Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau telah berjumpa dengan para pemimpin Pakatan Harapan (Pakatan) pagi ini, dan percaya beliau telah memperoleh sokongan yang diperlukan di Dewan Raykat untuk membentuk satu kerajaan baharu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pagi ini, Dr Mahathir berkata beliau sedia untuk dilantik sebagai calon bagi jawatan Perdana Menteri ke lapan.

Satu kenyataan dari Majlis Presiden Pakatan yang menyusul kemudiannya mengatakan bahawa Majlis Presiden memberikan sokongan penuh kepada Dr Mahathir sebagai calon untuk jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir berkata keputusan itu akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis Presiden Pakatan dalam menyatakan sokongan penuh kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri berkata Pakatan berpendirian bertegas menentang sebarang usaha ‘kerajaan pintu belakang’ terutama melibatkan kleptokrat dan pengkhianat perjuangan.

Menurutnya ia hanya akan merosakkan segala usaha reformasi yang telah dilaksanakan hingga kini.

“Pakatan berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuang manifesto dalam kerajaan, yang mana Pakatan merupakan gabungan yang telah mendapat mandat jelas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” menurutnya.

Dr Mahathir dalam kenyataan hari ini turut menjelaskan mengenai laporan semalam yang menyimpulkan beliau menyokong pencalonan Presiden Pakatan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan perdana menteri.

Beliau turut mengulangi pendiriannya yang menentang sebarang kerjasama dengan individu yang telah diketahui terlibat dengan rasuah dan sebahagian daripada pentadbiran kleptokrat; yang sememangnya ditentang habis-habisan oleh kerajaan Pakatan.

“Atas dasar prinsip, saya sampaikan perkara ini kepada Ahli Parlimen Bersatu semasa mesyuarat semalam.

“Malah saya tinggalkan mesyuarat lebih awal untuk membolehkan perbahasan bebas antara ahli parlimen dari Bersatu bagi memilih siapa sahaja yang mereka rasakan sesuai untuk jawatan perdana menteri,” katanya dan menambah bahawa beliau tidak pernah menanda tangani apa-apa deklarasi statutori bagi menyokong mana-mana individu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahathir gesa sokongan kolektif ASEAN terhadap hak Palestin

KUALA LUMPUR, 29 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa negara ASEAN supaya memperluaskan kesatuan barisan dalam menyokong hak rakyat Palestin.

Perdana Menteri interim berkata negara anggota ASEAN perlu terus bekerjasama bukan sahaja dalam pertumbuhan ekonomi, politik, etnik dan budaya tetapi juga dalam usaha menegakkan keadilan dan keamanan bagi mereka yang tertindas.

“Suara kolektif kami sepatutnya menyerlah lebih daripada sekadar pembangunan ekonomi tetapi juga harus memperluas kesatuan barisan dalam menyokong hak rakyat Palestin,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Persoalan Palestin ‘Sokongan Asia Tenggara Kepada Hak Palestin’ di sini semalam.

Dr Mahathir berkata semua platform yang disediakan, baik ASEAN dan bukan ASEAN, harus digunakan untuk terus menyuarakan kebimbangan dan menyatakan kemarahan terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan dan kejam oleh rejim Tel Aviv terhadap rakyat Palestin.

“Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab ini diperkuatkan lagi apabila negara berkuasa yang telah menonjolkan diri sebagai pembela keadilan dan kebebasan memilih untuk berdiam ketika kekejaman dilakukan.

“ Kita tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih di mana ketidakadilan melampau berlaku,” katanya.

Dr Mahathir sekali lagi mengutuk rancangan perdamaian, ‘Deal of of the Century’ yang diumumkan oleh Amerika Syarikat bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

“Pengumuman unilateral yang disokong dan dihasut oleh Israel tanpa sebarang percubaan untuk mengadakan dialog atau rundingan dengan wakil Palestin dari Tebing Barat atau Gaza adalah satu penghinaan terhadap usaha antarabangsa mencari penyelesaian kepada krisis Palestin-Israel yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata rancangan damai itu mengetepikan isu-isu penting untuk penyelesaian, antaranya, menghapuskan hak pelarian Palestin kembali ke tanah air selepas terpaksa meninggalkan rumah masing-masing ketika Perang Arab-Israel 1948.

Dr Mahathir menegaskan dasar luar Malaysia terhadap Palestin kekal sama sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kami akan sentiasa menyokong perjuangan Palestin,” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia tetap berpendirian yang penubuhan negara Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin adalah diterima.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.2130/2200 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan meningkat memandangkan minat risiko pelabur menjadi lebih baik menjelang pengumuman pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan hari ini.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan meningkat 100 mata asas kepada 4.2130/2200 berbanding dolar AS daripada 4.2230/2280 ketika ditutup pada Rabu.

Pakej itu bertujuan merangsangkan ekonomi Malaysia dan mengurangkan kesan buruk yang timbul daripada penularan COVID-19 serta ketidaktentuan luaran lain.

Ia akan diumumkan Perdana Menteri Sementara, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pengumuman (pakej rangsangan) ini akan membantu memulihkan keyakinan pelabur dalam pasaran, yang telah mengalami tekanan baru-baru ini disebabkan ketidakpastian dalam landskap politik tempatan serta COVID-19,” menurut catatan di akaun Twitter beliau semalam.

Malaysia bukan satu-satunya negara yang merancang pakej rangsangan bagi menangani krisis berikutan penularan COVID-19.

Singapura dilaporkan merupakan negara pertama di rantau ini yang memperkenalkan pakej rangsangan, seperti yang diumumkan minggu lepas sempena pembentangan belanjawan republik itu, diikuti Indonesia dan paling terbaru, Hong Kong.

Thailand turut bercadang mengemukakan langkah yang sama kepada kabinetnya pada pertengahan Mac.

Ia berharap dapat menyelamatkan segera ekonominya, terutama sektor pelancongan yang amat penting setelah terjejas teruk ekoran jangkitan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata pelabur asing telah membuat permintaan semula terhadap bon Malaysia memandangkan Bank Negara Malaysia dijangka mengurangkan kadar faedah pada tempoh akan datang.

“Ia satu langkah positif yang kecil dalam tempoh bebanan politik semasa, yang terus mempengaruhi ringgit,” katanya.

Sementara itu, ringgit juga didagangkan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0149/0210 daripada 3.0205/0245 ketika ditutup pada Rabu serta tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.8185/8259 daripada 3.8280/8335.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.4407/4514 daripada 5.4679/4761 semalam dan stabil berbanding euro kepada 4.5909/6002 daripada 4.5980/5047.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Sidang kemuncak khas Korea Selatan, ASEAN tingkatkan kerjasama menang-menang

 

BUSAN, 26 NOV: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap sidang kemuncak khas antara Korea Selatan dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan berkata ia mampu meningkatkan lagi kerjasama menang-menang.

“Kami menyambut baik dasar pandang ke selatan Korea Selatan,” kata beliau dalam temu bual eksklusif dengan agensi berita Yonhap dan Yonhap News TV semasa kunjungannya ke Busan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan.

Beliau merujuk kepada Dasar Selatan Baharu pentadbiran Moon Jae In yang bertujuan memperkukuh hubungan strategik Seoul dengan ASEAN.

Mahathir berkata Korea Selatan tidak seperti sebelum ini kerana telah mencapai kemajuan yang luar biasa terutama dari segi teknologi.

“Jadi, penting bagi ASEAN membangunkan hubungan yang baik dengan Korea Selatan kerana kami boleh mendapat manfaat daripada pengalaman anda, cara anda melakukan sesuatu dan juga pelaburan dari Korea,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia “amat sesuai berinteraksi dengan Korea” memandangkan situasi politiknya yang stabil dan sumber manusia negara itu yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sambil membayangkan pragmatisme diplomatik Malaysia, Dr Mahathir berkata negara itu juga menghulurkan tangan kepada Korea Utara.

Malaysia kini bersedia membuka semula kedutaannya di Pyongyang, yang ditutup sejak insiden pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Februari 2017.

“Kami ingin bersahabat dengan semua negara di dunia … Malah Korea Utara juga boleh berdagang dengan kami. Kami tidak suka konfrontasi,” katanya.

Beliau menyifatkan cakap-cakap bahawa kerajaan Korea Utara menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu adalah “mencurigakan” dan berkata ia tidak menjejaskan keselamatan Malaysia.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk menyambung semula hubungan normal antara Malaysia dan Korea Utara,” katanya dalam temu bual yang berlangsung di bilik hotel beliau di Busan.

Ditanya bilakah perkara itu akan direalisasi, Mahathir berkata “kami kini bertemu dan berbincang dengan mereka.”

Para pegawai Korea Utara merancang untuk berkunjung ke Malaysia.

“Kami akan berbincang dengan mereka bilakah masa yang tepat untuk kami membuka semula kedutaan itu,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaannya akan “lebih berhati-hati” bagi memastikan bahawa hal ehwal dalaman negara lain tidak membabitkan atau berlaku di Malaysia.

Beliau mengesahkan sokongan terhadap inisiatif damai serantau Moon.

“Saya menghargai idea Presiden Moon. Beliau berjaya mencapai beberapa kemajuan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata komuniti antarabangsa perlu mengelak sikap menggesa Korea Utara “melakukan segalanya” sebelum menarik balik sekatan.

Pemimpin berusia 94 tahun itu tiba di bandar pelabuhan Busan pada Ahad.

Beliau segera melawat Industri Aeroangkasa Korea (KAI) yang merupakan sebuah syarikat utama aeroangkasa dan pertahanan.

Beliau merancang melawat Hyundai Rotem, yang turut menghasilkan barangan pertahanan.

Ditanya mengenai jadualnya, beliau berkata Malaysia kini mencari rakan kongsi sesuai bagi membekalkan senjata api yang diperlukan untuk pertahanan dan keselamatannya sendiri.

Beliau juga kelihatan berhati-hati dengan usaha Korea Selatan untuk mengadakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia.

“FTA selalunya baik namun kita perlu faham kelemahan dan kekuatan negara yang terlibat,” katanya sambil menambah bahawa kekuatan industri Malaysia masih di peringkat awal.

Beliau menyamakan keadaan itu dengan “handicap” seorang pemain golf. Untuk bertanding menentang Tiger Woods, seorang pemain golf amatur mungkin perlu menyesuaikan “handicapnya” dalam usaha menjadikan pertandingan itu adil, kata Dr Mahathir.

Mengulas pertikaian Korea Selatan-Jepun sejak turun-temurun, beliau mencadangkan usaha yang bersifat memandang ke hadapan bagi menyelesaikan konfrontasi atas dasar apa yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan kedua-dua negara.

Beliau dijadualkan ke Seoul sejurus selepas menghadiri sidang kemuncak Busan.

Beliau dijangka mengadakna rundingan sidang kemuncak empat mata dengan Moon di Cheong Wa Dae pada Khamis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahathir seru masyarakat Tanjung Piai datang ceramah mega PAKATAN

PONTIAN, 11 NOV: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa pengundi dan penduduk dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai untuk hadir satu ceramah mega di sini bersempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, Rabu ini.

Dalam satu video ringkas, beliau menggunakan strategi tersebut supaya pengundi menghadiri ceramah mega PAKATAN yang dijadual diadakan di tapak Terminal Bas Kukup Laut, yang bertujuan mendekati masyarakat setempat.

“Saya ingin jemput semua pengundi Tanjung Piai untuk hadir ceramah mega Pakatan Harapan Rabu ini 13 November jam 8 malam. Jemput hadir beramai-ramai,” kata perdana menteri dalam satu video berdurasi 22 saat yang diterima pengamal media yang berkampung di sekitar Tanjung Piai hari ini.

Di akhir video tersebut, tertera poster beliau dan maklumat berkaitan ceramah tersebut dan dijangkakan kepimpinan tertinggi PH akan hadir bersama calon mereka, Karmaine Sardini.

Dr Mahathir merupakan antara pemimpin kanan PAKATAN yang dijangka hadir pada ceramah mega itu.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakil Barisan Nasional, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas. Pengundian akan dijalan Sabtu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

‘Kerja saya bukan pecat orang’ – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 7 NOV: Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau akan memecat seseorang anggota pentadbiran hanya jika sesuatu yang sangat serius berlaku.

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan pihak lain yang menggesa supaya Tan Sri Tommy Thomas dipecat kerana didakwa Peguam Negara itu dilihat kerap menyalahgunakan kuasanya dengan mencampur tangan dalam beberapa kes mahkamah.

“Saya bukan kerja pecat orang. Kadang-kadang orang membuat kesilapan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Tommy atas alasan campur tangan dalam beberapa proses pendakwaan.

Ismail Sabri dilaporkan membuat gesaan itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berikutan tindakan Pejabat Peguam Negara ​menggugurkan dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran berkaitan kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam pada itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata beliau juga berhasrat untuk memecat sesetengah pemimpin pembangkang.

” Saya ingin memecat beberapa anggota pembangkang kerana mereka membuat banyak kesilapan tetapi kita mempunyai kedaulatan undang-undang dan kita mematuhinya, “ katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan berusaha keras bawa pulang Jho Low – Mahathir

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kerajaan sedang berusaha keras untuk membawa pulang ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low untuk menghadapi tindakan undang-undang terhadap peranannya dalam skandal rasuah 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata maklumat mengenai dia tidak mudah diperolehi.

“Saya dimaklumkan bahawa dia mungkin memegang beberapa pasport dan (mungkin) membuat perubahan kepada mukanya. (Tetapi) semua perkara ini adalah khabar angin.

“Kita tidak mempunyai bukti tetapi ia boleh berlaku. Ini membuatkan kita sukar menjejaki dia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen ke-15 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis percaya bahawa Low masih bersembunyi di sebuah ‘negara terpencil’ tetapi enggan mendedahkan lokasi terkini Jho Low.

Menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata Abdul Hamid akan memaklumkan kepadanya tentang perkembangan pencarian Jho Low dari semasa ke semasa.

“Beliau tidak memberitahu saya di mana dia (Jho Low) dijumpai, jadi saya tidak tahu. Tetapi tidaklah setiap kali beliau tahu di mana Jho Low berada beliau akan menelefon saya.. bukan begitu. Sekali- sekala beliau akan melaporkan kepada saya,” kata Perdana Menteri.

Kepada persoalan lain, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak berhasrat untuk berperang semata-mata kerana Jho Low.

“Kita boleh berperang tetapi kita akan kalah perang dan kita tidak dapat Jho Low juga. Kita sedar bahawa kita bukan negara yang kuat, kadang-kadang orang berbuat baik kepada kita, kadang-kadang tidak,” katanya.

Semalam, Abdul Hamid melahirkan rasa kecewa dengan kurangnya bantuan dari negara tersebut kepada pihak berkuasa Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lynas: Australia mahu syarat ditarik balik

BANGKOK, 4 NOV: Kerajaan Australia berharap Malaysia akan menarik balik syarat yang dikenakan terhadap syarikat nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Gebeng, Kuantan.

Perkara itu antara yang dibangkitkan dalam rundingan antara Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Australia Scott Morrison di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di sini hari ini.

“Mereka (kerajaan Australia) berharap kita akan menarik balik syarat yang dikenakan,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan perhimpunan serantau itu di sini hari ini.

Pada 15 Ogos, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia (LPTA) mengumumkan lesen operasi Lynas telah diperbaharui selama enam bulan lagi.

Pembaharuan lesen berkenaan disertai dengan beberapa syarat utama termasuk memindahkan proses ‘Cracking and Leaching’ ke negara lain dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata Lynas perlu meningkatkan kaedah perlombongan dan pemprosesan bahan mentahnya sebelum menghantarnya ke Malaysia.

“Kalau ada penambahan proses di Australia, bahan (yang dihantar) tidak seperti yang ketika ini. Bahan mentah akan menjadi lebih bersih, “katanya.

Dr Mahathir berkata bahan nadir bumi tidak berbahaya tetapi orang masih beringat tentang “pengalaman buruk” yang melibatkan syarikat pengekstrak logam nadir bumi di Perak pada 1980-an.

“Kita telah menghantar satu pasukan pakar untuk memeriksa operasi (Lynas). Mereka melaporkan bahawa ia tidak berbahaya. Sisa itu perlu diuruskan, tetapi kita tidak boleh menghantarnya keluar kerana tiada siapa pun yang mahu. Cadangan itu adalah untuk membuang sisa di tempat yang berlainan supaya intensiti radiasi tidak ada di sana,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata sebarang langkah untuk menutup Lynas akan melibatkan kos yang tinggi dan akan menjejaskan Pelaburan Langsung Asing kerana para pelabur akan berfikir bahawa kerajaan tidak memegang pada janjinya dalam meluluskan projek.

“Lynas adalah sebuah syarikat Australia yang mempunyai pelaburan besar dalam berbilion. Kita tidak boleh meminta mereka pergi,” katanya.

-BERNAMA