Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Calon SPM positif Covid-19 duduki sidang kedua pada April

JOHOR BAHRU, 2 MAC: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disahkan positif Covid-19 atau sedang berada dalam tempoh kuarantin akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada sidang kedua, April nanti.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sehubungan itu calon-calon hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Menurut beliau, calon berkenaan atau ahli keluarga mereka hanya perlu membuat surat deklarasi secara bertulis dan menyertakan dokumen berkaitan.

“Pengetua akan sahkan sama ada benar pelajar itu positif dengan menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera, selain ada tiga borang deklarasi dan surat bertulis.

“Jadi calon dan keluarga mereka tidak perlu berasa risau, kalau mereka ada bukti tersebut, mereka boleh menduduki SPM sidang kedua iaitu pada April nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, di sini hari ini, sempena hari pertama berlangsungnya ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi peperiksaan SPM 2021 ini, seramai 407,097 pelajar menduduki peperiksaan berkenaan di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara manakala seramai 50,317 daripada mereka merupakan calon dari negeri ini.

Radzi berkata bagi calon yang baru diketahui positif Covid-19 ketika sedang menduduki peperiksaan pula, mereka akan diletakkan di sebuah bilik khas yang disediakan di sekolah terbabit.

Sementara itu, berhubung lawatan beliau ke sekolah berkenaan, beliau berkata SPM 2021 ini berlangsung dalam skala lebih besar apabila ia dilaksana dengan menggunakan hampir kesemua kelas di sekolah.

“Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh, hampir semua kelas digunakan dan kita akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM ini berlangsung dengan teratur dan selamat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SMK Bandar Saujana Putra beroperasi Mac ini

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra di Selangor yang pembinaannya diteruskan pada 2020 selepas terbengkalai sejak 2019 telah siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada Mac ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pemakluman berkaitan pendaftaran murid ke sekolah tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Projek pembinaan SMK Bandar Saujana Putra yang terbengkalai sejak 2019, mula dibina semula pada November 2020.

“Mengetahui kesukaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah, kami dapat merasakan betapa mereka tertunggu-tunggu bilakah SMK Bandar Saujana Putra ini boleh mula beroperasi.

“Alhamdulillah, awal minggu ini saya dimaklumkan pembinaan sekolah telah siap sepenuhnya. Hari ini, kami sekali lagi turun untuk melihat persediaan terakhir sebelum sekolah dibuka pada bulan Mac nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penularan kes Covid-19 di sekolah terkawal, kata menteri

JITRA, 4 DIS: Penularan kes Covid-19 yang melibatkan warga sekolah selepas pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bagi negeri di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dipantau dengan sewajarnya.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata situasi itu adalah terkawal jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah sekolah yang ada di seluruh negara iaitu melebihi 10,000.

“Secara umumnya dalam keadaan sekarang ini iaitu kita menuju ke fasa transisi endemik, kita tahu virus ini ada di sekeliling kita.

“Alhamdulillah, kita lihat SOP (tatacara operasi piawai) ini berkesan dan berjalan dengan baik,” katanya selepas menyerahkan sumbangan pendidikan digital di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai situasi semasa keadaan penularan pandemik itu yang melibatkan Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya yang diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif membabitkan warga sekolah itu.

Media turut melaporkan seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik disahkan positif semalam, selepas menunjukkan gejala sejak 28 November lepas selain tiga guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang yang turut disahkan positif virus itu dan diarah menjalani perintah pengawasan di rumah.

Mengulas lanjut, Radzi berkata punca penularan jangkitan dalam kalangan warga sekolah terbabit masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

“Dalam konteks asrama ini juga sebenarnya kami amat teliti, antara SOP yang amat terperinci dilaksanakan kerana risikonya apabila berlaku satu kes kebanyakan mereka tinggal dalam asrama, potensi untuk jangkitan ada.

“Di asrama perebakan risiko lebih tinggi berbanding sekolah harian, kerana di asrama mereka berada di situ sepanjang hari, sepanjang tempoh tersebut, duduk dalam asrama buka pelitup muka, duduk dengan kawan-kawan, kami akan terus pantau bagi memastikan supaya keadaan teratur dan selamat untuk pelajar,” katanya.

Radzi bagaimanapun menzahirkan kesyukuran apabila hampir keseluruhan pelajar sekolah yang terlibat dengan kes jangkitan Covid-19 itu telah lengkap divaksin dan mereka berada pada kategori satu yang tidak bergejala serta kategori 2A bergejala ringan.

“Jadi untuk anak-anak (pelajar) yang masih belum divaksin yang layak menerima vaksin, saya mohon kepada ibu bapa membawa anak mereka untuk divaksin bagi keselamatan anak-anak sendiri, begitu juga guru yang masih belum divaksin, kita boleh melihat keberkesanan dalam konteks apa berlaku ini,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata kementeriannya memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada pengurusan sekolah yang cuba menyembunyikan kes positif membabitkan guru dan pelajar.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada sekolah yang dikesan berbuat demikian berikutan setiap sekolah perlu melaporkan segera kes yang berlaku.

“Sebagai contoh di Sekolah Seri Puteri, saya sebagai Menteri telah turun ke situ dua kali, untuk meneliti pendekatan terbaik untuk uruskan isu berkaitan penularan kes dalam kalangan pelajar di situ, (jadi amat penting) untuk mana-mana sekolah (atau institusi pendidikan) di bawah Kementerian Pendidikan laporkan segera,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata kementeriannya kini memberikan fokus untuk menyelesaikan beberapa isu utama antaranya untuk memastikan pembukaan sekolah secara keseluruhannya dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur selain berusaha menambah baik infrastruktur pendidikan.

“Kami ingin beri tumpuan supaya pastikan anak-anak kita ini dapat belajar dalam keadaan kondusif, sebab perancangan untuk sekolah, bangunan daif di sekolah dan juga satu lagi komponen yang kami beri keutamaan adalah dewan terbuka.

“Ini untuk pastikan supaya anak kita boleh gunakan dewan tersebut bukan sahaja untuk aktiviti pendidikan tetapi kokurikulum sebab Covid-19 ini terdapat banyak keperluan di sekolah untuk wujudkan dewan terbuka…selain daripada itu, kebajikan guru juga diberi keutamaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Purata murid ke sekolah lebih 85 peratus sejak 3 Oktober

SHAH ALAM, 30 NOV: Purata trend kehadiran murid ke sekolah melebihi 85 peratus antara 3 Oktober hingga semalam, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata peratusan itu direkodkan di 10,060 sekolah seluruh negara membabitkan lebih 4.38 juta murid, lapor Berita Harian.

“Trend kehadiran ini menunjukkan pembukaan sekolah secara umumnya diterima baik ibu bapa dan murid.

“Pembukaan semula sekolah secara bersemuka ini juga membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berhubung perkembangan terkini operasi sekolah di seluruh negara sejak 3 Oktober.

Sesi pembelajaran bersemuka dibuat secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula dengan pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 1.3 juta pelajar kembali ke sekolah hari ini

SHAH ALAM, 1 NOV: Lebih 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di empat negeri termasuk Selangor memulakan sesi persekolahan hari ini.

Tiga lagi negeri ialah Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya, semuanya dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), lapor Berita Harian.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia melibatkan 694,531 murid tahun satu higa tiga manakala 652,148 pelajar tingkatan tiga dan empat.

“Kemasukan berperingkat ini membolehkan kita mengawal dan memantau keadaan di sekolah bagi memastikan operasi berjalan lancar dan teratur,” katanya.

Radzi berkata sesi libat urus turut diadakan bersama guru dan ibu bapa membabitkan operasi dan konsep Sekolahku Sejahtera yang akan dilaksana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelasnya, konsep itu sebahagian usaha menerapkan nilai penting dan semula jadi dalam kehidupan anak-anak sebagai norma buat generasi akan datang.

Selain itu, katanya, KPM mengarahkan Jabatan Pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah turun padang mengejut bagi memantau tahap pengudaraan optimum di sekolah.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM lantik lebih 18,000 guru baharu mulai Julai

SHAH ALAM, 20 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pengambilan khas guru gred DG41 secara besar-besaran membabitkan 18,702 orang mulai 7 Julai.

Menteri Kanannya Datuk Dr Radzi Jidin berkata kaedah itu bagi mengatasi masalah kekurangan guru selain memberi peluang graduan memperoleh pekerjaan.

Beliau berkata penempatan mereka yang layak pula akan dibuat secara berperingkat bermula Oktober.

“Kita akan bekerjasama dengan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) bagi memastikan pengambilan ini berjalan lancar dan teratur,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Radzi berkata Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor diberi keutamaan berikutan keempat-empat negeri tersebut berdepan masalah kekurangan guru paling kritikal ketika ini.

Beliau menambah mata pelajaran yang kurang guru ialah bahasa inggeris, sejarah, pendidikan khas, pendidikan islam dan teknologi maklumat dan komunikasi bagi sekolah rendah.

Manakala, bagi sekolah menengah pula ialah bahasa melayu, bahasa inggeris, pendidikan khas, pendidikan islam dan reka bentuk dan teknologi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat tuisyen tidak dibenar di negeri terlibat PKP

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan tidak membenarkan pusat tuisyen beroperasi di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri kanan (pendidikan) bagaimanapun berkata sekolah dibenar melaksanakan kelas tambahan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setara.

“Pusat tuisyen hanya boleh beroperasi di negeri yang dikenakan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan,” kata Dr Radzi Jidin pada sidang media hari ini.

Semalam kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat pula di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terengganu dan Kelantan manakala PKP Pemulihan melibatkan Perlis dan Sarawak.

Pelaksanaan selama 14 hari bermula esok sehingga 26 Januari.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah di negeri PKPB, PKPP bermula 20 Januari kecuali tingkatan 2 dan 3

SHAH ALAM, 12 JAN: Sesi persekolahan negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) bakal bermula pada 20 Januari.

Menteri kanan (pendidikan) bagaimanapun berkata kebenaran tersebut tidak tertakluk kepada pelajar tingkatan dua dan tiga yang menjalani pengajaran serta pembelajaran di rumah sehingga 8 Mac sebelum dibenarkan ke sekolah.

“Pelaksanaan kelas secara bersemuka di negeri PKPB dan PKPP melibatkan murid pra sekolah serta darjah satu hingga enam.

“Untuk sekolah menengah pula, sesi persekolahan untuk tingkatan satu dan empat, tingkatan lima bagi sesi 2020 dan 2021 serta tingkatan 6 (2020, 2021),” kata Dr Radzi Jidin menerusi sidang media hari ini.

Semalam kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKPB pula di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terengganu dan Kelantan manakala PKPP melibatkan Perlis dan Sarawak.

Pelaksanaan selama 14 hari bermula esok sehingga 26 Januari.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM: Tutup sekolah berdasar data, perbincangan KKM, MKN

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebarang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata KPM menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Radzi juga berkata kemungkinan terdapat pihak mendakwa KPM seolah-olah lambat membuat keputusan namun hakikatnya ia tidak begitu kerana negara tidak pernah berpengalaman menangani krisis seumpama ini.

“Ianya tidak pernah berlaku. Namun kita (KPM) mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini mengenai pendekatan sesuai dalam keadaan tertentu,” katanya.

Katanya lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, operasi institusi pendidikan di bawah KPM tetap berjalan lancar.

“Kita belajar bahawa ketelitian adalah penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu,” kata Radzi.

Mengulas penutupan sekolah di kawasan Klang di Selangor, Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah bermula hari ini, beliau berkata keputusan diambil setelah mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan terbabit adalah kawasan Zon Merah.

“Sepertimana yang dinyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara sekiranya perlu akan dibuat di peringkat sidang khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat KKM,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak termasuk rakyat negara ini untuk bekerjasama dalam menangani cabaran pandemik tanpa vaksin ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendidikan hadapi pelbagai cabaran semasa pandemik

KOTA KINABALU, 30 OGOS: Isu pendidikan berhadapan pelbagai cabaran apabila penularan Covid-19 mula dikesan dalam negara sejak beberapa bulan lepas, terutama dari segi jadual pembelajaran pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata semasa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan penyakit itu, pembelajaran dalam talian perlu diadaptasi dalam usaha memastikan setiap pelajar tidak ketinggalan.

Beliau memberi contoh bagi pelajar tingkatan lima tahun depan, sekiranya mereka tidak dapat menghabiskan silibus tingkatan empat, pastinya mereka menghadapi kesukaran untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebagai kementerian bertanggungjawab kita tidak boleh benarkan ini berlaku sebab itu saya ambil risiko, orang nak bising ke, kita tetap kena ikut perancangan, apa kita nak laksanakan bagi pastikan pelajar tidak ketinggalan akibat PKP,” katanya.

Berucap di Majlis Hi-Tea dan Sembang Santai Menteri Pendidikan Bersama Media Sabah di sini hari ini, katanya beliau memahami beban tugas dirasai guru bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan ketika PKP ini terutama akibat perubahan takwim persekolahan, namun beliau memohon agar semua guru memberikan yang terbaik demi anak muda Malaysia.

Radzi berkata beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan bukan dengan tujuan untuk menjadi popular, sebaliknya mahu memastikan setiap rakyat Malaysia terutama generasi muda memperoleh pendidikan sempurna.

Beliau berkata dalam merealisasi hasrat itu lawatan mengejut ke sekolah-sekolah tanpa memberitahu pengurusan terlebih dahulu, telah menjadi sebagai menjadi rutin buat dirinya, untuk melihat sendiri persekitaran pembelajaran yang neutral.

“Itu (jadi popular) tidak diperlukan, apa yang diperlukan ialah perlaksanaan kaedah dan dasar yang memberi manafaat kepada pelajar murid dan ibu bapa. Itu yang paling penting. Apa yang orang nak kata saya tidak peduli, yang penting kita ‘sampaikan’ untuk rakyat,” katanya.

-BERNAMA