Categories
AGENSI SELANGOR

Kaedah multisensori diguna didik murid Sinar Ilmu Harapan Sentosa

SHAH ALAM, 24 JUN: Pendekatan multisensori digunakan menerusi program Sinar Ilmu Harapan Sentosa untuk mengajar murid yang mengalami masalah agar lebih mahir menulis, membaca dan mengira (3M).

Pengarah projeknya berkata kaedah itu adalah pengajaran dan pembelajaran serentak yang menjurus kepada aplikasi tiga jenis deria iaitu penglihatan, pendengaran dan pergerakan dengan mengguna pelbagai peralatan.

“Pendekatan tersebut digunakan ketika ini agak mencabar kerana ia dilaksana secara dalam talian dan kita perlu memastikan murid benar-benar faham.

“Sebab itu kita mahu ibu bapa bersama anak ketika kelas berlangsung. Sebagai contoh apabila tanah liat digunakan untuk membentuk huruf, mereka perlu membantu agar anak menjadi lebih interaktif,” kata Dr R Uma Rani kepada SelangorKini.

Setiausaha Persatuan Dyslexia Selangor itu mengakui berdepan cabaran berikutan ada antara murid yang masih tidak mengenal huruf meskipun sudah berusia 12 tahun.

Selain itu, katanya, faktor jaringan internet yang agak perlahan antara murid dan guru turut menjadi salah satu masalah yang sukar untuk pembelajaran disampaikan dengan jelas.

“Bagaimanapun, saya terima maklum balas baik dari ibu bapa yang mana ada anak mereka kini menunjukkan perubahan selepas ikuti kelas ini. Ada yang sudah pandai mengeja, kenal huruf dan fasih berbahasa Melayu bagi bangsa Cina dan India,” katanya.

Pada 18 April Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa mengambil inisiatif menganjurkan kelas percuma selama tiga bulan bagi membantu murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

Kelas diadakan setiap Selasa, Khamis dan Jumaat pada jam 8.30 hingga 9 malam.