Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat Bangi positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming diuji positif Covid-19 pada Isnin.

Melalui Twitter, Ong berkongsi berita tersebut setelah memperoleh keputusan ujian kendiri pada 3.30 petang tadi dan perkara itu disahkan sekali lagi selepas keputusan ujian PCR sejam kemudian.

“Saya tidak mengalami sebarang gejala. Saya akan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari. Akan meluangkan masa sejam berikutnya untuk memaklumkan perkara ini kepada kontak rapat saya,” katanya.

Menurut Ong, beliau diuji negatif pada Rabu lepas di Parlimen dan tidak pasti bagaimana beliau boleh dijangkiti wabak berkenaan.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata tiada individu di Parlimen diuji positif Covid-19 pada sesi yang sedang berlangsung hari ini.

Semua yang hadir ke Parlimen termasuk ahli parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen Saliva secara rawak pada setiap Isnin dan Rabu.

Langkah itu sebahagian daripada tatacara operasi piawai (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 dan memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lima pusat vaksin Selvax tawar suntikan terus, percepat capai imuniti kelompok

SHAH ALAM, 4 OGOS: Lima pusat pemberian vaksin (PPV) bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) menawarkan suntikan pelalian secara terus kepada individu yang masih belum menerima janji temu mulai semalam.

Pusat itu membabitkan PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Penyelaras Program Operasi Lonjak Kapasiti berkata langkah itu memperbanyakkan lagi individu disuntik sekali gus membolehkan imuniti kelompok dibentuk lebih awal.

“Untuk warga asing, Selangor khaskan pada 10 hingga 13 Ogos ini bertempat di PPV Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya,” kata Dr Ong Kian Ming ketika Bual Bicara bertajuk Lonjakan vaksinasi Lembah Klang.

Program disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV.

Pada Jun lalu, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Rakyat Malaysia berhak sambut perayaan semua kaum

KAJANG, 20 JAN: Rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini berhak menyambut perayaan semua kaum, tegas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Dr Ong Kian Ming kesal terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuat tuduhan seolah-olah mahu memecah-belahkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

“Saya tegaskan Kerajaan Persekutuan sentiasa membuka ruang kepada semua kaum untuk mengeratkan hubungan melalui sambutan perayaan yang boleh mengukuhkan perpaduan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Pesta Ponggal Selangor di Kuil Sri Subramaniam di sini semalam.

Sementara itu, Kian Ming berbangga apabila Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sentiasa ke hadapan membawa agenda pelbagai kaum di negeri ini.

“Semoga lebih banyak program bermanfaat akan dianjurkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta memberi kelebihan kepada semua kaum di Malaysia,” kata ahli parlimen Bangi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengindustrian semula secara mampan, peluang bangun rantaian nilai global baharu

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Pengindustrian semula secara mampan memberi peluang untuk membangunkan rantaian nilai global baharu yang tidak boleh dilencongkan dengan mudah, selain peluang bagi membawa masuk amalan dan teknologi mesra alam sekitar terkini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, ia juga merupakan peluang untuk memperkenalkan teknologi Industri 4.0 bukan sahaja kepada sektor pembuatan malah sektor pertanian, perlombongan dan perkhidmatan.

“Apakah seterusnya matlamat pengindustrian semula secara mampan pada 2020 dan selepas itu? Sekurang-kurangnya, perindustrian sebagai komponen Keluaran Dalam Negara Kasar tidak akan terus berada di dalam aliran menyusut, diharapkan terdapat sedikit peningkatan dalam jangka pendek dan sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengindustrian semula adalah peluang bagi transformasi perindustrian pesat dan nilai tambah untuk meningkatkan sektor pembuatan ke tahap sofistikated dan kekompleksan seterusnya.

“Ini adalah peluang untuk menyediakan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran lepasan pusat pengajian tinggi kita,” katanya.

Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Rancangan Malaysia Ke-12.

MITI akan melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2021-2030 tahun ini, dengan strategi utama yang dilaporkan termasuk kajian komprehensif rangka kerja insentif supaya menjadi lebih sesuai untuk masa depan.

Komitmen Belanjawan 2020 oleh kerajaan termasuk menyediakan pakej RM1 bilion setahun bagi tempoh lima tahun untuk menarik syarikat Fortune 500 dan syarikat pemula niaga teknologi yang mencapai nilai pasaran AS$1 bilion ke Malaysia selain pakej RM1 bilion setahun selama lima tahun memudahkan syarikat tempatan melabur di luar negara.

Ong berkata Malaysia kini memiliki peluang yang unik untuk pengindustrian semula dan sekali lagi menjadi tumpuan syarikat dalam sektor pembuatan.

Tidak seperti tempoh yang lalu, Malaysia sekarang mempunyai kemampuan untuk lebih bersifat memilih pelaburan yang masuk ke negara ini, katanya.

“Pelabur akan berusaha memanfaatkan infrastruktur baik dan tenaga kerja kita yang mahir.

“Kita memerlukan pelaburan ini untuk mencapai kemampanan daripada dua perspektif – mereka (pelabur) mesti melabur di dalam negara ini untuk jangka panjang dan tidak boleh menimbulkan kesan negatif terhadap alam sekitar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi insentif cukai untuk syarikat tidak berkembang maju

PETALING JAYA, 26 SEPT: Syarikat yang diberikan insentif cukai tetapi gagal berkembang maju tidak lagi akan diberikan layanan sama jika terus beroperasi dengan cara sama, pada masa depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, perkara itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC).

“Terdapat cadangan dikemukakan pada waktu kami menubuhkan jawatankuasa (pembaharuan cukai), yang mungkin membabitkan insentif cukai ditawarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), misalnya.

“Kami bersetuju jika mana-mana syarikat mendapat kelulusan bagi insentif itu pada masa lalu, dan masih berada di takuk lama dan sedikit sebanyak bergerak ke hadapan, ia sepatutnya tidak meneruskan untuk insentif itu diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa diminta mengulas cadangan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram supaya kerajaan memansuhkan insentif cukai yang tidak lagi relevan.

Sidang media itu diadakan selepas Persidangan Industri 4.0 2019 Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) di sini, hari ini.

Semalam, Jomo dipetik sebagai berkata, Malaysia menawarkan insentif cukai sejak 1950-an dan sesetengah syarikat memanipulasi akaun mereka untuk terus menikmati insentif cukai itu.

“Kami tidak boleh menarik balik insentif yang diberikan, tetapi apa yang kami boleh lakukan adalah memperhalusi semula dasar insentif kami, untuk masa depan.

“Tetapi sekiranya mereka membawakan produk dan proses berteknologi tinggi dan pelaburan modal baharu, saya fikir perkara seumpama ini patut digalakkan,” kata Ong.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Malaysia sasar destinasi pilihan pelaburan berteknologi tinggi

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Malaysia menyasarkan untuk menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan berteknologi tinggi melalui Industry4WRD, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu Malaysia menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh bagi teknologi canggih di rantau ini.

“Dengan pelaksanaan tepat, kerajaan yakin menjelang 2025, kita akan dapat mencapai produktiviti tenaga kerja yang lebih baik dan meningkatkan sumbangan pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Selain itu, kita juga dapat meningkatkan kapasiti inovasi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Smart Manufacturing Expo 2019 (SMEX 2019), di sini hari ini.

Kian Ming berkata kerajaan sudah menggariskan strategi dan perancangan tindakan Industri4WRD untuk menyokong transformasi sektor pembuatan.

Beliau berkata, dasar itu bertujuan menyediakan ekosistem holistik yang memudahkan transformasi digital melalui lima pemboleh strategik iaitu pembiayaan, infrastruktur, rangka kerja pengawalseliaan, kemahiran dan bakat serta teknologi.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan banyak negara dalam mengguna pakai dan memajukan pembuatan pintar.

“Manfaat pembuatan pintar mempunyai implikasi meluas kerana mereka berpotensi membuat pembuatan lebih aktif dan responsif, mengurangkan masa henti peralatan dan mencapai kecekapan operasi dan kecekapan kos yang lebih baik,” katanya.

SMEX 2019, yang berakhir pada 30 Ogos ini, mempamerkan inovasi dalam semua bidang pembuatan dan perdagangan dalam peralatan mesin dan kerja logam, robotik dan automasi industri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia belum putuskan untuk ratifikasi CPTPP

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kerajaan masih belum memutuskan sama ada Malaysia akan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau tidak, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, kerajaan masih memerlukan lebih masa untuk menilai perjanjian tersebut secara lebih teliti memandangkan CPTPP merupakan satu perjanjian yang kompleks dan komprehensif.

“Komitmen yang dipersetujui di bawah CPTPP mempunyai impak yang besar kepada sebahagian undang-undang, dasar dan peraturan serta amalan semasa kerajaan termasuk yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan agar setiap FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) yang disertai Malaysia adalah bebas, adil serta selaras dengan hasrat kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunan negara untuk manfaat ekonomi yang mampu diagihkan kepada golongan sasar,” katanya pada pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Chai Kim Sen yang ingin tahu status terkini berkenaan perjanjian perdagangan bebas berkenaan.

Kepada soalan tambahan Chai sama ada kajian impak mengenai CPTPP itu akan dibentangkan kepada umum, Ong berkata ia akan dideahkan apabila tiba masanya.

Menurut Ong lagi kajian impak sama ada CPTPP itu akan membawa kesan positif atau sebaliknya kepada negara sedang dibuat oleh badan-badan kerajaan serta bukan kerajaan yang berkaitan secara dalaman dan luaran.

CPTPP merupakan perjanjian perdagangan yang dirundingkan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada TPPA.

Perjanjian tersebut telah dipersetujui dan ditandatangani pada 8 Mac tahun lepas. Ia melibatkan baki 11 negara yang pada asalnya menandatangani TPPA iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Ketika ini Malaysia dan tiga lagi negara iaitu Brunei, Chile dan Peru yang masih belum meratifikasi perjanjian tersebut. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perang teknologi AS-China jejas manfaat lencongan pelaburan

PETALING JAYA, 18 JUN: Perang teknologi antara Amerika Syarikat dan China akan mengurangkan manfaat jangka pendek lencongan perdagangan dan pelaburan ke Malaysia yang diraih susulan perang dagangan antara kedua-dua kuasa besar ekonomi itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, perang dagangan Washington-Beijing itu menyaksikan Malaysia meraih manfaat jangka pendek berikutan lencongan dagangan dan pelaburan dari sumber yang pada awalnya untuk memasuki atau keluar dari China.

“Bagaimanapun, apabila ini menular kepada perang teknologi, ia sebaliknya hanya mengancam untuk mengurangkan jumlah permintaan agregat yang diterima.

“Lencongan dagangan dan pelaburan itu juga tidak banyak memberi kesan sekiranya permintaan agregat itu berkurangan dan boleh memberi kesan ekonomi yang serius baik jangka pendek dan jangka panjang,” katanya pada acara makan malam Konvensyen Ekonomi Malaysia 2019 di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, kata Ong, Malaysia juga perlu merangka satu pelan strategik melibatkan China untuk menyelaras respon sama ada dari perspektif kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan atau sektor swasta.

Malah, pelan sedemikian dapat menangani perkara seperti menarik pelaburan berkualiti tinggi dari China dan bukan hanya pelaburan yang dipaksa keluar dari China atas alasan persekitaran, katanya.

Ong berkata, pelan itu juga boleh menyenaraikan kaedah untuk meningkatkan nilai eksport Malaysia ke China bagi membolehkan negara ini meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai serta menggalakkan syarikat kecil dan besar tempatan melabur dan meneroka pasaran strategik di China.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Perdagangan Malaysia pada April dijangka bertambah baik

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Angka perdagangan Malaysia pada April dijangka bertambah baik walaupun ketegangan perdagangan global semakin buruk, khususnya antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

“Terdapat sedikit penurunan dalam prestasi keseluruhan import dan eksport Malaysia, tetapi kami mengambil perhatian bahawa kadar penurunan perdagangan pada Februari lebih tinggi daripada Mac, apabila kita lihat pada perbandingan tahun ke tahun, Mac bertambah baik berbanding Februari

“Itu mungkin menandakan angka perdagangan mungkin bertambah baik lagi pada April,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SEMICON Asia Tenggara 2019 di sini, hari ini.

Ong berkata, kenyataan terbaru Presiden AS Donald Trump berhubung rundingan perdagangan tidak akan menjejaskan jumlah sebenar perdagangan Malaysia bagi jangka pendek.

“Untuk impak selanjutnya ke atas Malaysia, kami perlu tunggu dan lihat apa dasar sebenar akan diumumkan oleh kerajaan AS dan kerajaan China daripada perspektif tarif,” katanya.

Reaksi pasaran merupakan jangka pendek dan jika esok China dan AS mengumumkan resolusi positif, pasaran akan meningkat, katanya.

Eksport Malaysia merosot 0.5 peratus kepada RM84 bilion pada Mac 2019 daripada setahun sebelumnya berikutan jualan produk elektrik dan elektronik dan barang berasaskan komoditi negara berkurangan.

Perdagangan negara pada Februari 2019 menyusut 7.2 peratus kepada RM122.15 bilion berbanding pada Februari 2018.

Ong berkata dalam jangka masa panjang, ketegangan berlarutan antara dua ekonomi besar itu adalah tidak positif kepada Malaysia kerana negara amat bergantung kepada perdagangan dengan kedua-dua negara.

“Sebarang kesan negatif terhadap perdagangan antara AS dan China akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada perdagangan Malaysia secara keseluruhan. Kami berharap akan ada keputusan positif supaya perang tarif ini dapat dielakkan, “katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Azman Mahmud berkata agensi itu mengharapkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM13 bilion dalam segmen elektrik dan elektronik untuk 2019.

“Angka itu berdasarkan pada pelaburan domestik dan asing dan sama ada ketegangan perdagangan antara AS dan China masih merupakan isu yang berlarutan, tetapi kami tidak dapat meramalkan masa depan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Malaysia tuan rumah bengkel ‘Inclusive Trade in Commonwealth’

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi bengkel ‘Inclusive Trade in Commonwealth’, bermula 29 Januari ini dengan agenda utama membincangkan peranan usahawan wanita dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, bengkel selama dua hari itu bertemakan ‘Public Private Dialogue on Women in the Digital Economy and International Trade’ (Dialog Awam Swasta mengenai Wanita dalam Ekonomi Digital dan Perdagangan Antarabangsa).

Katanya, ia akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Tumpuan acara ini adalah pelancaran aplikasi mudah alih khusus bagi usahawan wanita Malaysia.

“Aplikasi ‘SheTrades in the Commonwealth’ dibangunkan Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC), sebuah badan yang ditubuhkan secara bersama oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, aplikasi itu bukan hanya menghubungkan lebih ramai usahawan wanita, malah mempromosikan perdagangan yang lebih terbuka dan adil untuk mereka.

Ong berkata, usaha ‘SheTrades’ komited untuk menjadikan data berkaitan perdagangan dan kontrak kerajaan lebih telus, antara lain, di samping membolehkan lebih ramai usahawan wanita menyertai proses bidaan bagi aktiviti kontrak dan perdagangan antarabangsa.

“Ini penting kerana dalam keadaan semasa, banyak perkara lebih cenderung kepada lelaki dalam sektor korporat dan kerajaan selain peserta sedia ada lazimnya bergantung kepada rangkaian sedia ada.

“Memandangkan kebanyakan usahawan wanita bermula secara kecil, mereka mungkin tidak berada dalam rangkaian sedia ada, justeru saya yakin usaha ini akan membantu usahawan wanita di Malaysia dan negara Komanwel mencipta peluang lebih luas dan menangani halangan perdagangan,” katanya.

Mengulas berkenaan penyertaan wanita dalam perdagangan tempatan, katanya, lebih ramai wanita hari ini membabitkan diri dalam aktiviti berkaitan e-dagang kerana saluran itu memberi fleksibiliti kepada mereka untuk bekerja dari mana-mana sahaja termasuk privasi kediaman mereka sendiri.

“Saya berharap beberapa kisah kejayaan usahawan wanita akan dikongsi pada acara itu dan usahawan wanita Malaysia akan memanfaatkan peluang untuk memperluas perniagaan mereka dengan menjalin rangkaian dengan 500 peserta dari 22 negara Komanwel yang dijangka menghadiri bengkel ini,” katanya.

Bengkel itu dianjurkan ITC dan Sekretariat Komanwel dengan kerjasama kerajaan Malaysia.

 

Categories
SELANGOR

Notis kedua SPR masih gagal kurang jurang pengundi

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengurangkan jurang perbezaan jumlah pengundi di kawasan Parlimen dan DUN dalam notis keduanya berhubung pelaksanaan persempadanan semula Selangor yang dikeluarkan semalam.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, SPR juga gagal mengurangkan jurang angka pengundi antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun kerusi di kawasan sama.

“Contohnya, kerusi Parlimen Kapar yang mempunyai 146,317 pengundi, hampir empat kali ganda lebih ramai berbanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam (37,126).

“Begitu jumlah pengundi di Seri Serdang dan Kinrara dalam Syor 2 ialah masing-masing 74,563 dan 34,910, kedua-duanya di bawah kerusi bandar untuk Parlimen Puchong dan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Hakikatnya, Seri Serdang mempunyai dua kali jumlah pengundi di Kinrara, walaupun kedua-duanya kerusi bandar dan ia melanggar Seksyen 2(C) Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Kian Ming berkata, keadaan sama juga boleh dilihat di kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara di mana dua kerusi DUN di bawahnya iaitu Damansara Utama dan Kampung Tunku, masing-masing 53,440 dan 31,016 pengundi, walaupun kedua-duanya di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya, SPR sepatutnya menambah jumlah kerusi DUN dan Parlimen bagi mengurangkan perbezaan jumlah pengundi antara kerusi seperti menurut Seksyen 2(C) Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 2(C) menyatakan jumlah pengundi dalam setiap kawasan di negeri sepatutnya hampir sama, dengan beberapa langkah diambil untuk penyesuaian kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu, Kian Ming turut mengesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab memastikan Selangor membuat pindaan untuk memenuhi peningkatan jumlah kerusi, selain mendapatkan sokongan dalam Parlimen bagi pindaan itu dilaksanakan.

“Perdana menteri perlu meyakinkan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan persempadanan semula perlu disokong, bagi membolehkan pindaan dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan dan menambah jumlah kerusi Parlimen.

“Perdana menteri juga perlu bekerjasama dan mendapatkan persetujuan Selangor untuk menambah jumlah kerusi DUN,” katanya.

Categories
NASIONAL

SPR didakwa langgar peraturan, babitkan Parlimen Pagoh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa melanggar peraturan sekali lagi pada pusingan terbaru paparan awam kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya membabitkan parlimen Pagoh.

Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming mendakwa wujud percanggahan dalam senarai daerah mengundi di DUN bawah Parlimen Pagoh yang disandang Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, cadangan pertama persempadanan semula yang mula diterbitkan pada 15 September 2016 (Syor 1) dan cadangan persempadanan semula ke-2 yang diterbitkan pada 8 Mac 2017 (Syor 2), beliau mengenal pasti daerah mengundi yang dimasukkan ke Syor 1, tetapi dikecualikan dalam Syor 2.

“Sebagai contoh daerah mengundi Kampong Teratai dengan 876 pengundi yang disenaraikan di kawasan DUN N9 Gambir, di bawah P144 Ledang, di Johor.

ong-kian-ming“Kampong Teratai adalah sebuah daripada banyak daerah mengundi yang dikeluarkan daripada kerusi Parlimen P143 Pagoh dan dipindahkan ke kerusi Parlimen P144 Ledang.

“Yang menghairankan, dalam Syor 2, daerah mengundi Kampong Teratai hilang. Ini penting kerana jika 876 pengundi di Kampong Teratai tidak tahu mereka diletakkan di kerusi DUN dan Parlimen mana, mereka tidak boleh membantah persempadanan semula yang ditunjukkan dalam Syor 2,” katanya dalam kenyataan.

Kian Ming berkata, pihaknya turut menemui kesilapan lain termasuk daerah mengundi baru ditambah dalam Syor 2, tetapi tidak disebut dalam Syor 1.

“Walaupun SPR berhak menambah pusat mengundi baru, ia perlu dilakukan di bawah Seksyen 7 (2) Akta Pilihan Raya 1958. SPR mengatur semula dan menambah pusat mengundi baru pada 29 April 2016 di bawah peruntukan ini dalam Akta Pilihan Raya 1958.

“Ia tidak boleh menambah daerah mengundi baru antara Syor 1 dan Syor 2 persempadanan semula. Tetapi, ini yang dilakukan SPR apabila mereka menambah Taman Rimba ke kawasan DUN N30 Mentakab (P88 Temerloh) dalam Syor 2,” katanya.

PENGUNDI SARAWAKSehubungan itu, beliau menggesa SPR menjelaskan dua tuduhan itu dan sebarang kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan terhadap keperlembagaan dan kesahihan seluruh prosedur kajian persempadanan semula bagi Negeri-negeri Tanah Melayu.

Pada 9 Mac lalu, Ahli Parlimen Serdang itu berkata, pusingan ke dua paparan awam kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya 2016 tidak berperlembagaan kerana ia mengecualikan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

-nR-