Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar lancar memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat karya Dr Muhammad Nur Manuty

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengkisahan dalam buku memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat tulisan Prof. Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dapat memberikan kefahaman tentang erti perjuangan Islam.

Pengerusi Pakatan HARAPAN berkata memoir sahabatnya sejak dari dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu mengimbas sejarah dalam dunia dakwah, akademik dan politik.

Beliau berkata, sumbangan bekas Presiden ABIM itu amat besar dalam menggerakkan dakwah yang berpangkal pada asas ilmu dan ruh perjuangan.

“Jemaah yang berkembang sejak dari tahun 60-an sehingga sekarang nyata masih subur dengan ilmu dan akhlak.

“Saya sentiasa bersyukur kerana dikelilingi oleh mutiara dan para cendekiawan yang sentiasa menasihati dan tidak segan silu dalam mengkritik saya,” kata Anwar dalam Twitternya selepas melancarkan buku tersebut di Bangi semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Dr. Azizah Wan Ismail dan Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Dato’ Dr Mohammed Redzwan Othman.

Anwar turut memberikan kata penghantar dalam buku setebal hampir 500 muka surat itu.

Buku memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat tulisan Dr. Muhammad Nur Manuty. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Memoir terbitan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) itu merakamkan kisah perjalanan Muhammad Nur dalam bidang dakwah, pendidikan dan politik.

Ia berfokus kepada gagasan islah dan tajdid Islam yang marak di tanah air mulai dekad 70-an.

Penulis yang kini Presiden Kolej Dar al-Hikmah terlibat dalam proses tersebut setelah menerima pendidikan Islam formal dan tidak formal di dalam dan di luar negara.

Penulis aktif dalam PKPIM, ABIM dan Wadah, antara tiga gerakan dakwah penting yang telah memberi sumbangan bermakna dan tersendiri terhadap proses yang melahirkan fenomena ‘kebangkitan Islam’ di Malaysia.

Buku yang memuatkan 10 bab itu turut mengisahkan perjalanan penulis memperjuangkan nilai-nilai universalisme Islam menerusi jalur Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang bersifat majmuk bangsa dan agama.

Muhammad Nur, 72,  yang berasal dari Batu Kurau, Perak pernah menjadi calon KEADILAN pada Pilihan Raya Umum ke-13 di kerusi Parlimen Bagan Serai namun tewas tipis.

Beliau sebelum ini turut dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Selangor bagi menjadi Senator dari 2015 hingga 2018.

Lulusan Kolej Islam Malaya ini pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

KEADILAN kutuk cubaan bunuh Sheikh Dr Aaidh Al-Qarni

SHAH ALAM 3 MAC: KEADILAN memandang berat terhadap cubaan membunuh Sheikh Dr Aaidh Ibn Abdullah Al Qarni yang cuba dilakukan pihak tidak dikenali di Zamboanga,Filipina pada 1 Mac lalu.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Senator Dr Muhammad Nur Manuty, berkata dilaporkan Sheikh Dr Aaidh Al Qarni ditembak ketika bersedia meninggalkan majlis ceramahnya.

Katanya, Kedutaan Arab Saudi di Manila melaporkan Sheikh Dr Aaidh Al Qarni cedera dibahunya dan keadaannya tidak membimbangkan, pembantu pembantu beliau juga terselamat semuanya.

Sheikh-Aidh-Al-Qarni“BiPPA bersyukur ke hadzrat ALLAH kerana Sheikh Dr Aaidh Al Qarni terselamat dari cubaan membunuhnya.

“Kita mendoa’kan kesihatan beliau serta tabah dan diberikan kekuatan meneruskan usaha usaha dakwah dengan pendekatan sederhana di serata dunia Islam yang mendambakan ilmu dan peranannya dalam mengangkat martabat Islam dan penganutnya, ,” kata Dr Muhammad dalam kenyataan media.

Dr Muhammad berkata BiPPA juga menggesa Kerajaan Filipina untuk segera melakukan penyiasatan bagi memastikan pihak bertanggungjawab diadili dan dihukum segera.

“Pihak kami memandang serius hal ini kerana dibimbangi ia kesan daripada pemikiran radikal dan ekstrem yang berkembang di rantau Asia Barat,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Turunkan simbol agama provokasi agama bermotif politik

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 20 APR: Desakan menurunkan simbol agama di rumah ibadat bukan Islam bersifat provokasi agama yang berselindung di sebalik motif politik.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR, Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan kejadian di gereja Taman Medan itu bertujuan mencemar nama baik kerajaan tadbiran Pakatan Rakyat.

Nur-Manuty“Kita tidak boleh mengganggu dan menceroboh hak identiti agama lain. Kita kesal dengan kefanatikan itu akibat tidak faham agama,” katanya.

Kira-kira 50 orang, sebahagiannya pemimpin Umno menuntut supaya simbol agama diletak pada dinding gereja itu diturunkan.

Merujuk kejadian itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan jika adil, patut menggunakan Akta Hasutan terhadap pimpinan Umno BN, tidak hanya mendakwa pimpinan Pakatan Rakyat.

“Tindakan undang-undang patut dikenakan kepada kumpulan mencetuskan provokasi agama sehingga timbul rasa tidak tenteram rakyat berbilang agama,” katanya.

Muhammad Nur berkata, Kerajaan Persekutuan patut memberi kefahaman terhadap semua pihak supaya menghormati kepercayaan agama lain.

“Kerajaan patut memastikan tiada unsur provokasi agama yang berselindung di sebalik tindakan politik,” katanya kepada Selangor Kini.

Categories
AGAMA SELANGOR

Dr Muhammad Nur Manuty: Bertoleransi tapi berprinsip

Oleh:  NURUL FARINA NAZLAN

SELAIN kaum, isu agama juga dianggap sensitif dalam kalangan masyarakat, apatah lagi ia mudah dimanipulasi pihak berkepentingan.

Lantaran itu, isu berkaitan agama mudah menjadi polemik berpanjangan dan menjejaskan perpaduan masyarakat majmuk baik di Selangor mahupun di negara ini.

Sebaliknya, penyelesaian pantas itu pemulangan Bible membuka mata banyak pihak betapa ada jalan tengah apabila berlaku perselisihan.

deepavaliKebijakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Istana Selangor menjadi penanda aras ke arah toleransi agama tanpa merendah-rendahkan Islam sebagai agama rasmi.

“Satu ‘breakthrough’ berjaya dilakukan Dato’ Menteri Besar dalam isu kritikal agama yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat majmuk di Selangor.

“Dua pihak (Islam dan bukan Islam) kalau faham toleransi, ia membawa kepada pencapaian baik,” kata bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau mendapati pentadbiran Mohamed Azmin menyediakan landasan sebagai teladan kepada penganut semua agama supaya konflik itu tidak berpanjangan.

MB AzminGaya kepimpinan itu mampu menjadi contoh pemimpin lain di bagi memupuk dasar hormat-menghormati antara masyarakat Islam dan bukan Islam tanpa mengira fahaman politik.

Penyelesaian itu selari dengan ajaran Islam, bahkan inisiatif itu memberi manfaat besar dan implikasi positif kepada masyarakat majmuk di Selangor.

“Ia pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw apabila kitab Injil diambil oleh seorang Islam. Baginda kemudian memintanya memulangkan kembali kitab berkenaan kepada kaun Nasrani.

“Mohamed Azmin juga memperlihat dasar Pakatan Rakyat yang menjamin kebebasan beragama seperti dalam Perlembagaan,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIP-PA) PKR itu.

IMG_0562aBeliau pantas menyatakan Selangor mampu menjadi negeri model masyarakat majmuk, sosial dan agama melalui pendekatan bertoleransi tetapi berprinsip.

Lebih-lebih lagi, penyelesaian itu mendapat reaksi positif pelbagai pihak, bermakna secara tidak langsung memperlihat sokongan dan dokongan terhadap Mohamed Azmin.

Malah, ramai gembira apabila Dato’ Menteri Besar itu berulang kali memberi penegasan sentimen fanatik dan pelampau tidak ada tempat di Selangor.

“Saya tegaskan, sentimen itu tidak akan memiliki tempat dalam pentadbiran Selangor kerana kami mengamal prinsip keadilan dan kesederhanaan setiap masa,” katanya.

Categories
NASIONAL

Waran tangkap Yusuf Al-Qaradawi biadap, tak logik

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 23 DIS: Waran tangkap yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap sarjana Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi bersifat biadap dan tidak logik.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata,impak besar sama ada positif atau negatif akan berlaku jika Interpol meneruskan hasrat menahan Al-Qaradawi.

qaradawiKatanya, kenyataan yang jelas jika Al-Qaradawi ditahan adalah kerana Interpol termakan dengan pujuk rayu rejim kudeta Mesir, Al-Sisi dan pemimpin kuasa besar lain.

“Sumbangan Al-Qaradawi sangat besar dalam bidang dakwah, pemikiran dan pengembangan institusi Islam. Malah, beliau mendapat banyak gelaran daripada negara Islam seluruh dunia.

“Sungguh malang, jika umat Islam berdiam diri dan tidak melakukan sebarang tindakan atas waran tangkap yang dikeluarkan Interpol itu,” katanya dalam sesi temuramah khas bersama Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Muhammad berkata, kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Selangor harus mencari jalan bersama individu muslim dan badan bukan kerajaan Islam untuk melobi, selain berikhtiar di peringkat tempatan juga antarabangsa bagi menunjukkan simpati serta memberi sokongan kepada Al-Qaradawi.

IMG_0596aBeliau juga menyifatkan Al Sisi bersifat kuku besi dan memberikan tekanan luar biasa, selain bersekongkol dengan Amerika Syarikat sehingga gagal membezakan individu yang ganas atau bukan.

“Mereka bersikap monolifik dalam melihat gerakan Islam dan melabelkan Al-Qaradawi sebagai pengganas. Jelas bahawa Al-Qaradawi pendukung Ikhwanul Muslimin atau digelar sebagai Faqihul Muslimin iaitu ulamak Ikhwan kerana ditarbiah sejak 1950an lagi.

“Kita berharap dengan perbincangan yang diadakan secara rasmi dengan beberapa pihak akan dapat menyelesaikan isu ini dalam masa sehari dua lagi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

Konsep ‘Bughah’ dari perspektif fuqaha’ & implikasi kepada masyarakat

Oleh Dr Muhammad Nur Manuty

MUFTI Perak, Tan Sri Harusani Zakaria, sekali lagi mengejutkan rakyat Malaysia apabila beliau mengeluarkan satu fatwa kontroversi pada awal Januari, 2014  lalu.

Fatwa tersebut menyatakan bahawa para peserta demonstrasi pada malam 31 Disember yang ikut serta bersama dengan orang ramai yang telah berhimpun menyambut kedatangan Tahun Baru 2014 sebagai “bughah” (pemberontak).

Justeru itu, beliau berkata bahawa “darah mereka adalah halal.”

Harussani Zakaria 01Sesungguhnya fatwa tersebut telah mengundang pelbagai reaksi hangat. Banyak pihak merasa dukacita, resah dan gelisah dengan fatwa Tan Sri Harusani. Implikasinya sangat serius. Sesungguhnya fatwa Mufti Perak itu terlalu keras bunyinya, sehingga para demonstran boleh dikategorikan sebagai “pengganas.”

Kita bersetuju dengan pendapat pelbagai pihak di negara ini bahawa jika tidak diambil langkah tegas oleh pihak berkuasa, fatwa tersebut boleh mengundang pelbagai kesan negatif yang berkemungkinan menjejaskan ketenteraman orang-orang awam.

Apabila seorang mufti berbicara pada khalayak ramai; apa lagi dengan kedudukannya sebagai seorang mufti terkanan yang telah berkhidmat lebih dari 30 tahun, maka ia dilihat oleh orang awam sebagai satu fatwa rasmi yang boleh dipegang.

Konsep Bughah Dari Perspektif Fuqaha’

Menurut Imam Taqiyuddin Abi Bakr Muhammad al-Husainiyy, pengarang Kitab Kifayatul Akhyar, perkataan bughah dalam istilah syara’ adalah merujuk kepada segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka kepada ulil amri (pemerintah), iaitu pemerintah/kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syari’at Islam (Kifayatul Akhyar, Jilid 2, ms. 122).

Sementara itu pula Tuan Haji Said Haji Ibrahim berpendapat bahawa “ .. Dalam ilmu ketatanegaraan Islam, bughah ialah perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri. Ini dinamakan “jarimah siasiyyah” (Kanun Jenayah Islam, 1996, Kuala Lumpur, 1996, ms. 151).

Di samping itu Jenayah dalam politik tidak boleh berlaku kecuali Jika tindakan golongan pemberontak mempunyai tujuan yang jelas untuk menggulingkan Ketua Negara atau tidak mahu lagi mematuhi arahan pemerintahan; didapati sebab-sebab mereka memberontak dan menetang dasar pemerintah, sekalipun sebab-sebab yang mereka kemukakan itu merupakan sebab yang paling lemah; telah berlaku penderhakaan dan pemberontakan yang merupakan perang saudara dalam negara, selepas mereka itu mengadakan persiapan senjata dan pertahanan.

(Kanun Jenayah Islam, ms. 153)

Dalam sesebuah negara yang berpaksi kepada hukum-hukum Islam, “penderhaka” yang wajib diperangi adalah tertakluk dengan syarat-syarat berikut:

Mereka yang telah mempunyai kekuatan dan yang telah berterus terang secara terbuka menentang pemerintah/kerajaan yang adil;

Mereka yang telah keluar dari tadbiran ulil amri, dan telah membentuk pemerintah/kerajaan yang baru; Terdapat di kalangan mereka kekeliruan faham di mana mereka menganggap bahawa mereka boleh keluar dari kawalan dan tadbiran imam (pemerintah); setelah diajak berunding dengan bijaksana sebagaimana yang telah dilakukan oleh Sayyidina ‘Ali Bin Abu Talib, Khalifah Islam Keempat terhadap pemberontak-pemberontak dalam Perang Jamal di Siffin dan kumpulan Khawarij: Mereka telah mengadakan keganasan dalam negara seperti membakar, membunuh dan sebagainya.

(Kanun Jenayah Islam, ms. 154).

Persoalannya sekarang, adakah fatwa Mufti Perak itu mempunyai sandaran shara’ yang kukuh serta mengikut manhaj pengistinbatan hukum yang sah?

Dalam menjawab soalan ini, ternyata Tan Sri Harusani telah menyalahgunakan penggunaan ayat 9, Surah al-Hujurat yang dikemukannya sebagai hujah qat’iyy. Firman Allah (SWT):

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangalilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali, kepada perintah Allah: jika golongan itu telah (kembali kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya denga adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil

(Surah al-Hujurat: 9).

Dalam hemat kita, kumpulan demonstran itu tidak boleh dikategorikan sebagai pemberontak kerana hujah-hujah berikut:

Mereka tidak terlibat dalam “peperangan” (iqtital) yang membawa kepada pembunuhan sesama mukmin seperti yang disebut di dalam ayat 9, Surah al-Hujurat;

Penganjur demonstrasi tidak membuat apa apa perisytiharan rasmi untuk tidak mentaati Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong;

Para demonstran keluar secara aman sekadar mahu “unjuk rasa” kerana marah dan kecewa dengan kegagalam pemerintah gagal mengawal harga barang naik secara mendadak mutakhir ini;

Para demonstran tidak memiliki apa apa senjata;

Mufti Perak sendiri tidak turun berunding untuk memberi nasihat kepeda pemimpin-pemimpin demonstrasi supaya mereka meletakkan senjata (sekiranya benar ada senjata) atau memberhentikan demonstrasi.

wahbah-zuhailiMengenai persiapan senjata, pandangan Profesor Dr Wahbah al-Zuhaili, ilmuan fiqh ternama, menyatakan bahawa kesahihan bagi seseorang atau kumpulan dapat diistilahkan sebagai “bughah” hanya dengan kewujudan senjata yang banyak sehingga pihak pemerintah terpaksa membekalkan senjata dengan banyak untuk tujuan mempetahankan diri. Justeru, banyak wang dan persiapan ketenteraan yang diperlukan bagi menghadapi pemberontak.(Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, Damsyiq: 2007, Jilid 13, ms, 571)

Dalam hubungan ini, Mufti Perak telah menampakkan kegopohannya dalam pembuatan fatwa. Beliau sewajarnya mengemukakan beberapa dalil syara’ dengan panduan nas-nas qat’iy di dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan lain-lain sumber ilmiah yang muktabar.

Tan Sri Harusani sewajarnya berbincang dahulu dengan pelbagai pihak terutama dengan Ahli Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli Ahli jawatankuasa Fatwa Syar’iyyah Negeri Perak dan lain-lain pegawai di Jabatan Mufti Perak. Walau bagaimanapun, fatwa Mufti Perak jelas tidak merujuk kepada para ulama/ilmuan lain. Islam menganjurkan amalan syura demi mendapatkan muwafakat terbaik dan dapat keberkatan dari Allah SWT. Al-Qur’an mencatatkan:

“Sedang urusan mereka diputuskan dengan mesyuarah”

(Surah Assyura: 38).

Oleh kerana hujah-hujah yang dikemukakan tidak kuat, maka jalan keluar yang terbaik bukan untuk mempertahankan fatwa tersebut; seperti yang disebut oleh Tan Sri Harusani dalam akhbar Sinar pada awal Januari lalu. Mufti Perak sewajarnya mempraktiskan perintah Junjungan Muhammad (SAAS) seperti yang disebut dalam sebuah hadis sahih:

“Katakan perkara baik atau diam.”

Selain itu, kegopohan fatwa Mufti Perak jelas menunjukkan beliau hanya bersandar kepada maklumat yang belum dapat dipastikan kesahihannya. Maklumat yang diterima dari media perdana di negara ini perlu disaring sebelum dapat diterima pakai. Allah SWT berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu.”

(Surah al-Hujurat: 6).

Sejak fatwa tersebut disiarkan di dalam media, ia telah menimbulkan reaksi pasif masyarakat terhadap institusi mufti. Statusnya sebagai pembimbing umat mulai dipersoalkan keabsahannya.

Bagi masyarakat Islam yang tidak memahami ajaran Islam, fatwa tersebut menimbulkan ketakutan terhadap agama Islam dan bukannya keinginan untuk mendampinginya. Islam dari segi jauharnya adalah agama yang sangat menekankan wujudnya kedamaian, keamanan dan kesejehteraan sesama insan.

Fatwa yang menyebut “darah mereka adalah halal” membawa konotasi bahawa nyawa manusia begitu murah harganya walhal memelihara nyawa adalah sebahagian dari tujuan utama dalam maqasid syari’ah (objektif syari’ah). Mengenai kehormatan diri bagi sesorang manusia tidak dibunuh dengan sewenang-wenang, Allah SWT berfirman:

“..barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.”

(Surah al-Ma’idah: 52).

Dalam konteks zaman yang serba mencabar, Tan Sri Harusani selaku seorang mufti dan lain lain penjawat jawatan mufti di negara ini wajar memertingkatkan kewibaan (al-ahliyyah) mereka sebagai seorang mufti yang benar-benar berotoriti dan berfungsi dengan berkesan dalam pembuatan hukum.

qaradawiDalam hubungan ini, barangkali ada baiknya untuk para mufti merujuk sebuah karya penting al-Qardawi yang berjudul al-Fatawa al-Shazzah (Fatwa-fatwa Janggal) (Kahirah: Dar as-Shuruq, 2010). Dalam buku ini, antara lain, beliau menyebut bahawa seorang mufti jangan terjebak dalam pembuatan pembuatan fatwa-fatwa yang janggal (shazzl).

Yang dimaksudkan dengan fatwa-fatwa janggal ialah fatwa fatwa-fatwa yang terkeluar daripada manhaj yang digunakan pakai secara komprehensif oleh para fuqaha’ dalam pembuatan hukum sejak beberapa abad lalu.

Dalam hubungan ini, satu lagi perkara yang wajar diambil oleh para mufti menurut al-Qardawi iaitu sikap tidak tergesa-tergesa mengeluarkan fatwa dan bergegas pula memberikan jawapan kepada setiap soalan.

Para fuqaha’ pada zaman silam jarang sekali menghasilkan fatwa-fatwa yang janggal. al-Qardawi menegur sikap pasif sebahagian mufti kerana “mengalamun diri kononya menguasai ilmu dalam semua perkara, tetapi kurang meraikan kewara’an, suka menjawab soalan soalan yang paling kusut, walhal Sayyidina ‘Umar al-Khattab menunjukkan satu sikap terpuji sebagai seorang pemimpin dan sekaligus seorang yang punya otoriti dalam agama Islam yang menghayati amalan syura dengan lain-lain sahabat yang diistilah sebagai ahli Badar bagi menyelesaikan soalan-soalan syara’ yang sukar dan sulit, maka beliau akan menghimpun semua kepada Sayyidina ahli Badar.” (al-Qardawi, al-Fatawa al-shazzah, Kahirah: 2010, ms. 8). (Yang dimaksudkan dengan Ahli Badar adalah para peneraju awal Islam yang terdiri dari para sahabat yang berjuang mengeakkan Islam dan sekaligus mereka juga adalah ilmuan-ilmuan yang berotriti dalam ha ehwal slam).Demikianlah ketelitiannya seorang sahabat utama Junjungan Muhammad (s.a.w.) dalam memutuskan kedudukan hukum.

Fatwa juga boleh menjadi janggal (shazz) apabila sesuatu fatwa dibuat oleh orang yang bukan ahlinya. Al-Qardawi menyatakan bahawa seorang mufti itu pada hakikatnya bertanggungjawab sebagai seorang nabi (yaqumu maqam al-nabiyy) dalam usaha menerangkan kepada orang ramai hukum hakam dan pengajaran Islam.

Justeru, seorang mufti tidak dibenarkan untuk mengeluarkan satu fatwa yang berkaitan dengan makhluk ciptaan-Nya, menguraikan halal dan haram, perkara yang disyara’kan atau tidak disyara’kan, kebaikan dan keburukan kecuali setelah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjadi seorang mufti.

Oleh yang demikian, bagi seorang mufti yang punya credential atau thiqqah, harus mempunyai penguasaan ilmunya dalam disiplin al-Qur’an dan al-Sunnah, penguasaan bahasa ‘Arab, ilmu usul al-fiqh dan maqasid shari’ah, qias dan ‘ilal (sebab), ijma’ dan ilmu khtilaf adalah penting untuk menjamin pengistanbatan hukum yang tidak dapat digugat oleh sesiapa Selain penguasaan ilmu-ilmu Islam warisan (al-turath) dan kontemporari (al-mu’asar), bagi seorang mufti, ia hendaklah mempunyai rasa takut terhadap Allah (swt), iltizam dengan hukum-hukum-Nya serta berakhlak mulia. (al-Qardawi: ms.26). Imam Shafi’yy (r.h) dalam satu pandangan yang dipetik oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Kitab al-Faqih wa al-Mutafaqqih berkata:

“Seseorang itu tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali mereka menguasai Kitab Allah dengan penguasaan ilmu nasikh dan mansukh, muhkam dan mutashabih, ta’wil dan tanzil, makkiy dan madaniyy, penguasaan hadis dalam segala kategori, pengusaan bahasa Arab, sya’ir sya’ir Arab, ilmu ikhtilaf dan tidak kurang pentingnya, mufti mesti memiliki “al-malakah” (bakat semula jadi).

(al-Qardawi, ms.128).

Selanjutnya, dalam era perkembangan pesat ilmu pengetahuan, maka tidak wajar bagi seorang mufti mengandaikan dirinya tahu segala jenis ilmu. Walhal al-Qur’an membicarakan tentang tabii manusia yang tidak diberi keupayaan oleh Allah SWT mengetahui semua jenis ilmu. Allah SWT berfirman:

“..dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”

(Surah al-Isra’: 85).

Lihat sahaja amalan para sahabat Rasulallah (s.a.w) dalam pembuatan sesuatu hukum. Lazimnya mereka berhenti sejenak untuk memberi jawapan. Antara amalan terpuji mereka ialah kesukaan bertanya pendapat lain-lain sahabat. Al-Qardawi meminta para mufti banyak menelaah pelbagai rujukan sebelum membuat fatwa halal atau haram.

Meskipun seorang mufti itu sudah membuat rujukan muktabar, tetapi dalam hal khusus yang menyangkut dengan keperluan berlakuknya keringanan (rukhsah) untuk seseorang ataupun kelompok, maka pandangan-pandangan alternatif boleh dijadikan hujah. (al-Qardawi, al-Fatawa as-Shazzah, ms. 133).

Seperti yang disebut pada awal makalah ini, fatwa Tan Sri Harusani bercitra keras (shadid).

Hari ini, selain al-Qardawi, semakin ramai ulama dan cendekiawan Muslim seperti Syaikh Taha Jabir al-‘ilwaniyy, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr.Muhammad al-Zuhaili, Syaikh Rashid Ghannoushi, Dr.Hassan al-Turabi, Syaikh Ahmad al-Raysuni, Dr Jamal ‘Atiyyah dan lain-lain begitu memprihatinkan kepentingan ilmu fiqh dan fatwa yang dikeluarkan dapat dibina diatas prinsip “al-taysir” (membuka ruang yang lebih mudah), bukan bersifat “ta’sir” (menimbulkan lebih banyak kesukaran).

Al-Qardawi menggesa para fuqaha pada zaman ini mempraktiskan prinsip “al-taysir fil fatwa wa tabsyir fi al-da’wah” (mengintai ruang-ruang yang mempermudahkan sesuatu dapat berlaku dalam pembuatan fatwa serta menceriakan sebaran Islam). Dalam pembuatan fatwa, al-Qardawi menyarankan para fuqaha’ perlu menggunakan prinsip al-istislah dan al-istihsan jika tidak terdapat nas-nas qat’iyy. (al-Qardawi, al-Wasatiyyah al-Islam, Kahirah: 2008, ms. 45).

Inilah manhaj Nabawi dan para sahabah. Junjungan Muhammad (s.a.w) bersabda menurut riwayat Sayyidina Anas (r.a):

“Kamu hendaklah memudahkan segala sesuatu dan jangan menyulitkan, ceriakan dan jangan menakutkan).

Juga, sebuah lagi lagi hadis sahih dari Junjungan Muhammad (s.a.w) yang berbunyi:

“Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama hanif yang penuh dengan kesucian.

Firman Allah SWT:

“Allah menghendakki kemudahan bagimu, dan tidak kesukaran bagimu.”

(Surah al-Baqarah: 185).

Persoalan penting yang perlu kita ajukan, mengapa prinsip tersebut diperlukan dalam masyarakat dunia pada hari ini? Dalam hubungan ini, al-Qardawi memberikan beberapa rasional tentang keperluannya. Antaranya, syari’at Islam dibina diatas prinsip keringanan, menolak kesukaran, berciri rahmah dan bertolak ansur (samahah).

Sehubungan itu, para mufti dikehendakki memahami tabi’i peredaran zaman dan suasana persekitaran yang sentiasa berubah. Prinsip kemantapan (al-thawabit) dan keanjalan (al-mutaghayyirat) sangat penting difahami secara berimbangan.

Hakikatnya manusia moden sedang berhadapan dengan pelbagai pelbagi masalah baru yang lebih rencam dan rumit dari zaman silam. Al-Qardawi memberikan contoh tentang kedudukan bagi seorang murtad yang wajar dikenakan hukuman ringan dengan hanya bertaubat. Demikianlah juga dengan perbuatan minum arak. Hukuman ta’zir sudah memadai. (al-Qardawi, Khitabuna fi al-‘Asr al-‘Aulamah, ms. 137)

Institusi mufti di negara ini berperanan penting untuk membentuk fikrah Islam dalam kalangan rakyat dengan menggunakan pendekatan prinsip wasatiyyah.

Para mufti hendaklah mempamerkan hokum-hukum Islam yang realistik dengan mengaplikasikan fiqh al-waqi’ (fiqh realiti) semaksimum yang mungkin. Sebagai contoh, peranan Majlis Islam Eropah menampakkan satu kemajuan besar di bidang fatwa.

Para fuqaha’ di benua Eropah telah berjaya megeluarkan fatwa-fatwa penting yang bersifat “solving problem” dengan menggunakan pendekatan maqasid syari’ah (objektif syari’ah) dan ‘illah (sebab) dalam sesuatu hukum. Jadi, pembuatan fatwa berjalan secara tabii, bukan menunggu berlakunya sesuatu masalah.

Adalah jelas bahawa faktur utama yang menyebabkan kejayaan pembuatan fatwa di Eropah itu ialah kerana para fuqaha’ disana dapat menggabungkan ilmu warisan Islam (at-turath) dengan ilmu keislaman semasa (al-mu’asar).

Selain itu, mereka juga proaktif dengan wacana-wacana ilmu. Jadi, fatwa tidak menjadi jumud dan boleh dipersoalkan sehingga dijadikan mainan orang sebagai “fatwa songsang”.

Di Malaysia, kekerapan wacana ilmiah bagi mendapatkan pendapat pendapat baru (fikrat ‘ul mustajiddat) sangat kurang walhal para mufti amat perlu menghambat maklumat-maklumat terbaru. Kita melihat para mufti acap kali memberi respon secara sepontan dalam sesuatu permasalahan agama terutama yang berkaitan dengan persoalan aqidah dah dan hukum.

Selain pendekatan legalistik, para mufti sewajarnya serius mengambil pedekatan mendidik daripada menghukum. Pendekatan legalistik tanpa diikut serta dengan proses pembinaan ilmu di dalam masyarakat, akan hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan akhirnya perpecahan masyarakat semakin berlaku dengan meluas.

Inilah kesan buruk yang sedang kita rasai sekarang. Kecenderungan mengambil pendekatan keras (al-tanatu’) akan hanya mengundang kebinasaan. Inilah pesan Junjungan Muhammad (saas) keatas umatnya. Sabda Baginda:

“Binasalah orang orang yang bersangatan dalam membuat sesuatu perkara.”

(Hadis sahih).

Maknanya ketaksuban kepada satu pemikiran tanpa menggunakan hujah-hujjah yang kuat, membwa padah yang buruk. Beberapa pendekatan fiqh seperti yang disarankan oleh al-Qardawi wajar digunapakai dalam pembuatan hukum pada masa kini dan mendatang.

Sesungguhnya kegunaan pelbagai pendekatan fiqh iaitu fiqh al-awlawiyyat (fiqh menurut senarai keutamaan), fiqh al-muwazanah (fiqh perimbangan), fiqh al-maqasid al-syari’ah (fiqh maqasid), fiqh al-taghyiir (fiqh perubahan), fiqh al-waqi’ (fiqh realiti) dan fiqhat-ta’addudiyyah (Fiqh Kepelbagian) dapat memperkuat hujahan fatwa baru dalam isu-isu yang kompleks, antaranya, dalam subjek ketatanegaraan.

Rumusannya, fatwa Tan Sri Harusani tidak dapat dikategorikan sebagai multzam (boleh dipakai).Yang jelas, fatwa tersebut lebih bersifat peribadi. Sewajarnya, ia perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa kebangsaan kerana isu yang dibahaskan adalah merupakan persoalan-persolan penting iaitu pemberontak dan penghalalan darah mereka.

Justeru, ia perlu dirungkai secara rasional dengan merai’kan segala prinsip dan menggunakan manhaj syara’ yang komprehensif. Proses pembuatan hukum akan hanya berkesan jika ia dilakukan secara jama’i (berjamaah) bukan lagi fardi (individu).

Walluh’alam wa Rabbuna ‘l Musta’an.

*  Dr Muhammad Nur Manuty ialah bekas Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama  PKR dan kini menyandang jawatan sebagai Ketua Penerangan PKR 

 

 

Categories
NASIONAL

PKR tawar jadi orang tengah bantu selesai isu rampasan Bible

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 3 JAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan diri menjadi orang tengah bagi mempertemukan semua pihak yang terbabit dalam kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya isu berkenaan dapat diselesaikan segera.

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata PKR menyatakan rasa prihatin terhadap konflik yang berlaku dan berpendapat segala salah faham serta prejudis di kalangan sebahagian penganut agama Islam dan Kristian boleh diselesaikan secara praktis juga harmoni.

Nur-Manuty“PKR yakin pendekatan berhikmah dalam menangani isu keagamaan adalah cara terbaik bagi mengelakkan ketegangan antara penganut agama Islam dan Kristian di negara ini berterusan.

“Sesungguhnya, ketegangan hidup beragama adalah bertentangan dengan prinsip beragama, Perlembagaan Malaysia dan amalan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Muhammad berharap dialog dan rundingan yang bakal dianjurkan kelak dapat memberi kesedaran serta kefahaman berkenaan kepentingan budaya dialog antara masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR berkata, pertemuan berkenaan akan menjadi medan sesuai yang bersifat interaktif dan akan mengumpulkan pandangan secara objektif berkenaan keresahan serta kebimbangan sebenar masyarakat pelbagai agama untuk dicari penyelesaian terbaik oleh semua pihak.

Semalam, JAIS menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara dan merampas 300 Bible dalam bahasa Iban dan Melayu.

JAIS turut menahan dua pegawainya iaitu Pengerusi PBM, Lee Min Choon dan Setiausaha Agung, Simon Wong untuk dibawa ke Balai Polis Damansara Utama.

Pada masa sama, Dr Muhammad berkata, konflik dan ketegangan negara masa kini menampakkan dengan jelas bahawa perhubungan dan persefahaman rakyat Malaysia masih berada ditahap membimbangkan.

“Justeru, bagi mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku, PKR sentiasa menganjurkan supaya disuburkan budaya interaktif untuk mewujudkan iklim kondusif ke arah kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Mesir tidak patut halang Osama Morsi ke Malaysia

Dr Muhammad Nur Manuty - ketua penerangan PKR wacana melayu pasca PRU13SHAH ALAM 5 NOV : Kerajaan Mesir digesa membenarkan anak mantan Presiden Mesir yang digulingkan, Osama Morsi untuk ke luar negara bagi menyambung pelajarannya di Malaysia.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata tindakan menghalang keluar dari Mesir itu adalah bertentangan dengan prinsip Undang-Undang Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia.

Katanya, adalah tidak wajar Kerajaan Kudeta Mesir mengamalkan politik membalas dendam terhadap keluarga Dr Morsi yang digulingkan secara tidak demokratik.

“Apa hak kerajaan kudeta Mesir untuk menghalang beliau keluar dan menyambung pelajarannya di Malaysia, sedangkan itu adalah haknya.

“Jadi dia tidak sepatutnya dihalang kerana itu adalah tindakan yang ekstrem dan tidak munasabah serta tidak diterima masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, beliau mengingatkan Kerajaan Malaysia supaya tidak bertindak menghalang kemasukan Osama Morsi ke nagara ini.

“Kita harap Kerajaan Malaysia tidak terpengaruh dengan tindakan Kerajaan Kudeta Mesir dan perlu mengalu-alukan kehadirannya,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Osama dikatakan mahu menaiki pesawat Egypt Air ke Malaysia gagal melepasi pemeriksaan imigresen apabila namanya tersenarai antara individu yang tidak boleh keluar dari Mesir.

Osama yang mengulas tindakan Kerajaan Kudeta Mesir itu berkata, tindakan itu adalah satu lagi siri pelanggaran undang-undang dan pencabulan hak asasi.

Kehadiran Osama di Malaysia untuk menyambung pengajian bagi melengkapkan PhDnya dan tidak ada kaitan dalam sebarang urusan perbicaraan bapanya, Mohamed Morsi.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kalimah Allah : bukan alasan wujudkan ketegangan agama

isu kalimah allah

SHAH ALAM 14 OKT : Keputusan Mahkamah Rayuan menghalang Gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald bukan alasan mana-mana pihak mewujudkan ketegangan agama, permusuhan dan kebencian.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata ketegangan yang berlaku berhubung isu kalimah Allah yang menggunakan pendekatan rasis dan ekstrem dihentikan segara agar suasana tidak bertambah tegang.

Katanya, perlu diadakan pertemuan lebih kerap antara pimpinan agama, politik dan badan bukan kerajaan bagi mempertingkatkan toleransi dan hormat menghormati antara pelbagai agama di negara ini.

“Sebelum ini kurang berlaku pertemuan yang untuk mengurangkan rasa kecurigaan antara satu sama lain.

“Jika banyak pertemuan diadakan sudah pasti suasana agak tegang ini dapat dikurangkan,” kata Dr Manuty ketika dihubungi TVSelangor.

Kata Dr Manuty, dialog antara agama perlu diperbanyakkan bertujuan untuk memperbaiki ruang toleransi yang dibenarkan agar lebih memahami antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata keputusan mahkamah itu tidak sewajarnya menjejaskan hubungan baik antara agama di negara ini.

“Apabila mahkamah sudah membuat keputusan maka semua pihak perlu menghormati keputusan itu.

“Tetapi ini bukan alasan untuk hubungan antara agama menjadi tegang,” kata Dr Mujahid ketika dihubungi TVSelangor.

Kata Dr Mujahid, apabila pertemuan antara pimpinan agama diadakan ia dapat mengelakkan pihak rasis dan prejudis agama mengambil kesempatan mewujudkan suasana konflik agama.

“Kesan keputusan mahkamah itu diharap akan berterusan menjadi perbincangan dan menguatkan lagi azam melihat suasana kedamaian bagi meningkatkan usaha dialog dan sebagainya,” kata Dr Mujahid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 12092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor.

2. Peserta-peserta Bengkel Kenali Kampungku berkata penganjuran bengkel dan strategi baru Program Pembangunan Desa berada di landasan yang tepat untuk membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar.

3. Bidang agro pelancongan berpotensi untuk dimajukan di DUN Sekinchan sesuai dengan aktiviti masyarakat, sektor pertanian dan perkembangan industri hiliran di situ.

4. Pandangan Ulama Umno, Fathul Bari Mat Jahya mendakwa ‘tiada subsidi dalam Islam’ dan yang ada ‘adalah cukai’ adalah pandangan politik sempit yang tidak berlandaskan ilmu dan realiti masa kini kata Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

Categories
NASIONAL

‘Subsidi tiada dalam Islam’, pandangan politik sempit

fatul manutySHAH ALAM, 11 SEPT : Pandangan Ulama Umno, Fathul Bari Mat Jahya mendakwa ‘tiada subsidi dalam Islam’ dan yang ada ‘adalah cukai’ adalah pandangan politik sempit yang tidak berlandaskan ilmu dan realiti masa kini.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata walaupun tiada istilah subsidi semasa pemerintahan Islam dahulu namun itu bukan hujah kukuh untuk mendakwa tiada subsidi di dalam Islam.

“Fathul perlu belajar mendalami ilmu Islam sebelum mengeluarkan sebarang pandangan, kenyataan itu mentah dalam memahami konteks Islam dan siasah (politik),” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Dr Manuty berkata, pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab memberikan penekanan kepada kebajikan rakyat melalui pemberian bantuan kepada rakyat miskin.

“Adalah menjadi tugas kerajaan menjaga kebajikan rakyat melalui pemberian bantuan subsidi bagi mengurangkan bebanan rakyat,” kata Dr Manuty.

Sebelum ini ,Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dan Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainol Abidin turut membidas kenyataan Fathul yang mengelirukan orang ramai.

Fathul dalam satu tulisan beliau yang disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 8 September mendakwa kenaikan harga minyak dan harga barang adalah ‘ketetapan Allah’.

Minggu lalu, Kerajaan Umno-BN mengumumkan kenaikan harga Petrol Ron 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter manakala Ron 97 sebanyak 15 sen seliter.

Categories
NASIONAL

PKR desak putuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan tentera Mesir

logo-pkr

SHAH ALAM 15 OGOS: Kerajaan Malaysia patut memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim tentera Mesir sebagai bantahan terhadap kezaliman, pencabulan hak asasi dan kebebasan rakyat negara itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata masyarakat dunia patut mencontohi kerajaan Turki dan Tunisia yang mengutuk keras rampasan kuasa dan keganasan tentera Mesir.

“PKR mengutuk keras pembunuhan ratusan penyokong Mohamed Morsi, Presiden sah negara Mesir yang dilakukan oleh tentera negara itu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Nik Nazmi berkata, keganasan tidak boleh dijustifikasi untuk menyelesaikan perselisihan politik dan perbuatan regim tentera menjejaskan usaha perdamaian.

“Kerajaan Barat kebanyakannya berdiam diri terutama Amerika Syarikat yang terus mengiktiraf rejim tidak sah dan membekalkan berbilion dolar untuk bantuan tentera yang membenarkan tragedi malang ini berlaku.

“Ini menguatkan pandangan bahawa retorik Barat tentang demokrasi akan sentiasa mengecualikan pergerakan Islam yang sah.

“Kesannya ialah bertambah ketegangan hubungan dan radikalisasi penganut agama di dunia ini,” katanya.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty pula, berkata kerajaan Malaysia sekurang-kurangnya wajar memanggil duta rasmi kerajaan Mesir untuk memberi penjelasan terhadap keganasan itu.

Beliau berkata tindakan itu perlu bagi menunjukkan bantahan rasmi kerajaan Malaysia terhadap kezaliman regim tentera Mesir, sekali gus mengelak perang saudara di negara itu.

“Kerajaan Malaysia perlu bekerjsama dengan masyarakat (Islam) antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian dan menamatkan keganasan di Mesir,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

-FZL