Categories
AGENDA NASIONAL

Kes harian turun paras 4,000, 14 kluster baharu dikesan

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Jumlah kes baharu harian Covid-19 dalam negara menurun kepada 4,915 kes hari ini, selepas mencatatkan angka melepasi 5,000 untuk tiga hari berturut-turut, menjadikan jumlah kumulatif 2,865,984 kes setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 39 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua.

“Daripada 4,915 kes itu, sebanyak 188 adalah kes import dan 4,727 kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 120 kes dan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,056 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini ialah 2,780,771 orang.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 kluster baharu direkodkan dengan 301 kluster masih aktif setakat ini.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.14 dengan Negeri Sembilan dan Putrajaya masing-masing merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.20 setakat semalam.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 naik 3,684 kes, 99.1 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kes baharu COVID-19 terus meningkat hari ini kepada 3,684 kes berbanding 3,198 kes semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,798,917 setakat 12 tengah hari tadi.

Angka tersebut adalah tertinggi dalam tempoh dua minggu sejak 30 Dis lepas yang mencatatkan 3,997 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes sembuh pula mencatat 3,292 kes, menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,726,891 kes.

“Daripada 3,684 kes harian dilaporkan hari ini, 34 kes (0.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,650 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 192 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 91,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lapan kluster baharu turut dikenal pasti dengan 178 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.99, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 470 kes seperti dimaklumkan semalam kerana tiada pertambahan kes baharu dilapor setakat 3 petang ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan turut mengesan empat kes penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana itu yang merangkumi dua kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan dua kes penyakit kulit.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 meningkat 3,543 kes hari ini

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Kes baharu COVID-19 terus meningkat hari ini kepada 3,543 kes berbanding 3,270 kes semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,776,699 setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 53 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala, 3,490 kes lagi ialah kategori satu dan dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 253 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 130,” katanya menerusi satu kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 hari ini.

Mengenai jumlah kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 3,484 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu adalah 2,705,292 kes.

Beliau berkata tujuh kluster baharu turut dikenal pasti dengan 190 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.97, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes COVID-19 baharu melibatkan mangsa banjir, dan jumlah kes kekal 465 kes.

Beliau berkata 33 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir terdiri daripada 22 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut, penyakit kulit (10) dan Acute Gastroenteritis (satu).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: Dr Noor Hisham gesa orang ramai terus patuh SOP

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Perjuangan melawan penularan Covid-19 belum berakhir, sebaliknya Malaysia kini menuju ke arah fasa endemik atau di medan perang baharu dengan strategi baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setelah lebih banyak kelonggaran diberikan dan rentas negeri dibenarkan, beliau menggesa agar orang ramai terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan garis panduan ditetapkan kerajaan serta mengamalkan norma baharu.

Beliau berkata Malaysia berjaya menjauhi musibah seperti yang dilihat di banyak negara di serata dunia, bagaimanapun kita belum lagi keluar daripada bahaya dan hanya boleh memenangi ‘peperangan’ ini jika seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersatu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk mematuhi SOP.

“Setiap daripada kita perlu memainkan peranan untuk memastikan Keluarga Malaysia selamat daripada Covid-19. Prinsip panduan kementerian adalah jelas dan tanggungjawabnya kini adalah kepada rakyat untuk melaksanakannya.

“Dunia tidak akan sama lagi. Kita semua perlu belajar bahawa setiap tindakan individu mempunyai kesan terhadap bagaimana kita menguruskan Covid-19 dalam masyarakat. Kita perlu membiasakan dan menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam kehidupan kita.

“Marilah kita membantu antara satu sama lain untuk memastikan insan tersayang terutama mereka yang mudah terjejas berada dalam keadaan selamat, pastikan Malaysia selamat dan mendapat kemenangan di akhir peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau malam tadi.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perjalanan rentas negeri dibenarkan berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksinasi.

Hujung minggu ini dijangkakan lebih banyak pergerakan rentas negeri apabila ramai yang ingin pulang ke kampung halaman, justeru Dr Noor Hisham mahu rakyat merancang dan melakukan apa yang perlu untuk mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu seperti memastikan semua orang mengamalkan penjarakan fizikal dan melakukan sanitasi di kawasan yang biasa disentuh secara berkala.

Dalam pada itu, beliau turut memberi penghormatan dan penghargaan kepada semua kakitangan barisan hadapan dan mereka di belakang tabir yang telah memainkan peranan penting dalam melandaikan keluk.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua di Kementerian Kesihatan, bekerja sebagai pasukan menuju matlamat yang sama untuk mengawal penularan Covid-19 di negara yang kita cintai ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lengkap dos vaksin bantu lima negeri kurangkan kes ICU

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Suntikan dos lengkap vaksin Covid-19 yang meningkat dalam kalangan populasi dewasa di lima negeri berjaya membantu menurunkan kes kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital di negeri terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata suntikan dos lengkap itu juga telah mengurangkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi ketiga-tiga kategori di semua negeri terlibat iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kita mendapati apabila liputan dos lengkap vaksin Covid-19 dalam kalangan populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Labuan mencapai 63.4 peratus, Sarawak (55.7 peratus), Negeri Sembilan (40.1 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus), terdapat penurunan bagi kemasukan kes kategori tiga hingga lima ke hospital dan ICU.

“Negeri-Negeri lain pula belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan liputan dos lengkap masih kurang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata trend penurunan itu turut dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

“Selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, kita dapati pada minggu ke-30, kes kemasukan kategori empat dan lima ke hospital semakin menurun dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Selain itu, kita lihat kes kemasukan individu berusia antara 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi berjaya menurunkan kes ke hospital dan penggunaan katil-katil di ICU,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata simptom keparahan dialami mereka yang dijangkiti juga rendah apabila hanya tiga kes daripada petugas kesihatan yang dijangkiti virus itu berada dalam kategori lima iaitu dua daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih dirawat di ICU serta diberi bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa daripada sejumlah 21,468 jangkitan baharu Covid-19 yang dilapor hari ini, hanya 2,703 kes atau 12.6 peratus telah lengkap divaksinasi.

Katanya kes aktif pula ialah 241,187 manakala seramai 1,075 pesakit kini dirawat di ICU dengan 537 orang memerlukan bantuan pernafasan. Kes sembuh yang dilaporkan hari ini ialah 17,025.

Sejumlah 277 kematian dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kematian negara kini 11,968 orang, katanya sambil menambah terdapat 41 kluster baharu direkodkan, menjadikan kluster aktif kini berjumlah 1,293.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (RT) di Malaysia kini 1.05 dengan Perlis mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah dan Kelantan (masing-masing 1.20) serta Sarawak dan Pulau Pinang (1.17).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Segerakan dua dos vaksin di kawasan padat, cegah varian baharu

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan amaran, varian Delta yang disifatkan lebih ekstrem akan sentiasa bermutasi yang menyebabkan dunia kini dalam tempoh bahaya.

Varian Delta  yang dikesan  pada akhir 2020 di India, kini menghantui dunia apabila varian itu mengganas dengan kadar penularan yang pantas sehingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di banyak negara antaranya United  Kingdom (UK) dengan jangkitan varian Delta melebihi 82,000 kes diikuti India, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Portugal dan Sepanyol.

Varian Delta ini juga dipercayai menjadi punca lonjakan kes Covid-19 di Indonesia dengan kes jangkitan  yang direkodkan pada 8 Julai sebanyak 38,391 kes dan jumlah kematian melebihi 1,000 orang sehingga menyebabkan hospital di kepulauan Jawa berada pada tahap maksimum dengan bekalan oksigen yang rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi program The Nation bertajuk ‘Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ di Bernama TV pada Sabtu lepas berkata, lonjakan kes Covid-19 di Malaysia turut dibimbangi berpunca daripada penularan jangkitan varian Delta.

Berikutan perkembangan itu, usaha memperkukuh dan meningkatkan tindakan kesihatan awam sedang dilakukan bagi membendung penularan jangkitan daripada varian ganas ini.

Sehingga 30 Jun, hasil penjujukan genom, sebanyak 40 kes jangkitan Covid-19 varian Delta dikesan di negara ini.

Melihat kepada  situasi itu, apakah Malaysia mampu menangani penularan varian terbabit dalam tempoh sekurang-kurangnya menjelang akhir tahun ini, setelah negara mencatatkan kes harian positif Covid-19  melepasi angka 9,000 tiga hari berturut-turut iaitu pada 9 Julai sebanyak 9,180 kes, 10 Julai dengan 9,353 kes dan 9,105 kes direkodkan pada 11 Julai.

Menurut Ketua Unit Penyakit Berjangkit Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Rosnida Mohd Noh, penularan wabak Covid-19 daripada varian Delta boleh dikawal sekiranya dua dos vaksin Covid-19 ke atas penerima dapat dilengkapkan segera.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menggandakan usaha meningkatkan kapasiti suntikan dua dos vaksin kerana cara tersebut dilihat sebagai langkah terbaik bagi meningkatkan imuniti penerima vaksin sekali gus sebagai benteng pertahanan badan untuk melawan wabak berkenaan.

“Untuk melandaikan penularan sekarang, ‘ubat’ yang paling berkesan adalah vaksin. Tetapi untuk selamat, sebenarnya tidak cukup satu dos, kita perlu dua (dos) vaksin.

“Bagaimanapun, kita juga tidak boleh mengatakan individu lengkap dua dos tidak akan dijangkiti langsung. Mereka ini masih boleh dijangkiti, cuma 88 peratus tidak bersimptom dan 96 peratus tidak perlu masuk ke hospital,’’ katanya kepada Bernama.

Langkah ini  sekali gus  akan dapat mengurangkan kapasiti hospital yang kini berada dalam keadaan genting berikutan jumlah kes yang tinggi terutama di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jelas beliau, pemberian dua dos vaksin ini perlu disegerakan khususnya di kawasan yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi bagi membendung penularan virus selain dapat mengelak pembentukan varian baharu.

Setakat Jumaat (9 Julai) lepas, sebanyak 3,190,789 orang atau 10 peratus penduduk di negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan bermula Februari lepas.

Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin dipetik berkata, bagi penduduk dewasa, 30 peratus menerima dos pertama manakala 13.6 peratus melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Hasil kajian Public Health England pada April dan Mei, menunjukkan kadar keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap varian Delta adalah 88 peratus, iaitu dua minggu selepas dos kedua diberi.

Sementara itu, dua dos vaksin AstraZeneca mempunyai kadar keberkesanan 60 peratus terhadap simptomatik penyakit daripada varian Delta.

Dr  Rosnida berkata, varian Delta ini dilaporkan 60 peratus lebih mudah berjangkit berbanding virus asal Covid-19 dan keadaan itu amat membahayakan kerana ia boleh menyebabkan sistem kesihatan awam negara lumpuh sekiranya tiada  langkah komprehensif diambil.

‘’Varian Delta terlalu cepat merebak, sistem kesihatan pun ketika ini  dalam keadaan darurat. Selain vaksin, usaha lain yang perlu digandakan ialah membuat ‘test and trace’ sebagai langkah awal membendung jangkitan wabak ini.

‘’Rakyat juga  perlu memainkan peranan, kerana sifatnya yang cepat merebak itu janganlah kita berkumpul dan untuk situasi ini juga, ziarah Aidiladha perlu ‘dikorbankan’, demi keselamatan semua,’’ katanya.

Selain varian Delta, dunia kini turut diancam kebimbangan dengan penemuan  varian baharu, Lambda yang dikatakan lebih berbahaya dan mungkin kebal terhadap vaksin.

Varian Lambda yang dikenali sebagai C.37, pertama kali dikesan di Peru dan mengakibatkan jangkitan lebih 80 peratus kes di negara itu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 rekod 3,120, Lembah Klang catat lebih 1,000

SHAH ALAM, 4 MEI: Kes positif baharu Covid-19 naik kembali atas angka 3,000 apabila sebanyak 3,120 kes direkodkan hari ini berbanding 2,500 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan 420,632 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitternya berkata daripada jumlah itu Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 675 kes diikuti Sarawak (620) dan Kuala Lumpur (408)

Ia kemudian diikuti Johor merekodkan 336 kes, Kelantan (296) ; Pulau Pinang (167); Kedah (155); Perak (117); Negeri Sembilan (95); Sabah (89); Terengganu (53) ; Melaka (52) serta Pahang (41).

Pada masa sama Putrajaya merekodkan sebanyak 11 kes diikuti Labuan (5) sementara Perlis tiada kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar guna kapasiti kesihatan naik ke tahap membimbangkan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri dan Wilayah Persekutuan di Lembah Klang mutakhir ini adalah amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 itu berterusan, kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus. Ini berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini, sebanyak 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit Covid-19 di Lembah Klang sahaja.

Terdapat tujuh hospital dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk satu hospital universiti di Lembah Klang yang merangkumi negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 277 katil kritikal (ICU) diperuntukkan bagi pesakit Covid-19dan bukan Covid-19untuk negeri-negeri Lembah Klang dan daripada jumlah itu, sebanyak 152 katil kritikal dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan terkini telah mencapai lebih 88 peratus.

“KKM memantau penggunaan dan ketersediaan katil kritikal/ICU dan bukan kritikal bagi pesakit Covid-19 di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi tempoh 1 Jan 2021 hingga hari ini (1 Mei), kadar insiden kes Covid-19 di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk ialah sebanyak 872. Tiga negeri yang mencatatkan kadar insiden kes tertinggi ialah Kuala Lumpur (1,583), diikuti Selangor (1,486) dan Putrajaya (1,140).

Nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) terkini Malaysia ialah 1.14 manakala nilai Rt Selangor (1.20), Kuala Lumpur (1.16) dan Putrajaya (1.0). Ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0, kata Dr Noor Hisham.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Unit bergerak vaksin Covid-19 KKM diaktifkan

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Unit bergerak bagi pemvaksinan Covid-19 akan diaktifkan untuk memvaksin golongan warga emas dan kumpulan rentan yang berhadapan isu untuk ke pusat vaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata golongan ini perlu mendaftarkan diri bagi pemvaksinan terlebih dahulu agar usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dapat digerakkan bagi tujuan tersebut.

Katanya, petugas Pusat Kesihatan Daerah (PKD) akan membuat penilaian terhadap golongan berkenaan bagi membolehkan usaha memvaksin mereka yang dijadualkan dalam Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Sekarang kita mempunyai mobile unit (sedia ada), yang merupakan sebahagian dalam program vaksinasi KKM.

“Sebagai contoh, kita tidak mengharapkan Orang Asli untuk datang kepada kita, kita akan datang kepada mereka (untuk vaksinasi),” katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 siri 3/201 secara dalam talian di sini hari ini.

Sesi kali ketiga itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM Dr Kalaiarasu Peariasamy dan Ketua Sektor (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Mohd Hanif Zailani.

Dr Noor Hisham berkata ini adalah salah satu inisiatif dalam memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan bagi Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus mencapai imuniti kelompok dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus daripada penduduk Malaysia divaksin.

Ia bertepatan aspirasi Pelan Imunisasi Kebangsaan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ yang mana proses vaksinasi di Malaysia bermatlamat memberi manfaat kepada semua rakyat.

Dr Kalaiarasu berkata kesemua mereka yang akan divaksin dibuat penilaian klinikal terlebih dahulu sebagai persediaan rawatan kecemasan dan meminimumkan risiko kepada individu terlibat.

Beliau turut memberi jaminan setiap kelompok vaksin yang akan digunakan dipantau mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melalui proses kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara, manakala pemantauan kesan sampingan susulan imunisasi akan dilakukan KKM.

Pemvaksinan Covid-19 adalah secara sukarela dan diberikan percuma kepada semua penduduk berusia 18 tahun ke atas sama ada warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan dalam tiga fasa dengan sasaran seramai 500,000 petugas barisan hadapan menerima vaksin untuk fasa pertama dari Februari hingga April, fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi dan fasa ketiga bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula Mei hingga Februari tahun depan.

Dr Mohd Hanif pula berkata untuk fasa pertama bermula 26 Feb ini, kira-kira 5,000 petugas dan sukarelawan dari pelbagai agensi telah melalui latihan secukupnya dan bersedia memulakan tugas.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata petugas media yang juga dianggap sebagai antara petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 akan dipertimbangkan untuk menerima vaksin bagi fasa pertama, sekiranya perlu.

“Pertama perkhidmatan kesihatan, kami akan lihat kepada perkhidmatan penting termasuk media untuk dimasukkan dalam fasa pertama, mungkin di akhir (fasa pertama),” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuh SOP kunci utama bendung Covid-19 – Dr Noor Hisham

KOTA BHARU, 31 JAN: Kepatuhan semua rakyat terhadap tatacara operasi piawai (SOP) adalah kunci utama dalam membendung penularan Covid-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata apa yang penting bukanlah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat tetapi kepatuhan kepada SOP.

“Sekiranya tiada urusan penting, duduk di rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini.

Beliau mengakui terdapat kelonggaran syarat dalam pelaksanaan PKP kali ini berbanding pada Mac tahun lepas dan berharap rakyat dapat memainkan peranan dalam usaha mengurangkan jangkitan Covid-19.

“Kita faham ada kelonggaran sebab kita kena lihat kepada kesihatan dan juga ekonomi. Jadi kedua-dua faktor ini perlu keseimbangan. Itu yang penting supaya kita boleh kawal kes dan juga menjalankan ekonomi,” katanya.

Ditanya kemungkinan PKP disambung selepas 4 Feb ini, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan hanya memberikan nasihat dan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan sewajarnya.

“Jadi untuk mendapatkan kata putus, kita akan berbincang semula dengan melihat kepada tindakan yang sesuai. Sekarang ini kita lihat Selangor catat kes harian yang tinggi. Jadi adakah kita akan bersasar ke Selangor sahaja, maka kita akan bincang dalam MKN,” katanya.

Mengulas lawatannya ke Kelantan, beliau berkata fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit Covid-19 di negeri itu masih mempunyai keupayaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik namun aspek sumber manusia dan peralatan perubatan perlu dipertingkat.

“Setakat ini, kita masih belum lagi untuk meningkatkan PKRC memandangkan sekarang ini kita tengok PKRC di Putik ini pun tak penuh lagi dan masih ada keupayaan tetapi jika perlu, kita boleh tingkatkan lagi di daerah lain.

“Kita ada ruang contohnya di Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai, masih ada lima unit rawatan rapi yang kosong. Jadi apa yang kita perlukan ialah peralatan dan juga kepakaran serta jururawat terlatih untuk ditempatkan di situ,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Setahun negara dibadai Covid-19, KKM tetap giat perangi pandemik

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Genap setahun negara dilanda badai Covid-19, warga Kementerian Kesihatan (KKM) tetap komited dan bekerja tanpa putus asa dalam memerangi pandemik yang boleh membawa maut itu.

Dalam tulisa di laman Facebooknya, KKM menyatakan kerja tetap diteruskan seperti biasa oleh semua pengurusan tertingginya dan juga barisan hadapan KKM yang berjuang di hospital, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), CAC (Pusat Penilaian Covid-19) dan klinik seluruh negara.

Tulisan itu turut menyatakan Mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC Kebangsaan hari ini secara maya diadakan hari ini melibatkan semua Pengarah Kesihatan Negeri di seluruh negara.

“Fokusnya adalah melihat kepada strategi dalam menangani Covid-19 dan memperkukuhkan 213 Covid-19 Assessment Center, CAC di seluruh negara,” menurut tulisan itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan timbalannya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali serta Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood adalah antara yang menghadiri mesyuarat itu.

KKM mengimbau kembali kes pertama wabak itu yang dilaporkan di Malaysia membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

“Mereka yang terlibat dalam tiga kes pertama positif di Malaysia itu adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura. Mereka kemudiannya dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Hari ini, kes di Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan, sejumlah 678 orang telah meninggal dunia dan seramai 141,446 (77 peratus) orang telah sembuh daripada virus ini.

Pasukan Covid-19 Hospital Sungai Buloh juga mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020, selain beberapa anugerah lain yang diterima KKM dalam menguruskan Covid-19, katanya.

“Doakan agar semua barisan hadapan KKM diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh yang tidak nampak ini. Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus Covid-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini,” menurut tulisan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan Facebooknya menyatakan kesedihannya kerana sudah setahun Malaysia berdepan pandemik berkenaan.

“Ini menyedihkan saya hari ini, kita telah bertahan selama satu tahun bertempur melawan Covid-19 di negara kita. Pengakhirannya yang tidak diketahui. Namun, walaupun kepenatan mental dan fizikal, kita semua perlu terus bertugas. Semua orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita bersama.

“Tinggal di rumah jika anda tidak mempunyai masalah mendesak di luar. Bersama-sama kita memutuskan rantaian penularan Covid-19. Kita mesti bersatu dan bersama-sama kita terus berjuang,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menasihati orang ramai agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), memakai pelitup muka dengan betul, mencuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal kerana setiap individu harus memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pusat penilaian Covid-19 dijangka mula operasi minggu depan

PUTRAJAYA, 21 JAN: Pusat penilaian Covid-19 dijangka memulakan operasi minggu depan untuk menyelaras serta mengintegrasi hospital awam dan swasta dalam menguruskan kes pandemik berbahaya itu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada Sabtu depan, pihaknya akan mengadakan perbincangan ketiga dengan hospital swasta untuk meneliti butiran dan pelaksanaan teknikal bagi pusat itu.

“Kami akan membincangkan semua isu yang ada dan cuba menyelesaikannya selain menyelaras proses kerja dalam rundingan meja bulat antara sektor awam dan swasta.

“Jadi kami berharap apabila kami menubuhkan pusat penilaian Covid-19 itu, sesetengah kumpulan pesakit boleh diuruskan oleh sektor swasta,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sejak gelombang kedua Covid-19 melanda negara ini, sektor swasta sudah menghulurkan bantuan kepada kerajaan termasuk menggerakkan pakar dan kakitangan mereka untuk bertugas di Hospital Sungai Buloh.

Dr Noor Hisham berkata penyelarasan yang bakal dilakukan bukan hanya dari segi pengurusan pesakit Covid-19 malah mereka turut melihat kepada pusat haemodialisis kerana kebanyakan kes haemodialisis bergantung kepada sektor kesihatan swasta.

“Sebagai contoh di Tawau, Sabah, kakitangan swasta di sebuah pusat haemodialisis telah dijangkiti dan dikuarantin namun perkhidmatan perlu diteruskan kerana jika tidak, pesakit tidak mempunyai akses kepada haemodialisis.

“Justeru, kami daripada sektor awam telah menghantar kakitangan kami untuk mengendalikan perkhidmatan di sana,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka meningkatkan kapasiti makmal Covid-19 yang menjalankan ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (RT-PCR) antara 100,000 hingga 150,000 setiap hari.

“Setakat ini, kita mempunyai 68 makmal yang menjalankan 70,000 ujian RT-PCR setiap hari dan keupayaan makmal ini akan dipertingkat. Kita juga akan tambah saringan Covid-19 dengan menggunakan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag),” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), universiti swasta serta makmal swasta diperlukan bagi meningkatkan kapasiti makmal.

“Kami menggalakkan pihak swasta untuk tampil dan membantu meningkatkan kapasiti makmal… kita perlu memaksimumkan penggunaannya,” kata beliau.

Mengulas peningkatan kes dan kluster yang mempunyai kaitan dengan pengebumian, Dr Noor Hisham berkata KKM mengesyorkan agar majlis itu tidak dihadiri lebih 20 orang bagi mengelak potensi dijangkiti.

“Sememangnya kami faham bahawa majlis pengebumian mempunyai kaitan dengan kesensitivitian budaya malah agama yang juga merupakan satu situasi penuh emosi namun kami berharap mereka yang terlibat akan mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) ditetapkan dan mendapatkan permit polis terlebih dahulu,” katanya.

-BERNAMA