Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 36 kes baharu, terendah sejak PKP, makin ramai sembuh

SHAH ALAM, 20 APRIL: Perkembangan positif terus ditunjukkan negara ini dalam memerangi Covid-19 apabila kes positif harian sebanyak 36 kes iaitu jumlah paling rendah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 98 kes yang pulih dan dibenarkan keluar pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 3,295 kes iaitu 60.74 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata jumlah keseluruhan Covid-19 di Malaysia sehingga hari ini berjumlah 5,425 kes.

“Penurunan jumlah kes harian yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes dijalankan terutama dalam tempoh dua minggu lalu.

“Ini merupakan bilangan kes harian yang paling rendah direkod setakat ini. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,041 kes,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata jumlah atau bilangan kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan.

Katanya pengesanan itu dilakukan ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian dicatatkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kekal 89,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Cara jangkitan belum jelas

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Cara jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) belum diketahui dengan jelas, meskipun kes yang dikesan setakat ini mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat bukti yang menunjukkan berlakunya penularan daripada seorang individu kepada individu yang lain, khususnya dalam kalangan kontak rapat.

Sehubungan itu katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu, melalui maklumat daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga KKM, akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya, dilaksanakan secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai khususnya pelancong, sama ada semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia, untuk mengamalkan beberapa langkah pencegahan termasuk ​​​memastikan tahap kebersihan diri yang tinggi, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pensanitasi tangan.

Katanya semasa dalam tempoh lawatan, orang ramai perlu sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung, serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu, selain mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang menunjukkan simptom.

“Elak melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan dan elak memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna,” katanya.

Noor Hisham berkata, orang ramai turut dinasihati segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan tersebut.

“Maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” katanya.

– BERNAMA