Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Saringan Komuniti kesan lebih 3,000 kes positif, ramai tiada gejala

 

MORIB, 4 JUN: Seramai 3,168 daripada 87,903 individu yang menyertai Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri disyaki positif wabak.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pengesanan itu hasil saringan menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag) di 42 lokasi sejak 8 Mei sehingga semalam.

“Tumpuan utama kita antaranya untuk mengesan awal individu yang nampak sihat atau tiada gejala tetapi merupakan ‘pembawa senyap’ wabak dalam komuniti.

“Kita mahu kesan seramai mungkin `pembawa senyap’, sebab itu kita memperluas saringan di seluruh negeri,” katanya selepas meninjau Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan penyertaan lebih 100,000 penduduk di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Pendaftaran saringan percuma boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM1 juta diperuntuk teruskan program Insentif Rawatan Tibi

SHAH ALAM, 24 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi meneruskan program Insentif Rawatan Tibi pada tahun ini.

EXCO kesihatan awam berkata menerusi peruntukan itu pihaknya menyasarkan kira-kira 2,000 pesakit tibi bakal menerima rawatan.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud masih ramai dalam kalangan rakyat tidak sedar bahaya penyakit itu.

“Salah satu punca perebakan berlaku disebabkan kegagalan pesakit tibi mendapat rawatan lengkap selama sekurang-kurangnya enam bulan.

“Bagi mengekang penularan penyakit berbahaya ini, saya menyeru orang awam memanfaatkan program disediakan Kerajaan Negeri (Insentif Rawatan Tibi) dengan melakukan rawatan susulan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan juga perlu berusaha memperluaskan peranan Unit Kesihatan Awam.

“Mereka tidak boleh hanya fokus pemeriksaan kesihatan di premis sahaja sebaliknya perlu menganjurkan program bersifat kesedaran atau pencegahan,” katanya lagi.

Pada masa sama Dr Siti Mariah turut mengucapkan Selamat Hari Tibi Sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun.

Hari Tibi Sedunia dirai sempena memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium Tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Tujuan sambutan itu untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha kawalan dan pencegahan penyakit yang dilakukan di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Manfaatkan Saringan Komuniti percuma, sasar kadar jangkitan bawah lima peratus

PETALING, 28 FEB: Orang ramai diseru memanfaatkan setiap program Saringan Komuniti bagi mencapai kadar jangkitan Covid-19 bawah paras lima peratus di Selangor.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud mengakui bilangan individu menyertai saringan bersasar itu semakin berkurang sejak kebelakangan ini walaupun diberikan secara percuma.

“Kalau dulu, semua tanya di mana lokasi saringan yang akan dianjurkan (tetapi) sekarang mungkin kesan keyakinan masyarakat dengan adanya vaksin.

“Mereka perlu tahu bahawa untuk permulaan, vaksin diberikan kepada petugas hadapan seterusnya warga emas sebelum sampai kepada orang awam dijangka dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Indah di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata jika masyarakat mula mengambil sikap mudah terhadap kepentingan pencegahan wabak itu ia boleh menyebabkan kes Covid-19 kembali melonjak.

Sebanyak 337 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil daripada 500 yang disasarkan pada program bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

Wakil rakyat Seri Serdang menambah pihaknya akan terus memperhebatkan hebahan dari masa ke masa melalui pelbagai saluran bagi meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap program berkenaan.

“Kita mengatur program ini di empat tempat pada setiap hujung minggu. Program akan diteruskan di Seri Kembangan dan Kota Damansara minggu depan selain merancang diadakan di Hulu Langat,” katanya.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan menumpukan warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Setakat ini, program dilaksana di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Selain itu, Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang; Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam dan Dewan Serbaguna MBPJ Taman Dato’ Harun.

Categories
SELANGOR

Pemutihan penerima KISS selaras penjajaran IPR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Langkah pemutihan bagi penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sedang dijalankan Kerajaan Negeri selaras penjajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) secara keseluruhan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pelaksanaan itu termasuk penerima KISS melalui kerjasama komprehensif dengan jabatan di peringkat persekutuan yang mempunyai sistem pangkalan data.

Menurutnya, sistem berkenaan boleh dimanfaat dan dimaksimakan penggunaan bagi tujuan verifikasi pendapatan di peringkat Kerajaan Negeri.

“Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bersetuju membuat semakan silang senarai penerima KISS sedia ada dengan sistem di bawah kendalian ICU JPM yang merupakan sebuah Pangkalan Data Kemiskinan Nasional iaitu Sistem eKasih.

“Manakala, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga bersetuju membuat semakan silang secara holistik bukan sahaja melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) tetapi juga semakan silang bersama 17 agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Mariah yang juga ADN Seri Serdang menjelaskan, pemberian KISS masih diteruskan seperti biasa dan tiada isu pembekuan sementara kad KISS bagi mengatasi masalah teknikal itu.

Katanya, langkah susulan akan dibuat dengan pemakluman melalui surat kepada penerima KISS termasuk taklimat kepada semua pejabat ADN selepas pihaknya memperoleh hasil semakan silang daripada agensi berkaitan.

“Langkah pemutihan ini juga dimuktamadkan pada sesi Retreat EXCO Kerajaan Negeri yang bakal diadakan, pada 31 Mac hingga 2 April ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Fokus agenda pembangunan OKU

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelan pembangunan yang memfokuskan kepada agenda berkebajikan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri itu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tumpuan kebajikan golongan itu wajar ditingkatkan.

“Setakat pemerhatian saya berkenaan kebajikan golongan OKU ini, masih ada beberapa penaikan taraf yang harus dipandang serius bagi memelihara hak-hak yang digendong melalui undang-undang.

“Antara yang paling jelas adalah hak OKU terhadap akses kepada kemudahan pengangkutan awam.

“Golongan OKU ini merupakan golongan yang istimewa yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

“Saya ingin tegaskan Kerajaan Negeri komited menjalankan usaha-usaha menjaga kebajikan dan hak golongan OKU di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Iftar Ramadan bersama Insan Istimewa di Hotel Carlton Holiday & Suites, Seksyen 13 Shah Alam, pada 10 Jun lalu.

Program berkenaan dianjurkan Kelab Kecacatan Fizikal Selangor & Selangor Disable Care (KKFS) dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor.

Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri konsisten memainkan peranan utama bagi menjayakan aspirasi menjaga kebajikan insan-insan istimewa ini terumata golongan OKU di seluruh Negeri Selangor.

Beliau berkata, ia direalisasikan melalui aspek meningkatkan aksesibiliti OKU agar persekitaran dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri mampu menyokong kehidupan golongan OKU.

“Hal ini bertujuan untuk membantu OKU meningkatkan keupayaan dan potensi diri serta dapat berdikari dalam mengharungi kehidupan.

“Selain itu, kerajaan kini juga telah menyediakan perkhidmatan pembiayaan sepenuhnya kepada OKU cacat penglihatan yang perlu mendapatkan White Cane dan Mesin Braille.

“Inisiatif seperti ini akan diteruskan lagi dari masa ke masa dan diharapkan menjelang 2020 matlamat peningkatan kemudahan infrastruktur bagi golongan OKU di Negeri ini akan tercapai,” katanya.

Categories
SELANGOR

75 Waris Terima Bantuan SMUE Di DUN Sri Muda, Kota Raja

KLANG, 12 MEI : Skim Mesra Usia Emas (SMUE) hari ini menyampaikan bantuan RM1,500 kepada 75 waris warga emas bagi DUN Sri Muda dan Kota Raja.

Rata-rata waris yang hadir ditemui ternyata gembira dan mengucapkan terima kasih di atas usaha kerajaan negeri.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, SMUE ini adalah skim khairat kematian sebagai usaha menghargai warga emas tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka.

“Tujuan SMUE ini adalah untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan beberapa perkara seperti proses pengurusan jenazah serta pengkebumian dan membantu melangsaikan hutang si mati,” katanya ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Bayaran Manfaat SMUE Fasa Kedua di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) Jalan Kebun hari ini.

Katanya, SMUE bertujuan memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bemilai RM2,500 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang mendaftar secara rasmi dengan urus setia SMUE.

Sejumlah RM1,500 seorang akan diberi selepas kematian, manakala RM1,000 akan diberikan setelah selesai proses pengebumian dan waris boleh menuntut di Pejabat Khidmat DUN di setiap kawasan.

SMUE dilancarkan pada Ogos 2008 dan merupakan salah satu daripada tujuh agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kini sudah memasuki Fasa Kedua.

Selain itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang turut hadir berkata, kerajaan negeri ingin mengembalikan hasil yang diperolehi oleh negeri kembali kepada rakyatnya.

Shuhaimi turut menasihati waris si mati supaya menggunakan wang yang diperolehi daripada SMUE itu untuk kebajikan dan manfaat kepada si mati serta tidak sesekali menyalahgunakan wang berkenaan.

Sehubungan itu, semua warga emas yang belum menikmatinya hendaklah mendaftar dengan berpandukan kepada syarat-syarat seperti mesti berumur 60 tahun dan ke atas, lahir dan sedang menetap di Selangor, bermastautin di Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN Salah Guna Sekolah Untuk Kempen

SHAH ALAM, 16 FEB : Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang mengambil peluang dengan menggunakan sekolah sebagai medan politik dibantah sekeras-kerasnya sebilangan besar pihak termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat kerana dilihat akan mencemarkan institusi terbabit.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi TV Selangor berkata, kenyataan itu dibuat sejurus beliau menerima aduan daripada ibu bapa menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan bahawa satu ceramah ekonomi akan diadakan (semalam) di Sekolah Menengah Sri Andalas anjuran bekas Adun-adun Selangor.

Bagaimanapun menurutnya, ia telah disalahgunakan oleh pihak terlibat dengan mengutarakan isu politik semata-mata selain turut menyampaikan mesej bahawa Umno-BN akan menawan semula kawasan Kota Raja semasa Pilihan Raya ke-13 (PRU-13) nanti.

“Mereka (penganjur) mengeluarkan satu jemputan kepada ibu bapa. Pada asalnya, ia adalah program Umno iaitu mereka hanya menjemput orang-orang tertentu sahaja. Tetapi apabila ibu bapa pakat telefon sekolah untuk bertanyakan tentang hal berkenaan, mereka membukanya kepada semua orang.

Jadi ibu bapa telah menaikkan kain rentang untuk membantah program ini dan murid-murid sekolah juga dilepaskan awal pada jam 5.45 petang. Saya difahamkan, aktiviti kokurikulum juga terpaksa dibatalkan untuk memberi laluan kepada program tersebut,” tegasnya.

Tambah Dr Mariah, ibu bapa murid-murid sekolah berkenaan telah menghubungi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk mendapat pengesahan, namun pihak PPD memaklumkan mereka tidak dimaklumkan mengenai program tersebut.

Beliau berkata, program yang dianjurkan di sekolah itu mendapat kebenaran daripada Pengetua serta turut disertai pihak PIBG dan sebilangan besar guru-guru sekolah.

Perkara ini jelas katanya, menunjukkan salah guna kuasa Pengetua kerana membenarkan program politk berlangsung tanpa kebenaran PPD, mengarahkan murid-murid untuk pulang awal sebelum tamat sesi persekolahan selain memaksa para guru untuk hadir.

“Kita akan menulis surat kepada Kementerian Pelajaran untuk mengambil tindakan kepada Pengetua kerana secara terang-terangan melanggar tugas dan membenarkan satu program politik dijalankan di sekolah,” ujarnya.

Difahamkan, program politik tersebut dihadiri oleh Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Datuk Dr Abu Hassan Omar, Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd Nor dan beberapa pemimpin tempatan lain.