Categories
SELANGOR

Pakatan sambut baik usaha ADUN potong 20% gaji bulanan

Oleh :NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 2 DIS : DAP dan PAS menyambut baik usaha PKR negeri yang akan membuat potongan gaji bulanan 20 peratus daripada jumlah kenaikan sebagai usaha membiayai program pendidikan di bawah Tabung Pendidikan Keadilan Anak Selangor.

Timbalan Setiausaha DAP negeri, Ng Suee Lim, berkata beliau menghormati keputusan terbabit dan pihaknya juga bersedia jika DAP juga mengikuti jejak langkah inisiatif terbabit.

ngsueelimBagaimanapun, katanya, langkah itu tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi dan akur dengan sebarang keputusan yang bakal ditempatkan.

“Saya menghormati keputusan yang dibuat PKR, namun setiap parti mempunyai kaedah masing-masing untuk menangani masalah itu. Kita tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi dan buat masa ini tiada sebarang arahan dikeluarkan.

“Walaubagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP sentiasa dari semasa ke semasa menyalurkan pelbagai bantuan kepada fakir miskin atas kapasiti peribadi dan parti kerana kami percaya amal jariah itu besar maknanya dan membawa keberkatan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Sekinchan turut menyeru semua ADUN Pakatan Rakyat (PR) supaya fokus kepada kawasan dan meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat kerana enakmen kenaikan gaji sudah diluluskan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rani Osman, berkata PAS Selangor sudah memulakan langkah itu sejak awal 2008 apabila 30 peratus daripada gaji bulanan dipotong untuk disalurkan kepada kebajikan.

DR.RANI OSMAN PIC“Ia membabitkan 20 peratus untuk negeri dan 10 peratus kepada kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing. Langkah PKR untuk memotong gaji itu adalah usaha yang baik dalam membantu rakyat negeri ini,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kenaikan elaun ADUN menjadikan kadar gaji baru bagi mereka RM11,250; Timbalan speaker RM15,750; Speaker RM22,500; Exco RM20,250 dan Menteri Besar RM29,250.

Manakala, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap ADUN PKR menyumbang RM1,000 sebulan atau 20 peratus daripada jumlah kenaikan gaji bulanan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Graduan perubatan menganggur, Kerajaan Pusat perlu bertindak

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 18 NOV : Kerajaan Pusat perlu mengambil tindakan segera terhadap dakwaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), sektor kesihatan bakal gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada lepasan graduan perubatan tahun hadapan.

Kekurangan peluang pekerjaan itu menurut MMA, disebabkan kegagalan kerajaan membina hospital secukupnya bagi keperluan rakyat dan juga bilangan kolej perubatan swasta yang terlalu banyak sekaligus melahirkan ramai graduan perubatan.

abdul rani osmanADUN Meru, Dr Abdul Rani bin Osman, berkata keadaan ini menyumbang kepada ketidakseimbangan antara kewujudan bilangan peluang perkerjaan dan jumlah graduan perubatan yang dikeluarkan.

“Kalau MMA sendiri keluarkan kenyataan, ini memang serius dan satu perkara yang mengerunkan. Saya harap Kementerian Kesihatan cepat respon perkara ini, kena teliti kerana graduan kita di luar sana pun ramai lagi.

“Kita juga tidak boleh jangka graduan kita di luar negara akan bekerja di luar negara seperti Arab dan United Kingdom misalnya sebab biasanya kalau bekerja di sana sekalipun mereka akan balik untuk kerja di tanah air,” kata Dr Rani kepada Selangor Kini.

doktorAbdul Rani berkata, walaupun membina hospital merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri sebelum ini bersetuju membina bangunan tambahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah bagi menampung jumlah pesakit di Klang.

Sebelum ini Presiden MMA, Datuk N.K.S Tharmaseelan, dalam satu kenyataan dilaporkan berkata negara ini melahirkan sehingga 5,000 graduan perubatan setiap tahun sehingga mampu menyebabkan kekurangan hospital bagi tujuan latihan seterusnya peluang perkerjaan kepada golongan ini.

Antara faktor penyumbang kepada keadaan ini menurut beliau adalah bilangan kolej perubatan swasta sehingga mencecah 40 buah bagi 28 juta populasi, suatu jumlah yang tinggi pada masa ini sedangkan pada masa sama kurang pembangunan hospital baru.

– EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Rundingan Pengurusan Air Selesai 2 Bulan Lagi – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 02072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Negeri menjangkakan bahawa rundingan pengurusan air dengan Kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

2. Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM 5 juta menjadikan sistem penyimpanan data pengurusan tanah di Selangor lebih tersusun, cekap dan pantas.

3. ‘Memakan diri sendiri’ itulah yang berlaku kepada Adun Permatang Sulaiman Razak dari Umno-BN di Dewan Undangan Negeri hari ini apabila desakan terhadap tuduhan penyelewengan yang didakwa berlaku ketika BN menerajui Kerajaan Selangor dirungkai Adun PAS Dr Rani Osman.

4. Ibu tunggal yang terlibat di dalam kes saman terhadap Kerajaan Selangor didapati telah menerima bantuan program agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kata Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail.

5. Sempena ulang tahun keempat kematian Teoh Beck Hock, parti DAP mempelawa orang ramai untuk menyertai Majlis Memperingati Mendiang yang akan diadakan pada 14 Julai ini.

Categories
NASIONAL

Dr Rani Osman (PKR) – Fokus Calon PRU 13

Sinopsis:

Dr Abdul Rani Osman (PAS) – N42 Meru

Dr Rani merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor dan seorang Doktor perubatan yang banyak menceburkan diri dalam NGO sebelum mencebur diri dalam bidang politik.

Beliau juga penyandang Dun Meru yang dimenangi pada 2008 dengan majoriti 5,513. Dun Meru mempunyai jumlah pengundi berdaftar 39,508. Kali ini beliau ditentang satu lawan satu dengan calon BN, Sukiman Ahmad. N42 mempunyai pola pengundi melayu (60.3%), Cina (27.5%), India (12.0%) dan lain-lain (0.2%).

rani

Categories
NASIONAL

Dr Rani ‘Ambil Hati’ Untuk Dekati Pengundi

rani manivanan 01

MERU 30 APRIL: Penyandang dan Calon DUN Meru, Dr Rani Osman yakin pendekatan ‘ambil hati’ yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kali ini mampu membuatkan beliau memenangi kerusi DUN itu lagi.

Katanya, pendekatan selalu turun padang ke semua kawasan tanpa mengenal kaum itu akan membuatkan rakyat berpuas hati dengan tanggungjawab dan kepimpinan beliau sebagai Adun.

“Jika kita mahu menang untuk membela rakyat, kita mesti selalu turun padang. Kita tidak boleh bergantung dengan PAS untuk menang.

“Kita mesti tunjukkan kesungguhan kita untuk bantu rakyat. Jika tidak jangan harap rakyat nak pilih kita,” katanya ketika ditemui di Pasar Cina Jalan Kedah, baru-baru ini.

Beliau menambah, gerak kerja jentera beliau untuk berjumpa rakyat sebenarnya sudah lama dijalankan.

“Gerak kerja kami sudah lama sebelum parlimen bubar lagi. Kita sudah lakukan dari 2008 lagi. rani manivanan 02

“Saya tidak tumpukan untuk pergi rumah ke rumah memberi ‘gula-gula’, sebaliknya saya turun untuk bantu rakyat dari segi kesihatan, dengar masalah mereka, ziarah mereka sakit,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rani turut berpuas hati dengan sokongan kaum Cina terhadap beliau meningkat jika dibandingkan dengan pilihanraya 2008.

“Satu suasana yang tidak pernah saya lihat pada kempen 2008, yang mana orang cina memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR).

“Mana-mana tempat kita pergi, mereka lahirkan sokongan penuh kepada kita. Dulu susah untuk kumpulkan mereka bagi mendengar ceramah, kali ini mereka tunggu sampai habis,” katanya.

Dalam lawatan kerja Dr Rani ke pasar-pasar Cina di dun itu, rata-rata peniaga dan pengunjung mengenali beliau dan menyatakan sokongan penuh kepadanya. Beliau ditemani calon Pakatan kerusi Parlimen Kapar G Manivanan Govindasamy.

Malah, difahamkan sesetengah peniaga di pasar-pasar itu dikatakan menolak risalah-risalah yang diberikan calon Umno-BN.

Categories
SELANGOR

Ng Suee Lim Minta Polis Siasat Risalah Fitnah

risalah 2

SHAH ALAM 17 JAN : Pakatan Rakyat (PR) Selangor mahu polis menyiasat risalah berunsurkan fitnah terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang kini diedarkan kepada ketua-ketua kampung tradisi.

Timbalan Setiausaha DAP negeri, Ng Suee Lim berkata sebaran risalah fitnah yang disebar itu memaparkan berita memburukkan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan fakta yang tidak berasas.

Katanya, risalah itu diperolehi melalui kiriman pos kepada tujuh ketua kampung di DUN Sekinchan dan dua ahli majlis DAP dua minggu lalu.

Risalah berbahasa Melayu bersiri itu, mengandungi 10 muka surat, hanya memaparkan nama wartawan dan tidak memaparkan sidang pengarang alamat pencetak dan juga penerbit.

Kandungan risalah itu memaparkan berita mengenai isu-isu semasa yang dimainkan media Pro BN antaranya krisis air.

“Setakat ini, kami dapati ia sudah dikeluarkan sebanyak 21 siri. Kami percaya risalah ini diterbitkan oleh Umno-BN. Tujuannya sama dengan ‘Selangor Terkini’ yang diterbitkan mereka dua tahun lalu.

“Kami kesal dengan apa yang dilakukan pihak mereka. Jika mahu menyerang Pakatan Rakyat biarlah secara sihat, berpolitik secara tertib. Tindakan mereka ini seperti ‘baling batu sembunyi tangan’,” katanya yang juga Adun Sekinchan dalam sidang media di Bangunan Annex, SUK, di sini.

Hadir sama Ketua Penerangan PKR negeri, Shuhaimi Shafei dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Sementara itu, Shuhaimi berkata tindakan yang dilakukan Umno-BN seolah-olah kehilangan modal untuk menyerang Kerajaan Negeri.

“Jika begini cara demokrasi yang diamalkan Umno-BN, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak layak untuk meminta peluang rakyat untuk mentadbir kembali negeri ini.

“Permintaan Najib adalah permintaan kelakar, tidak mungkin rakyat akan memberi peluang itu kerana sudah 11 kali diberi peluang tetapi Umno-BN yang menghancurkan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat oleh Ketua-ketua kampung tradisi DUN Sekinchan semalam di Balai Polis Sekinchan pada jam 3.30 petang.

risalah 1

Categories
SELANGOR

Pengasingan Penonton Di Panggung Wayang Hanya Cadangan


SHAH ALAM, 11 JULAI : PAS Selangor menafikan peraturan mengasingkan penonton wanita dan lelaki Islam bukan muhrim telah dikuatkuasakan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bagi semua premis panggung wayang di daerah itu.

Sebaliknya, cadangan dikemukakan Ahli Majlis dari parti Islam itu adalah cadangan supaya MDKS mengarahkan semua premis hiburan itu meletakkan notis peringatan bagi menyedarkan penonton supaya menjaga akhlak dan tidak melakukan perkara menjolok mata.

Dalam sidang media di Dewan Annex di sini hari ini, Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman mendakwa perkara pengasingan jantina itu timbul seolah-olah dipolitikkan pihak BN bagi menggangugugat hubungan erat antara PAS dan DAP.

Malah, katanya, cadangan dikemukakan itu juga bukan permulaan kepada pengenalan hukum hudud yang diperjuangkan PAS selama ini.

Beliau berkata, biarpun cadangan itu disuarakan Ahli Majlis MDKS dari PAS tetapi ia belum dibawa ke mesyuarat penuh majlis itu malah Exco kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu turut menjelaskan perkata itu masih ditangguhkan.

“Sebenarnya kita perlu kembali kepada asas iaitu dengan meningkatnya kes pembuangan bayi, anak luar nikah dan semuanya maka timbul kesedaran di kalangan orang Islam dan bukan Islam yang risau kalau ada perkara yang mendorong ke arah perlakuan yang kurang atau tidak baik di kalangan masyarakat.

“Atas dasar itu kita tidak mahu perkara sebegini berlaku bukan sahaja orang Islam malah bukan Islam juga,” katanya.

Kenyataan itu disokong MP Shah Alam, Abdul Khalid Samad dengan menyatakan isu itu dimainkan MCA dalam akhbar Cina iaitu ingin mewujudkan satu benteng supaya menghalang masyarakat Cina meneruskan sokongan kepada Pakatan Rakyat (Pakatan).

Menurutnya, pengunjung panggung wayang perlu menghormatinya sebagai kawasan awam dengan menjaga kelakuan dan bersopan.

“Bukan setakat wanita dan lelaki Islam yang belum kahwin tetapi juga yang telah kahwin juga perlu menjaga akhlak mereka malah orang bukan Islam juga tidak suka perkara yang tidak diingini berlaku dan dipertontonkan di kawasan awam,” katanya.

MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, BN tidak seharusnya mempolitikkan perkara sebegitu kerana isu pengasingan penonton tersebut tidak berlaku di Kuala Selangor.

Jelasnya, hanya cadangan dikemukakan dan perbincangan akan dijalankan oleh MDKS di mana keputusan mengenainya belum diputuskan.

Categories
NASIONAL

Dr Rani : Debat Hasan Ali Tidak Professional


SHAH ALAM, 9 JULAI : Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman menyifatkan cabaran debat daripada Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali sebagai satu tindakan terdesak dan tidak profesional.

Kata Dr Abdul Rani, jika Hasan mengatakan dirinya profesional, beliau tidak seharusnya menetapkan tarikh untuk berdebat sesuka hati.

“Kalau nak berdebat perlu ada persetujuan kedua-dua pihak. Saya tidak pernah bersetuju untuk berdebat dengannya.

“Dia dah dipecat baru sibuk-sibuk nak turun padang. Bila dah tak ramai orang datang nak dengar ceramahnya dia cuba mencari isu lain untuk menonjolkan dirinya semula,” katanya dalam sidang media di luar Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Dr Hasan, yang juga bekas pesuruhjaya Pas Selangor, dilaporkan menghantar surat kepada Dr Rani yang menetapkan tarikh dan tempat lokasi debat tersebut tanpa mendapat persetujuan Dr Rani.

Debat yang bertajuk ‘Dimanakah Hala Tuju PAS Selangor’ yang dianjurkan JATI dijadual berlangsung pada 11 Julai ini di Meru, Klang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Dr Hasan seharusnya mengajak beliau berdebat kerana permasalahan antara mereka belum selesai.

“Dia sendiri dah menuduh saya parasit dalam PAS dan saya sendiri mempunyai isu-isu mengenai JATI”, kata Khalid di dalam sidang media yang sama.

Khalid berkata, beliau bersedia untuk berdebat dengan Dr. Hasan sebagai jalan terbaik untuk menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh Dr Hasan.

“Saya sendiri dimaklumkan Sinar Harian sudah berusaha mengaturkan debat diantara saya dan Dr. Hasan sejak dari bulan Februari lagi.

?Namun beliau tidak bersetuju atas alasan majlis shura JATI tidak membenarkan untuk beliau berdebat,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor.

Katanya, debat yang dianjurkan oleh Dr.Hasan merupakan tindakan terdesak JATI bagi meraih sokongan kerana tiada sambutan terhadap ‘roadshow’ persatuan itu.

Categories
SELANGOR

Rakyat Selangor Sudah Boleh Mohon Skim Bantuan Tadika

SHAH ALAM, 2 JUL: Ibubapa di Selangor yang berpendapatan rendah kini boleh memohon untuk bantuan menghantar anak mereka ke tadika melalui Skim TUNAS di syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) di Tingkat G, Bangunan Darul Ehsan, Jalan Indah, Seksyen 14, Shah Alam.

RMSB yang merupakan anak syarikat milik Kerajaan Negeri bertanggungjawab menguruskan semua skim-skim dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor boleh dihubungi di talian 03-5510 3468 dan 03-5510 3472.

Selain itu, borang permohonan skim TUNAS atau Bantuan Tadika Selangor boleh didapati dari pejabat-pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN dalam jangkamasa terdekat ini.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali, ketika pelancaran rasmi skim terbaru ini di sini semalam.

Skim TUNAS yang dilancarkan di Shah Alam Convention Centre diwujudkan sebagai subsidi pendidikan bagi meringankan bebanan keluarga yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

“Bagaimanapun bantuan skim ini tidak melibatkan bayaran tunai kepada penerima sebaliknya ia akan dibayar terus kepada sekolah tadika terlibat,” ujar Dr Halimah.

Dr Halimah menjelaskan, sekolah tadika itu pula hendaklah berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS), sebuah badan bertindak mengawal selia piawaian sekolah-sekolah tadika seluruh Selangor.

“Kerajaan negeri juga buka kepada Tadika Perpaduan dan Kemas, tetapi mereka enggan daftar untuk sertai program ini.

“Jadi, yang ada pihak kata kami tak telus dan sebagainya itu tak betul. Sebenarnya mereka sendiri yang enggan kerana berfikiran politik sempit.

?Akhirnya ibu bapa yang anaknya bersekolah di Kemas dan Perpaduan jadi mangsa, tidak dapat menikmati skim ini,” katanya  lagi.

Menurut Dr Halimah, skim tersebut mendapat peruntukan sebanyak RM1.016 juta dari Geran Selangorku bagi tahun 2012.

“Bagi tahun hadapan, peruntukan untuk Skim Tunas diteruskan dan dimasukan di dalam belanjawan berimbang 2013 nanti,” kata Dr Halimah ketika berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin di majlis pelancaran skim tersebut.

Satu ‘road show’ juga akan diadakan dalam jangkamasa terdekat bagi menerangkan skim ini kepada rakyat Selangor bermula di kawasan DUN yang mengandungi paling banyak keluarga berada di bawah paras kemiskinan.

?Road show? itu juga akan memaparkan tadika-tadika yang telah menyertai skim ini.

Skim yang julung-julung kali diperkenalkan itu telah menerima reaksi positif dari para ibu bapa yang sempat ditemui TVSelangor.

“Semenjak kerajaan baru ini, bermacam skim untuk rakyat diperkenalkan, termasuklah terbaru hari ini. Skim Tunas untuk ringankan beban rakyat berpendapatan kurang RM1,500, kata seorang bapa Mohd Suhaimi Ibrahim

“Saya percaya bantuan ini dapat meringankan beban golongan sasaran.”

Khatijah Hashim, 42, pula menganggap skim yang diperkenalkan ini sebagai mengesahkan lagi tanda kesungguhan Kerajaan Negeri meningkatkan mutu pencapaian pendidikan rakyat negeri ini.

“Sebelum ini ada Tuisyen Rakyat, sekarang pula Skim Tunas, saya nampak Kerajaan Negeri betul-betul serius nak tingkatkan pencapaian pendidikan rakyat Selangor,” kata Khatijah.

Turut hadir pada majlis hari ini ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman, Pengerusi Majlis Permuafakatan Tadika Selangor, Dr Supian Hussein, dan penyelaras-penyelaras DUN.

 

Perbelanjaan Berhemah Punca Kelantan Bebas Rasuah

 

SHAH ALAM 26 JUN : Tiada pegawal peribadi, memakai hanya satu kereta rasmi, mendiami rumah sendiri dan memakai perabot yang tidak ditukar selama 20 tahun.

Ini antara langkah yang diambil Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi menerapkan amalan hidup sederhana bagi memerangi rasuah selama lebih 20 tahun beliau mentadbir Kelantan.

“Selain mengamalkan cara yang dianjurkan Islam, kecekapan menguruskan wang juga penting demi memastikan setiap perbelanjaan itu tidak sia-sia.

?Wang rakyat mestilah dibelanjakan secara berhemah dan perbelanjaan perlu dilakukan secara berjimat-cermat tetapi tidak sampai dilihat seperti kedekut,? Nik Aziz berkata ketika mengulas langkah-langkah yang beliau amalkan sehingga Kelantan dinobatkan sebagai bebas rasuah.

Beliau berkata demikian di dalam satu sidang media sejurus selesai ucaptama Wacana Buku Rasuah yang diadakan di Dewan Jubli Perak, bangunan SUK pagi tadi.

Dalam sidang media yang sama, beliau yang juga Mursyidul Am PAS mengkritik amalan demokrasi Malaysia yang dilihat tidak adil.

“Contohnya dalam isu royalti minyak di Kelantan, walaupun Tuanku Sultan Kelantan sendiri sudah titahkan dalam Dewan Undangan Negeri namun perkara itu langsung tidak diperdulikan Kerajaan Pusat.

“Sehingga kini, rakyat Kelantan tidak merasa walau seringgit pun hasil minyak yang diambil dari Kelantan,” luahnya dengan kecewa.

Sementara itu, Exco Negeri, Dr. Halimah Ali menjelaskan program hari ini diadakan khusus untuk berkongsi pengalaman dan kecemerlangan Negeri Kelantan sebagai sebuah negeri Kerajaan Pakatan yang bebas rasuah.

“Kita ingin memastikan bahawa negeri-negeri Pakatan bebas rasuah dan kita serius bekerja untuk menghapuskan gejala tidak sihat ini di negeri Selangor pula.?

Beliau berkata Kerajaan Selangor memperuntukkan RM 15 juta di bawah Geran Selangorku untuk diberi sebagai insentif kepada rakyat bagi membantu memerangi rasuah.

 

 

Categories
SELANGOR

40 Tahun Menanti Hak Milik Tanah Berakhir Hari Ini

SHAH ALAM 27 MEI : Impian Robani Affandi untuk mendapat hak milik tanah kebunnya di Kampung Bukit Cherakah akhirnya tercapai dan peneroka itu bersyukur kerana beliau sekarang mempunyai harta untuk diwarisi oleh kelima-lima ananknya.

Katanya, beliau kini tidak perlu bimbang lagi kerana dengan pemilikan itu masa depan anaknya juga terbela.

“Dengan hasil pertanian diatas tanah kebun inilah saya membesarkan anak-anak sehingga ke peringkat universiti. Ini semua untuk anak-anak saya.

?Sekurang-kurangnya saya mempunyai harta untuk diwarisi oleh lima orang anak saya dan isteri apabila saya tiada nanti,” katanya ketika ditemui, kata Robani, 49.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor di atas keprihatinan yang diberi kepada peneroka.

Robani antara 27 peneroka Kampung Bukit Cherakah yang mendapat surat hak milik tanah mereka hari ini yang disampaikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Rata-rata penerima melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana penantian mereka selama 40 tahun berakhir.

Penerima juga bergambar mesra dengan Menteri Besar sambil membawa sepanduk yang tertera ‘Tahniah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor’ atas penyerahan hak milik kepada peneroka.

Turut hadir MP Shah Alam, Khalid Samad, Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari serta Adun Meru, Dr Rani Osman.

Seorang penerima lain, Fouziah Ismail, 47, berkata beliau dan suami sudah berkali-kali memohon hak milik daripada pentadbiran Umno-BN dulu.

Katanya, keluarganya hampir berputus asa tetapi selepas kerajaan negeri bertukar tangan beliau bagaimanapun mencuba sekali lagi dan akhirnya berjaya.

“Sudah ramai yang dapat sebelum ini tetapi pemilihan yang layak hanya dipilih. Kami ini hanya peneroka yang tercicir,” katanya.

Dalam majlis terbabit, Abdul Khalid turut menyerahkan surat kelulusan lanjutan tempoh pajakan tanah ke 99 tahun bagi sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam. Bagi fasa pertama seramai 183 menerima surat lanjutan pajakan.

Penerima, Ee Chew Lee, 66, berkata lanjutan itu membantu beliau dan keluarga dalam mengharungi kos sara hidup yang kian meningkat.

“Ia dapat menyelesaikan masalah rakyat memiliki hartanah dengan hanya membayar premium RM1,000,” katanya.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata pegawai daerah di seluruh negeri perlu turun padang mengenal pasti peneroka asal yang masih belum mendapat hak milik tanah.

“Kita mahu mereka membantu peneroka ini kerana saya tidak mahu masih ada yang tercicir. Itu tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Tambahnya, rakyat berhak mendapatkan hak milik tanah mereka.

“Jika ingin menjadi pemerintah kita perlu adil dan memberinya kepada semua bukan secara pemilihan,” katanya.