Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Covid-19 negeri dijangka terus menurun, capai paras minimum

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kes Covid-19 di Selangor dijangka terus menurun pada minggu akan datang berdasarkan corak jangkitan beberapa hari kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata kes harian dan mingguan di negeri ini juga dijangka mencapai tahap minimum yang disebut sebagai paras endemik.

“Mengikut trend kes harian dan mingguan terkini yang terus menunjukkan penurunan, dapat dijangkakan bahawa akan terdapat penurunan berterusan pada minggu-minggu mendatang.

“Penurunan perlu dikekalkan atau ditambah baik dengan meningkatkan lagi program imunisasi Covid-19 di Selangor terutama membabitkan golongan sasar seperti pekerja tempatan dan asing serta remaja yang bakal kembali ke sekolah tidak lama lagi,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman.

Sementara itu, beliau berkata saringan kepada individu bergejala perlu terus ditumpukan sebagai strategi mengawal penularan wabak di negeri ini.

“Mereka yang bergejala digalak mendapatkan rawatan segera tanpa berlengah kerana langkah ini akan memberikan impak positif dalam mengawal pandemik di Selangor,” katanya.

Selangor mencatatkan jangkitan paras 2,000 tiga hari berturut-turut mulai Isnin. Sebanyak 2,989 kes direkodkan semalam, 2,107 kelmarin manakala 2,126 kes pada Isnin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sektor kilang penyumbang terbesar kluster walau kes pekerja hanya 20 peratus

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sektor perkilangan penyumbang terbesar bilangan kluster jangkitan Covid-19 di Selangor sepanjang Julai, namun golongan pekerja hanya 20 peratus daripada jumlah kes positif yang disaring.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata penyumbang kedua terbesar bilangan kluster adalah sektor perkhidmatan, diikuti tapak bina, perniagaan dan komuniti, manakala kluster lain menunjukkan bilangan yang amat sedikit.

Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman juga menjelaskan saringan kontak rapat menyumbang jumlah kes terbesar iaitu hampir 40 peratus, diikuti kes bergejala 22 peratus, pekerja (20 peratus), bukan pekerja (14 peratus) dan lain-lain (lebih 1 peratus).

“Kalau kita lihat pada jumlah kes tersebut, seperti yang ketua setiausaha kementerian (Datuk Mohd Shafiq Abdullah) sebut tentang gejala umum dan tidak bergejala, sama juga dalam Selangor di mana hampir 65 peratus kes yang dikesan adalah kes tanpa gejala.

“Terdapat 30 hingga 35 peratus kes bergejala di mana majoriti kes pada tahap kategori tiga, manakala kategori empat dan lima amat sedikit, lebih kurang dalam 1.8 peratus yang dikesan dalam Selangor,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

 

Sementara itu, berdasarkan laporan ringkas kementerian kepada media, sebanyak 96 kluster sektor perkilangan (atau 54 peratus) dikesan di negeri ini antara 1 hingga 31 Julai.

Perkhidmatan pula penyumbang kedua terbesar dengan 22 kluster (atau 12 peratus), diikuti 18 kluster tapak bina (10 peratus), 13 kluster perniagaan (7 peratus) dan sembilan kluster komuniti (5 peratus).

“Terdapat sembilan kluster komuniti yang dilaporkan, namun kesemuanya adalah kluster yang berlaku sebelum perayaan Hari Raya Aidiladha,” laporan itu dipetik.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Katil hospital Shah Alam, Klang ditambah, mobilisasi petugas kesihatan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Semua hospital di Selangor menerima peningkatan kes Covid-19 yang tinggi terutama melibatkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan sejak akhir bulan lalu, kata Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya sedang melakukan penambahan bilangan katil melalui pengaktifan hospital medan di Hospital Tuanku Mizan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perolehan darurat peralatan perubatan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

“Mobilisasi kakitangan kesihatan luar dari Lembah Klang turut dijalankan bagi membantu situasi Covid-19 meliputi pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JKNS, hari ini

Dr Sha’ari menerangkan status semasa keadaan hospital di Selangor susulan viral gambar keadaan jabatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari menjelaskan bahawa peningkatan kemasukan pesakit akut di jabatan kecemasan Hospital Shah Alam berlaku susulan hospital tersebut kini dijadikan hospital berpakar major bukan Covid-19 yang memberi rawatan akut pesakit bukan Covid-19 sekitar daerah Petaling.

“Bagi HTAR Klang pula, kebanyakan pesakit telah dirawat terlebih dahulu di jabatan kecemasan sementara menunggu katil di wad. Oleh itu, pertambahan katil terpaksa dilakukan di luar jabatan kecemasan HTAR untuk sementara.

“Pihak HTAR dan Hospital Shah Alam dalam proses menambah kapasiti katil di hospital masing-masing,” katanya.

Petang tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini mengumumkan sebuah lagi hospital medan (ATM) akan diwujudkan di HTAR  berikutan situasi semasa jangkitan Covid-19 di Selangor yang semakin meningkat.

— BERNAMA