Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Lima kes baharu, lima pesakit sembuh

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebanyak lima kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan satu daripadanya jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara yang masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bakinya adalah penularan tempatan yang turut membabitkan seorang bukan warganegara kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

“Tiga kes lagi dalam kalangan warganegara Malaysia iaitu satu kes saringan prapembedahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor manakala baki di Sarawak membabitkan kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-8732 dan saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan.

Beliau berkata lima pesakit sembuh menjadikan jumlah yang pulih 8,526 kes sehingga jam 12 tengah hari tadi dengan 86 kes aktif kebolehjangkitan.

Tambah beliau, lima kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kematian kekal 122 orang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

46,713 kes denggi setakat 30 Mei – CPRC

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Sejumlah 46,713 kes denggi dilaporkan dari 29 Dis tahun lepas hingga 30 Mei tahun ini, demikian menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia Bagi Tahun 2019 dan 2020.

Angka dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Negara (CPCR) Kementerian Kesihatan menunjukkan penurunan sebanyak 6,228 kes (11.8 peratus) berbanding 52,941 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Laporan itu turut menyebut bahawa tidak kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-22 (24-30 Mei) 2020 dengan jumlah kumulatif 82 kematian berbanding 81 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Sepanjang minggu ke-22 dalam tahun 2020, sejumlah 1,625 kes denggi telah dilaporkan yang menyaksikan penurunan sebanyak 8.8 peratus berbanding minggu sebelumnya,” menurut laporan yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau hari ini.

Setakat minggu ke-22 tahun ini, Selangor mempunyai angka tertinggi kes denggi iaitu 26,943 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (4,617) serta Johor (4,111).

Laporan CPRC turut menyatakan bahawa 48 kes Chikungunya dilaporkan sepanjang minggu ke-22 dengan jumlah keseluruhan 596 kes dicatatkan dari 29 Disember tahun lepas hingga 30 Mei 2020.

Menurut laporan itu, Pengawasan Zika dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 29 Dis 2019 hingga 30 Mei 2020 manakala saringan dilakukan ke atas sampel darah dan air kencing individu dengan gejala disyaki namun tiada kes positif zika dilaporkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengorbanan petugas CPRC perlu dihargai – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Petugas Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) adalah antara pekerja di belakang tabir yang perlu dihargai kerana mereka turut bertugas sepanjang musim perayaan serta mengorbankan masa bersama keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak berlakunya pandemik Covid-19, masyarakat mula mengenali peranan penting yang dimainkan oleh CPRC khususnya dan Kesihatan Awam secara amnya.

“Semua pihak perlu mengambil berat akan kepentingan kesihatan awam. Petugas CPRC juga mengumpul, menganalisis dan melapor data harian semua kejadian wabak dan bencana di seluruh negara yang diterima dari lapangan bagi pelaporan setiap hari.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua petugas CPRC di seluruh negara yang bertungkus lumus siang malam, tujuh hari seminggu termasuk cuti umum dan hujung minggu bagi merancang, menyelaras dan melaksana pelan kesiapsiagaan dan respons KKM di peringkat ibu pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, hospital, klinik dan lapangan,” katanya

Dr Noor Hisham melalui Facebook rasminya berkata, beliau sempat meluangkan masa bersama petugas CPRC negeri dari seluruh negara melalui sesi sidang video sebelum Mesyuarat Harian CPRC pada petang tadi.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Kluster baharu DTI di kesan di Sepang

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu Covid-19 dengan enam kes di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, Selangor, iaitu kluster ketiga melibatkan DTI.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata KKM mengesan kewujudan satu kluster membabitkan warga asing di DTI di Semenyih, Selangor dengan 21 daripada 1,752 sampel yang diambil disahkan positif Covid-19.

Terdahulu, 60 kes COVID-19 dikesan di DTI Bukit Jalil.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KKM dalam proses mengambil sampel pendatang tanpa izin di DTI Bukit Jalil dan Semenyih melibatkan 3,000 individu yang turut merangkumi petugas dua depoh tersebut.

Katanya mereka yang didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Awas, polis jengah kediaman ‘meriah’ waktu raya

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Jangan terkejut apabila ada anggota polis datang memeriksa rumah anda sewaktu sambutan perayaan nanti.

Ini kerana polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa sambutan perayaan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan ziarah dipatuhi.

Hal ini diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada Selasa yang antara lain dilaksanakan dalam usaha pihak berkuasa mengawal penularan Covid-19 di samping pematuhan masyarakat terhadap SOP sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kerajaan sebelum ini menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi semasa perayaan yang akan dirai dalam masa terdekat ini hanya pada hari pertama sambutan dan terhad kepada 20 orang, bergantung pada saiz kediaman.

Tidak cukup dengan itu, polis juga akan bertindak tegas termasuk mengenakan kompaun terhadap individu yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, ini kerana tindakan segelintir individu yang melakukan perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah hanya mengganggu pergerakan petugas barisan hadapan yang kini berusaha mengekang penularan Covid-19.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan perkhidmatan perlu untuk sampai ke destinasi tertentu.

Selain kunjung mengunjung dan balik kampung, pastinya aktiviti menziarah kubur juga antara topik hangat ketika ini, namun menurut kerajaan, SOP bagi aktiviti itu semasa Aidilfitri hanya akan dikeluarkan sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merasakan ada keperluan untuk berbuat demikian

Ismail Sabri berkata buat masa ini KKM hanya menasihati orang ramai supaya tidak menziarahi kubur seperti kelaziman yang dibuat setiap kali hari raya bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dalam komuniti.

Jika kesemua ini dipatuhi, besar kemungkinan, Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha melihat angka kes positif baharu Covid-19 berada pada jumlah kurang dari 10, tidak lama lagi.

Ini dijelaskan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa yang antara lain menyifatkan, pihaknya masih terus memburu sasaran itu dan melihat kepada tempoh dua minggu sejak awal bulan ini, kes-kes baharu Covid-19 memang tidak menampakkan kenaikan ketara, namun ia juga tidak berkurangan sepantas yang diharapkan.

Pelaksanaan PKP membolehkan angka jangkitan baharu kes postif penyakit itu berada pada dua digit, dan yang lebih penting ialah tiada lonjakan secara tiba-tiba dalam jumlah kes positif baharu yang dikesan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

“Shahir dan Mastura, anda wira kami” – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi menggunakan media sosial untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kementerian itu.

Kali ini ditujukan kepada Inspektor Kesihatan Shahir Razali dan Mastura Maznor yang beliau anggap sebagai wira, kerana mereka benar-benar menghayati slogan Kementerian Kesihatan ‘Kami Sedia Membantu’.

“Melayan insan dengan lemah lembut tanpa sempadan kaum atau agama. Inspektor kesihatan kami Shahir Razali telah menggendong mak cik warga emas berbangsa Cina ke pusat ujian Covid-19.

“Berpuasa pada bulan Ramadan dan memberikan khidmat kepada orang yang memerlukan ketika memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE), sesungguhnya anda adalah wira kami. Sangat bangga dengan anda berdua dan terima kasih,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya malam tadi.

Foto Sumber: Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

Bersama hantaran itu, turut dilampirkan dua gambar yang satu daripadanya sedang memikul wanita warga emas itu manakala seorang lagi sedang memegang walker dan imej kedua menunjukkan empat petugas barisan hadapan yang memakai sut PPE dengan tertera perkataan di sarung tangan mereka, We Love Malaysia, Stay Safe (Kami Sayang Malaysia, Kekal Selamat).

Sikap baik mereka itu juga berjaya menarik perhatian netizen yang memberikan pujian dan penghargaan di ruang komen, apabila hantaran itu menerima lebih 16,000 tanda suka dan 756 perkongsian dalam tempoh satu jam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 80 peratus pesakit tidak bergejala, bergejala ringan

PUTRAJAYA, 24 APRIL: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan, lebih 80 peratus daripada pesakit Covid-19 di negara ini adalah pada kategori 1 dan 2, iaitu yang tidak mempunyai gejala dan mempunyai gejala ringan.

Katanya, jika seseorang itu dapat di kesan pada peringkat awal dan kemudiannya disaring positif, beliau akan terus dimasukkan ke dalam wad dan akan dipantau, walaupun mereka tidak menunjukkan gejala.

“Lebih 80 peratus daripada pesakit kita adalah dalam kategori 1 dan 2, bererti kita dapat pantau (mereka) di hospital dan mungkin ada negara lain tidak dapat masuk hospital pun, hanya dipantau di rumah,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada komplikasi seperti pembekuan darah dan strok dikesan dalam kalangan pesakit seperti yang dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat.

Dr Noor Hisham menjelaskan, daripada segi perkembangan rawatan Covid-19, di Malaysia apa yang penting ialah mengenal pasti pesakit pada peringkat awal.

Katanya, terdapat lima kategori iaitu; tidak bergejala, bergejala ringan, radang paru-paru yang tidak memerlukan oksigen, radang paru-paru yang memerlukan oksigen, dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, ubat yang digunakan kepada pesakit yang mempunyai gejala ringan sebagai contoh, hydroxychloroquine, yang digunakan sejak hari pertama lagi.

“Tetapi kita kena pantau kesan sampingan ubat itu. Mungkin daripada segi rawatan, ubat di peringkat yang awal, kita dapat elakkan gejala yang lebih teruk lagi.

“Jadi kita nasihatkan mereka yang ada gejala ataupun ada kesan positif, kita akan masukkan mereka ke wad dan memantau mereka. Tetapi kalau mereka datang pada peringkat yang lewat, mungkin (ada) komplikasi daripada segi paru-paru, organ dalaman serta pendarahan,” katanya.

Dr Noor Hisham mengambil contoh kes seorang warga Myanmar berumur 36 tahun yang dilaporkan di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, telah meninggal dunia kerana datang pada peringkat yang lewat.

“Tidak sempat kita nak buat apa-apa pun, walaupun kita cuba beri bantuan pernafasan, pesakit itu meninggal dunia. Jadi kalau datang pada peringkat yang lewat, memang amat sukar untuk kita lihat.

“Jadi kita kena lihat post-mortem pula. Kita lihat post-mortem berbagai komplikasi berlaku. Komplikasi daripada jangkitan dan juga radang atau inflamasi,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata, dalam post-mortem itu juga mengenal pasti virus Covid-19 itu ada di permukaan kulit, cecair badan, air kencing dan juga organ-organ dalaman.

“Kalau kita tidak teliti dalam pengurusan mayat, boleh juga menjangkiti orang yang memandikan jenazah mangsa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Warga emas, pekerja asing diberi fokus saringan Covid-19

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang berkaitan, untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas penghuni rumah orang tua dan pekerja asing.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan ujian saringan di rumah orang tua, khususnya yang padat dengan penghuni.

Bagi pekerja asing pula, beliau berkata beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) tampil membantu KKM untuk melakukan ujian saringan serta menjejaki kumpulan itu.

“Kami menyedari sebilangan pekerja asing tidak tampil, jadi kami perlu bekerjasama dengan beberapa NGO dan akan terus meningkatkan perkhidmatan dari segi saringan, pengesanan dan penjejakan, ujian, pengasingan dan merawat mereka.

“Setakat ini belum ada kluster dalam kalangan pekerja asing,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa KKM telah menjalankan ujian saringan ke atas 465 individu di Pasar Borong Selayang, dan mendapati hanya tiga peratus atau 13 daripada pekerja asing didapati positif Covid-19.

Katanya, KKM akan terus meneliti kawasan berisiko tinggi terutama dalam komuniti yang mempunyai ramai pekerja asing.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 315 pesakit usia bawah 14 tahun positif Covid-19

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kira-kira enam peratus atau 315 daripada 4,683 pesakit Covid-19 di Malaysia merupakan golongan berusia di bawah 14 tahun, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 83 pesakit merupakan kanak-kanak di bawah usia empat tahun, dan jumlah sama direkodkan pesakit berusia lingkungan lima hingga sembilan tahun dan baki 149 lagi adalah pesakit berusia antara 10 dan 14 tahun.

“Jika pesakit kanak-kanak ini mendapat jangkitan sekali dengan ibu atau ayah mereka, pesakit akan ditempatkan di dalam wad atau bilik yang sama.

“Kalau kanak-kanak ini dijangkiti, sementara ibu bapa mereka tidak dijangkiti tetapi ibu bapa ingin menjaga anak mereka, kita benarkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata ibu atau bapa yang ingin menjaga anak mereka yang positif Covid-19, digalakkan untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Mengulas lanjut, beliau berkata golongan usia 20 hingga 24 tahun paling ramai dijangkiti Covid-19, iaitu seramai 526 orang, diikuti mereka berusia 25 hingga 29 tahun (495) dan pesakit berumur 56 hingga 59 tahun sebanyak 453 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Teka-teki status tempoh PKP dijangka terjawab hari ini

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Teka-teki status penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 14 April ini dilanjutkan atau tidak, dijangka terjawab hari ini.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman mengenai langkah berikutnya bagi membendung penularan Covid-19.

Kemungkinan juga berkaitan dengan status PKP yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia selepas mengharungi tempoh tiga minggu penguatkuasaan sejak 18 Mac lalu.

Kerajaan melaksanakan PKP dengan hasrat memutuskan rantaian penularan Covid-19, dengan fasa pertama dari 18-31 Mac, diikuti fasa kedua dari 1-14 April.

Setakat semalam perkembangan pandemik Covid-19 adalah memberangsangkan apabila seramai 121 pesakit disahkan pulih iaitu melebihi jumlah kes positif 109 direkodkan menjadikan keseluruhan kes positif ialah 4,228 kes, dengan 67 kematian.

Sementara itu kadar pematuhan PKP adalah 97 peratus setakat semalam dan polis mengeluarkan 95 notis kompaun RM1,000 setiap satu terhadap individu ingkar PKP.

Dalam perkembangan yang sama, jumlah keseluruhan zon merah di seluruh Malaysia ketika ini sebanyak 24 kawasan iaitu lokasi mencatat kes positif Covid-19 melebihi 41.

Sehingga kini, sebanyak empat lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), membabitkan Simpang Renggam (Johor), Hulu Langat (Selangor), dan tiga bangunan di Kuala Lumpur iaitu Menara City One, Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Simpang Renggam merupakan lokasi pertama di negara ini dikenakan PKPD berkuat kuasa 27 Mac lalu selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19 kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Selain itu, setakat semalam (9 April) tiga negeri terus mencatat jumlah kes positif Covid-19 tertinggi iaitu Selangor (1,118 kes), Kuala Lumpur (699 kes) dan Johor (503 kes).

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat secara keseluruhannya untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: Empat kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan empat lagi kes positif jangkitan Covid-19 di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan 29 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes ke-26 merupakan seorang lelaki berusia 52 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China, sekitar pertengahan Januari lalu.

Katanya, lelaki itu mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Februari lalu dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dari sebuah hospital swasta pada hari sama.

“Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan dan disahkan positif semalam dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala siasatan punca jangkitan dan pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata kes ke-27 pula merupakan seorang jururawat pelatih wanita berusia 20 tahun dan beliau menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24.

“Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, beliau telah dikenal pasti sebagai salah seorang dari kontak rapat kes berkenaan.

“Pada 21 dan 22 Februari lalu, beliau telah mengendalikan kes terbabit tanpa memakai sebarang peralatan perlindungan diri (PPE) dan pada 27 Feb beliau mengalami gejala batuk dan disahkan positif Covid-19 semalam. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes ke-28 merupakan seorang lelaki berusia 45 dan merupakan rakan sekerja kepada kes ke-25.

“Beliau bersama-sama dengan kes ke-25 dan seorang lagi rakan sekerja mempunyai sejarah perjalanan ke Milan, Itali, dari 15 hingga 21 Feb. Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan, beliau telah dikesan dan didapati mempunyai gejala sejak 26 Feb dan ujian Covid-19 disahkan positif pada 29 Feb lalu.

“Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya,” katanya.

Dr Nor Hisham berkata kes ke-29 melibatkan wanita berusia 35 tahun yang telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 21 Februari.

“Beliau telah ditempatkan di bilik berdua dengan kes ke-24, yang pada ketika itu belum diketahui dijangkiti Covid-19. Pada 25 Februari, beliau dibenarkan pulang ke rumah dan pada 27 Februari, beliau mula rasa tidak sihat namun tidak mendapatkan rawatan.

“Beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat kes ke-24 dan disahkan postif Covid-19 semalam dan kini di wad isolasi Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Dengan empat kes ini, Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif Covid-19 dalam negara adalah 29 orang, dengan 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj manakala tujuh lagi masih menerima rawatan.

Dalam pada itu, satu mesyuarat pengurusan kes disyaki dan pesakit Covid-19 di hospital dan klinik swasta telah diadakan di peringkat kebangsaan hari ini.

Mesyuarat itu mempertingkatkan lagi kefahaman pengamal perubatan swasta kepada situasi Covid-19 terkini serta memastikan pihak pengamal swasta bersedia dengan kesiapsiagaan dan respons dalam menghadapi situasi Covid-19 yang di luar jangkaan, katanya.

Orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai Covid-19 boleh menghubungi Infoline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) di talian 03-8881 0200 / 03-8881 0600 / 03-8881 0700 atau e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Wanita warga tempatan pulih, dibenarkan pulang

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Seorang wanita warga Malaysia berusia 40 tahun yang disahkan positif Covid-19 pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang petang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan wanita berkenaan adalah kes ke-13 yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan disahkan positif COVID-19 pada 5 Februari lepas.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini 18 dengan empat masih dirawat di wad dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan setakat 23 Februari lalu, secara kumulatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 22 kes Covid-19 termasuk 20 kes import atau dari luar iaitu kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari atau tinggal di luar negara, khususnya dari China.

Baki dua kes lagi adalah dalam kalangan ahli keluarga kepada satu daripada kes Covid-19 yang merupakan warga Malaysia.

“Mengambil kira dapatan ini, KKM telah bertindak proaktif dengan memperkukuhkan Survelan Covid-19 bagi mengesan kes dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sistem survelan ini mengguna pakai konsep yang sedia dilaksanakan bagi Sistem Survelan Influenza – iaitu melalui pengesanan kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan pengesanan kes influenza-like illness (ILI) yang memenuhi kriteria, masing-masing di peringkat hospital serta Klinik Kesihatan yang telah dikenal pasti,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini tiada sampel dikesan positif Covid-19 daripada sejumlah sampel diambil dan diuji melalui sistem survelan tersebut.

— BERNAMA