Categories
PERSONALITI RENCANA

Sultan Sharafuddin Idris Shah tekal cakna usaha perangi Covid-19

Setiap petang sejak wabak Covid-19 melanda negara, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pasti bertanya jumlah kes di negeri ini.

Baginda sedih melihat rakyat kematian ahli keluarga manakala anak-anak kehilangan ibu. Baginda memandang berat nasib rakyat yang dijangkiti virus selain turut sugul lantaran ekonomi rakyat tenat sepanjang penularan wabak.

Berkali-kali Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat supaya tidak leka dan mematuhi tatacara piawai operasi (SOP). Nasihat itu selalunya diiring kata-kata perangsang supaya orang ramai tidak mudah mengalah dalam melawan wabak.

Demi keselamatan rakyat, Sultan Selangor turut menegur kelewatan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin menyediakan bekalan kepada rakyat negeri. Baginda lantas menitah supaya pemberian itu dipercepat dan bilangan dos ditambah segera.

Titah itu ditegaskan Baginda berikutan Selangor hanya menerima 615,210 dos setakat 1 Jun, bukan 2.9 juta dos seperti dakwaan awal. Baginda menyifatkan nisbah pemberian dos pada waktu itu tidak seimbang dengan kepadatan penduduk negeri yang berjumlah 6.5 juta.

Sultan Sharafuddin juga menegaskan nyawa rakyat harus diberi keutamaan berbanding agenda lain, apatah lagi Selangor penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Baginda memuji kesungguhan Kerajaan Negeri yang menganjurkan ujian percuma kepada penduduk menerusi Saringan Komuniti disusuli program Vaksin Selangor (Selvax).

Sultan Selangor gembira Saringan Komuniti membantu membendung wabak. Program membabitkan kos RM20 juta itu memanfaatkan 177,823 individu berisiko, kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Sultan Sharafuddin juga memuji usaha memberi vaksin menerusi Selvax Industri, Komuniti dan Remaja. Mereka yang tercicir suntikan bawah program kerajaan pusat dipermudahkan urusannya dengan mengambil vaksin negeri.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin selesai menerima dos kedua vaksin di Hospital Shah Alam pada 10 April 2021. Foto Selangor Royal Office

Sultan Selangor turut menghargai pengorbanan barisan hadapan. Bahkan baginda hanya berkenan menerima giliran suntikan selepas mereka mendapat pelalian itu.

Bagi Baginda, doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan termasuk polis dan tentera serta guru harus diutamakan kerana risiko jangkitan tinggi untuk mereka.

Baginda juga menegur pemimpin politik, orang kenamaan dan selebriti yang menyalahgunakan kedudukan dengan melanggar SOP dengan menyertai aktiviti yang dilarang Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Sultan Sharafuddin turut menunjukkan contoh dengan mengehad kegiatan. Justeru, Baginda meminta rakyat kekal di rumah jika tiada keperluan selain memakai pelitup muka dan mengamal penjarakan fizikal.

Baginda turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan kumpulan antivaksin. Malah, Baginda menegaskan pemberian vaksin seiring tuntutan agama dan wajar demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Baginda mengingatkan pakar perubatan telah mengesahkan vaksin mampu mengatasi penularan Covid-19. Mengingatkan  Selangor telah mengeluarkan fatwa pengambilan vaksin hukumnya harus, Baginda tidak putus-putus menyeru rakyat mengambil vaksin.

Namun, Sultan Selangor dukacita berikutan sebilangan guru Kafa, pegawai masjid dan surau serta jurunikah enggan mengambil vaksin dan menitahkan Jabatan Kesihatan Selangor menyegerakan proses suntikan terhadap mereka.

“Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai. Beta bimbang jika masih ada guru-guru Kafa yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar.

“Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian,” titah Baginda sambil mengingatkan mereka berdepan kemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor hargai pengorbanan petugas hadapan

SHAH ALAM, 19 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan di hospital yang berkorban masa dan tenaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.

Dalam titah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin itu baginda berkenan menyampaikan perutusan istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidiltifri kepada petugas hadapan berkenaan.

“Beta amat menghargai pengorbanan yang dilakukan doktor, jururawat serta kakitangan hospital khususnya dalam mendepani risiko merawat kes-kes jangkitan wabak berbahaya Covid-19 yang masih menular.

“Beta berdua sentiasa mendoakan agar anda semua terus dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk berkhidmat demi negara. Terima kasih dan selamat hari raya,” titah baginda melalui Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Untuk pertama kalinya, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Aidilfitri dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mengehadkan kunjungan 20 ahli keluarga sahaja pada satu masa sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Selain itu, hanya aktiviti rentas daerah sahaja dibenarkan manakala pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sepanjang hari raya yang bakal disambut pada 24 Mei ini .

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin solat Aidilfitri bersama lebih 5,000 jemaah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong bersama kira-kira 5,000 jemaah sempena sambutan 1 Syawal.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya serta beberapa barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Pengurus Masjid, Luqman Al-Hakim Mohd Tamyes manakala Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid bertindak sebagai khatib.

Sementara itu, Mohd Tamyes ketika menyampaikan khutbah selepas solat sunat Aidilfitri bertajuk ‘Menghayati Kemeriahan Eidul Fitri’ berkata, hari kemeriahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT adalah kerana umat Islam berjaya menjalani ibadah puasa Ramadan dengan sempurna.

Katanya, nikmat kemenangan yang dikurniakan Allah SWT perlu disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan

“Kegembiraan umat Islam bukanlah kegembiraan yang biasa, tetapi kegembiraan yang didahulukan dengan membesarkan Allah, melalui alunan takbir yang dilaungkan bermula malam tadi. Memuji dan membesarkan Allah kerana kejayaan melaksanakan ketaatan disepanjang Ramadan.

“Kemeriahan dan kegembiraan Eidul Fitri ini juga telah disebut dan dijanjikan oleh Rasulullah SAW bahawa orang berpuasa akan dianugerahkan kegembiraan ketika berbuka setelah selesai berpuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Tamyes mengingatkan kemeriahan dan kegembiraan Aidilfitri haruslah disambut dengan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah, sebaliknya jangan dicemari sambutan Hari Lebaran dengan sebarang perkara berbentuk maksiat.

“Jangan lenyapkan pahala puasa, tarawih dan tadarus di bulan Ramadhan dengan perbuatan keji dan mungkar di bulan Syawal.

“Kemeriahan ini juga hendaklah kita sambut dan rayakan dengan amalan-amalan mulia yang menjanjikan keredhaan Allah SWT

“Suburkankanlah budaya ziarah-menziarahi dan bermaafan sesama keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga untuk memperkukuhkan lagi hubungan silaturrahim dan persaudaraan Islam,” katanya.

Seusai khutbah Aidilfitri, baginda kemudian beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda.

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor: Pembangunan terbantut jika salah guna kuasa

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 12 DIS: Pembangunan dan kemajuan Selangor akan terbantut jika pihak diamanahkan baik daripada kerajaan atau swasta menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri, titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, keamanan negeri akan rosak apabila rasuah berlaku dalam pentadbiran kerajaan dan swasta termasuk badan sukan serta institusi agama.

Titah baginda, ekonomi Selangor turut merosot dan menurun ekoran rasuah selain menjadi punca pelabur asing berpindah ke negara lebih telus pentadbirannya.

sultan“Jika tidak dibendung gejala rasuah dengan serius, maka akan timbul ketidapuasan hati rakyat dan ekonomi negeri akan menurun selain timbul pula kemiskinan serta politik tidak stabil.

“Apabila rasuah dibiarkan berleluasa, maka hasil negeri akan disalah gunakan dan pendapatan negeri akan lesap.

“Justeru rakyat tidak akan berpuasa hati, negeri menjadi kacau bilau serta tidak dapat hidup dengan selesa dan harmoni,” titah baginda sempena Hari Keputeraan ke-70 di Balairung Seri Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Baginda juga menitahkan supaya kerjasama erat antara Kerajaan Selangor, Persekutuan dan swasta perlu berjalan baik untuk memastikan kemajuan negeri berjalan lancar.

Baginda bertitah, ia selaras dengan pembangunan pesat Selangor dalam segala bidang seperti pembangunan, perumahan, perindustrian dan perladangan.

“Pertumbuhan rakyatnya amat pesat dan perumahan perlu banyak dibina. Pelbagai lagi kemajuan yang dilakukan Selangor untuk menampung pertambahan rakyat yang semakin ramai berhijrah ke negeri bertuah ini,” titah baginda.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sultan Sharafuddin tunai solat Aidilfitri bersama warga Shah Alam

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 JULAI: Umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama ahli keluarga.

Di setiap pelusuk negeri, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi Syawal selepas genap sebulan berpuasa.

Hari ini, kira-kira 10,000 umat Islam terdiri daripada penduduk Shah Alam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

IMG_20150717_085129Kemeriahan semakin dirasai dengan seruan takbir raya berkumandang sebagai satu ibadah bagi melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT.

Turut hadir menunaikan solat, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan negeri.

Selain itu, dapat dilihat separuh dari jemaah yang hadir di masjid terdiri dari warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang tidak berpeluang pulang ke tanah air menyambut syawal bersama keluarga.

Selesai solat, jemaah kemudian mengambil kesempatan bersalaman dengan baginda.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sultan Sharafuddin titah Farah Ann tak perlu ambil kisah komen sempit

SHAH ALAM, 26 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak mengambil kisah komen mereka yang berfikiran sempit sebaliknya terus berusaha menjadi yang terbaik dalam bidang itu.

Titah terbabit disampaikan dalam surat penghargaan baginda kepada Farah, lapor The Star.

“Mengkritik pakaian anda sepatutnya menjadi perkara terakhir difikirkan mereka yang memberi komen negatif di media sosial.

SULTAN SELANGOR“Mereka perlu meraikan kejayaan anda untuk Malaysia dan Selangor,” titah baginda dalam surat penghargaan itu.

Baginda bertitah masa depan Malaysia terletak pada generasi muda seperti Farah dan rakyat perlu menyokong mereka (atlet) untuk cemerlang dan bukannya memberi komen negatif.

“Beta yakin, ia harus mengambil masa beberapa tahun untuk bekerja keras, dedikasi, keazaman dan masa latihan yang lama bagi mencapai tahap yang kamu capai,” titah baginda.

Farah memenangi pingat emas ketiga skuad gimnastik negara melalui kategori rutin lantai di Sukan SEA 2015 di Singapura lalu menerima kritikan berhubung pakaiannya dalam sukan terbabit.

seaSultan Selangor turut memuji atlet gimnastik itu kerana mengharumkan nama Malaysia dan Selangor.

Farah diiringi bapanya Abdul Hadi Ahmad, menerima surat penghargaan itu daripada seorang Pegawai Istana Selangor, hari ini.

Dalam reaksi Farah kepada The Star, beliau terharu dengan surat yang diterimanya itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Sultan Selangor kerana meluangkan masa untuk menulis surat kepada saya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor saran JAIS miliki SOP penguatkuasaan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 9 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disaran supaya memiliki standard operating procedure (SOP) yang lengkap dan kemas serta mengaplikasikannya ketika menjalankan tugas penguatkuasaan, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, prosedur yang teratur penting bagi memelihara nama baik JAIS kerana terdapat golongan tertentu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mempertikai setiap tindakan dan kredibiliti organisasi terbabit dalam melaksanakan tugas.

“JAIS perlu mengelak daripada bertindak secara kasar serta keterlaluan dan mengenepikan hak seseorang individu di bawah undang-undang.

Majlis Ramah Mesra JAIS dgn DYMM dan MB (5)“Beta percaya jika penguatkuasaan dilakukan berdasarkan undang-undang dan SOP, ia akan memastikan hanya mereka yang melakukan kesalahan dibawa ke muka pengadilan,” titah baginda pada Majlis Perjumpaan bersama Pegawai dan Kakitangan JAIS di Dewan Jubli Perak, semalam.

Sultan Sharafuddin turut menyeru JAIS supaya melaksanakan persiapan rapi sebelum melakukan tindakan penguatkuasaan seperti membawa peralatan lengkap untuk siasatan dan serbuan.

Baginda bertitah, JAIS supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan lain bagi melicinkan sesuatu operasi di samping menjaga keselamatan pegawai yang melaksanakan penguatkuasaan.

“Beta mahu JAIS sentiasa menjalankan tugas secara profesional, tidak keterlaluan di dalam melaksanakan penguatkuasaan, menghormati penganut agama lain dan sentiasa melakukan sesuatu tindakan secara berhemah,” titah baginda.

Selain itu, Baginda turut menasihatkan JAIS supaya memberi penekanan kepada penguatkuasaan kes yang lebih berat dan penting seperti ajaran sesat, isu murtad dan perkara yang mencemar kesucian agama Islam.

Jais-logo kecikBaginda bertitah, JAIS perlu bertindak dalam lingkungan tugas membabitkan kesalahan isu agama Islam sahaja tanpa mengganggu tugas serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini adalah bagi mengelakkan tohmahan terhadap JAIS yang mengambil tindakan bukan dalam bidang kuasa mereka dan lebih menumpukan kepada perkara remeh sedangkan isu yang lebih besar tidak diberi keutamaan,” titah baginda.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Muazzin Masjid Negeri johan Tilawah Al-Quran Peringkat Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PELABUHAN KLANG, 5 APR: Muazzin Masjid Negeri Selangor, Mohd Fahmi Ashraf Razali diumum sebagai peserta terbaik Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Selangor 1435H/2014M selepas menewaskan sembilan peserta lain.

Mohd Fahmi, 23, yang mewakili Kuala Selangor, berkata kemenangan yang diraihnya itu menjadikan beliau lebih bersemangat dan gigih untuk mempersiapkan diri dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan nanti.

“Syukur saya kepada Allah SWT kerana memberi keizinan untuk menyertai tilawah kali ini dan memberi saya kemenangan,” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang, di sini, semalam.

4Bagi pemenang kategori qariah, Nor Faizah Panut, 25, pula menganggap kejayaan yang diraihnya buat kali keempat berturut-turut itu berpunca daripada berkat kesabaran dan latihan berterusan yang diamalkan.

“Alhamdulillah, ini kali keempat saya dapat ke peringkat kebangsaan dan Insya-Allah kejayaan ini akan memantapkan lagi bacaan saya pada masa hadapan,” katanya yang mewakili Daerah Klang.

Mohd Fahmi dan Nor Faizah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan, sepersalinan pakaian, hadiah mengerjakan umrah dan sijil penyertaan.

8Pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor kali ini seramai 10 qari dan tujuh qariah memperdengarkan bacaan masing-masing yang berlangusng di Masjid Kampung Raja Uda, di sini, sejak 2 April lalu.

Pembukaan majlis yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu ditutup dengan rasminya oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain itu, baginda Sultan turut berkenan menyampaikan hadiah kemenangan kepada pemenang.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor: Rakyat harus kekal kemajuan negeri

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

KLANG 11 DIS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu rakyat Selangor memainkan peranan untuk mengekalkan kemajuan negeri dan tidak menimbulkan syak wasangka serta menghormati amalan kebebasan agama.

Baginda bertitah, rakyat dilarang menyentuh perkara sensitif sehingga menyebabkan perasaan marah atau berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

sultan selangor 1“Mereka yang bijak pandai dan cendekiawan harus memahami dan mengerti akan perkara sensitiviti yang mencurigakan. Selain itu, mereka juga perlu mengelakkan daripada membuat pernyataan yang boleh mengguris rakyat Selangor hingga mengeruhkan keadaan harmoni,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena hari keputeraan baginda yang ke-68 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Turut meraikan baginda ialah pembesar negeri, pimpinan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, barisan ahli Exco Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kerajaan dan rakyat jelata.

Baginda bertitah, Selangor menjadi negeri termaju di Malaysia hasil keamanan yang selama ini dipertahankan.

04

“Beta menyeru supaya rakyat di Selangor mengambil kesempatan ini untuk terus mencapai dan meningkatkan lagi serta meneroka perkara yang lebih tinggi supaya terus menjadi maju dan terunggul di Malaysia,” titah baginda.

Pada masa sama, rakyat di Selangor diseru supaya bekerjasama dengan polis untuk membanteras jenayah di negeri itu.

Baginda bertitah, polis bekerja keras dalam membanteras jenayah di Selangor dan bertungkus lumus memastikan negeri itu mengekalkan keamanan.

“Beta menyeru rakyat Selangor supaya membantu dan bekerjasama dengan polis untuk membanteras jenayah di negeri ini,” titah baginda.

-NFN- FZL

Categories
SELANGOR

103 individu terima darjah dan bintang kebesaran Selangor

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

KLANG 11 DIS : Seramai 103 individu pelbagai latar belakang dikurnia pingat darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-68 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Majlis istiadat dihadiri kerabat Diraja Selangor, pembesar negeri, pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, barisan Ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dan pegawai kerajaan serta swasta.

04Mengetuai senarai penerima pingat adalah Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri Datuk Mohd Bakke Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Senireka Sdn Bhd, Datuk Ar Nik Mohamed Nik Mahmood yang menerima pingat Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor(S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah sama ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Sri Dr Ali Hamsa, namun beliau tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed pula menerima Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Datuk Setia.

Turut menerima darjah (S.S.I.S) ialah Pengarah Filem Pendek ‘Adrenalin’, Colin Salem Parbury serta Aubry Rahim Mennesen, kedua-duanya menantu baginda.

Pada masa sama, seramai 11 individu menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk manakala 13 lagi menerima Darjah Kebesaran Dato’- Sultan Sharafuddin Idris Shah(D.S.I.S) yang juga membawa gelaran sama.

02Sultan Sharafuddin turut mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor(S.M.S) kepada 13 individu dan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) kepada 15 individu.

Seramai 19 individu menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) dan 19 individu lain turut menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah(A.I.S).

Baginda juga mengurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) kepada tujuh orang pegawai kanan kerajaan yang mempamerkan khidmat cemerlang di peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KSN ketuai senarai penerima darjah kebesaran Selangor

SHAH ALAM 11 DIS : Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mendahului senarai 102 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan Ke-68 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Datuk-Seri-Dr-Ali-HamsaDr Ali menerima Darjah Kelas Pertama, Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri dan turut menerima darjah sama adalah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Senireka Sdn Bhd, Datuk Ar Nik Mohamed Nik Mahmood.

Dua menantu lelaki Sultan Selangor iaitu Pengarah, Penerbit dan Penulis Filem Pendek ‘Adrenalin’, Colin Salem Parbury dan Pengarah Urusan Light Cibles Malaysia, Aubry Rahim Mennesson masing-masing dianugerah Darjah Kelas Pertama, Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datuk Setia.

Menurut laporan BERNAMA, turut menerima SSIS adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan darjah dan bintang kebesaran berkenaan pada satu majlis yang diadakan di Balairong Seri Istana Alam Shah Klang.

Sementara itu, 11 orang menerima Darjah Kelas Kedua, Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk antaranya Panglima Angkatan Bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Abu Bakar Md Said; Panglima 3 Briged Markas Tentera Darat Brigedier, Jeneral Mohd Nazir Mami; Panglima Bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Abdul Aziz Md Sani dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir; Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Dr Soh Chee Seng; Pegawai Daerah Sepang Haris Kasim; Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Berhad, Datuk Abdul Wahab Maskan.

imageDua pengamal media yang turut mendapat DPMS adalah Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Penerbit Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Seramai 13 orang menerima Darjah Kelas Kedua, Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang juga membawa gelaran Datuk.

Mereka adalah Asisten Ketua Staf Logistik Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Abdul Khalid Hamzah; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia TLDM, Laksamana Pertama Sabri Zali; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Prof Dr Mohd Yazid Abd Manap; Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Jawiah Dakir; penulis buku, Prof Dr Cheah Jin Seng; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd Naim Daruwish; Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mahmud Karim.

Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Ali Ahmad; Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Selangor, S Anthonysamy; Timbalan Presiden Bola Sepak Selangor, Mazlan Harun; Anggota Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor, Norazharuddin Abu Talib; Doktor pakar pergigian, Dr Geoffrey S.A. Chung dan Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia, Mohammad Faiz Mohammad Azmi.

Manakala, 13 orang menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) antaranya Pengarah Kanan Kejuruteraan TLDM, Laksamana Pertama Ir Hairutdin Ayob; Kolonel Inspektorat Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Kolonel Zulkifli Zainal Abidin; Pegawai Memerintah Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, Kolonel Khairuddin Husain.

Pengarah Operasi Khas TLDM, Kapten Anuar Alias; Pengarah Pusat Hidografi dan Oseanografi Nasional Pangkalan TLDM Pulau Indah, Kapten Zaharuddin Mohd Maideen; Komander Pangkalan Udara TUDM Kuching, Kolonel Jumali Selamat; Ketua Staf Tim Pemerhati Antarabangsa Mindanao TUDM, Kolonel Muhamad Shafiq Jahudi.

Pengerusi Puspanita Jabatan Audit Negara, Puan Sri Hajah Hindon Yusoff; Penasihat Undang-undang UPM, Prof Madya Dr Rozanah Ab Rahman; Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Timbalan Naib Canselor UPM, Hashim Md Shari dan Pengarah Bahagian Meteorologi Radar Jabatan Meteorologi Malaysia, A Kamiluddin Ibrahim.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab turut menerima SMS.

Sementara itu, dua pengamal media adalah antara 15 penerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) iaitu Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah dan Penerbit Eksekutif Kanan TV3, Azmi Atan.

Editor meja berita Star Publications (M) Bhd, Loong Meng Yee pula adalah antara 18 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS). Seramai 19 orang termasuk Imam Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Al-Fadhil Ustaz Abdulkarim Maaseng menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) dan tujuh orang menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC).

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor lancar koleksi buku doa, khutbah

Oleh : Afeeqa Afeera

KLANG 18 NOV : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan koleksi Khutbah Pilihan, Himpunan Doa Rasmi dan Himpunan Doa Harian terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

Koleksi tiga buah buku itu adalah daripada bahan yang diperoleh sejak sepuluh tahun pemerintahan baginda sebagai Sultan Selangor bermula tahun 2001 sehingga 2011.

sultan 02Baginda bertitah, hasrat untuk membukukan bahan khutbah, doa rasmi dan doa harian itu sudah lama tercetus bagi memastikan masyarakat dapat menjadikannya sebagai bahan bacaan dan rujukan.

“Beta berharap buku ini akan dapat menjadi panduan dan mengelakkan orang ramai merujuk atau mendapatkan maklumat kurang tepat daripada sumber lain yang diragui kebenarannya seperti internet, laman sesawang atau blog,” titah Baginda.

Baginda turut menyeru agensi atau jabatan kerajaan lain supaya mengambil langkah sama untuk membuku dan menerbitkan sejarah, objektif, kejayaan, prosedur serta manual kerja supaya dapat dibaca juga dimanfaatkan seluruh lapisan masyarakat sebagai bahan rujukan.

“Beta berkenan supaya seluruh masyarakat di negeri ini membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian, terutama bahan bacaan yang boleh memberikan percambahan minda, menguatkan akidah dan menambah ilmu pengetahuan dan membangunkan pemikiran rakyat,” titah baginda.

Majlis pelancaran buku itu turut dihadiri Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

-NFN-