Categories
AGENDA NASIONAL

Keluar parti, KEADILAN tuntut RM10 juta dari Xavier

KUANTAN, 5 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mengemukakan surat tuntutan bagi menuntut Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar membayar RM10 juta setelah bertindak keluar daripada parti itu bulan lepas.

Bendahari Agung KEADILAN Lee Chean Chung berkata surat berkenaan akan diserahkan oleh peguam parti itu kepada Xavier esok dan bekas naib presiden KEADILAN tersebut diberi masa sehingga tujuh hari untuk menyelesaikannya.

“Sesiapa yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti mereka perlu menerima akibat, mereka seharusnya membayar RM10 juta seperti dipersetujui,” katanya.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Indera Mahkota 2020 di sini semalam.

Pada 13 Mac lepas, Xavier mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai naib presiden dan ahli KEADILAN selain menyokong blok kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Lee yang juga Ketua Cabang Indera Mahkota berkata mesyuarat semalam mengemukakan dua usul iaitu menolak sebarang kerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selain calon Pilihan Raya Umum ke-15 cabang itu harus terdiri daripada penduduk tempatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gabung bil air, bil IWK untuk mudahkan pelanggan

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) memberi jaminan pengebilan bersepadu air dan pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd tidak akan melibatkan kenaikan tarif perkhidmatan pembetungan sedia ada.

Menteri berkenaan Datuk Dr Xavier Jayakumar menjelaskan sebaliknya langkah berkenaan akan memudahkan lagi proses pembayaran apabila pelanggan akan menerima dan membayar satu bil bagi kedua-dua perkhidmatan antara operator bekalan air dan pihak pembetungan.

“Selain itu pelanggan juga hanya perlu menghubungi satu pusat hubungan sekiranya pelanggan mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berkenaan bil kerana terdapat kakitangan IWK akan berada di pejabat pembekal air.

“Pelanggan juga tidak perlu lagi menghubungi talian yang berlainan untuk isu perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Xavier menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PH-Nibong Tebal) yang ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan bagi menggabung bil bekalan air dengan bil pembetungan IWK serta kesannya kepada kerajaan dan rakyat.

Menurutnya pelaksanaan projek rintis bil bersepadu yang telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Mac 2016 memberi kesan positif kepada IWK apabila berlaku peningkatan kadar kumulatif syarikat berkenaan di wilayah itu.

“Kadar kumulatif IWK di Labuan iaitu dari 87 peratus pada 2016 kepada 90.4 peratus pada 2018. Ia juga memberi kesan positif kepada Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) iaitu peningkatan sebanyak dua peratus daripada RM33.11 juta pada 2016 kepada RM33.82 juta untuk 2018.

“Selepas perlaksanaan pengebilan bersepadu di Labuan, bersama sokongan KATS akan diperluas ke negeri-negeri lain dengan mengadakan perbincangan bersama operator-operator bekalan air negeri,” katanya.

Dr Xavier berkata buat masa kini, Pulau Pinang menunjukkan minat mereka untuk berunding bagi perlaksanaan pengebilan bersepadu itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian juga akan memberhentikan pemberian subsidi kepada IWK dalam tempoh lima tahun akan datang namun beberapa program akan dilaksanakan kementeriannya bagi membolehkan syarikat itu berdiri sendiri.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Rakyat diseru berganding bahu maju negeri

MORIB, 16 SEPT: Rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama diseru bersama berganding bahu untuk terus memajukan negeri ini selaras negara maju lain.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar berkata, rakyat perlu meningkatkan kesedaran dalam diri mereka sekali gus memupuk perasaan kasih sayang antara kaum.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan kesinambungan hubungan baik zaman nenek moyang dahulu tidak kira Melayu, Cina dan India dapat menjalani kehidupan penuh harmoni.

“Selain itu, kita juga perlu bersama berusaha meningkatkan kemajuan diri dan keluarga dari segi ekonomi atau pendidikan.

“Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan kestabilan dan keharmonian,” katanya yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat Kuala Langat di Pantai Morib di sini, malam tadi.

Kibaran Jalur Gemilang oleh para hadirin sempena Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat Daerah Kuala Langat di Pantai Morib pada 15 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin dan Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim.

Pada masa sama, Xavier berkata, penduduk di Kuala Langat juga perlu memainkan peranan untuk bersama memajukan daerah berkenaan memandangkan ia bakal diangkat sebagai Majlis Perbandaran tidak lama lagi.

“Saya menyeru khususnya penduduk Kuala Langat untuk bersatu-padu memajukan daerah ini seiring hasrat Kerajaan Negeri mahu menjadikan Kuala Langat ke arah Majlis Perbandaran,” katanya.

Terdahulu, lebih kurang 5,000 orang hadir pada program sambutan Hari Malaysia 2019 yang berlangsung di Dataran Pantai Morib di sini.

Program diadakan serentak dengan Pesta Morib 2019 itu dianjurkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Sambutan Hari Malaysia itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian tradisional, nyanyian dan pencak silat.

Program turut diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang daripada pengunjung yang hadir.

Categories
NASIONAL

KATS anjur mesyuarat sulung NBR

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUL: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menganjurkan mesyuarat Meja Bulat Biodiversiti Kebangsaan (NBR) buat pertama kali di Putrajaya, semalam.

Mesyuarat dipengerusikan menterinya, Dr Xavier Jayakumar dihadiri seramai 16 ahli panel penasihat terdiri daripada ahli akademik, badan-badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

NBR ditubuhkan sebagai platform untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan bagi meningkat dan menambah baik tadbir urus (governance) biodiversiti di negara ini.

Antara butiran pasca mesyuarat semalam adalah NBR bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan dan pihak kepentingan bagi memastikan kelangsungan biodiversiti negara.

Selain itu, panel mesyuarat juga mengenal pasti bidang strategik pengurusan biodiversiti yang perlu diberi penekanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Agenda lain dibincangkan dalam NBR ialah hala tuju Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 (DKBK).

Xavier berkata, NBR adalah bukti Kerajaan sentiasa peka dan mendengar aspirasi rakyat demi menjamin kesejahteraan generasi masa kini serta masa depan selain komited untuk menyokong usaha negara di peringkat serantau juga antarabangsa.

Categories
NASIONAL

Juruukur main peranan penting pembangunan negara

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Juruukur memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, terutama apabila maklumat geospatial penting untuk membuat keputusan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata pada masa ini, maklumat geospatial menyediakan platform integratif untuk semua data digital yang mempunyai dimensi lokasi kepadanya.

Pihak berkuasa, katanya, tidak boleh mentadbir apabila tidak mengetahui sempadan dan ciri-ciri fizikal negara, dan menambah di Malaysia banyak maklumat sedemikian telah dihasilkan dan disediakan oleh juruukur.

“Ia memberikan maklumat antara tempat, rakyatnya dan aktiviti mereka.

“Ia juga digunakan untuk menggambarkan apa yang berlaku di mana, membantu kita memahami mengapa dan dengan berkesan mereka bentuk respons dan intervensi yang sesuai. Adalah penting bahawa kita mempunyai ‘bagaimana’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Kongres Juruukur Antarabangsa ke-21, yang menggabungkan Seminar Antarabangsa Pengurusan Maklumat Geospatial Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini semalam.

Turut hadir pada acara sehari itu ialah Penasihat Antara Serantau Sekretariat Pengurusan Maklumat Geospatial Global PBB, Greg Scott, dan Presiden Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM), Mohammad Azmi Mohd Zin.

Xavier berkata kerajaan perlu mengetahui bagaimana untuk memastikan akses dan penggunaan air, tanah, sumber asli yang saksama dan lestari.

Beliau berkata maklumat geospatial digambarkan sebagai ‘mata wang digital’ negara bagi membuat keputusan berasaskan bukti, komponen penting dalam ekonomi pengetahuan.

“Saya juga percaya kerajaan perlu memainkan peranan dalam memacu dan menyokong kolaborasi seluruh sektor untuk data dan maklumat yang boleh dipercayai dan tepat untuk respons berdasarkan bukti,” katanya.

Beliau berkata beberapa trend penting yang didorong oleh teknologi mungkin mempunyai impak besar pada masa depan, mewujudkan jumlah maklumat rujukan yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini dan mempersoalkan pemahaman orang mengenai apa yang menjadi maklumat geospatial.

Acara itu menarik kira-kira 500 juruukur dari pelbagai disiplin ukur di Malaysia bersama-sama dengan 33 wakil pakar negara anggota PBB dan 11 pakar dari sistem PBB serta pihak berkepentingan yang berkaitan.

Wakil pakar adalah dari 25 negara, termasuk Malaysia.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

11 individu ditahan ceroboh Taman Negara, simpan bahagian hidupan liar

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan sembilan warga asing dan dua warga tempatan kerana menceroboh Taman Negara dan menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar sepanjang bulan lepas.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, tangkapan dilakukan di beberapa lokasi seluruh negara iaitu di Taman Negara Terengganu (tiga tangkapan); Hutan Simpan Sungai Yu, Pahang (empat tangkapan); Ladang Kim Sam, Gua Musang, Kelantan (dua tangkapan) dan Hutan Simpan Lesong, Rompin, Pahang (dua tangkapan warga tempatan).

Katany, semua mereka disiasat kerana memburu dan menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Perhilitan akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap semua barang kes yang disita untuk mengesahkan spesies hidupan liar yang terlibat. Ujian forensik ini akan dijalankan di Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan milik Perhilitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tangkapan di Taman Negara Terengganu pada 29 Mei lalu, Xavier berkata tiga individu warga Kemboja telah ditahan dan beberapa bahagian hidupan liar serta hasil hutan disita.

Antara yang disita termasuklah 105 unit sisik tenggiling, sembilan bungkus daging yang disyaki hidupan liar, sepasang rahang hidupan liar, tiga unit taring hidupan liar, empat unit duri landak, selain pelbagai peralatan untuk memburu.

Sementara itu, Xavier berkata kementeriannya memandang serius dalam usaha memastikan hidupan liar terutamanya Harimau Malaya terpelihara dan tidak mengalami kepupusan.

Menurutnya, pada masa ini hanya terdapat kurang daripada 200 ekor Harimau Malaya di hutan-hutan seluruh Semenanjung Malaysia.

“Tindakan penceroboh dan penjenayah hidupan liar merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan … kementerian amat serius berkaitan perkara ini dan akan mempertingkatkan operasi memburu serta menangkap penceroboh dan penjenayah hidupan liar.

“Kementerian juga memberikan amaran keras kepada semua pihak agar mematuhi undang-undang,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kementerian sambut baik denda tinggi terhadap pemburu haram

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menyambut baik keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang memerintahkan dua pemburu haram warga Vietnam dipenjara dua tahun dan didenda RM1.56 juta setiap seorang, semalam.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, jumlah denda terbabit adalah yang tertinggi pernah dikenakan bagi kenayah hidupan liar dalam sejarah negara.

Katanya, keputusan itu dilihat membuka harapan baharu dalam usaha kementeriannya memerangi jenayah terhadap hidupan liar.

“Keputusan ini akan menjadi pemangkin buat KATS untuk terus memperhebatkan usaha bagi memerangi jenayah hidupan liar dan anasir jahat yang membawa kemusnahan terhadap hidupan liar serta sumber alam Malaysia.

“Hukuman kepada dua warga Vietnam terbabit diharap menjadi penghalang kepada mereka yang berniat jahat untuk menganiayai hidupan liar demi keuntungan diri sendiri.

“KATS tidak berkompromi dengan sebarang tindakan tidak bertanggungjawab ini dan akan memantapkan kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menumpaskan sindiket pemerdagangan haram hidupan liar.

“Pemburu haram adalah pengkhianat negera dan tiada tempat untuk mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap 20 pertuduhan di bawah empat seksyen dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memilik jerat dan menyimpan hidupan liar dilindungi sepenuhnya.

Pemburu haram terbabit ditangkap oleh pasukan taktikal khas PERHILITAN iaitu Special Protected Area Response Team (SPARTA) semasa menjalankan Ops Belang pada 15 April 2019 di Taman Negara Terengganu.

 

 

Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air di Klang pulih mulai esok

PUTRAJAYA, 9 MEI: Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang susulan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, dijangka pulih secara berperingkat mulai esok.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sedang bekerja 24 jam bagi melaksanakan kerja pembaikan paip berkenaan yang telah siap pada kadar 35 peratus sehingga semalam.

Beliau berkata kontraktor Air Selangor perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah Ahad lepas.

“Saya minta kesabaran penduduk Klang sebab masalah air ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Kontraktor bekerja 24 jam bagi memastikan air disambung balik,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kementeriannya di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau berkata pihaknya juga mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyiasat isu paip pecah terbabit.

Sejak Ahad lalu, hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.

Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dilaporkan berkata kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada keputusan isu pampasan kawasan tadahan air

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Kerajaan persekutuan tidak membuat sebarang keputusan berhubung pampasan yang diminta kerajaan negeri bagi kawasan hutan simpan dan hutan rezab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, semua kerajaan negeri mahukan pampasan daripada kerajaan persekutuan berhubung perkara itu.

“Ada banyak cara lain untuk menangani perkara itu, khususnya daripada segi industri perhutanan. Kami juga mempunyai rancangan untuk perladangan hutan dan industri hutan untuk terus menggunakan hutan sebagai ekonomi baharu.

“Kami dalam program penanaman semula hutan yang besar dan saya rasa kerajaan negeri perlu mengambil manfaat daripada program ini untuk melonjakkan ekonomi.

“Ada model perniagaan yang sangat menguntungkan yang digunakan untuk masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Bumi di Taman Tugu, di sini hari ini.

Dr Xavier berkata demikian bagi mengulas rancangan kerajaan Pahang yang ingin mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutusn untuk mendapatkan pampasan lebih RM17 bilion bagi kawasan hutan simpan dan hutan rezab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air untuk mensejahterakan rakyat luar dari Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia membabitkan kawasan seluas satu juta hektar yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos lepas yang tinggi.

Wan Rosdy dilaporkan berkata kerajaan negeri kerugian hasil pembalakan, mineral, premium tanah sawit dan cukai tanah melibatkan kawasan seluas 33,000 hektar berikutan Empangan Kelau ‘dikorbankan’ untuk membekalkan air menerusi projek pemindahan air mentah Pahang Selangor (PPAMPS). -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penduduk diminta hentikan spekulasi pencemaran

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LANGAT, 19 APR: Penduduk di sekitar Telok Panglima Garang dinasihatkan tidak membuat spekulasi serta menyebarkan khabar angin berhubung sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran akibat peleburan plumbum.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar berkata, penduduk perlu memberi tempoh kepada Kerajaan Negeri dan pihak pengurusan kilang selama dua minggu bagi melaksanakan kaji selidik untuk menyelesaikannya.

Katanya, beliau memahami situasi penduduk dan mereka mempunyai hak untuk mempertahankan kawasan terbabit.

“Namun, setiap syarikat perlu mematuhi syarat yang ditentukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi kerajaan sebelum kita luluskan perniagaan atau industri di sesuatu kawasan.

“Pada masa sama, saya sudah menerima kenyataan yang dikeluarkan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan isu ini, namun saya perlu mengambil beberapa aspek termasuk modal yang dilaburkan di syarikat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke kilang Leoch Accupower Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sementara itu, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian mengadakan lawatan ke Kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang, bagi mengesan punca pencemaran akibat peleburan plumbum di kawasan terbabit.

Difahamkan, kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd yang menjalankan industri bateri itu sudah beroperasi sejak 2014 dengan nilai pelaburan sejumlah RM120 juta daripada 60 peratus pelaburan asing Perancis dan 40 peratus tempatan.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Kerajaan sambut baik pelabur asing ke Kuala Langat

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LANGAT, 19 APR: Kerajaan menyambut baik kemasukan lebih banyak pelabur asing ke Kuala Langat bagi mengukuhkan ekonomi dan kestabilan politik di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia berikutan Kuala Langat adalah kawasan strategik yang menjadi tarikan pelabur asing kerana berdekatan dengan Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan.

Katanya, menerusi pelaburan itu ia mampu menambah peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk tempatan.

“Oleh itu, sektor industri kilang sudah pasti akan mencapai kecemerlangan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

“Justeru, industri kilang baharu perlu mengikut standard operasi prosedur yang ketat, penjagaan alam sekitar dan mengikut syarat ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke kilang Leoch Accupower Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sementara itu, Xavier merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, pihak berkuasa perlu meneliti kawasan bersesuaian dan cadangan untuk dijadikan tempat industri.

Katanya, beliau menasihatkan pihak yang ingin memulakan industri kilang perlu mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan agensi kerajaan.

“Saya mohon pihak Majlis Daerah Kuala Langat bekerjasama dengan pejabat tanah untuk memastikan kilang yang bakal dibangunkan mendapat kelulusan daripada mereka sebelum ia dibina.

“Pada masa sama, bagi menangani isu sisa plastik di kawasan ini, saya menyeru kepada pihak berkuasa memberi lebih perhatian dan penguatkuasaan lebih ketat untuk memberhentikan kemasukan bahan berkaitan di negara ini,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Cadangan infrastruktur baharu majukan Pantai Morib

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LANGAT, 14 APR: Bagi memajukan Pantai Morib sebagai destinasi pelancongan di Selangor, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, bercadangan membina infrastruktur baharu di kawasan itu.

Beliau yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, infrastruktur baharu itu mampu merancakkan sektor pelancongan sekali gus menarik orang ramai hadir ke kawasan terbabit.

“Saya sudah ada beberapa idea, lukisan dan pelan. Nanti saya akan beri kepada Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan pejabat saya.

“Contohnya saya bercadang membina satu binaan berbentuk U di kawasan pantai dan laut yang membolehkan pengunjung berjalan di atasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika Program Retromania Grand Gathering 2019 di Pantai Morib di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya, cadangan terbabit boleh bermula jika Kerajaan Negeri dan pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersetuju.

Sementara itu, Xavier berkata, pihaknya berharap pengunjung yang hadir ke Pantai Morib boleh turut membantu MDKL dalam menjaga kebersihan di kawasan itu.

“Jika boleh, saya juga ingin jadikan kawasan ini kawasan larangan plastik. Sebab isu pencemaran plastik ini suatu isu besar di seluruh dunia, malah banyak manfaat jangka panjang jika kita tidak menggunakannya,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)