Categories
EXCO SELANGOR

Selangor sedia bantu golongan terpinggir dapat vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan Selangor sedia membantu golongan terpinggir seperti pelarian menerima suntikan vaksin Covid-19, kata EXCO kesihatan.

Namun Dr Siti Mariah Mahmud berkata bantuan itu akan dihulurkan selepas kesemua penduduk di negeri ini menerima perlindungan berkenaan.

Jelasnya, golongan dibawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu juga perlu diberi perhatian ekoran mereka berada secara bebas dalam komuniti.

Dr Siti Mariah meninjau Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang pada 18 Februari 2021. Foto: Facebook Siti Mariah

“Jika kita tak berbuat apa-apa terhadap mereka, kemungkinan besar jangkitan Covid-19 boleh kembali merebak dalam komuniti.

“Namun pertimbangan itu akan dilakukan selepas rakyat kita menerima vaksin terlebih dahulu,” katanya selepas Program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri juga akan memantau pemberian vaksin terhadap pekerja dari sektor kilang dan pembinaan.

Menurutnya, sektor berkenaan mempunyai jumlah pekerja yang ramai di negeri ini berikutan ia antara penyumbang tertinggi sektor ekonomi.

“Disebabkan itu, apabila berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka, jumlah perebakan adalah lebih cepat dan tinggi.

“Namun pemberian vaksin ini bukan percuma, sebaliknya jika ia membabitkan warga asing, majikan perlu membayar,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Kerajaan Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha itu disambut baik Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasrat kerajaan negeri itu bagi meringankan beban Kerajaan Persekutuan dalam urusan pembelian vaksin.

Categories
EXCO SELANGOR

Penerima Skim Insurans Peduli Sihat wajib jalani saringan

SHAH ALAM, 13 JAN: Penerima Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) wajib jalani saringan kesihatan bagi membolehkan mereka layak mendapat manfaat tahun hadapan.

EXCO kesihatan berkata saringan boleh dibuat sepanjang tahun ini di klinik panel Selcare Management Sdn Bhd (Selcare).

Dr Siti Mariah berkata bagi memudahkan orang ramai, Selcare juga bakal mewujudkan klinik bergerak dengan kerjasama Ahli Dewan Negeri.

“Mereka yang gagal jalani saringan tidak layak menyambung polisi ini pada tahun depan. Hanya boleh menerima rawatan pada tahun ini sahaja.

“Dengan membuat saringan, data kesihatan dikumpul sekali gus memudahkan Kerajaan Selangor mengenal pasti penyakit golongan berpendapatan rendah (B40),” kata Dr Siti Mariah pada sidang media semalam.

Menurutnya, pemegang polisi juga disaran menggunakan manfaat SIPS termasuk mengambil suntikan vaksin dan tidak hanya untuk rawatan pesakit luar.

“Vaksin Covid-19 juga boleh diambil menggunakan SIPS ini selepas diluluskan. Selain itu, pemegang polisi boleh mendapat rawatan untuk 36 sakit kritikal dan tidak berjangkit.

“Mereka yang menghidap sakit jantung secara automatik dapat manfaat Skim Peduli Sihat Jantung dibawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor,” katanya.

SIPS merupakan bantuan kesihatan kepada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 dengan memperuntukkan bantuan pengebumian sebanyak RM1,000, perlindungan kemalangan diri (RM5,000), perlindungan penyakit kritikal (RM5,000) dan insurans nyawa (RM5,000).

 

 

Categories
EXCO SELANGOR

Waspada jangkitan malaria, tingkat pencegahan

SHAH ALAM, 30 JUN: Masyarakat dinasihatkan terus mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengurangkan risiko jangkitan malaria walaupun tiada kes baharu dicatatkan, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai perlu mengelakkan aktiviti luar pada waktu malam namun sekiranya perlu disarankan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang.

“Setakat ini tiada kes baharu tetapi mengambil langkah pencegahan lebih baik kerana kita bimbang ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, kes malaria turut sama meningkat. Itu yang kita tidak mahu,” kata beliau ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut menasihatkan individu yang mempunyai simptom demam, sejuk dan menggigil juga perlu ke pusat kesihatan bagi mendapatkan rawatan susulan.

Baru-baru ini, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat mengesan 14 kes malaria membabitkan 13 warga asing dan seorang rakyat tempatan di Ampang.

Jangkitan itu berpunca daripada seorang pekerja Indonesia di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Klang yang mendapat jangkitan dari negara asalnya.

Categories
EXCO SELANGOR

Denggi: 22,180 kes libatkan 23 korban, pencegahan perlu dilaksana

SHAH ALAM, 18 APRIL: Rakyat perlu melaksanakan langkah pencegahan denggi apabila sejak Januari hingga 12 April tahun ini terdapat 22,180 kes penyakit itu melibatkan 23 kematian, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai perlu melakukan pembersihan di premis dengan menghapuskan bekas air bertakung yang menjadi tempat nyamuk membiak.

Katanya, langkah lain adalah semburan aerosol bagi membunuh nyamuk aedes di dalam kawasan rumah, memakai krim perlindungan dan meletakkan ubat jentik-jentik di tempat berisiko.

“Diharapkan kerjasama menyeluruh masyarakat membantu mengurangkan kes denggi dan mematuhi segala arahan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi Covid-19,” katanya.

Dr Mariah berkata lokasi wabak tertinggi denggi setakat ini adalah di Petaling dengan 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709), manakala Sabak Bernam paling rendah iaitu hanya 69 kes.

Categories
EXCO SELANGOR

Jelajah Karnival 3W buka tirai, tampil kelainan

KLANG, 29 FEB: Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) membuka tirai jelajahnya pada tahun ini dengan tema Hari Barah Sedunia dan Kesedaran Pusat Jagaan Berdaftar Bagi Kanak-kanak di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas di sini.

EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pada tahun ini beberapa penambahbaikan dalam Karnival 3W iaitu program pelepasan kayuhan santai, senaman warga emas dan bual bicara santai daripada beberapa moderator berpengalaman.

“Selain itu, kita juga tidak lagi membuat cabutan bertuah tetapi ia digantikan dengan program lebih menjurus kepada keilmuan iaitu sesi soal jawab bersesuaian dengan tema hari terbabit. Siapa jawab soalan maka dapatlah hadiah,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Norasyikin Md Salleh, 32, berkata dia memuji Kerajaan Negeri dalam menyediakan karnival yang memanfaatkan rakyat dan sesuai untuk seisi keluarga.

“Saya tahu karnival ini menerusi perkongsian daripada rakan-rakan di kumpulan WhatsApp, walaupun cuaca agak panas hari ini tetapi ia tidak menghalang saya untuk bawa keluarga ke sini. Selain boleh buat saringan awal barah, anak-anak juga dapat menyertai aktiviti menarik seperti mewarna,” katanya.

Farah Farhana Abd Kadir, 42, berkata selepas berkunjung ke beberapa gerai maklumat berkaitan barah, dia mempunyai kesedaran untuk lakukan saringan awal dan bercadang mahu membuat pemeriksaan mamogram dalam masa terdekat ini.

Sependapat juga dengan J Sharmawaty, 35, berkata dia akan uar-uarkan kepada keluarga dan kenalan berkenaan pentingnya saringan awal barah dan wanita jangan takut untuk membuat pemeriksaan.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 2,000 jalani rawatan tibi melalui bantuan RM800

KLANG, 29 FEB: Lebih 2,000 pesakit tuberkulosis (tibi) kini menjalani rawatan penuh selama enam bulan melalui insentif Kerajaan Selangor dengan RM800 seorang, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2020 bagi mendapatkan rawatan penyakit terbabit.

Katanya, beliau menggalakkan orang ramai ambil peluang ini bagi memastikan kesihatan orang sekeliling terpelihara kerana tibi mampu merebak.

“Kematian berpunca tibi amat tinggi jumlahnya jika dibandingkan denggi tetapi kematiannya bukan dalam kadar segera, ia berlaku secara perlahan-lahan. Sebab itu pentingnya rawatan dari awal,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Insentif itu bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung selain memastikan pesakit melengkapkan semua sesi rawatan di hospital.

Pesakit boleh mendapatkan borang permohonan insentif itu di hospital dan klinik kerajaan atau pusat khidmat masyarakat.

Bayaran insentif dibuat menerusi tiga transaksi iaitu RM200 bagi dua bulan pertama, RM200 (dua bulan seterusnya) dan RM400 sehingga selesai rawatan.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Isi rumah RM3,000 sebulan dapat bantuan kesihatan

SHAH ALAM, 19 FEB: Bantuan Sihat Selangor kini dibuka kepada penduduk berpendapatan isi rumah RM3,000 sebulan ke bawah serta pemastautin tinggal lebih 10 tahun di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu menawarkan bantuan kewangan dialisis buah pinggang, katarak mata, pembedahan kecil, kaki palsu, peralatan dan rawatan lain di hospital kerajaan.

“Orang ramai boleh membuat permohonan online di http://bantuansihat.selangor.gov.my sebelum 30 September 2020,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Sementara itu EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak RM5 juta diperuntukkan menerusi bantuan itu pada tahun ini.

Katanya bagi pesakit dialisis, penerima perlu membuat rawatan terlebih dahulu dan kemudiannya membuat tuntutan setelah menerima bil daripada institusi perubatan.

“Pada kali ini, kita turut memperuntukkan khusus buat pesakit barah, ini kerana kerajaan prihatin terhadap masalah rakyat terutama berkaitan kesihatan,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Sasar 1,000 guru ANIS pada masa akan datang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN: Kerajaan Negeri mensasarkan mahu menambah 1,000 lagi bilangan Anak Istimewa Selangor (ANIS) ekoran sambutan yang diterima.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pada masa kini bilangan guru ANIS adalah sejumlah 75 orang yang lahir daripada projek pilot yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, tahun lalu.

“Hasil daripada projek pilot tahun lalu, Kerajaan Negeri melihat impak yang diterima amat positif dan kita komited mahu melahirkan lebih ramai guru ANIS untuk mendidik anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Apabila wujudnya guru ANIS, ia mampu memberi nafas lega kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU untuk menghantar anak mereka ke Taman Asukan Kanak-Kanak (Taska), pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengkaji beberapa aspek bagi menambah bilangan kursus terhadap guru ANIS.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mewujudkan guru ANIS di beberapa Taska di setiap Dewan Undangan Negeri bertujuan mengasuh kanak-kanak OKU.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak OKU kerana terpaksa menghantar anak mereka ke Taska khas yang menelan kos tinggi.

Hasil daripada projek pilot dilaksanakan tahun lalu, seramai 75 guru ANIS dalam kalangan guru Taska sekitar Selangor dipilih untuk melatih mereka bagaimana cara mengasuh dan mendidik kanak-kanak OKU.

Categories
SELANGOR

Tubuh Majlis Tindakan OKU, beri lebih tumpuan

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 17 OKT: Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai pemantau dan pemikir dalam usaha memperkasakan golongan berkenaan secara komprehensif.

EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Majlis Tindakan OKU itu terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), badan bukan kerajaan (NGO), pihak kerajaan dan jawatankuasa kesihatan dan pendidikan.

Katanya, bermula tahun depan, Kerajaan Negeri akan merencanakan dan memberi tumpuan lebih kepada golongan berkenaan.

“Kita menjangkakan dalam tempoh lima tahun ini, golongan OKU ini dapat diperkasakan secara menyeluruh bagi membantu mereka menjalani kehidupan seperti orang biasa.

“Kerajaan Negeri mahu golongan OKU ini tidak kira bagaimana kategorinya diberi perhatian dari lahir, kanak-kanak, remaja, belia dan warga emas.

“Tumpuan ini dari segi pendidikan awal, kesihatan dan pekerjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program ‘Roadtour Early Intervention (EIP) di RHR Hotel Uniten, di sini.

Sementara itu, Pengarah JKM Selangor, Mohammad Hanafi Maulud berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu.

Katanya, penubuhan Majlis Tindakan OKU itu juga mereformasikan era golongan OKU dari segi dasar, pelan dan aktiviti bakal dilaksanakan.

“Saya percaya majlis ini dapat merangka dasar dan pelan holistik dari segi kategori OKU dan aspek golongan ini.

“Kita akan memastikan golongan ini terus diperkasa dengan mengamalkan dasar ‘dari mana ke mana’, iaitu mengambil penekanan dari bayi hingga warga emas,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Suri rumah main peranan penting, tak perlu rendah diri

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 30 SEPT: Suri rumah yang bekerja di rumah seperti pengasuh tidak perlu merendah diri kerana golongan itu memberi sumbangan yang besar untuk membina keluarga, masyarakat dan negara.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, golongan suri rumah juga layak mendapat pengiktirafan kerajaan dengan menyediakan pelbagai insentif untuk mereka.

“Penghargaan kepada puan-puan yang menjaga anak-anak selama ini tidak diberikan pengiktirafan mana-mana pihak sedangkan kita semua tahu suri rumah adalah tenaga pembangunan negara yang sangat besar.

“Antaranya pendapatan mereka tidak termasuk dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau produktiviti negara dan sebab itu kami pimpinan wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) memang memikirkan bagaimana cara menghargai peranan besar mereka mendidik anak sendiri dan anak wanita lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian program Kursus Instensif perkembangan kanak-kanak (KIPK) di Hotel Crystal Crown di sini, hari ini.

Siti Mariah berkata, menyedari hal ini, Kerajaan Persekutuan dan Negeri berusaha mengiktirafan kepada golongan suri rumah dengan mengadakan pelbagai inisiatif kepada golongan itu.

Katanya, antara inisiatif terbabit dengan melancarkan skim i-Suri di mana merupakan peringkat pertama untuk kerajaan menyediakan jaringan keselamatan kepada wanita yang bekerja di rumah.

Katanya lagi, selain i-Suri, Kerajaan Negeri pula menyediakan insentif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Program Kursus Instensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK).

KIPK merupakan program melahirkan suri rumah yang bekerja sebagai pengasuh terlatih di rumah masing-masing dengan lebih selamat dan teratur.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Selangor biaya 810 pengasuh di rumah jalani kursus

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 30 SEPT: Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan terbaik bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat di Selangor khasnya bagi golongan keluarga berpendapatan rendah.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, antara langkah diambil Kerajaan Negeri dengan mengadakan Program Kursus Instensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK).

“Sejak 2013 hingga Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM652,000 untuk membiayai 810 orang suri rumah di Selangor menyertai program untuk menjadikan mereka sebagai pengasuh lebih terlatih dan selamat.

“Kursus akan diteruskan pada tahun akan datang dan akan mensasarkan wanita yang menerima insentif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) iaitu mereka yang berpendapatan rendah di mana kita ada program yang dinamakan ‘Hope From Home’.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas merasmikan program Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) di Hotel Crystal Crown di sini, hari ini.

Siti Mariah berkata, selain membantu golongan suri rumah menjana pendapatan, program ini juga mampu menyediakan lebih banyak pusat asuhan di rumah sekaligus memberi kemudahan untuk ibu bapa bekerja meninggalkan anak masing-masing di pusat asuhan yang terlatih, teratur dan selamat.

Sementara itu Ketua Unit Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), Arba’ain Abdul Rahman pula berkata, permintaan suri rumah untuk menyertai kursus selama tiga hari itu didapati semakin bertambah.

Katanya, keadaan ini menyebabkan RMSB mengambil keputusan menambah sesi kursus ini daripada empat sesi pada tahun sebelumnya kepada lapan sesi bagi tahun ini.

“Kita telah mengadakan 25 sesi dan pada tahun sebelumnya kita buat empat sesi dengan seramai 30 peserta setiap sesi tetapi disebabkan permintaan tinggi kita tambah lapan sesi tahun ini dengan jumlah peserta seramai 40 orang setiap sesi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri fokus pembangunan potensi kanak-kanak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pembangunan potensi dan jati diri kanak-kanak, antara fokus utama Kerajaan Negeri dalam melahirkan pelapis kepada pemimpin semua peringkat di masa hadapan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, agenda itu selaras memastikan kebejatan sosial dalam kalangan kanak-kanak dapat dikurangkan, terutama di kawasan bandar.

“Pencorakan disiplin yang baik dan kepimpinan berhemah harus dipraktikkan secara berterusan supaya ia menjadi amalan serta budaya, sekali gus diikuti rakan sebaya juga masyarakat sekeliling.

“Selain itu, semangat kesukarelawan juga perlu diterapkan sejak kecil supaya setiap rakyat di negara ini khususnya, dapat menyumbang semula kepada masyarakat dan membantu mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Asas Kepimpinan dan Kesukarelawanan Selangor Teen 2018, di Hotel D’Palma, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Siti Mariah berkata, ia merupakan program kelolaan Jawatankuasa Tetap Kebajikan Selangor, melalui usahasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor sebagai inisiatif memantapkan ‘Selangor Teen Volunteers’.

Katanya, program terbabit diwujudkan sejak 2016 bagi melahirkan pemimpin berkualiti dan memberi pendedahan berkaitan peranan serta perancangan projek kesukarelawanan.

“Justeru, bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan Negeri bersetuju dan menyokong sepenuhnya penganjuran kursus asas kepimpinan dan kesukarelawanan bagi memantapkan jati diri kanak-kanak.

“Jadi, proses untuk memberi kesedaran kepada rakyat supaya terlibat dalam program sukarelawan ini adalah satu visi jangka masa panjang.

“Kita mahu melahirkan ramai sukarelawan di Selangor, yang sanggup bekerja dengan seikhlas hati dan menjadikan ia sebagai ibadah,” katanya.

Terdahulu, hadir sama menjayakan majlis, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Hanafi Maulud dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak serta Perintah Khidmat Masyarakat, Sunarni Mastury.

Seramai 62 peserta daripada Pusat Aktiviti Kanak-Kanak seluruh Selangor, menjayakan kursus yang berlangsung selama dua hari bermula dari 11 hingga 12 Ogos itu.