Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar ekonomi: Inisiatif industri aeroangkasa langkah tepat majukan negeri

SHAH ALAM, 15 DIS: Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan pelbagai inisiatif dalam industri aeroangkasa adalah langkah bijak ke arah kesinambungan ekonomi negeri.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan pelbagai program termasuk industri tersebut mampu menarik minat pelabur sekali gus membawa aspirasi negeri ini.

“Kita perlu menarik mereka untuk melabur dengan negara ini, membuka kilang dan akhirnya memberi peluang dengan mewujudkan proses pertukaran teknologi.

“Apabila membentangkan berkaitan aeroangkasa ini menunjukkan Kerajaan Negeri bersedia dan penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) membantu membaiki kedudukan dalam industri ini,” katanya pada program Table Talk secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan program kepintaran buatan dan pembangunan dron serta ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan di Universiti Selangor (Unisel).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan memberi nafas baharu dengan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (Selati), Pusat Kecemerlangan Selati Unisel dan Sekolah Penerbangan Selati-Unisel selain mewujudkan rangka kerja kemahiran serta kerjaya Selangor bagi industri aeroangkasa.

Beliau berkata usaha itu bakal mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan dron di Unisel, Bestari Jaya.

Selain itu, SAS yang julung kali dianjurkan tahun ini juga akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM5 juta selain menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik di dunia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan negeri tumpu menyeluruh isu kesihatan

SHAH ALAM, 15 DIS: Belanjawan Selangor 2022 yang dibentang bulan lalu tidak hanya mementingkan usaha mencegah Covid-19 malah merangkumi rawatan penyakit lain.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad berkata pendekatan negeri dalam kesihatan dilihat seimbang termasuk menyediakan dana bagi rawatan jantung dan kanser.

“Saya lihat pendekatan diambil Kerajaan Negeri agak seimbang dengan memberi peruntukan kepada Skim Rawatan Jantung, program saringan kesihatan dan denggi,” kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian pada program Table Talk yang disiarkan melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Belanjawan negeri yang dibentang Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November lepas menyediakan dana bagi tiga skim rawatan iaitu jantung, tibi dan Slim Selangor bagi mengatasi obesiti berjumlah RM6.1 juta.

Sebanyak RM5 juta pula diperuntuk untuk pencegahan dan kawalan denggi dengan meneroka teknologi baharu seperti dron bagi mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.

Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM1 juta untuk rakyat Selangor menjalani saringan mammogram, serviks, kolorektal dan prostat menerusi program Kanser Selangor (CanSEL).

Categories
AGENDA NASIONAL

Dron bantu tingkat hasil, tambah pendapatan petani

SHAH ALAM, 15 DIS: Penggunaan dron dalam pertanian dapat meningkatkan produktiviti sekali gus menambah pendapatan petani, kata ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata teknologi itu perlu diperluas dengan kaedah holistik termasuk mengadakan program khusus atau kursus pendek bagi mengendalikannya.

“Apabila teknologi dron digunakan dalam sektor pertanian iaitu melibatkan racun serangga, pengairan dan pembajaan, ia dapat menjana pendapatan golongan petani dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau bercakap pada program Table Talk yang disiarkan melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Penggunaan dron dalam sektor tanaman padi mula diteroka beberapa negeri termasuk Selangor berikutan mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman itu sehingga 10 peratus.

Belanjawan Selangor 2022 yang dibentang November lalu memperuntuk RM2.34 bilion bagi meningkatkan manfaat kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negeri.

Antara inisiatif diumum ialah menjadikan Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan utama dengan pelaburan bernilai RM1.08 juta untuk membangunkan industri hiliran sektor itu.

Turut diumumkan program kepintaran buatan dan pembangunan dron serta program ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan di Universiti Selangor, Bestari Jaya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif Data Raya bantu kumpul maklumat terkini, tingkat penyampaian kepada rakyat

SHAH ALAM, 10 DIS: Inisiatif Data Raya Selangor boleh membantu Kerajaan Negeri membuat keputusan tepat apabila berdepan situasi luar jangka yang memberi kesan kepada ekonomi seperti penularan Covid-19.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketepatan maklumat dikumpul menerusi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) boleh memperbaiki pemantauan dengan lebih baik.

“Kita perlu melihat keadaan ekonomi dan membuat keputusan berdasarkan waktu nyata supaya langkah tepat diambil dalam apa jua keadaan pada masa depan.

“Pelaburan Kerajaan Negeri untuk melaksana Data Raya Selangor yang menggunakan teknologi adalah satu langkah betul,” katanya pada program Table Talk menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November lalu mengumumkan RM2 juta untuk melaksanakan inisiatif Data Raya Selangor.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, penjanaan dan perkongsian data raya secara masa nyata

Pelaburan itu juga membolehkan kerajaan menggubal dasar lebih tepat dengan lebih tersusun dan selaras menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar yang unggul di Asia Tenggara menjelang 2025.

Mohd Afzanizam berkata secara keseluruhan beliau melihat Belanjawan Selangor 2022 mengimbangi keperluan masa kini terutama dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat pasca Covid-19.

Jelasnya, setiap kelompok menerima manfaat seperti golongan berpendapatan rendah (B40) yang menerima bantuan RM3,600 setahun di bawah Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) selain penjagaan kesihatan rakyat dengan pelaksanaan saringan serta rawatan.

“Tumpuan juga kepada aspek memudahkan menjalankan perniagaan, pendigitalan dan usaha menarik pelabur dengan menekankan sektor tertentu seperti aeroangkasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1630/1680 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Urus niaga ringgit dibuka tinggi sedikit pagi ini menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9.10 pagi, mata wang tempatan disebut harga 4.1630/1680 berbanding dolar AS daripada 4.1700/1740 ketika ditutup petang semalam.

Bank pusat telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) empat kali tahun ini, menjadikannya kepada 1.75 peratus, paras terendah direkodkan sejak 2014.

Mesyuarat MPC akan diadakan hari ini dengan kali terakhir ialah pada 3 Nov.

Ketua strategi pasaran global AxiCorp Stephen Innes berkata peniaga tempatan mungkin seperti kebiasaan akan mengambil sikap tunggu dan lihat sambil menantikan keputusan mengenai kadar itu oleh BNM hari ini.

“Bagaimanapun, dengan risiko global semakin baik, begitu juga dengan harga minyak mentah yang disokong oleh kenaikan pasaran semalaman, mata wang tempatan boleh diniagakan dengan lebih tinggi lagi,” kata beliau kepada Bernama

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent turun 0.49 peratus kepada AS$40.59 setong.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan BNM akan menangguhkan penurunan OPR kerana data ekonomi yang agak baik baru-baru ini seperti data penjualan kenderaan, eksport dan indeks Pengurus Pembelian (PMI).

Beliau berkata ini menunjukkan BNM tidak perlu bertindak tergesa-gesa memandangkan kadar penanda aras itu telahpun dikurangkan sebanyak 125 mata asas antara Januari dan Julai tahun ini dan ia telahpun berada pada paras terendah.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4086/4163 daripada 5.3985/4053 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.9165/9228 daripada 4.9060/9124.

Unit tempatan itu jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0454/0501 daripada 3.0447/0487 sebelumnya tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.9203/9254 daripada 3.9314/9363.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Galak aktiviti keusahawanan bantu rakyat pulih ekonomi

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menggalakkan aktiviti keusahawanan sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia berkata kecenderungan berbelanja dalam kalangan pengguna dapat membantu pemulihannya jika produk ditawarkan bersesuai dengan pasaran.

“Malaysia mempunyai masyarakat yang suka berbelanja. Kecenderungan untuk setiap ringgit dalam perbelanjaan adalah sekitar 0.57 peratus, antara tertinggi di rantau Asia. Maksudnya RM1, perbelanjaan sekitar 57 sen dan bakinya disimpan.

“Kalau kita galakkan aktiviti keusahawanan, permintaan sentiasa ada cuma isunya apakah bentuk perniagaan, itu perlu difikirkan,” kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata kitaran ekonomi yang berlaku hampir setiap 10 tahun akan mengakibatkan ekonomi menguncup malah Malaysia sendiri menghadapinya pada kadar 1.5 peratus pada 2009, 7.4 peratus (1998) dan satu peratus (1985).

Dr Mohd Afzanizam berkata pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan di peringkat persektuan dan negeri sedikit sebanyak akan membantu proses pemulihan akibat pandemik ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan bersih asing meningkat kepada RM589.62 juta

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih bagi minggu yang baru berakhir ini apabila jumlah aliran keluar bersih meningkat kepada RM589.62 juta daripada RM394.34 juta pada minggu sebelumnya.

Pasaran ekuiti tempatan menyambung semula dagangan pada 27 Mei selepas ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Seorang penganalisis berkata pasaran dijangka kekal berhati-hati memasuki minggu depan, meskipun agak rancak sedikit susulan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pulih sebanyak 20.8 peratus, meningkat kepada 1,473.25 mata daripada paras rendah 1,219.72 mata yang dicatatkan pada 19 Mac, 2020.

“Nampaknya pembukaan semula ekonomi secara berperingkat telah menyokong pasaran ekuiti,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, petunjuk ekonomi juga menunjukkan petanda penstabilan selepas jatuh merudum semasa April.

Sebagai contoh, Mohd Afzanizam berkata Indeks Pengurus Pembelian Komposit bagi Amerika Syarikat (AS), Eropah, United Kingdom dan Jepun pada Mei masing-masing meningkat kepada 36.4 (April: 27.0), 30.5 (April: 13.6), 28.9 (April: 13.8) dan 27.4 (April: 25.8).

Tuntutan pengangguran di AS bagi minggu yang berakhir pada 16 Mei juga susut kepada 21.0 juta daripada 24.9 juta pada minggu sebelumnya, membayangkan lebih ramai rakyat Amerika kembali mendapat pekerjaan dengan pembukaan semula ekonominya.

“Bagaimanapun, kebimbangan berkaitan dengan hubungan dua hala antara AS dan China berikutan rancangan China untuk mengenakan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong boleh membawa kepada sentimen pasaran yang tidak menentu.

“Justeru itu, pembetulan pasaran boleh berlaku kerana pelabur mahu menyimpan keuntungan mereka dan menilai perkembangan hubungan dua hala antara kedua-dua gergasi ekonomi dunia itu,” katanya.

Minggu depan, katanya, tumpuan akan terarah kepada pengumuman indeks Institute for Supply Management AS bagi sektor pembuatan, bukan pembuatan dan pekerjaan.

“Angka ini dijangka bertambah baik bagi bulan Mei. Seolah-olah semua berita negatif telah diambil kira oleh pasaran.

“Persoalan utama sekarang adalah sepantas mana pembukaan semula ekonomi boleh dilakukan dan secepat mana kita boleh mendapatkan vaksin Covid-19,” kata Mohd Afzanizam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasaran ekuiti terus disokong dana institusi tempatan

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih dalam pasaran ekuiti tempatan pada minggu lepas, mencatatkan jumlah aliran keluar bersih rendah sebanyak RM879.57 juta dari Isnin-Khamis berbanding RM930.62 juta dalam tempoh yang sama dari 24-27 Februari.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran ekuiti Malaysia terus disokong dengan baik oleh dana institusi tempatan dengan pembelian bersih berjumlah RM650.67 juta.

“Begitu juga, peruncit tempatan merupakan pembeli bersih sebanyak RM228.9 juta semasa tempoh yang sama.

“Pada masa depan, kami menjangkakan pelabur kekal berhati-hati memandangkan penularan meluas COVID-19 di luar dari China,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata bank pusat di seluruh dunia nampaknya telah mengambil usaha padu untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi dengan agresif menurunkan kadar dasar masing-masing.

Ini, katanya, akan meningkatkan tarikan sekuriti pendapatan tetap seperti bon kerajaan disebabkan oleh hubungan songsang antara harga bon dan kadar faedah.

“Kami mengunjurkan pengurus portfolio cenderung mengalihkan minat mereka kepada bon atau Sukuk dengan menjangkakan hasil akan turun lebih rendah, sejajar dengan jangkaan penurunan kadar faedah oleh bank pusat,” katanya.

Menurutnya, dengan minat terhadap bon dan Sukuk meningkat, ia bermakna harga bon akan naik lebih tinggi dan hasilnya pelabur boleh meraih keuntungan.

“Kami telah melihat hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10 tahun jatuh di bawah 1.0 peratus. Ketika ini hasil 10 tahun bagi bon Perbendaharaan AS berada pada 0.90 peratus, turun sebanyak 25 mata asas daripada akhir Februari,” kata Mohd Afzanizam.

Begitu juga, katanya, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun mencecah paras terendah dalam sejarahnya pada 2.78 peratus pada 2 Mac, sebelum melantun semula kepada 2.86 peratus pada 5 Mac.

“Peralihan dalam kelas aset boleh mengehadkan potensi peningkatan dalam pasaran ekuiti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakej rangsangan ekonomi perlu diteruskan walau lewat

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Ketidaktentuan politik yang mencetuskan kekalutan pada hujung minggu lepas, kini dilihat semakin reda selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri sementara, semalam.

Bagaimana pun, berdasarkan senario politik semasa, kalangan perniagaan sebaliknya bimbang jika pakej rangsangan ekonomi yang dijadual diumumkan pada Khamis ini akan turut terjejas serta ditamatkan.

Bagi kalangan penganalisis, pakej yang bertujuan memacu ekonomi tempatan dalam persekitaran kelembapan ekonomi global akibat Covid-19 itu sememangnya amat diperlukan, lebih-lebih dalam keadaan sekarang.

“Kami percaya bahawa butiran pakej rangsangan itu telah pun diperhalusi sebelum kemelut politik itu berlaku. Malah, dari sudut ekonomi misalnya, kami yakin Dr Mahathir juga menyedari kepentingan pakej itu bagi melonjakkan ekonomi.

“Namun, berdasarkan perkembangan semasa, kami menjangkakan pengumuman mengenainya akan dibuat lebih lewat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pakej rangsangan ekonomi itu diperlukan berkutan ketidaktentuan ekonomi yang terus ketara selain akibat faktor penyusutan perbelanjaan perniagaan serta pengguna.

“Jika perkara ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan, ia akan memberi kesan terhadap agregat permintaan selain memburukkan lagi kelembapan ekonomi,” katanya.

Mengulas rangsangan fiskal, beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) setakat ini telah memainkan peranan dengan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum ini dan dijangka disusuli dengan satu lagi penurunan pada Mac atau Mei ini.

“Saya percaya langkah semasa yang diambil oleh pihak bank pusat itu akan melengkapi usaha bagi memperkukuh ekonomi di masa depan,” katanya.

Pada bulan lepas, BNM tanpa dijangka telah menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus – terendah sejak Mac 2011 dan menyifatkan masih ada ruang bagi penurunan berikutnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Sejak penularan Covid-19 pada pertengahan Januari, indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI susut 57 mata kepada 1,531.20 dan menyaksikan sektor pembuatan, pelancongan dan logistik terjejas.

Selepas kemelut politik itu dilihat reda dan sentimen keyakinan pulih semula, indeks penanda aras FBM KLCI tersebut naik 10.67 mata kepada 1,500.73 pada rehat tengah hari ini selepas susut 2.68 peratus atau 41.14 mata kepada 1490.06 mata, semalam.

Malah, sebagai membuktikan kepentingan pakej tersebut, Malaysia juga bukanlah satu-satunya negara ASEAN yang merancang memperkenalkan inisiatif sedemikian bagi menangani impak Covid-19.

Thailand misalnya, berhasrat membentangkan cadangan pakej rangsangan ekonomi baharu kepada Kabinet pada pertengahan Mac ini dengan harapan dapat memacu ekonomi negara itu pada bulan-bulan berikutnya.

Pakej itu yang meliputi pelancongan, perbelanjaan dan pelaburan, juga bertujuan merancakkan pelancongan domestik yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Indonesia pula menerusi bank pusat, Bank Indonesia (BI) pada Khamis lepas, memutuskan untuk mengurangkan kadar asas bagi menampan impak akibat penularan virus itu terhadap ekonomi negara tersebut.

Dalam mesyuarat lembaga gabenornya selama dua hari, bank pusat berkenaan bertindak mengurangkan kadar faedah utamanya iaitu kadar repo berbalik tujuh hari BI sebanyak 25 mata asas kepada 4.75 peratus selepas mengekalkan kadar itu pada bulan lepas.

– BERNAMA