Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pastikan semua murid terima pendidikan berkualiti

PONTIAN, 10 NOV: Kementerian Pendidikan akan berusaha sedaya upaya dalam memastikan semua murid di negara ini menerima akses kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira lokasi tempat tinggal atau sekolah.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata perkara berkenaan penting bagi membolehkan semua murid sama ada di kawasan bandar mahu pun pedalaman berjaya dalam pelajaran, kokurikulum dan sukan.

“Saya gembira melihat anak-anak kita walaupun di kampung tetapi pencapaian mereka ada yang sampai peringkat mewakili daerah dan negeri.

“Ini menunjukkan di mana kita berada, kita mampu berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik 2019 Sekolah Kebangsaan Parit Patah, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut memuji usaha guru besar sekolah berkenaan, Zarina Sidik yang melakukan banyak perubahan dan kemenjadian murid walaupun baru setahun berkhidmat.

Beliau pada masa sama, berharap ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa mengambil berat hal anak masing-masing agar sahsiah mereka sentiasa terpuji.

Sementara itu, ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tah Tong, di sini, Maszlee berkata program integrasi dan seni budaya dalam kalangan murid perlu diperluaskan di semua sekolah di negara ini bagi membentuk perpaduan.

Sewaktu lawatan itu, beliau kagum dengan persembahan kompang oleh murid di SJKC itu, sekali gus menunjukkan mereka menghargai seni budaya pelbagai kaum di negara ini.

“Kita biasa melihat tarian singa dipersembahkan oleh kumpulan pelajar Melayu dan India, tetapi di SJKC ini ada kumpulan kompang.

“Ini salah satu program integrasi budaya yang perlu diperbanyakkan di sekolah-sekolah kita lagi dalam membantu mengurangkan masalah disiplin,” katanya yang diiringi guru besar sekolah tersebut, Tan Beng Aun.

SJKC Tah Tong yang berusia 94 tahun mempunyai 393 murid dan 27 guru dengan 18 muridnya berketurunan Melayu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usaha pulihkan negara, tidak adil salahkan PAKATAN

PONTIAN, 9 NOV: Tidak wajar kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), yang tidak sampai dua tahun dibentuk, dipersalahkan atas masalah dihadapi rakyat, pada ketika kerajaan sedang berusaha memulihkan masalah negara.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan PAKATAN yang tidak sampai dua tahun perlu memperbaiki kelemahan ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Rakyat perlu bersabar, kalau tak puas hati (dengan prestasi PAKATAN) yang kurang dua tahun ini, bayangkan nak pulihkan peninggalan BN yang 60 tahun…kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa. Tidak adil nak hukum PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama masyarakat Tionghua di Kukup dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab khabar angin bahawa pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai enggan memberi sokongan kepada PAKATAN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan.

“Namun saya yakin pengundi di Tanjung Piai boleh fikir matang buat keputusan memilih pemimpin. Kita (PAKATAN) ‘bersih’ (telus) dan beri komitmen jadikan Malaysia sebagai Asian Tiger,” katanya.

Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menegaskan pemimpin daripada PAKATAN termasuk calon bagi PRK itu, Karmaine Sardini amat berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini, susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PAKATAN pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berdepan saingan lima penjuru menentang Barisan Nasional (BN), Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Peruntukan tambahan sekolah agama diagih ikut keperluan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Pengagihan peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta kepada sekolah agama rakyat (SAR), sekolah agama persendirian (SAP) dan sekolah agama negeri (SAN) yang berdafar dibuat berdasarkan keperluan, keutamaan serta potensi untuk sekolah itu berkembang.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata langkah itu dapat membantu kementerian mengoptimum penggunaan dana terhad yang diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan dan mengurus sekolah terlibat.

“Sekiranya peruntukan diagihkan kepada sekolah-sekolah yang berdaftar dengan kementerian dan pihak berkuasa agama negeri berdasarkan enrolment murid yang ada tanpa melihat kepada keperluan sebenar sekolah yang memohon, dikhuatiri jumlah yang bakal diterima tidak signifikan dan tidak bermakna bagi sekolah tertentu.

“Boleh jadi ada sekolah yang besar, mereka ada kepala (murid) yang lebih banyak, kalau kita guna formula per kepala (per head) ini mereka akan dapat peruntukan lebih walaupun sebenarnya keperluan mereka tidak seperti sekolah lain yang kecil tetapi keperluan banyak,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mencadangkan kerajaan menggunakan mekanisme pengagihan bantuan berdasarkan per kepala yang dianggap lebih adil.

Kementerian Kewangan pada 14 Februari lepas meluluskan RM25 juta peruntukan khas tambahan di bawah peruntukan mengurus bagi tujuan penyelenggaraan SAR, SAP dan SAN yang berdaftar dengan kementerian dan pihak berkuasa agama negeri serta melaksanakan kurikulum kebangsaan sahaja.

Menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi mengenai jumlah pengagihan peruntukan yang telah disalurkan, Maszlee berkata permohonan 78 sekolah berdaftar dengan kementerian telah diluluskan melibatkan peruntukan RM6.294 juta.

Jelasnya lagi, sebanyak 254 permohonan sekolah yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM14.195 juta.

“Pada masa ini, kementerian sedang membuat verifikasi permohonan bagi fasa terakhir untuk menyalurkan baki peruntukan kepada sekolah yang layak mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPM tidak campur tangan isu protes siswa UM

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan campur tangan untuk menjadi pengantara antara Universiti Malaya (UM) dengan seorang graduan yang menunjukkan tanda protes pada sidang istiadat konvokesyen universiti itu, minggu lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, KPM menghormati kuasa autonomi universiti dan mempercayai UM mampu mengendalikan isu tersebut.

‘Saya telah pun memberitahu kepada timbalan (Teo Nie Ching) saya bahawa kita tidak akan terlibat (campur tangan) dalam hal ini. Proses mediasi pula hanya akan dibuat sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.

“Jadi, buat sementara ini, kita menyerahkan kepada UM sebab kita percaya kepada kuasa autonomi dan kita tidak mahu campur tangan politik. Kita biarkan mereka menguruskannya senidiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM) di Gombak, di sini, hari ini.

Pada 14 Oktober lepas, graduan berusia 23 tahun, Wong Yan Ke membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM bagi mendesak naib canselor universiti itu meletakkan jawatan selepas menerima ijazahnya.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradap.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ubah mentaliti untuk tingkat keberhasilan TVET

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Keberhasilan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan hanya terletak pada aspek sistem, malah memerlukan perubahan mentaliti dan kerjasama erat dengan industri, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, reformasi sistem pendidikan TVET di negara ini harus mencontohi dan meneroka sistem pendidikan sama di Jerman, kerana menurutnya gelombang revolusi perinduatrian 4.0 (IR4.0) menuntut pembaharuan dalam perspektif serta cara berfikir, dan masyarakat Jerman dalam aspek ini pula adalah ’perfectionist’.

“Industri Jerman mahukan produk yang terbaik sahaja dan untuk memungkinkan perkara ini, industrilah yang turun (bantu) ke institusi dan merangka sistem pendidikan TVET yang diperlukan. Kita sedang gigih menggerakkan segalanya, ke arah TVET berasaskan industri.

“…urus tadbir, sistem, keterlibatan industri, kualiti dan penjenamaan, semuanya sedang digerakkan,” katanya dalam ucaptama pada majlis Menandatangani Perjanjian Sekunder Program Kolaborasi Industri (ICP) di Bangsar South, di sini hari ini.

Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Technology Depository Agency (TDA), Datuk Zailani Safari dan CEO Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Abdul Yazid Kassim.

Di bawah program ICP, pemain industri akan bekerjasama dengan bidang akademik untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan dan teknologi (R&T) serta pemindahan ilmu dari industri ke IPT.

Pada majlis itu, enam Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima geran penyelidikan dan geran biasiswa pasca siswazah dengan jumlah keseluruhan RM4 juta daripada beberapa pemain industri.

IPT berkenaan ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), UniKL Malaysian of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) dan Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendidikan percuma di universiti kini di peringkat akhir

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Pendidikan kini dalam peringkat akhir mencari mekanisme terbaik bagi pelaksanaan pendidikan percuma di peringkat universiti, kata menterinya Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata kementeriannya akan berusaha untuk memastikan perkara itu dapat direalisasikan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan.

“Untuk pendidikan percuma ini, jika kita lihat di peringkat persekolahan memang sudah tidak dikenakan bayaran yuran pada anak-anak sekolah.

“Yang kita bincang sekarang ini ialah di peringkat universiti, walaupun ada subsidi namun masih terdapat yuran minimum yang perlu mereka bayar,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Maszlee menjelaskan pada masa ini, kerajaan meletakkan keutamaan untuk melangsaikan hutang negara yang begitu banyak ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Sementara itu, Maszlee memaklumkan prestasi deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi tempoh Januari hingga September lalu adalah RM475.6 juta berbanding RM400.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Selain itu prestasi pendeposit SSPN-i Plus, dalam tempoh sama juga menunjukkan trend peningkatan dengan merekodkan RM106 juta berbanding RM86 juta tahun lalu.

“Instrumen pelaburan yang dibolehkan untuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah berbentuk pelaburan jangka pendek dan sederhana di pasaran wang tempatan sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan dalam proses siapkan panduan tatacara tulisan jawi

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam proses menyediakan garis panduan berkaitan tatacara pelaksanaan pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata surat siaran akan diedarkan kepada semua sekolah di seluruh negara sebelum sesi persekolahan 2020 bagi memastikan pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di sekolah tahun hadapan berjalan lancar.

“Walau apa pun isu yang timbul berkenaan pengenalan tulisan jawi ini, saya ingin tegaskan bahawa KPM akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan tulisan jawi sebagai sejarah warisan negara diperkasakan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa,” katanya pada sesi Persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah semakan bagi subjek Bahasa Melayu Tahun 4 dan pengenalan Seni Tulisan Khat sebagai pengisian tambahan.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan memutuskan pelaksanaan tulisan khat jawi akan dilaksanakan secara pilihan dan hanya akan dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.

Untuk tujuan pemerkasaan pelaksanaan itu, beliau berkata pihaknya akan menyediakan ruang penulisan tulisan jawi dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Tamadun Islam, Tunas Cipta, Dewan Pelajar yang boleh disebarkan kepada murid pelbagai kaum.

“Selain itu, KPM akan melantik Munsyi Dewan (Jawi) dalam kalangan penggiat tulisan Jawi. Sehingga kini, terdapat 51 Munsyi Dewan (Jawi). Kementerian akan melaksanakan program dan klinik Jawi seperti Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi) serta Kursus Pengkaedahan Jawi Guru KAFA,” katanya.

Walaupun tiada keperluan menetapkan setiap murid wajib lulus pengenalan tulisan jawi buat masa ini, Maszlee berkata ia merupakan strategi bagi menyokong pelaksanaan kemahiran bahasa selain memperkayakan murid dengan pengetahuan seni, warisan serta Bahasa Melayu.

Katanya tulisan jawi bukan merupakan suatu mata pelajaran atau subjek, tetapi diperkenalkan sebagai aspek seni bahasa.

“Besarlah harapan saya agar isu ini tidak dipolitikkan, sebaliknya marilah kita menjadikan pendidikan sebagai wadah utama perpaduan rakyat Malaysia selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahasiswa UM boleh jumpa naib canselor jika tidak puas hati

KUALA LUMPUR, 8 OKT:Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) perlu bertemu Naib Canselor universiti itu, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim jika terdapat sebarang rasa tidak puas hati, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Katanya, pertemuan antara kedua-dua belah pihak adalah lebih baik berbanding menyelesaikan isu itu dengan membuat kenyataan kepada media.

“Mereka boleh suarakan rasa tidak puas hati terus kepada Naib Canselor (Dr Abdul Rahim) dan saya percaya beliau (Abdul Rahim) seorang yang berfikiran terbuka dan akan mendengar apa yang pelajar mahu suarakan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Pada 6 Oktober lalu, dilaporkan kesatuan mahasiswa berkenaan menggesa Abdul Rahim meletakkan jawatan berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan ke atas pelajar itu, Maszlee berkata: “Kita bukan berada di zaman (kerajaan) Barisan Nasional”.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warden sepenuh masa: Cadangan NUTP perlu diperhalusi

NILAI, 2 OKT: Cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya warden sekolah dilantik daripada kalangan bukan guru perlu diperhalusi, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau bagaimana pun berkata, pihaknya terbuka dan akan meminta Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) untuk melakukan perbincangan dengan kesatuan itu.

“Mungkin mereka mempunyai beberapa cadangan ke arah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) 2019 di Institut Aminuddin Baki, kampus Enstek, di sini.

Semalam, Presiden NUTP Aminuddin Awang mendakwa masih terdapat guru ‘dipaksa rela’ menjadi warden sekolah berasrama penuh oleh pengetua.

Beliau berkata, ia menambah bebanan tugas hakiki seorang guru dan turut menyarankan kerajaan agar diwujudkan warden bukan kalangan guru.

Mengenai persidangan itu, Maszlee berkata, ia adalah selari dengan visi kementerian dalam memastikan sistem pendidikan dilaksanakan dengan baik selain para guru gembira gembira mengajar di sekolah.

“Sehubungan itu, saya bergantung sepenuhnya kepada sokongan PPD yang jadi antara agen perubahan yang kita harapkan. Kita juga yakin melalui program yang dianjurkan ini, para PPD akan mendapat input yang baik dan yang mereka perlukan dalam usaha mereka melakukan perubahan dalam pendidikan kita.

“Kita harap PPD dalam memainkan peranan mereka sebagai pembimbing juga sebagai satu keluarga kepada guru besar dan guru-guru yang ada dalam memastikan perubahan pendidikan yang kita inginkan itu akan berjaya dicapai,” katanya.

Persidangan berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula semalam membabitkan seramai 330 peserta daripada 145 PPD seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggabungan UMT, UniSZA wujudkan pusat rujukan global

 

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mewujudkan sinergi bagi menjadi pusat rujukan antarabangsa dalam bidang khusus dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Matlamat ini akan tercapai jika penstrukturan dilakukan dan sebuah universiti yang lebih besar dapat diwujudkan dengan profesor yang lebih banyak dan kelengkapan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas program Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan di Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Maszlee berkata kursus yang sepatutnya menjadi ‘niche’ atau khusus dan rujukan peringkat antarabangsa di UMT dan di UniSZA tidak berlaku sekarang, umpamanya di UMT di mana kursus maritim yang disasarkan menjadi pusat sumber rujukan maritim di ASEAN dan Asia Tengah tidak berlaku kerana sibuk dengan kursus-kursus lain.

Beliau berkata pencapaian UMT berbanding universiti-universiti lain agak tidak begitu memuaskan malah menduduki tempat kedua terbawah sebelum ini dengan tahap kebolehpasaran graduan rendah.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi baru-baru ini, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA. Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 Sept lepas.

Langkah penggabungan itu bagaimanapun mendapat bantahan termasuk pelajar UMT dan UniSZA. UMT yang terletak berhampiran dengan UniSZA mempunyai kira-kira 11,000 pelajar manakala UniSZA kira-kira 12,262 pelajar.

Menurut Maszlee, ketika isu UMT dan UniSZA dibincangkan di Kabinet, Jemaah Menteri mencadangkan agar kedua-dua universiti itu disinergikan seperti yang dilakukan di Norway, Finland, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Susulan itu, katanya Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan jawatankuasa yang terbabit dalam libat urus dengan pemegang taruh dan melihat potensi dari sudut yang pelbagai mengenai penggabungan itu untuk dibawa hasil kajian ke Kabinet dan diluluskan secara prinsip.

“Kajian awal yang dilakukan di peringkat KPM mendapati banyak unsur positif (penggabungan) cuma yang perlu diuruskan ialah pelan komunikasi, struktur serta kursus yang bertindih,” katanya.

Maszlee berkata KPM sudah membuat libat urus dengan Jepun, China dan United Kingdom, dan negara luar akan datang menjadi rakan strategik dalam melonjakkan pendidikan Malaysia apabila penggabungan itu berlaku kelak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Maszlee: Calon UPSR jangan tertekan

PUTRAJAYA, 4 SEPT: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini dan menasihati mereka untuk tidak merasa tertekan ketika menjawab soalan.

Seramai 445,641 calon mendaftar untuk menduduki UPSR pada tahun ini di 8,076 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Maszlee yang melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini turut menasihati ibu bapa supaya tidak memberi tekanan kepada anak mereka.

“Saya dapati ibu bapa lebih cemas dan tertekan daripada anak-anak, maka saya nasihatkan mereka jangan terlalu menekan anak mereka.

“Tekanan ini tidak elok, mereka (pelajar) sudah berusaha, anggap ini sebagai kehidupan,” katanya kepada media ketika membuat tinjauan itu.

UPSR 2019 akan dijalankan pada 4, 5, 10, 11 dan 12 September.

Maszlee berkata, UPSR hanyalah salah satu komponen pentaksiran bagi sekolah rendah, selain pentaksiran lain iaitu Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.

“Saya yakin anak-anak dapat lakukan ujian ini. Selamat berjaya dan cemerlang serta sentiasa tenang dalam menghadapi ujian mereka ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas sesetengah pihak yang mempersoalkan pemilihan Aungerah Sasterawan Negara yang diumumkan semalam, Maszlee berkata, itu perkara biasa.

Semalam, pengkaji seni budaya, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

“Biasalah ramai tak puas hati. Anugerah ini (untuk) seorang, yang tak dapat selalu tak puas hati.

“Hakikatnya calon yang terpilih adalah berdasarkan merit dan pencapaian ini telah diiktiraf penggiat sastera,” kata Maszlee.

Tokoh Sasterawan Perak, Dr Malim Ghozali dilaporkan mendakwa keputusan pemilihan Sasterawan Negara Ke-14 itu sebagai suatu bentuk tindakan ‘pintu belakang’ dan turut memberi gambaran wujud campur tangan dalam hal ehwal penjurian memilih tokoh berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN bincang dengan agensi kerajaan kutip pinjaman

PUTRAJAYA, 28 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan untuk memastikan peminjam terutamanya yang dalam kategori tegar, segera membuat pembayaran balik.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kaedah atau tindakan kepada peminjam yang tegar tidak membayar balik pinjaman adalah berlainan dengan peminjam yang baru bergraduasi.

“Ada peminjam yang patuh bayar, ada yang baru graduasi dan ada yang tegar tidak membayar.

“Jadi sasaran kita haruslah lebih kepada yang tidak membayar dan tegar ini yang saya maksudkan dia dah 20 tahun graduate, tak kan tak boleh bayar,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN Sesi Kemasukan September 2019 bagi Parlimen Simpang Renggam, di sini hari ini.

Maszlee berkata, PTPTN sedang dalam perbincangan dengan beberapa agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk memastikan kaedah pembayaran balik yang akan dilaksanakan tidak akan membebankan peminjam.

PTPTN dalam kenyataan medianya berkata, sejumlah RM1.33 bilion WPP telah diserahkan kepada 902,881 pelajar sejak tahun 1999 hingga 31 Julai lepas.

Sejumlah 20,716 pelajar telah ditawarkan WPP bagi kemasukan peringkat ijazah ke universiti awam bagi sesi September 2019 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM31 juta.

PTPTN berkata, pemberian WPP itu adalah untuk memastikan tidak ada pelajar yang tidak boleh masuk ke institusi pengajian tinggi disebabkan masalah kewangan.

– BERNAMA