Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jual ayam, telur secara bergerak, PKPS sasar lebih RM5,000 sehari

SHAH ALAM, 11 FEB: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyasarkan jualan kira-kira RM5,080 sehari melalui Program Intervensi Harga Ayam dan Telur menggunakan lori Ehsan mulai 14 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata jualan itu berdasarkan jumlah produk yang akan dibawa ke setiap lokasi seperti ayam, telur ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Sebanyak 200 ekor ayam, 150 papan telur ayam serta 50 pek buah dan sayur disediakan dalam sebuah lori yang akan menjelajah ke setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Lori Ehsan akan bergerak mengikut jadual sehingga akhir Mac dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Menurutnya, kempen jualan secara bergerak ini dibuat susulan sambutan menggalakkan sejak dimulakan 7 Februari di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Wisma PKPS di Seksyen 14.

Pada 6 Februari lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jualan melibatkan 50,000 ekor ayam melalui dana RM1 juta bagi meringankan beban kenaikan harga barang makanan.

Berikut senarai lokasi lori Ehsan:

– 14 Februari dan 12 Mac (Kuang, Rawang dan Taman Templer)
– 15 Februari dan 13 Mac (Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Klang)
– 16 Februari dan 14 Mac (Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya)
– 17 Februari dan 15 Mac (Pandan Indah dan Teratai)
– 19 Februari dan 16 Mac (Dusun Tua dan Semenyih)
– 20 Februari dan 17 Mac (Kajang, Sungai Ramal dan Balakong)
– 21 Februari dan 19 Mac (Seri Kembangan dan Seri Serdang)
– 22 Februari dan 20 Mac (Kinrara dan Subang Jaya)
– 23 Februari dan 21 Mac (Seri Setia, Taman Medan dan Bukit Gasing)
– 24 Februari dan 22 Mac (Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan)
– 26 Februari dan 23 Mac (Paya Jaras dan Kota Damansara)
– 27 Februari dan 24 Mac (Kota Anggerik dan Batu Tiga)
– 28 Februari dan 26 Mac (Meru, Sementa dan Selat Kelang)
– 1 dan 27 Mac (Bandar Baru Klang, Pelabuhan Klang dan Pandamaran)
– 2 dan 28 Mac (Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning)
– 3 dan 29 Mac (Sijangkang, Banting dan Morib)
– 4 dan 30 Mac (Tanjung Sepat, Dengkil dan Sungai Pelek)

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPS gotong-royong sedia bantuan makanan untuk mangsa banjir

SHAH ALAM, 21 DIS: Warga kerja Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bergotong-royong menyediakan 1,500 hingga 2,000 makanan tengah hari untuk diagih kepada mangsa banjir di sekitar bandar raya ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata sebanyak RM3,000 diperuntukkan sehari bagi menjayakan program melalui Dapur Ehsan sehingga situasi banjir pulih sepenuhnya.

Beliau menjelaskan inisiatif tersebut selaras seruan Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban mangsa terkesan dengan bencana itu sejak Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bercakap kepada media pada program Dapur Ehsan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7 Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Untuk permulaan, makanan siap dimasak akan diedarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di pusat pemindahan sementara (PPS) dan lokasi banjir.

“Selain itu, kerjasama akan dijalin dengan agensi persekutuan termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) bagi melancarkan misi bantuan ini,” katanya ditemui di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Beliau berkata bekalan bahan mentah untuk melaksanakan program terbabit diperoleh dari ladang Selangor Fruit Valley (SFV) selain sumbangan barangan penyewa dan pemborong Pasar Borong Selangor.

“Kos pelaksanaan program tidak terlalu tinggi kerana menggunakan produk keluaran sendiri antaranya ayam, daging dan telur,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPS rangkul dua anugerah emas pelancongan, warga kerja diharap terus cemerlang

SHAH ALAM, 10 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memenangi dua kategori utama Anugerah Emas 2021 daripada Majlis Pelancongan Malaysia atas pencapaian dari segi pemasaran dan menyediakan lokasi pelancongan terbaik.

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu merangkul Anugerah Pemasaran dan Promosi Agro Terbaik serta Destinasi Pelancongan Agro Terbaik menerusi Selangor Fruit Valley.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pihaknya berterima kasih di atas pengiktirafan Majlis Pelancongan Malaysia yang diharap dapat membakar semangat warganya untuk terus berkhidmat cemerlang.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi kepada warga kerja untuk terus mengorak langkah menjayakan agenda Kerajaan Negeri khususnya menjelang sambutan Jubli Emas PKPS pada tahun depan,” katanya menerusi kenyataan media.

Anugerah disampaikan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian kepada Mohamad Khairil pada satu majlis malam tadi.