Categories
NASIONAL

Usaha anti kerajaan sabotaj ekonomi Melayu demi kepentingan politik dikecam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Golongan anti kerajaan yang menimbulkan persepsi kononnya Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya meruntuhkan ekonomi orang Melayu dikecam apabila tindakan itu menjurus kepada perbuatan mensabotajnya sendiri demi kepentingan politik kepartian kelompok terbabit.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, lebih buruk lagi apabila golongan itu sebenarnya lebih berminat melihat kejatuhan ekonomi orang Melayu supaya dapat menunjukkan ‘kejahatan’ kerajaan.

“Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun memerintah di mana banyak usaha mereka gagal termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tidak mencapai sasaran.

“Tiba-tiba hari ini mereka mendakwa kerajaan PAKATAN berjaya meruntuhkan ekonomi Melayu hanya dalam tempoh masa kira-kira lapan bulan selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu di mana sudah tentu tidak masuk akal.

“Sebenarnya golongan anti kerajaan inilah yang tidak berminat membantu ekonomi Melayu dan lebih dahsyat lagi, mereka berharap ekonomi Melayu runtuh dan kemudian menuduh angkara kerajaan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia berkata, pada masa ini beliau melihat kerajaan gigih berusaha meningkatkan ekonomi semua golongan ketinggalan khasnya membabitkan kaum Bumiputera.

Katanya, antara usaha dijalankan seperti meneruskan bantuan dana perniagaan kepada peniaga Melayu menerusi pelbagai agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan lain-lain.

“Kalau betul kerajaan nak runtuhkan ekonomi Melayu, kenapa bantuan kewangan dan teknikal masih diteruskan, malah ada yang ditambah dan usaha penambahbaikan sentiasa dibuat mengikut kesesuaian semasa,” katanya lagi.

Katanya, golongan tidak bertanggungjawab itu turut bertindak menyebarkan berita palsu.

Antaranya, tindakan menyebarkan propaganda kononnya terdapat agensi pemberi pinjaman perniagaan Bumiputera dihentikan operasinya oleh kerajaan yang mampu membantutkan niat usahawan untuk memohon pinjaman.

Categories
NASIONAL

Kerajaan disaran bantu IKS Bumiputra tembusi pasaran eksport

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Kerajaan disaran meningkatkan usaha membantu pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) milik Bumiputra mengeksport produk masing-masing ke pasaran antarabangsa.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, antara bantuan boleh dihulurkan termasuk membabitkan isu kewangan dan teknikal.

“Sebenarnya banyak produk IKS keluaran Bumiputra berpotensi untuk dipasarkan di luar negara khasnya di negara Islam.

“Bagaimanapun, masih ramai pengusaha IKS ini yang tidak memiliki pengetahuan teknikal dan sumber modal terhad untuk melangkah ke pasaran luar negara,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia berkata, selain mampu meningkatkan ekonomi Bumiputra, usaha ini juga membantu kerajaan memulihkan ekonomi dan meningkatkan nilai mata wang negara.

Katanya, pengusaha IKS Bumiputra juga perlu memanfaatkan kerancakan industri e-Dagang.

Hal ini berikutan pasaran perniagaan atas talian pada hari ini semakin berkembang pesat dan mampu memberi pulangan tinggi kepada peniaga.

Categories
NASIONAL

Pendeposit TH patut lega, jangan layan golongan rasis pekat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 DIS: Golongan mendakwa langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyelia perkembangan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai percubaan pihak tertentu merosakkan institusi itu dibidas.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, dakwaan ini hanyalah suara golongan berfahaman rasis pekat dan tidak berlandaskan fakta sebenar.

“Dakwaan kononnya TH diletak bawah BNM, BNM bawah Menteri Kewangan yang seterusnya percubaan untuk ambil alih dan rosakkan TH sebenarnya bermain sentimen, bukan fakta tetapi retorik yang tak berasaskan fakta dikeluarkan oleh suara yang pekat fahaman rasisnya.

“Apabila orang yang tak reti kewangan ini kata BNM ambil alih urusan TH, itu adalah pandangan yang tak betul tetapi sebenarnya BNM hanya menyelia, fokus untuk membantu TH sehinggalah dipulihkan sementara TH terus menguruskan asetnya,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga Bekas Timbalan Pegarah BNM itu berkata, justeru pendeposit TH wajar berasa lega ekoran BNM mengaktifkan langkah penyeliaannya terhadap institusi itu.

Katanya, langkah ini mampu menyelamatkan TH daripada terjebak dengan masalah aset dan kerugian lebih buruk.

“Sebelum ini BNM hanya pandang atau pantau dari jauh sahaja tetapi bila TH bermasalah barulah BNM mengaktifkan penyeliaannya terhadap TH,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Hasil eksport negara pada 2019 dijangka meningkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 NOV: Hasil eksport negara dijangka meningkat, pada 2019 ekoran mata wang ringgit yang masih berada di paras rendah, berbanding mata wang utama dunia.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, pemain industri di Malaysia wajar menggunakan kesempatan itu untuk meningkatkan lagi eksport masing-masing ke luar negara.

“Kita ada kelebihan pada masa ini untuk meningkatkan eksport dan langkah kerajaan menggalakkan pemain industri meningkatkan eksport ekoran mata wang rendah ,pada masa ini adalah langkah tepat.

“Jika eksport perlahan, hasil negara juga kurang dan minat pelabur asing boleh terbantut,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut menyambut baik langkah kerajaan memberi intensif potongan cukai kepada pelabur bagi merancakkan lagi pelaburan langsung luar negara.

Katanya, intensif itu dijangka bakal menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur, di Malaysia.

“Keadaan ini akan merancakkan lagi ekonomi negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Peningkatan hasil kerajaan rancakkan ekonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 NOV: Hasil negara pada 2019 dijangka meningkat kepada RM261.8 bilion berbanding RM239.86 bilion yang dikutip, pada 2018.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, kutipan tinggi itu membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam Belanjawan 2019 bagi merancakkan lagi ekonomi negara.

“Ini menunjukkan kita mempunyai sumber kewangan kukuh untuk menampung perbelanjaan kerajaan dan swasta, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi.

“Apabila kerajaan berbelanja lebih, ia akan meningkatkan perbelanjaan awam dan permintaan yang akhirnya merancakkan pelbagai sektor seperti pertanian serta pembuatan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, langkah sama juga digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1999 yang akhirnya berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut krisis kewangan lebih awal, berbanding negara jiran.

Bagaimanapun, katanya, minat yang tinggi dalam kalangan pelabur tempatan dan luar negara juga membantu mengukuhkan ekonomi Malaysia.

“Perbandingan mata wang ringgit dengan beberapa negara Asean lain, pada masa ini juga lebih baik berbanding situasi pasca serangan penyangak mata wang ketika itu,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kerajaan boleh pertimbang cukai kereta, aksesori mewah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 OKT: Cadangan memperkenalkan cukai tidak membebankan rakyat yang mahu dilaksanakan kerajaan perlu membabitkan golongan berpendapatan tinggi sahaja.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia , Dr Rosli Yaakob berkata, antara cukai yang boleh dipertimbangkan adalah kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin besar dan mewah seperti Mercedes Benz, Bentley, BMW serta Hummer.

“Kereta mewah seperti ini hanya orang kaya sahaja yang beli tetapi bagi golongan berpendapatan rendah, mereka tidak akan membeli kenderaan seperti ini,” katannya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, selain kenderaan mewah, produk yang memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti arak, rokok dan minuman soda yang mengandungi kadar gula tinggi juga boleh dipertimbangkan untuk kenaikan cukai.

Bagaimanapun Dr Rosli berkata, kerajaan perlu memperketatkan penguasaan undang-undang bagi membendung penyeludupan yang semakin berleluasa ekoran kesan kenaikan cukai.

“Produk lain yang boleh dikenakan cukai adalah aksesori seperti jam berjenama mewah dan barangan kemas selain menaikkan cukai korporat pada kadar kompetitif berbanding negara lain.

“Kena kaji dahulu berapakah cukai korporat di Singapura, Thailand dan Indonesia kerana jika mereka kenakan 20 peratus, kita tidak boleh lebih daripada itu kerana boleh membantutkan minat pelabur asing masuk ke Malaysia.

“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menaikkan menaikkan kadar cukai pendapatan bagi golongan berpendapatan isi rumah tinggi,” katanya.

Categories
NASIONAL

ECRL buka peluang kerja pembersihan, jaga untuk rakyat tempatan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 FEB: Syarikat ‘pelaburan’ China bagi projek Landasan Pantai Timur (ECRL) dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan sebagai Pengawal Keselamatan atau kerja-kerja pembersihan bangunan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, berbeza dengan syarikat pelaburan Jepun, mereka membuka ribuan peluang pekerjaan berorientasikan kemahiran dalam sektor perindustriaan untuk rakyat tempatan

“Jepun berjaya memindahkan kemahiran industri kepada rakyat Malaysia. Sehingga hari ini pun, syarikat Jepun yang melabur di Malaysia tak bawa rakyat dia seperti China. Rakyat dia tak berapa mahu tinggalkan negara mereka berbeza dengan China.

“China suruh Kerajaan Malaysia pinjam duit dengan dia untuk projek itu, kemudian dia buat projek, bawa tenaga kerja dan bahan-bahan daripada China, semuanya dia, tiada peluang untuk rakyat Malaysia.

“Kalau ada pun sikit-sikit seperti jadi jaga (pengawal keselamatan), kuli atau kerja pembersihan menyapu lantai dan membersih tandas. Itu sahaja yang mereka beri kepada rakyat Malaysia dan yang lain semua dia kaut,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dr Rosli berkata, rakyat tempatan yang berkerja dengan syarikat pelaburan Jepun juga diberi latihan perindustrian di dalam dan luar negara bagi mengukuhkan kemahiran pekerja terbabit.

Katanya, sebaliknya berlaku terhadap syarikat pelaburan China seperti satu projek di Arab Saudi apabila rakyat tempatan negara itu hanya berpeluang bekerja dalam jawatan peringkat rendah sahaja.

Categories
NASIONAL

Dakwaan Dasar Pandang Ke Timur gagal, satu pandangan naif

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 FEB: Dakwaan segelintir pihak kononnya Dasar Pandang Ke Timur gagal bukan sahaja naif malah dilihat membelakangkan fakta sebenar demi menidakkan jasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membangunkan ekonomi negara.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, sedangkan Dasar Pandang Ke Timur yang digagaskan sejak 33 tahun lalu itu jelas banyak memberi faedah kepada negara.

“Itu pandangan tak betul kerana dasar pandang ke timur banyak memberi manfaat kepada Malaysia kerana dasar ini menjadi titik tolak kepada pembangunan sektor industri yang pesat dan kesannya hari ini sektor perindustrian menjadi penyumbang utama ekonomi Malaysia mengalahkan sektor pertanian dan sektor pembinaan.

“Hari ini penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sektor industri. Idea Tun Dr Mahathir itu membuahkan hasil lumayan hingga menjadikan Malaysia berstatus negara membangun.

“Sektor industri juga penyumbang guna tenaga kerana sebahagian besar rakyat Malaysia bekerja dalam sektor industri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, pelabur Jepun juga bukan sahaja membuka peluang pekerjaan malah mereka turut melengkapkan pekerja tempatan dengan pelbagai latihan yang disediakan sama ada dalam dan luar negara.

Katanya, selain memberi latihan, pelabur Jepun juga membuka pusat latihan mereka di Malaysia dan menjalin kerjasama dengan pusat latihan perindustrian Malaysia.

“Oleh kerana industri kita beroreintasikan eksport bermakna sektor industri kita mengeluarkan barang ke luar negara dan hasilnya industri kita menjana pendapatan pertukaran mata wang asing utama bagi negara kita selain industri pelancongan,” katanya lagi.

Katanya lagi, pembangunan industri yang pesat akibat kesan dasar pandang ke timur juga mendorong kepada pembangunan infrastruktur lebih pesat seperti pelabuhan, rangkaian jalan raya seperti lebuh raya yang semakin meluas dan perkembangan sektor pengangkutan.

“Akibat pembangunan perindustrian, maka kita lihat kesan sampingan pembangunan industri di Malaysia iaitu membawa kepada banyak bandar-bandar baru dibuka,” katanya lagi.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Pengumuman calon PM Pakatan turut pengaruh ringgit

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 JAN: Langkah Pakatan Harapan (Pakatan) mengumumkan calon perdana menteri dilihat turut mempengaruhi trend pengukuhan nilai tukaran mata wang ringgit, kata penganalisis ekonomi.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu dapat dilihat sebelum ini bahawa keyakinan pelabur terhadap ringgit agak goyah.

“Ini tidak boleh dinafikan. Ada tanggapan keberanian Pakatan mengumumkan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri menggembirakan pelabur asing.

“Kita boleh jangka jika Pakatan menang, pelabur akan lebih berminat melabur di Malaysia.

“Bermakna pelaburan asing langsung ke Malaysia dijangka melonjak. Reaksi awal pelabur asing memang begitu, mereka gembira dengan pengumuman itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, pengalaman panjang calon Perdana Menteri Pakatan, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi persepsi positif di mata masyarakat perdagangan terhadap masa depan ekonomi negara.

Pada masa sama, Rosli berkata, peningkatan nilai ringgit turut dipengaruhi faktor lain seperti harga minyak di pasaran antarabangsa, hutang negara, pertumbuhan eksport dan kawalan import.

Sejak penghujung 2017, pemilihan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan mula menjadi perbualan dalam kalangan pemerhati politik negara sehingga menjadi tajuk berita beberapa media tempatan dan antarabangsa.

Seiring dengan perkembangan politik itu, aliran nilai ringgit turut bergerak positif sehingga pada 5 Januari lalu nilai ringgit mencecah RM3.99 bagi satu dolar AS.

Aliran positif itu terus kekal apabila pada 7 Januari, Pakatan pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018 secara rasmi menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Malaysia ketujuh dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri.

Categories
NASIONAL

PAKATAN disaran sasar RM3 -1 dolar AS jika menang PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) disarankan meletakkan sasaran nilai ringgit kepada RM3 bagi 1 dolar Amerika Syarikat (AS) pada pertengahan penggal baru pentadbiran sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, kejayaan mengukuhkan nilai ringgit dalam pertukaran mata wang asing memberi kesan kepada harga barangan khususnya melibatkan barangan import.

“Nilai ringit jangan dibiarkan jatuh di bawah RM3. Apabila bila nilai ringgit lemah, harga barang import ikut tinggi kerana kita banyak pakai barang import.

“Jadi, kita kena kawal harga barang import supaya tidak terlalu tinggi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, sasaran RM3 berbanding 1 dolar AS merupakan sasaran yang tidak mustahil dicapai sekiranya dasar pengurusan kewangan negara dikawal dengan berhemah.

“Saya tak boleh ramal tetapi kalau ini dijadikan dasar, ia mesti dicapai dalam tempoh pertengahan penggal iaitu dua hingga tiga tahun selepas PAKATAN memerintah.

“Dalam setengah penggal mesti rakyat melihat pengukuhan yang bermakna kepada rakyat atau signifikan kepada pertukaran asing ringgit ini,” katanya lagi.

Categories
EKONOMI

Ekonomi negara diramal positif jika PAKATAN ke Putrajaya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 JAN: Penganalisis ekonomi meramalkan ekonomi negara berkembang lebih positif jika Pakatan Harapan (PAKATAN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan ini turut mendorong kepada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Jika PAKATAN mengambil Putrajaya, pertumbuhan ekonomi lebih laju di mana kita tahu nilai ringgit dipengaruhi pelbagai faktor seperti kenaikan harga minyak, perkembangan eksport, pengawalan pertumbuhan import, duit tak dicuri untuk disorok ke luar negara. Ini antara faktor mempengaruhi nilai ringgit.

“Kalau PAKATAN menang, kita tahu hutang negara lebih terkawal kerana ini memang dasar PAKATAN.

“Ekonomi juga berkembang ekoran nilai eksport lebih pesat jika kita tegas membendung isu rasuah, tidak ada pengaliran wang haram ke luar negara atau setidak-tidaknya lebih terkawal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini , hari ini.

Jelasnya, langkah tegas mendakwa pemimpin kleptokrasi juga memberi kesan signifikan kepada aliran keluar wang secara haram.

Katanya, semua langkah ini mewujudkan trend pengukuhan nilai pertukaran mata wang ringgit.

Katanya lagi, senario ini menyebabkan timbul minat lebih tinggi dalam kalangan masyarakat perdagangan antarabangsa untuk melabur di Malaysia.

Selain itu, dasar PAKATAN yang dilihat pro rakyat dan mengurangkan kos pengeluaran dijangka mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat khususnya melibatkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah

“Dasar PAKATAN dalam hal ekonomi dan dasar awam yang lain seperti ‘menzerokan’ Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mengembalikan subsidi barangan keperluan utama, polisi membenteras pembaziran dan rasuah ini dilihat positif bukan sahaja kepada pelabur asing tetapi juga rakyat Malaysia.

“Jika dasar ini dilaksanakan harga barangan akan lebih rendah, kos hidup juga rendah di mana ini menggembirakan rakyat berbanding sekarang dikenakan GST, tiada subsidi, harga minyak naik menyebabkan kehidupan mereka terhimpit,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penganalisis: Kekuatan pelbagai sektor sumbang KDNK tertinggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 SEPT: Selain sekali lagi muncul sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional bagi 2016, Selangor juga merupakan penyumbang terbesar KDNK negara bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan ini membuktikan kekuatan ekonomi Selangor tidak bergantung kepada satu sektor semata-mata tetapi meliputi pelbagai sektor termasuk sektor pertanian.

“Walaupun Selangor dikenali sebagai negeri perindustrian tetapi Kerajaan Negeri hari ini berjaya memperkukuhkan semua sektor ekonominya di mana Selangor tidak bergantung kepada satu enjin ekonomi sahaja tetapi lebih daripada dua enjin termasuklah sektor pertaniannya turut diupayakan.

EKONOMI SELANGOR“Kalau kita lihat sektor perindustrian, perkhidmatan, pembinaan menunjukkan Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK negara bagi semua sektor ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, walaupun Selangor bukan merupakan penyumbang terbesar bagi sektor pertanian tetapi masih dianggap sebagai salah satu pengeluar pertanian terbesar disebabkan kepelbagaian bidang pertaniannya seperti pengeluaran padi dan penternakan.

https://selangorkini.my/2017/09/selangor-sumbang-kdnk-2016-terbesar-negara-22-7/

Prestasi KDNK dinilaikan melalui lima sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pertanian.

Dalam laporan KDNK yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara pada 6 September lalu, Selangor menyumbang sebanyak 22.7 peratus KDNK nasional diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 15.3 peratus dan Johor 9.4 peratus.

Manakala berdasarkan pecahan sektor pula, Selangor juga merupakan penyumbang KDNK tertinggi nasional bagi sektor pembuatan dengan mencatatkan sebanyak 28.9 peratus, pembinaan 29 peratus dan perkhidmatan 25.2 peratus.

=EZY=