Categories
AGENDA NASIONAL

MB lancar novel kedua Dr Maszlee di Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 4 DIS: Dato’ Menteri Besar hari ini melancarkan empat naskhah buku termasuk tulisan mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Pesta Buku Selangor 2021.

Selain buku bertajuk Helang Albania, Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan buku hasil karya Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib (Herba Selangor: Warisan Rahsia Bonda), Dinsman atau Shamsudin Osman (Ketika Aku Berfikir-fikir Akan Kematian) serta Fudzail (Kumpulan Cerpen Fudzail 50!).

Sementara itu Maszlee berkata Helang Albania merupakan novel keduanya yang pernah diterbitkan pada 2016 dengan judul Shqiptar di Champs Elysees.

Jelasnya, novel setebal 432 muka surat itu ditulis ketika beliau berada di United Kingdom dan berkisar tentang kehidupan Islam seorang warga Albaniah pada era 1990-an.

“Ada jalan cerita ini berdasarkan pengalaman rakan-rakan dari negara luar antaranya Perancis, Rusia dan Albania. Jadi saya mahu membawa pembaca melihat keadaan di luar.

“Di pesta ini empat lagi karya saya bakal dilancarkan termasuk komik berjudul #Undi18. Tiga buku lain bertajuk Memori Bukan Memoir, Be Eshme Elohim dan Generasi Yang Hilang,” katanya.

Ahli parlimen Simpang Renggam berkata beliau gembira melihat pesta mendapat sambutan menggalakkan sekali gus membuktikan rakyat masih minat membaca.

“Tahap pembacaan masih tinggi. Harap program ini diadakan lebih kerap supaya dapat merapatkan masyarakat dengan buku,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Maszlee dilantik timbalan pengerusi perpustakaan awam Selangor

SHAH ALAM, 28 OKT: Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilantik sebagai timbalan pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Ahli parlimen Simpang Renggam itu berbesar hati menerima kepercayaan Kerajaan Selangor dan akan memberi sepenuh daya menggalas amanah terbabit.

Menyifatkan PPAS yang diterajui Pustaka Raja Tun Uda sebagai rangkaian perpustakaan paling aktif dan kreatif, Maszlee ia juga memiliki ciri moden.

Selain itu, katanya, ia mesra orang kelainan upaya, keluarga dan anak muda cetusan idea Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Saya yakin dengan naungan dan sokongan berterusan DYMM Tuanku Sultan, isu pendidikan dan usaha memandaikan rakyat Selangor akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selaku pengerusi PPAS dan juga pendukung kuat pendidikan dan industri perbukuan di Selangor,” katanya di Facebook hari ini.

Selain bekas ahli akademik, Dr Maszlee juga adalah penulis buku antaranya Memori Bukan Memoir, Orkes Masyarakat Manusiawi , Hamas Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis, dan Be Eshme Elohim.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangkang kecewa jawapan menteri, timbalan tidak jelas

SHAH ALAM, 30 SEPT: Wakil rakyat pembangkang menegur menteri dan timbalan yang memberi jawapan tidak jelas berhubung beberapa isu dalam sidang Parlimen hari ini.

Kecewa dengan perkara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata menteri sepatutnya memberi jawapan bertulis jika tidak boleh menerangkan secara lisan.

Teguran itu diberikan ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas-PAS) berhubung ekonomi digital.

“Kami habiskan masa berpuluh-puluh minit mendengar dan melihat tetapi tidak faham jawapan,” katanya yang bangun mencelah.

Sebelum itu, Maszlee juga kecewa dengan jawapan Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang dibangkitkan beberapa wakil rakyat.

Teguran mantan menteri pendidikan itu dipersetujui Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta semua menteri dan timbalan memberi jawapan jelas serta mudah difahami.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tubuh majlis tindakan khas, rangka rancangan pendidikan pasca Covid-19

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan dicadang menubuhkan majlis tindakan khas yang berperanan merangka rancangan pendidikan untuk pasca Covid-19.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata pasukan itu harus dianggotai tokoh berpengalaman dan pakar dalam bidang pendidikan, teknologi dan ekonomi.

Beliau yang juga bekas menteri pendidikan menggesa kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kecerdasan buatan (AI) dan data raya dalam memulihkan semula sektor pelajaran yang terjejas teruk akibat penularan wabak.

“Bagi mengembalikan kecemerlangan pengajian tinggi pula, pengurusannya harus diletak di bawah ahli akademik dan profesional tanpa campur tangan agenda politik.

“Ini boleh dilakukan melalui Majlis Pendidikan Tinggi Negara selaras Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996, pasukan berkenaan ditubuh semula pada 2019 namun nampak terbantut bila perubahan kerajaan,” kata wakil rakyat Bebas itu ketika berbahas pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dr Maszlee turut membangkitkan usaha memartabatkan bahasa Melayu yang dilihat semakin pudar sepanjang 18 bulan pemerintahan Perikatan Nasional dan kini kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya hendak tanya apa berlaku kepada Dekad Bahasa Kebangsaan yang dilancar pada 2019? Kita hendak bertanya juga di mana taring Dewan Bahasa dan Pustaka?.

“Bagaimana nasib sasterawan? Apakah sumbangan kepada mereka secara bulanan tetap diberi? Bagaimana program mereka di universiti dan adakah karya mereka dicetak dalam edisi mampu milik?,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Maszlee sifatkan keputusan ‘pulang’ jawatan ada hikmah

KLUANG, 4 JAN: Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik menyifatkan keputusan beliau ‘memulangkan’ jawatan Menteri Pendidikan, dua hari lepas, mempunyai hikmah tersendiri buat dirinya dan penduduk Parlimen Simpang Renggam.

Berucap pada Program Bersama Penduduk yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Simpang Renggam, di sini hari ini, Maszlee berkata beliau tidak berasa sedih mahupun marah dengan keputusan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihatinya ‘memulangkan’ jawatan itu.

“Saya tidak sedih, tidak marah. Yakin ada hikmah di sebalik perkara ini…paling besar saya dapat kembali berkhidmat buat rakyat Simpang Renggam,” katanya.

Menurut Maszlee, beliau berterima kasih kepada perdana menteri kerana memberi peluang selama 20 bulan untuk membuktikan dirinya mampu menggalas tanggungjawab diberikan.

Beliau turut mengakui tempoh itu merupakan kenangan manis sepanjang hidupnya yang sudah berumur 45 tahun.

Untuk pembangunan Simpang Renggam, beliau merancang memperkenalkan kad laporan bagi merekodkan pencapaian Ahli Majlis, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

Maszlee dalam pada itu turut berterima kasih atas sokongan yang diberikan masyarakat terhadap dirinya menerusi petisyen dalam talian yang mendesak agar beliau dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan.

“Saya difahamkan petisyen itu sudah hampir setengah juta, terima kasih, saya faham dan berkongsi simpati.

Saya yakin ‘tapak’ yang saya sediakan di Kementerian Pendidikan mencukupi dan pengganti saya nanti akan dapat meneruskan agenda pendidikan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Maszlee umum letak jawatan Menteri Pendidikan

SHAH ALAM, 2 JAN: Dr Maszlee Malik secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa esok.

Pengumuman itu meleraikan spekulasi yang tersebar sejak tengah hari susulan sebaran jemputan sidang media yang berlangsung sebentar tadi.

“Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebentar tadi, di atas nasihat beliau bagi saya sebagai seorang ayahanda, seorang pemimpin dan seorang negarawan ulung.

“Di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada pepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan hati yang reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik dengan ini memulangkan semula jawatan saya sebagai Menteri Pendidikan Malaysia kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2020,” katanya.

Dr Maszlee berkata sepanjang 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beliau yakin sudah meletakkan asas dan hala tuju jelas dengan slogan ‘Pendidikan Untuk Semua’ walaupun dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama isu Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma.

Katanya sejak 2018, KPM bersikap telus dengan inisiatif dan progres dalam usaha mereformasi pendidikan.

“KPM menjadi kementerian pertama yang membentangkan laporan 100 hari Pakatan Harapan, kemudian kad laporan prestasi setahun (Jun 2018 – Jun 2019) dan kad laporan untuk 2019. Trend ini diikuti oleh kementerian lain.

“Tahun 2019 membuktikan beberapa inisiatif yang kita perkenalkan akhirnya membuahkan hasil. Hampir 90 peratus projek sekolah daif yang kita usahakan, siap lebih awal,” katanya.

Dr Maszlee yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada 21 Mei 2018 merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi BERSATU.

Categories
AGENDA NASIONAL

Maszlee: 421 program khas integrasi bakal dibuka tahun ini

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Sebanyak 421 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bakal dibuka tahun ini yang akan memberi manfaat kepada hampir 7,600 orang lagi Murid Berkeperluan Khas (MBK), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata pelaksanaan PPKI itu yang membabitkan 1,109 buah kelas juga bakal memberikan akses pendidikan yang lebih mudah serta berhampiran kawasan kediaman golongan pelajar itu.

“Peluasan (program) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM54 juta adalah bagi menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas supaya mereka mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.

“Dari segi penyelenggaraan pula, bagi tahun ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi menyelenggara 320 buah sekolah lagi dan jumlah enrolmen juga telah meningkat seiring dengan pembangunan infrastruktur MBK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan bersempena hari pertama sesi persekolahan tahun ini di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata pada 2019, berlaku peningkatan sebanyak 88,419 orang MBK mendaftar di sekolah yang menawarkan pendidikan khas berbanding 83,598 orang pada 2018.

“Pertambahan ini menunjukkan peningkatan positif terhadap Dasar Sifar Penolakan yang telah dilaksanakan oleh KPM khusus untuk golongan kurang upaya yang juga merupakan aset kepada negara,” katanya.

Selain itu, Maszlee berkata sebanyak 75 sekolah mengambil langkah positif dengan membuka PPKI menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang menawarkan PPKI daripada peringkat prasekolah ke peringkat menengah di negara ini adalah sebanyak 2,418 buah.

Beliau berkata pendidikan bagi MBK merupakan inisiatif yang menjadi keutamaan kementerian selaras dengan Dasar Sifar Penolakan yang diumumkan baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas berhubung program pertukaran guru secara ‘suka sama suka’ yang menjadi antara lima perancangan terbesar KPM pada tahun ini, Maszlee berkata ia bakal dilaksanakan dengan lebih tersusun melalui aplikasi dalam talian

“Pada tahun 2020 dan tahun akan datang sistem pertukaran guru akan lebih tersusun dan ia akan dilaksanakan berdasarkan sistem digital. KPM akan memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya,“ katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jadi penyumbang utama pengetahuan dalam kalangan negara Islam

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Malaysia berharap dapat menjadi penyumbang utama kepada pengetahuan dan inovasi baharu untuk masyarakat global khususnya dalam kalangan negara Islam.

Dalam memimpin pembentukan agenda progresif untuk dunia Islam, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, Malaysia berusaha menggabungkan pengetahuan Islam dan duniawi seperti yang diterajui Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin.

“Dalam dunia global yang sangat berdaya saing, Malaysia perlu mengukuhkan lagi dan memanfaatkan modal insan dan intelektualnya, dan universiti adalah pusat kepada matlamat ini,” katanya dalam sesi khas ‘Mengapa Pendidikan Kunci kepada Pembangunan Negara’ pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 di sini hari ini.

Pada sesi itu, Maszlee menekankan idea ‘pendidikan berorientasikan pembaharuan’ yang merujuk kepada perubahan berterusan dalam konteks bagaimana orang melihat dan mendekati pengetahuan yang seharusnya menjadi hasrat ke arah mencapai kemajuan dalam dunia Islam.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk meletakkan ilmu duniawi dan agama pada kedudukan yang sama, dan kedua-duanya perlu disemai di institusi berkenaan. Dalam konteks ini, Maszlee berkata, etika mestilah menjadi kerangka panduan pengajaran, pembelajaran atau penyelidikan kerana ia adalah standard yang membezakan antara ilmu dan tindakan yang betul dan salah.

“Dengan kemajuan Revolusi Perindustrian 4.0 dalam sektor pendidikan, mencetuskan apa yang dinamakan sebagai ‘Pendidikan 4.0’, etika menjadi lebih penting dan kita perlu melatih pendidik masa hadapan dan menggunakan teknologi ke arah hasil yang positif untuk pembangunan manusia dan bukan untuk usaha yang mementingkan diri sendiri,” katanya.

Maszlee berkata selain daripada keperluan mereka bentuk semula kurikulum dan mencari kandungan digital terbaik, terdapat juga keperluan untuk mencipta kaedah pedagogi dinamik kerana generasi digital mempunyai toleransi yang rendah terhadap pendidik yang membosankan.

Dalam hal ini, beliau berkata sekolah pada masa hadapan perlu direka bukan sahaja untuk pembelajaran tetapi juga berfikir, kerana sekolah dan institusi pendidikan tinggi pada masa kini dijangka menghasilkan bakat-bakat yang boleh berfikir, membuat penemuan saintifik baharu, mencari penyelesaian yang lebih mencukupi terhadap masalah dunia yang mendesak, menyesuaikan diri dengan perubahan dan mengekalkan kesempurnaan dalam era serba pantas ini.

Beliau menambah terdapat keperluan segera untuk meningkatkan dan memperbaiki kekuatan penyelidikan sedia ada dan memperhebat penyelidikan pelbagai disiplin dan transdisiplin sejajar dengan keutamaan penyelidikan nasional dan sempadan teknologi masa hadapan.

Usaha perlu ditumpukan untuk meningkatkan penyelidikan terjemahan, pemindahan teknologi dan pengetahuan antara universiti, masyarakat dan industri untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, antara lain dengan mengintegrasikan projek kemasyarakatan kepada aktiviti penyelidikan untuk meluaskan kesan penglibatan komuniti.

“Sehingga kini, Malaysia telah bekerjasama dalam pelbagai bidang dengan banyak universiti dari Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Iran, Turki dan Qatar. Malah, antara 2016 dan 2018, universiti Malaysia dan Iran bersama-sama menghasilkan 2,962 penerbitan,” katanya, memetik keperluan universiti di negara yang kebanyakannya Islam untuk mengukuhkan kerjasama penyelidikan.

Sementara itu, penceramah dari Qatar Dr Hend Abd Rahman Al-Muftah mencadangkan negara Islam untuk bekerjasama dalam pembangunan sains dan teknologi ke arah membetulkan stereotaip Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan.

Hend yang juga Ahli Majlis Syura Qatar berkata ini dapat dicapai dengan kecemerlangan dari segi infrastruktur pendidikan Islam dan belia yang mempunyai bakat cerah yang boleh menjadi sebahagian daripada masa hadapan yang hebat.

Seorang lagi penceramah, Rabee Hamu menegaskan pendidikan tidak semestinya dilihat sebagai sebahagian daripada peruntukan belanjawan tetapi pelaburan untuk masa hadapan generasi muda.

Ahli jawatankuasa pemandu Sidang Kemuncak KL itu berkata pendidikan perlu menjadi kepentingan bagi negara Islam dan sekiranya kanak-kanak tidak dapat belajar dengan baik, mereka akan tertinggal dengan dunia lain dan kemudian mendapati mereka tidak bersedia untuk menghadapi pasaran global.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

KLUANG, 15 DIS: Kementerian Pendidikan bersiap sedia untuk memastikan sesi pembukaan persekolahan bulan hadapan tidak terjejas dengan bencana banjir.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ini kerana kementerian mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi situasi itu jika banjir berlarutan sehingga Januari.

“Pejabat Pendidikan Daerah memiliki SOP mereka sendiri dalam menghadapi banjir. Mereka bersiap siaga setiap tahun. Sekiranya terjadi, kita akan ikut SOP biasa,” katanya kepada pemberita pada program Kembali ke Sekolah dan pelancaran Telefon Awam Baharu Helogang di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam di sini, hari ini.

Maszlee mengulas mengenai persediaan kementerian untuk menghadapi musim banjir di Johor dan negeri lain yang dijangka berlarutan hingga Januari.

Hampir semua daerah di negeri ini telah dilanda banjir sejak dua hari lepas, mengakibatkan lebih 4,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke 1,217 pusat pemindahan sementara. Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang.

Sementara itu, program ‘Back To School’ anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu menyediakan barangan kelengkapan persekolahan kepada 600 orang pelajar di kawasan Simpang Renggam dengan peruntukan sebanyak RM97,000.

Secara keseluruhan, sebanyak RM634,400 diperuntukkan oleh PTPTN bagi menjayakan program itu di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktifkan alumni perkasa sekolah

PUTRAJAYA, 27 NOV: Pihak sekolah perlu mengaktifkan alumni masing-masing untuk memperkasakan sekolah melalui sumbangan bekas pelajar terdiri daripada pemain industri dan golongan profesional, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Selain membantu daripada segi material, alumni juga boleh memberi motivasi dan membuka pemikiran pelajar melalui perkongsian pengalaman yang boleh mencetus cita-cita dan impian di jiwa murid,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta di sini hari ini, Maszlee berkata infrastruktur sekolah yang sempurna melalui sokongan sumbangan pihak industri dan swasta, juga menyumbang kepada usaha menghasilkan kemenjadian murid yang lebih baik.

Kementerian turut mengalu-alukan sektor korporat untuk membiayai aktiviti kokurikulum yang berkaitan dengan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta yang berhubung kait dengan Revolusi Industri 4.0, katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila pegawai kanan Kementerian Pendidikan menjadi ‘rebutan’ di kementerian lain, dengan memberikan contoh Datuk Jamil Rakon yang dahulunya timbalan ketua setiausaha kementerian itu, kini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

“KPM merupakan sebuah kementerian yang agak besar dan mencabar, bermakna sesiapa dari situ sentiasa jadi rebutan atau perhatian kementerian lain,” katanya mengulas laporan sebuah portal mengenai beberapa pegawai kanan kementerian didakwa membocorkan maklumat kerajaan dan bakal ditukar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nepal cadang perkenal Bahasa Melayu di sekolah

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Nepal bercadang memperkenalkan Bahasa Melayu (BM) sebagai mata pelajaran elektif di sekolahnya bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa itu untuk menceburi bidang profesional di Malaysia.

Perkara itu, bagaimanapun, perlu dibincangkan lebih lanjut dengan Kabinet Nepal dan pihak berkuasa relevan, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Nepal, Giriraj Mani Pokharel semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

Giriraj turut menyambut baik syor Maszlee untuk Malaysia menubuhkan institut bahasa di negara Asia Selatan itu untuk mengajar BM kepada rakyat Nepal.

Bercakap kepada Bernama semasa ditemui di luar acara Sidang Kemuncak Inovatif Dunia bagi Pendidikan 2019, yang diadakan dari 19 hingga 21 November di Doha, Qatar, Maszlee berkata:

“Terdapat kira-kira 357,000 rakyat Nepal bekerja di Malaysia ketika ini, terutamanya dalam sektor keselamatan (pengawal keselamatan), pembuatan dan hospitaliti.

“Mengajar BM dan menubuhkan institusi akan memberi manfaat apabila rakyat Nepal mahu bekerja di Malaysia kerana mereka akan mampu berkomunikasi dengan baik dan meningkatkan kerjaya mereka.”

Maszlee berkata, kedua-dua mereka turut berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan dan menambah baik pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Nepal.

“Menteri Nepal itu kagum dengan Sistem Latihan Berkembar dengan Jerman bagi TVET oleh negara kita dan bagi mereka, ia amat berguna.

“Ini kerana Nepal mahu mengeluarkan pekerja mahir untuk bekerja di luar negara dengan bayaran lebih baik dan mempunyai sijil TVET,” kata Maszlee.

Nepal sedang mencari peluang untuk menghantar pelajar mereka melanjutkan pelajaran peringkat ijazah lanjutan di Malaysia dan menjalin kerjasama dengan universiti-universiti di Malaysia.

Giriraj turut mengundang Maszlee untuk melawat Nepal bersempena dengan Tahun Melawat Nepal 2020 dan menghadiri Persidangan Kecerdasan Buatan di Kathmandu tahun depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia bersedia untuk data raya, AI dalam pendidikan

DOHA, 21 NOV: Malaysia berada pada landasan yang betul dalam menggunakan data raya dan kecerdasan buatan (AI) untuk faedah kanak-kanak terutamanya bagi memastikan kerjaya masa depan mereka serta mengelakkan ketidakpadanan kemahiran dan bakat.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan ia memenuhi objektif.

Beliau berkata, Digital Making Hub sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah untuk memudahkan pelajar dan guru dalam aktiviti membuat digital, untuk memberi latihan kepada guru.

“Dan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak kita tentang pentingnya menguasai alat digital,” katanya pada Sesi Meja Bulat Peringkat Menteri: Pembuatan dan Pelaksanaan Dasar Yang Tangkas di sini, semalam.

Mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan antarabangsa dan pihak berkepentingan peringkat tinggi yang terlibat dalam tadbir urus pendidikan bersempena Sidang Kemuncak Inovatif Dunia untuk Pendidikan (WISE) 2019.

“Mulai 1 Julai tahun ini, lebih 450,000 guru sekolah boleh berkongsi nota, memaklumkan perkembangan terkini kelas dan pelbagai aktiviti berkaitan pembelajaran lain di Google Classroom.

“Platform dalam talian menggariskan pentingnya e-pembelajaran sebagai sebahagian daripada alat pembelajaran kami pada hari ini dan era ini,” katanya pada mesyuarat itu, yang dipengerusikan oleh rakan sejawatannya dari Qatar, Dr Mohammed Abdul Wahed Al Hammadi.

Menurut Maszlee, penggunaan AI akan membolehkan kekuatan setiap pelajar dipadankan dengan bidang atau kursus yang sesuai.

Beliau berkata, kementerian mengikuti Sistem Latihan Dual Jerman sebagai sebahagian daripada pembaharuan radikal untuk memastikan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Untuk itu, kami bekerjasama dengan syarikat Jerman di Malaysia dan di luar negara. Kami juga menggalakkan pelajar kami menjadi sebahagian daripada revolusi perindustrian yang diperkukuhkan dengan kemahiran peringkat tinggi,” katanya.

Terdahulu, Maszlee menghadiri majlis perasmian WISE, yang diadakan di Pusat Konvensyen Nasional Qatar.

Sidang kemuncak itu bertemakan “Unlearn, Relearn. What it means to be Human”, yang bermula pada 19 November dan berakhir hari ini, dirasmikan Sheikha Moza Bint Nasser, Pengerusi Yayasan Qatar.

Lebih 3,000 pakar, penyelidik dan inovator dari seluruh dunia berkumpul pada platform global dwitahunan yang bertujuan untuk memupuk kerjasama baharu dan mencari cara untuk menangani cabaran pendidikan global yang mendesak.

Ketua Pegawai Eksekutif High Tech High yang berpangkalan di San Diego, Larry Rosenstock, telah dipilih pemenang Hadiah WISE 2019 bagi Pendidikan Laureate. Beliau menerima pingat emas dan AS$500,000.

Hadiah WISE bagi Pendidikan adalah yang pertama seumpamanya untuk mengiktiraf individu atau pasukan yang cemerlang, sumbangan bertaraf dunia kepada pendidikan.

– BERNAMA