Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Syarikat dron terkemuka pantau pencemaran sumber air Selangor

SHAH ALAM, 27 NOV: Selangor menggunakan perkhidmatan syarikat dron ketiga terbesar dunia bagi memantau pencemaran sumber air mentah secara efektif.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata kepakaran Syarikat Aerodyne akan dimanfaatkan selama dua tahun bagi meninjau lokasi yang tidak dapat diakses oleh penguat kuasa.

Ir Izham Hashim menjelaskan penggunaan alat itu penting bagi mengesan dan menjangka sumber air berisiko tercemar selain dijadikan bahan bukti di mahkamah.

“Syarikat ini bukan calang-calang, dron yang digunakan akan memantau lokasi dan boleh mengambil sampel pencemaran. Kita tidak beli peranti ini tetapi hanya menggunakan perkhidmatan dari syarikat yang sudah dikenali,” katanya.

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham berkata kepakaran syarikat yang diusahakan anak tempatan itu turut digunakan Amerika Syarikat bagi memantau pelabuhan.

Sejumlah RM2 juta diperuntuk bagi menggunakan empat dron berteknologi tinggi dengan dua daripadanya ditempatkan di lembangan Sungai Langat bermula November.

Dua lagi ditempatkan di lembangan Sungai Klang dan Sungai Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STDC mahu wujudkan kursus berteras kemahiran, teknologi IR4.0

SHAH ALAM, 4 NOV: Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) berusaha mewujudkan kursus profesional berteraskan kemahiran dan teknologi selari Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ketua Eksekutif Mohd Asyraf Amin berkata usaha yang bermula tahun depan itu sebagai mendukung agenda Selangor ke arah mencapai status negeri pintar serantau menjelang 2025.

“Kita akan perkenal kursus elektrik yang berkait rapat dengan bangunan pintar berlandaskan kepada internet untuk segalanya (IoT).

“Kursus ini diadakan dalam jangka masa pendek dan bidang Sijil Kemahiran Malaysia bagi memenuhi keperluan industri masa kini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya juga akan membangunkan kemahiran teknologi dron bagi melahirkan lebih ramai pakar pemandu alat tersebut dan melakukan analisis data bagi sesuatu projek.

Mohd Asyraf menjelaskan kebanyakan industri besar menggunakan alat itu dalam operasi mereka termasuk minyak dan gas, perlombongan, pelabuhan, pencawang elektrik serta pertanian.

“Malah, untuk sektor pertanian, STDC sedang berusaha membangunkan Pertanian 4.0: Masa Depan Teknologi Pertanian dengan merancang untuk melancarkan program agrimor (jurnal ilmiah yang memuat artikel tentang agro perniagaan) dan menjadi hab pertanian dalam bidang dron.

“Usaha ini akan membantu petani misalnya penggunaan dron dalam aktiviti penyemburan racun dan baja selaras dengan kaedah pertanian moden,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Luas guna dron pantau sumber air

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menggunakan dron untuk memantau sumber air bagi memastikan tiada pencerobohan dan pencemaran berlaku.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata teknologi itu juga boleh digunakan untuk mengambil sampel air serta memberi amaran awal sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan, lapor Sinar Harian.

“Projek perintis ini membuktikan Kerajaan Negeri serius mengatasi isu pencemaran sumber air selain penubuhan Skuad Pantas Luas yang melakukan pemantauan 24 jam di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.

“Op Sumber Air dilaksana oleh Luas sejak Mac berjaya mengelak tujuh insiden pencemaran yang boleh menyebabkan henti tugas LRA (Loji Rawatan Air) dan gangguan bekalan air,” Ir Izham Hashim dipetik sebagai berkata.

Pada 10 September, Dato’ Menteri Besar berkata teknologi dron akan digunakan bagi menjalankan pemantauan di kawasan sungai sebagai langkah mengelak insiden luar jangka yang memberi risiko terhadap sumber air mentah di LRA.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan teknologi membolehkan rondaan secara kerap tanpa manusia dilakukan terutama di dua lembangan sungai penting iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor perlu jadi negeri pengeluar teknologi, pacu inovasi

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sudah tiba masa untuk Selangor menjadi sebuah negeri pengeluar teknologi atau ‘tech-producing state’ dengan memacu inovasi ke arah teknologi hijau, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata usaha meningkatkan kesedaran kepada masyarakat supaya mewujudkan ekosistem dalam industri inovasi di negeri itu amat penting.

Katanya Kerajaan Negeri akan meneliti kaedah bagi merealisasikan hasrat itu kerana kesannya mampu mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar selain mampu menarik pelabur.

“Sekarang ini kita adalah pengguna teknologi (technology consumer) dan hanya tahu guna sahaja…sudah sampai tahap kita perlu ada kebolehan untuk mencipta (teknologi). Jadi, kita harus lihat bagaimana untuk laksanakannya,” katanya.

Dato’ Teng Chang Kim memberi rumusan Sindiket 1D : Penciptaan Kekayaan ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.

Chang Khim turut memberi contoh sebuah syarikat pembekal perkhidmatan dron yang dipacu kecerdasan buatan (AI) tempatan, Aerodyne Group dan kini menjadi pemain industri ketiga paling utama di dunia dalam aplikasi tersebut.

“Syarikat ini berada di Selangor dan menggunakan dron untuk buat analisa data. Malah, Aerodyne sudah masuk ke-32 negara sepanjang tempoh Covid-19,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SAINS & INOVASI SELANGOR

Penyelidik UPM cipta dron gentian daun nanas, mesra alam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta dron daripada gentian daun nanas yang mampu mengelak litar pintas serta mudah diperbaiki.

Ketua kumpulan penyelidik itu berkata dron itu boleh terbang sehingga 30 meter tinggi dan berada di udara selama 20 minit.

“Dron bahan semulajadi mempunyai kekuatan tinggi berdasarkan berat berbanding dron gentian sintetik serta lebih murah, ringan manakala bahan semulajadinya mudah diperolehi.

Dron daripada gentian daun nanas hasil inovasi penyelidik UPM mampu terbang sehingga 30 meter tinggi dan berada di udara selama 20 minit. Foto: UPM

“Biokomposit berpotensi gantikan bahan sedia ada dengan kelebihan seperti ringan dan mesra alam kerana faktor biodegradasi mudah terurai dan dilupus,” kata Prof Ir Ts Dr Mohamed Thariq dalam kenyataan media.

Beliau berkata idea mencipta dron gentian daun nanas tercetus semasa projek komuniti di Teluk Panglima Garang ketika didatangi ketua kampung meminta UPM membantu melupus daun nanas.

Dr Mohamed Thariq berkata 300 gram daun nanas boleh menghasilkan empat keping ‘plate’ pembuatan dron sekali gus memanfaatkan penggunaan bahan semulajadi itu.

Inovasi dron itu memenangi pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan tempatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dron pantau pematuhan SOP di kawasan tumpuan – polis

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Teknologi dron turut digunakan untuk memantau serta memastikan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.

Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Supt Rasha Azaldin Shafii berkata, hebahan dan pemantauan udara di tempat tumpuan awam dibuat supaya orang ramai mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Penugasan dron masih berjalan seperti biasa tetapi sekarang fokusnya adalah pematuhan terhadap SOP kerana kita (polis) mahu orang ramai mematuhi SOP seperti mengamalkan jarak sosial,” katanya kepada Bernama hari ini.

Teknologi dron mula diperkenal pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia diguna pakai sepenuhnya oleh anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyampaikan maklumat selain memantau pergerakan orang ramai.

Dron, yang digunakan oleh kedua-dua pasukan keselamatan itu dilengkapi dengan pembesar suara yang akan menghebahkan pesanan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil, kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 15 agensi kerajaan termasuk ATM; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberi kuasa untuk pelaksanaan pematuhan serta penguatkuasaan sepanjang PKPB.

Menurut Ismail Sabri, pendekatan yang akan diambil pasukan berkenaan adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri serta memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

Dalam pada itu, Rasha Azaldin berkata teknologi dron juga digunakan untuk membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat pengawasan udara di sempadan dan maritim negara.

“Pemantauan ini dibuat khusus untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Polis guna dron pantau kawasan PKP Diperketatkan – KPN

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Polis menggerakkan unit dron pasukan itu bagi menjalankan pemantauan di tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata penggunaan dron lebih selamat untuk memantau keadaan keseluruhan kediaman penduduk yang terlibat.

“Ini (penggunaan dron) adalah paling selamat dan kami telah pun terbangkan dron ke sana untuk melihat muka bumi dari atas supaya anggota dapat memahami taburan penduduk di kawasan itu.

“Data ini juga dapat membantu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Batu 21 Sungai Lui, hari ini.

Jelasnya lagi, penggunaan dron juga dijalankan di dua lokasi di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang lebih awal dikenakan PKPD iaitu bermula tengah malam 27 Mac.

Abdul Hamid berkata, kira-kira 50 anggota polis ditugaskan menjalankan kawalan di dua lokasi sekatan jalan raya di Jalan Sungai Lui iaitu di Batu 21 dan Batu 24 yang menghala keluar ke Semenyih dan Jelebu, Negeri Sembilan.

“Setakat ini persediaan anggota kami di sini berada di tahap yang terbaik. Sebuah dewan serba guna berhampiran akan kita gunakan sebagai pusat menyimpan bekalan makanan dan bilik gerakan polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui berkuat kuasa tengah malam tadi sehingga 13 April, melibatkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah daripada tujuh kampung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM guna dron, UAV pantau pergerakan rakyat

SHAH ALAM 23 MAC: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menggunakan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau pergerakan rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata panglimanya.

Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata penggunaan teknologi tersebut membantu petugas keselamatan membuat pengawasan lebih meluas dan menyeluruh.

“Perkara ini sudah dibincangkan dan bantuan industri tempatan kita sudah ada, tetapi jumlah dron atau UAV perlu ditambah.

“Dengan menggunakan teknologi ini ia boleh menambah baik pengawasan kita macam dilakukan di China dan penggunaannya dijangka dilaksana dalam tempoh terdekat, mungkin sehari dua ini,” katanya ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pagi ini.

PKP di seluruh negara bermula 18 Mac hingga 31 Mac bagi mencegah penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji guna dron kawal keselamatan sempadan

JAKARTA, 10 DIS: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan penggunaan dron di kawasan perairan Sabah dan kawasan sempadan, bagi menangani isu-isu keselamatan.

Beliau berkata, keadaan di perairan Sabah misalnya, yang pernah berlaku kejadian culik dan jenayah sempadan memerlukan satu tindakan pengawasan lebih efisyen serta penuh siap siaga.

“Di perairan Sabah (misalnya), sempadan dengan negara jiran (Filipina dan Indonesia) terlalu panjang, lebih 1,000km. Kita boleh gunakan dron di kawasan sempadan, ini sedang kita fikirkan,” katanya dalam program majlis ramah mesra bersama warga Malaysia di Indonesia, di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, malam tadi.

Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula semalam, dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama strategik dengan Indonesia berkaitan isu-isu berkepentingan bersama kedua- dua negara.

Hampir 500 rakyat Malaysia hadir pada majlis ramah mesra itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Awas jika terbang dron tanpa kebenaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 NOV: Orang awam yang dikesan menerbangkan dron tanpa kebenaran berisiko ditahan pihak berkuasa, kata Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM dalam kenyataan di Facebook berkata, mereka yang didapati bersalah boleh ditahan mengikut Peraturan 143 (Peraturan Penerbangan Awam 2016).

“Mereka juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 206 (3) Peraturan Penerbangan Awam,” katanya.

Pada masa sama, PDRM berkata, terdapat beberapa lokasi yang dilarang untuk menggunakan dron, termasuk Putrajaya.

Katanya, ia kerana lokasi berkenaan adalah pusat pentadbiran kerajaan selain penempatan kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Jika ada yang ingin menerbangkan dron, di situ perlulah membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri terlebih dahulu dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia .

“Selain Putrajaya, ruang udara Istana Negara, persekitaran Parlimen, persekitaran KLCC dan kawasan lapangan terbang juga adalah kawasan larangan menerbangkan dron,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN

Tourism Selangor komited laksana Siri Bengkel Fotografi bantu promosi pelancongan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 OGOS : Tourism Selangor dan PCP Publication bekerjasama dengan Taman Botani Negara Shah Alam mengadakan Bengkel Fotografi (Dron) peringkat Selangor, di Taman Botani Negara Shah Alam, di sini, semalam.

Bengkel itu bertujuan memberi pendedahan teknik penggambaran, sekali gus mempromosi kawasan tarikan pelancong, di sekitar Selangor.

Bengkel itu membabitkan penyertaan 30 peserta pelbagai peringkat usia terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi awam serta orang ramai.

Bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 2 petang, bengkel itu dimulai dengan ucapan aluan dan perasmian oleh Pegawai Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Muhamad Nur Nasrullah dan Penolong Pegawai Penerangan, Seksyen Korporat dan Perhubungan Antarabangsa, Taman Botani Negara Shah Alam, Umi Nadia Marjan.

Antara pengisian bengkel, peserta didedahkan dengan teknik yang betul dan tepat dalam mengabadikan kenangan ketika menerbangkan dron supaya mereka dapat menterjemahkan hasil mantap, di dalam sesebuah gambar atau videografi.

Menariknya, turut terdapat penampilan khas daripada Pakar Penggambaran Dron dan Teknikal, Jonathan Kok, dari DJI & ECSM Sdn Bhd dan Ketua Editor PCP Publication, Kim Teoh, selaku tenaga pengajar.

Setiap peserta juga diberikan sijil penyertaan dan cenderahati daripada pihak penganjur pada akhir bengkel terbabit.

Untuk makluman, Tourism Selangor sudah menganjurkan bengkel fotografi itu untuk tahun kedua dengan beberapa siri bengkel dan kali ini adalah siri kedua.

Terdahulu, siri pertama diadakan Bengkel Fotografi (Kebudayaan dan Warisan) dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, di Istana Bandar, Jugra, pada 22 Julai lalu.

Manakala, siri ketiga bengkel itu pula akan diadakan di Selangor Fruit Valley bertemakan ‘Kehijauan Alam Semulajadi’, pada 23 September ini .

Tema itu bertujuan mempamerkan teknik penggambaran melalui suasana persekitaran flora dan fauna kerana ia sudah mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat fotografi, sejak mula dianjurkan.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, Tourism Selangor sentiasa aktif mempromosikan permata baru dan tersembunyi, di negeri itu.

“Tahun demi tahun, kami menambah baik dan menjadi lebih kreatif dalam menarik anak muda tempatan untuk mempromosikan secara tidak langsung tempat dan kawasan tarikan pelancongan selain menelaah ilmu berguna, dalam Siri Bengkel Fotografi ini,” katanya.

Categories
GLOBAL

Riyadh: Bukan insiden rampasan kuasa, dron ceroboh istana

RIYADH – ARAB SAUDI 22 APR: Pihak berkuasa Arab Saudi menafikan insiden tembakan di istana raja di Riyadh lewat malam semalam bukan berpunca daripada insiden rampasan kuasa.

Agensi Berita Antarabangsa Al-Jazeera melaporkan sebaliknya, jurucakap kerajaan memaklumkan tembakan bertalu-talu itu dilepaskan oleh pasukan keselamatan yang menyasarkan sebuah dron mainan yang menghampiri kawasan istana.

Polis menembak jatuh sebuah dron kecil yang dikesan berada di kawasan pemeriksaan keselamatan di kejiranan Khuzama, lapor agensi berita kerajaan SPA.

Tambah SPA, satu siasatan telah dijalankan bagi menyiasat insiden tersebut.

Sementara itu, seorang pegawai senior yang tidak dinamakan memberitahu semasa kejadian, Raja Arab Saudi, Raja Salman tidak berada di Istana.

“Raja Salman berada di ladangnya di Diriya,” katanya.

Pada Oktober 2017, dua pengawal keselamatan terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan di pintu gerbang Istana As Salam di Jeddah.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, seorang lelaki berusia 28 tahun dikenali sebagai Mansour al-Amri melepaskan tembakan ke arah pos kawalan diraja sebelum ditembak mati oleh pengawal lain.

SUMBER: Al Jazeera