Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri rasai pengalaman mendaki di Santuari Ikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 7 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melakukan aktiviti mendaki di Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, di sini, baru-baru ini.

Keberangkatan baginda diiringi Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Yang Dimuliakan Engku Orang Kaya Mahabijaya, Raja Muzaffar Raja Redzwa dan pegawai-pegawai dari Pejabat Perikanan Daerah Hulu Selangor.

Sebaik tiba, Tengku Permaisuri berkenan melepaskan sejumlah benih ikan kelah ke dalam sungai berkenaan.

Baginda kemudian menelusuri denai hutan sejauh hampir empat kilometer dan meranduk air sungai menuju ke Air Terjun Sungai Chiling.

Baginda juga berkenan memberi makan kepada ikan-ikan kelah yang memenuhi segenap santuari sungai berkenaan.

Untuk rekod, Santuari Ikan Sungai Chiling dibuka kepada umum sejak 2009 dan hanya boleh dikunjungi orang ramai pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

Satu-satunya tarikan utama santuari ikan di Selangor ini adalah ikan-ikan kelah dan tengas boleh dilihat serta mudah didekati sepanjang laluan ke air terjun.

Kawasan ini dijaga rapi oleh Jabatan Perikanan dan aktiviti-aktiviti perkelahan dihadkan bagi mengelak dicemari dengan sampah sarap yang boleh menjejaskan hidupan spesis ikan kelah yang kini diancam kepupusan.

SUMBER: Fb Selangor Royal Office

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan lawat The Secret Garden

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 2 MEI : Homestay dalam bas, itulah tarikan The Secret Garden yang akan menjadi produk pelancongan terbaru di lokasi yang terkenal dengan kecantikan sawah padi, di sini.

Selain rumah inap yang dibina menggunakan bas lama, pemiliknya, Laurenzius Gan Chinshen turut menggunakan papan lama untuk membina chalet bagi produk agro-pelancongan di Sekinchan.

Katanya, beliau berbangga penat lelahnya selama ini terbayar setelah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli dengan mengadakan sesi lawatan ke tempatnya.

“Memang saya rasa berdebar dan berasa terharu, selain turun padang, baginda juga dihidangkan dengan mentarang bakar serta pelbagai jenis kerang iaitu produk dari Sekinchan sendiri.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Tuanku Permaisuri serta rombongan kerana sudi ke The Secret Garden,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, Permaisuri berkenan untuk bersantap di situ serta dihidangkan dengan pelbagai menu menarik termasuk mentarang, lala dan udang galah.

Lawatan itu adalah antara program dalam lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Lawatan selama satu hari berkenaan bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawat beberapa tempat menarik di sini.

Antara kawasan lain yang turut dilawati adalah kedai barangan antik, Ah Ma House; kilang padi PLS Marketing Sdn Bhd dan Wisma Masri, Parit 7 dan Kilang Khind.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Blue Tears Kuala Selangor kagumkan rombongan Tengku Permaisuri

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 2 MEI: Kecantikan fenomena ‘Blue Tears’ atau Air Mata Biru di permukaan pantai di sini membuatkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan rombongannya berasa teruja.

Baginda berkenan menaiki bot bersama Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim bagi melihat fenomena yang hanya berlaku di Kuala Selangor serta terletak berdekatan dengan lokasi tarikan pelancong paling popular iaitu Sky Mirror, malam tadi.

Suee Lim berkata, Blue Tears adalah produk pelancongan terbaru yang membawa pelancong datang pada waktu malam, ke daerah itu.

“Hari ini kita bawa Permaisuri pula melihat keindahan Blue Tears yang jarang kali berada di tempat lain, ia hanya berada di Kuala Selangor.

“Tujuan lawatan ini diadakan kerana mahu menggabungkan produk Sekinchan dan Kuala Selangor supaya akan wujudnya pakej tiga hari dua malam buat pelancong sekali gus mampu mempelbagaikan produk tarikan di kedua-dua daerah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu pemilik Sky Mirror Tour & Travel, Dyven Wong berkata, fenomena ‘Blue Tears’ terhasil daripada fitoplankton iaitu sejenis tumbuhan marin mikroskopik yang hanyut di permukaan air.

Wong berkata, ia kemudiannya menghasilkan cahaya biru terang apabila bertindak balas dengan kandungan oksigen dalam air laut.

Katanya, mereka mula menemui fenomena itu pada sekitar tahun lalu dan ia semakin kerap dilihat.

“Kami adalah satu-satunya syarikat pelancongan berlesen untuk membawa pelancong menyaksikan keajaiban alam berkenaan.

“Lawatan ini disediakan setiap malam pada jam 8, 9 dan 10 malam. Kawasan sekitar yang lebih gelap membolehkan seseorang melihat Blue Tears dengan lebih baik.

“Walaubagaimanapun, ia mungkin tidak sama apabila anda cuba menangkap dengan kamera, hanya mata kasar boleh melihat kecantikan ini,” katanya.

Lawatan itu adalah antara program dalam lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Lawatan selama satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawat beberapa tempat menarik di sini, semalam.

Antara kawasan lain yang turut dilawati adalah kedai barangan antik, Ah Ma House; kilang padi PLS Marketing Sdn Bhd dan Wisma Masri, Parit 7, Kilang Khind dan Restoran Secret Garden.

Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri berbasikal nikmati keindahan sawah padi

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengayuh basikal sambil menikmati keindahan sawah padi dalam Lawatan Mesra baginda ke Sekinchan, hari ini.

Baginda berbasikal dalam perjalanan berangkat ke kilang memproses padi yang terbesar di Sekinchan, PLS Marketing Sdn Bhd.

Baginda tiba sekitar jam 10.30 pagi bersama rombongan Istana kira-kira sejauh 500 meter dari Ah Ma House, sebuah kedai pembuatan kuih tradisional terkenal di kawasan itu.

Turut mengiringi keberangkatan baginda adalah Ahli Dewan Negeri Sekinchan merangkap Speaker Dewan Negeri (DNS) Selangor, Ng Suee Lim.

Sementara itu, di kilang terbabit, baginda mencemar duli mendengar taklimat berkaitan pemprosesan padi sambil menonton tayangan padi dihasilkan sehingga menjadi beras.

Baginda turut mencemar duli melawat dan merasai aneka makanan di kilang itu antaranya keropok beras, mangga king, cendol santan kelapa sawit, air kedondong asam boi dan aneka kerepek.

Selain itu, baginda juga mencemar duli bergambar secara tidak rasmi di kawasan sawah padi di luar kilang terbabit.

Lawatan Mesra DYMM Tengku Permaisuri ke Sekinchan itu seterusnya ke Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, bagi menikmati santapan tengah hari.

Baginda dan rombongan dijangka meneruskan mencemar duli lawatan selama hampir satu hari antaranya ke Kilang Khind, Wisma Masri, Pantai Redang dan garisan penamatnya di Sky Mirror.

 

 

Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan buat kuih kapit

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan membuat demonstrasi kuih kapit di Ah Ma House.

Baginda bersama rombongan Istana tiba di kedai barangan antik itu sekitar jam 10 pagi seusai bersarapan di Hotel A+ Sekinchan.

Baginda meluangkan masa hampir 10 minit untuk membuat kuih tradisional itu yang sememangnya cukup terkenal di Sekinchan kerana masih menggunakan dapur arang.

Seusai membuat kuih kapit, baginda meluangkan masa setengah jam melawat ke sekitar Ah Ma House bagi melihat keunikan kedai terbabit yang dipenuhi pelbagai barangan antik.

Baginda turut mencemar duli bergambar bersama pengunjung yang hadir ke kedai terbabit.

 

Difahamkan, Ah Ma House atau Rumah Nenek adalah salah satu tarikan pelancong di Sekinchan.

Ia sebenarnya kedai roti yang menjual kuih kapit dan makanan tradisional tempatan, biskut, pencuci mulut dan barangan vintaj yang cukup terkenal pada zaman dahulu.

Selain itu, Ah Ma House turut menjadi daya penarik sesiapa sahaja berkunjung ke sini kerana suasanyanya seakan mengimbau kenangan zaman dahulu.

Lawatan Mesra DYMM Permaisuri ke Sekinchan selama hampir satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawati beberapa tempat menarik di sini.

Kedatangan baginda disambut dan ditemani Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

 

 

Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan nikmati santapan eksotik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, di sini, hari ini, bagi menikmati santapan tengah hari.

Baginda tiba bersama rombongan di restoran popular dengan makanan eksotik itu kira-kira 12.10 tengah hari.

Turut mengiringi keberangkatan tiba baginda ialah Ahli Dewan Negeri Sekinchan merangkap Speaker Dewan Negeri (DNS) Selangor, Ng Suee Lim.

Baginda dihidangkan menu eksotik istimewa iaitu belangkas masak lemak dan belangkas masak sambal.

Selain itu, baginda turut menikmati santapan kampung lain seperti udang galah masak sambal, ikan sepat masin, ikan keli masak lemak, ayam kampung goreng dan pelbagai aneka ulam-ulaman kampung yang segar.

Seusai menikmati santapan tengah hari, baginda berkenan menunaikan solat fardu Zohor di Masjid Pekan Sekinchan sebelum mencemar duli melawat Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal kerepek dan pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan dijangka meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasilkan barangan eletrik yang membekalkan ke seluruh Malaysia.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan lawat Sekinchan

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengadakan lawatan mesra ke Sekinchan, di sini, hari ini.

Lawatan selama hampir satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawati beberapa tempat menarik di sini.

Baginda memulakan lawatan pertama mencemar duli ke Hotel A+ Sekinchan dengan bersarapan bersama rakyat sambil mendengar taklimat berkaitan sejarah asal usul Sekinchan.

Kedatangan baginda disambut Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

 

Seusai bersarapan, baginda mencemar duli melawat kedai barangan antik, Ah Ma House yang cukup sinonim dan terkenal bukan sahaja di Sekinchan, namun di Selangor khususnya.

Baginda turut mencemar duli mengayuh basikal sejauh 500 meter bersama rombongan Istana dan tetamu jemputan menuju ke kilang padi terbesar di daerah ini, PLS Marketing Sdn Bhd.

Selain itu, pada sebelah petang baginda dijadual meneruskan lawatan ke ke Ladang Tanaman Mangga King dan Jambu Madu di Site A Kitchen sebelum menikmati santapan tengah hari di Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, di sini.

Baginda turut mencemar duli melawat Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal menjual kerepek dan pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasilkan barangan eletrik yang membekalkan ke seluruh Malaysia.

Selain itu, aktiviti petang baginda meneruskan lawatan mencemar duli ke Kampung Bagan dan Jeti Ah Hee bagi melihat aktiviti nelayan sebelum bersiar di Pantai Redang.

Manakala, pada sebelah malam, baginda menikmati santapan makanan laut yang amat terkenal di Sekinchan, Restoran Secret Garden 1960.

Sebelum berangkat pulang ke Istana, baginda dan rombongan mencemar duli menaiki bot untuk ke Jeti Sky Mirror bagi melihat keindahan dan meneroka keajaiban Blue Tears.

 

 

Categories
SELANGOR

DYMM Tengku Permaisuri meriahkan Sambutan Jubli Emas SSP

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 16 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Seri Puteri (SSP) ke 50, di sini, semalam.

Keberangkatan baginda di sambut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Selain acara Santapan Diraja dan Jamuan Jubli Emas, baginda berkenan menyaksikan persembahan choral speaking, tarian dan pancaragam dari pelajar sekolah bestari itu.

Baginda turut berkenan melawat ke Galeri Warisan sekolah berkenaan.

Sekolah Seri Puteri yang ditubuhkan pada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur.

Pada 2003, sekolah itu dipindahkan ke premis baharu di Persiaran Tasik Cyberjaya, manakala premis lama dijadikan Sekolah Sains Seri Puteri (Seseri).

Sementara itu, Maszlee berkata, sekolah berasrama penuh perlu memupuk daya kreativiti pelajar dan memerlukan anjakan paradigma dalam proses pembelajaran serta pengajaran.

“Pendidik perlu berganjak dari cara pembelajaran dalam hafalan dan di luar cara konvensional.

“Jangan melihat pembelajaran secara tradisional sebaliknya menerokai ruang pembelajaran terbuka agar boleh berfikir secara kreatif,” katanya.