Categories
EXCO SELANGOR

Selangor belanja RM400 juta tangani Covid-19

SHAH ALAM, 9 NOV: Selangor membelanjakan RM400 juta bagi menangani penularan pandemik Covid-19, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Menurut EXCO kesihatan, antara langkah awal diambil termasuk melaksanakan saringan komuniti di kawasan zon merah membabitkan kos RM2.96 juta.

“Selain itu, kita turut menyumbangkan pelitup muka kepada pelajar sekolah, jabatan pendidikan, pejabat pendidikan daerah, pusat khidmat masyarakat dan semua penjawat awam dengan RM5.8 juta telah diperuntukkan.

“Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri turut memberi sumbangan kit pembasmi kuman kepada 854 taska berdaftar di Selangor perbelanjaan RM690,000,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Sementa, Dr. Daroyah Alwi pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Tambah Dr Siti Mariah, Selangor turut melaksanakan inisiatif yang tidak dijalankan negeri lain iaitu penjagaan anak petugas barisan hadapan.

“Kita juga membantu rakyat terjejas dengan pemberian geran serta pelbagai inisiatif,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Negara perlu ada indeks tepat ukur kesihatan mental rakyat

SHAH ALAM, 7 SEPT: Negara perlu mempunyai indeks lebih tepat bagi menilai kesihatan mental dan psikologi rakyat, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata kesihatan mental seperti kemurungan, kerisauan dan keresahan dijangka menjadi penyakit nombor dua dalam kalangan masyarakat termasuk golongan remaja.

“Kita perlu tingkatkan program kesedaran serta memberi sokongan terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ramai yang hilang pekerjaan.

Dr Siti Mariah Mahmud memberi rumusan Sindiket 1B : Kesihatan Awam Dan Bandar Berdaya Huni ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sesiapa sahaja boleh mengalami kesihatan mental, siapa pernah ada perasaan lebih baik mati daripada hidup, itu tanda anda alami kesihatan mental,” katanya ketika merumuskan Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan perlu meningkatkan kemudahan awam termasuk menyediakan menyediakan laluan khusus untuk basikal selaras usaha menjadi negeri berdaya huni.

“Reka bentuk laluan juga perlu mesra orang kelainan upaya (OKU), warga emas, wanita dan kanak-kanak, semua ini nampak remeh tetapi sebenarnya penting kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor dicadang tubuh Yayasan Kesihatan, Tabung Dana Kesihatan Negeri

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor dicadang menubuhkan Yayasan Kesihatan dan Tabung Dana Kesihatan Negeri bagi meningkatkan kualiti kesihatan serta menampung kos rawatan rakyat.

EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata saranan tersebut bagi meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri yang memperuntukkan RM42.5 juta melalui Skim Peduli Sihat untuk memastikan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan mendapat rawatan asas.

“Skim Peduli Sihat memberi manfaat kepada seramai 85,000 orang kerana kita mahu pastikan rakyat menikmati kualiti kehidupan lebih baik, ini hasrat kita untuk pastikan dasar kesihatan menyeluruh.

“Namun bagi menampung kos ini saya cadangkan beberapa perkara untuk dipertimbangkan, kita boleh jalin kerjasama dengan sektor korporat dan swasta,” katanya ketika merumus Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan pada Disember 2016 membiayai rawatan kesihatan asas kepada 250,000 keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta untuk membekalkan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan manakala RM3 juta untuk perbelanjaan stesen kuarantin yang menempatkan individu dalam pengawasan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

NGO disaran kenal pasti lokasi jadi Pusat Peduli Kanak-kanak

SUBANG JAYA, 24 OGOS: Badan bukan kerajaan (NGO) disaran mengenal pasti lebih banyak lokasi sesuai di negeri ini untuk dijadikan Pusat Peduli Kanak-kanak (PPKK).

EXCO Kebajikan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemilihan lokasi harus mengambil kira faktor kepadatan golongan itu di sesebuah kawasan selain mengikut keperluan komuniti setempat.

“Walaupun nampak mudah tetapi sebenarnya agak sukar untuk cari tempat, jadi sekiranya jawatankuasa NGO berminat (untuk wujudkan PPKK) dan sudah ada tempat maka mereka boleh sediakan kertas kerja lengkap kepada kita.

“InsyaAllah, kita cuba bantu bergantung pada kedudukan peruntukan Kerajaan Negeri dan (peruntukan) mungkin tidak banyak tetapi kita mahu hargai usaha murni mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran PPKK di Pangsapuri Angsana, USJ 1 semalam.

Setakat ini, dua PPKK diwujud di Selangor iaitu Pangsapuri Angsana, Subang Jaya dan Pangsapuri Bunga Raya, Hulu Selangor dengan masing-masing diperuntuk RM200,000 untuk menggerak aktiviti kepada kanak-kanak.

Dr Siti Mariah menambah penubuhan PPKK mampu mengelak kes pengabaian, kerosakan akhlak serta masalah sosial melalui penyediaan pelbagai program untuk mereka.

“Kanak-kanak yang datang ke sini akan dipantau oleh jawatankuasa NGO, sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk melakukan aktiviti berfaedah selepas pulang dari sekolah seperti belajar dan bermain.”

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Wanita jadi mangsa keganasan rumah tangga diminta buat aduan

SHAH ALAM, 30 ARPIL: Golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinasihat tampil membuat aduan, kata EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata aduan boleh dibuat menerusi pelbagai medium antaranya Talian Kasih (15999), Talian Bantuan Pertubuhan Pertolongan Wanita (03-7956 3488), temui kaunselor atau laporkan di balai polis berhampiran.

“Keganasan ini berlaku berikutan isteri dan suami banyak masa berada di rumah susulan PKP dan ketidaktentuan kewangan sehingga menjadi punca seseorang bertindak di luar kawalan.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan wanita untuk terus tampil buat aduan. Elakkan pendam kerana hal ini akan lebih memudaratkan diri mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Dr Siti Mariah berkata jiran juga perlu sentiasa peka jika ada dalam kalangan penduduk di kawasan mereka mengalami penderaan dalam rumah tangga.

Baru-baru ini media melaporkan, sebanyak 353 kes keganasan rumah tangga diterima polis sepanjang 29 hari tempoh PKP bermula 18 Mac.

Isu keganasan rumah tangga disebabkan pelbagai punca termasuk pasangan cemburu, selisih faham berkaitan hal kecil, masalah kewangan dan suami penagih dadah.

Categories
EXCO SELANGOR

PKP: Gotong-royong bersihkan rumah, cegah denggi di Selangor

SHAH ALAM, 6 APRIL: Penduduk tetap Selangor dijemput sertai kajian ringkas berkaitan kebersihan rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maklum EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata kajian itu bagi membantu Jabatan Kesihatan Selangor dalam mencegah penularan denggi.

“Objektif kajian untuk melihat kesan PKP dan gotong-royong kendiri di rumah dengan situasi kes denggi di Selangor, sekali gus membantu perencanaan mengawal jangkitan demam itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Orang ramai boleh melayari https://forms.gle/qn94amW7kdMGf5sS9 untuk sertai kajian ini.

Baru-baru ini, Dr Siti Mariah memaklumkan kes denggi di Selangor menurun dan tiada kematian dilaporkan sehingga bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan masyarakat menggunakan masa terluang sepanjang tempoh PKP untuk membersihkan halaman rumah masing-masing.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Kes denggi turun, tiada kematian 

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kes denggi di Selangor menurun dan tiada kematian dilaporkan sehingga bulan lalu, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya juga belum menerima maklumat peningkatan kes di Subang Jaya seperti dilaporkan Ahli Dewan Negerinya, Michelle Ng Mei Sze.

“Jika benar berlaku peningkatan pihak berkuasa tempatan diminta ambil tindakan segera dengan melakukan proses penyemburan di lokasi pembiakan Aedes,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan masyarakat menggunakan masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membersihkan halaman rumah masing-masing.

“Ibu bapa juga perlu bijak gunakan masa terluang sepanjang PKP dengan mengajak anak-anak bersihkan rumah dan pastikan tiada tempat Aedes membiak di kawasan kita,” katanya.

Baru-baru ini, Michelle memuat naik di Facebooknya senarai lokasi panas denggi daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya bagi tempoh 22 hingga 28 Mac lalu iaitu di USJ 15, USJ 1, Taman Subang Mas, Batu Tiga, Taman Kinrara dan Taman Perindustrian Puchong dengan jumlah keseluruhan 316 kes.

Categories
EXCO SELANGOR

Wujudkan talian khas bantu tangani tekanan emosi, kewangan

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Negeri akan membuka satu talian baharu bagi membantu masyarakat yang mengalami tekanan emosi terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah panggilan Talian Kasih menunjukkan peningkatan kebelakangan ini dan dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

“Sepanjang PKP sebenarnya ramai yang alami tekanan terutama berkaitan kewangan, masa depan dan keluarga justeru kami mengambil pendekatan untuk membantu mereka yang terkesan.

“Buat masa ini, kita sedang dalam proses wujudkan talian itu dan kaunselor sukarelawan yang akan mengendalikan dan membantu golongan tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi perkhidmatan kaunseling dan pakar untuk kesihatan mental melalui kelas interaktif.

Categories
NASIONAL

PAS Umum Bertanding 76 Parlimen, 237 DUN

PAS Umum Bertanding 01

KUALA LUMPUR, 2 APR: PAS akan bertanding 76 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekaligus menyaksikan pertambahan 10 kerusi berbanding tahun 2008.

Di samping itu, PAS turut bertanding di 237 kerusi DUN seluruh Malaysia.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media sempena pelancaran Pusat Media PAS sempena PRU-13.

Menurut Abdul Hadi, PAS turut bertanding di kerusi campuran memandangkan sambutan positif terutama dalam kalangan kaum Cina dan India.

“Kita memecahkan benteng pemisah perkauman sehingga rakyat menolak MCA dan MIC,” katanya.

Antara calon PAS yang menang pada PRU-12 di kerusi campuran adalah Dr Siti Mariah Mahmood, kawasan Parlimen Kota Raja.

Selain itu, PAS turut mengumumkan calon yang bakal bertanding di tiga kerusi Parlimen.

Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi akan bertanding di Parlimen Temerloh sekaligus menyaksikan pertukaran semula kerusi bersama PKR yang bertanding pada PRU-12.

Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Juham), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi diletakkan sebagai calon Parlimen Titiwangsa yang dahulunya diwakili Allahyarhamah Dr Lo’ Lo Ghazali.

Sementara itu, bekas Pengarah Kor Agama, Angkatan Tentera Malaysia, Briged Jeneral (B), Datuk Najmi Ahmad akan bertanding di Parlimen Baling.

Jelas Abdul Hadi, Datuk Taib Azamuddeen Taib selaku penyandang kerusi Baling tidak akan bertanding kerana mengalami masalah kesihatan