Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pemeriksaan kesihatan percuma DUN Bandar Utama Sabtu depan

SHAH ALAM, 12 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma khusus untuk penduduk Kampung Sungai Kayu Ara pada 19 Februari ini.

Wakil rakyatnya, Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif dengan kerjasama Hospital Assunta Petaling Jaya itu bermula dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari di Balai Raya Kampung Sungai Kayu Ara.

“Program ini bertujuan meringankan beban penduduk tempatan di kawasan berkenaan yang berpendapatan bawah RM2,500 sebulan.

“Justeru, saya mempelawa penduduk setempat supaya memanfaatkan peluang ini untuk mengenal pasti status kesihatan masing-masing,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata orang ramai yang berminat perlu membuat pendaftaran secara dalam talian melalui pautan http://tiny.cc/KlinikKayuAra dengan menyertakan dokumen lengkap.

“Penduduk diminta menyertakan slip gaji atau bukti pendapatan bulanan manakala surat pengesahan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mereka yang ingin memohon kad Program Pesakit Luar Kebajikan Masyarakat (SWOP) Hospital Assunta,” katanya.

Sementara itu, untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 016-6849371.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bandar Utama anjur pemeriksaan kesihatan percuma B40 Sabtu ini

SHAH ALAM, 10 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menganjurkan Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma pada 15 Januari ini.

Wakil rakyat Jamaliah Jamaluddin berkata program dengan kerjasama Hospital Assunta diadakan dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari di Balai Raya Kampung Sungai Kayu Ara.

“Program ini dianjur bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Penyertaan terhad kepada 40 orang golongan berpendapatan rendah (B40) dan keutamaan diberi kepada penduduk Kampung Sungai Kayu Ara,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, antara syarat untuk sertai program terbabit adalah warganegara, pendapatan RM2,500 ke bawah, perlu tampilkan slip gaji atau surat pengesahan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mereka yang berminat boleh mendaftarkan diri melalui pautan http://tiny.cc/KlinikKayuAra bersama dokumen yang lengkap.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan di talian 016-6849371.

Categories
ADN SELANGOR

Bantuan makanan terus diagih bantu penduduk terkesan pandemik

PETALING JAYA, 6 NOV: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama terus mengagihkan bakul makanan kepada penduduk memerlukan.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata usaha itu bagi memastikan golongan terkesan tidak terputus bekalan makanan di sebalik penularan pandemik.

“Setakat ini ribuan bakul makanan diedarkan kepada penduduk sekitar Bandar Utama dan permohonan itu masih dibuka sekiranya ada individu yang memerlukan,” katanya.

Menurut Jamaliah, pihaknya memilih individu yang benar-benar layak dengan permohonan boleh dibuat melalui e-mel [email protected] atau tampil sendiri ke pusat khidmat.

Pada 9 Oktober, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM1.1 bilion dibelanjakan melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan puluhan ribu keluarga menerima manfaat dengan program bakul makanan antara yang mendapat perhatian.

Categories
ADN SELANGOR

Daftar segera, lebih 700 kuota vaksin remaja di Bandar Utama

SHAH ALAM, 3 NOV: Remaja berusia 12 tahun ke atas yang belum menerima janji temu pemberian vaksin digesa mendaftar segera untuk menyertai program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Sabtu ini.

Ahli Dewan Negerinya Jamaliah Jamaluddin berkata pusat khidmatnya setakat ini mendaftar 268 remaja dan terdapat lebih 700 kekosongan kerana 1,000 dos suntikan pelalian disediakan.

“Mereka yang belum mendaftar boleh berbuat demikian menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Kita galakkan ramai ambil vaksin untuk tingkatkan imuniti kelompok dan memberi perlindungan kepada seramai mungkin individu,” katanya di sini, hari ini.

Program Selvax Remaja DUN Bandar Utama akan berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Komuniti BU3.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah makanan mudahkan warga Bandar Utama dapat bantuan segera

PETALING JAYA, 25 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama mewujudkan rumah makanan bagi memudahkan golongan terkesan akibat Covid-19 mendapat keperluan.

Inisiatif diperkenal beberapa bulan lalu membolehkan kumpulan itu menerima bantuan segera sebelum bakul makanan diagihkan kepada mereka, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin menjelaskan Kampung Kayu Ara dipilih sebagai lokasi awal berikutan ramai individu terjejas tinggal di kawasan berkenaan.

“Kita khuatir ada penduduk yang perlukan makanan secepat mungkin kerana kalau hantar nama untuk terima bantuan lain akan ambil masa, jadi kita wujudkan rumah makanan ini.

“Apabila mereka datang kita akan segera berikan makanan bergantung apa yang ada ketika itu sebelum diberikan bantuan lanjut,” katanya ditemui pada program Vaksin Selangor bergerak di Kampung Chempaka hari ini.

Jamaliah berkata usaha sama turut dibuat di Kampung Chempaka dengan lebih RM100,000 dibelanjakan bagi program tersebut termasuk agihan bakul makanan.

Pada 3 Mac, DUN Bandar Utama menyasar untuk membantu 20,000 keluarga terjejas akibat wabak Covid-19 melalui peruntukan RM100,000 sumbangan Kerajaan Negeri.

Categories
ADN SELANGOR

7,000 warga DUN Bandar Utama dapat vaksin negeri

PETALING JAYA, 25 SEPT: Sekitar 7,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menerima suntikan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) setakat ini, kata wakil rakyatnya.

Jumlah itu termasuk program vaksin bergerak melibatkan kerjasama antara pusat khidmat masyarakat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, menurut Jamaliah Jamaluddin.

“Kebiasaannya kita terima lebih 1,000 permohonan bagi setiap program Selvax Komuniti, selebihnya kita menghantar senarai nama yang memohon vaksin ke program Selvax lain.

“Kita juga mengadakan vaksin bergerak bersama PKD Petaling dan keseluruhan sekitar 6,000 hingga 7,000 orang divaksin setakat ini,” katanya ditemui pada program Selvax bergerak di Kampung Chempaka hari ini.

Jamaliah berkata sebanyak 350 dos disediakan melalui program itu dengan sasaran perserta dalam kalangan warga asing yang tiada pengenalan diri.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Bandar Utama bantu individu tiada dokumen dapat vaksin

PETALING JAYA, 5 SEPT: Individu tanpa dokumen sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama akan dibantu mendapat suntikan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak bulan ini.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Jamaliah Jamaluddin berkata kumpulan terbabit dikenal pasti hasil bantuan pemimpin tempatan bagi membantu negeri meningkatkan imuniti kelompok.

“Selepas ini kita hendak fokus kepada individu tidak mempunyai dokumen yang mungkin takut tampil mendapat vaksin kerana bimbang ditahan.

“Semua orang perlu divaksin supaya keadaan selamat bagi memulihkan pendapatan masyarakat menerusi pembukaan sektor ekonomi,” katanya ditemui di Kampung Sungai Kayu Ara di sini hari ini.

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama memulakan suntikan vaksin secara mobil selama dua hari mulai semalam, yang menyasarkan 1,000 penduduk termasuk warga asing.

Sementara itu, Jamaliah berkata sebahagian besar daripada 5,000 individu tercicir di kawasannya sudah menerima suntikan bawah Selvax dan program vaksin bergerak mulai semalam.

Pada 24 Ogos, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program pasukan vaksinasi bergerak ke kawasan tertentu akan dimulakan bulan ini.

Sebanyak 60,000 dos vaksin disediakan bagi melaksanakan usaha itu dengan setiap DUN dijangka menerima kuota antara 500 hingga 1,000 dos.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Syarikat beli vaksin Selangor bantu pekerja disuntik awal, yakin lebih selamat

PETALING JAYA, 20 OGOS: Tindakan sebuah syarikat gudang di Rawang menyertai Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri membolehkan semua pekerjanya melengkapkan suntikan pelalian lebih cepat dan yakin menjalani kehidupan lebih selamat.

Wakil pekerja Sama Jaya Sdn Bhd Azmi Aziz, 44, berkata dia bersama 11 petugas lain berpeluang melakukan pelbagai aktiviti selepas kerajaan melonggarkan beberapa sektor kepada individu yang mendapat dua dos vaksin.

Azmi Aziz. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dengan Selvax, kami terima suntikan lebih awal. Sekarang lebih bebas namun tetap kena ikut SOP (tatacara operasi piawaian).

“Jadi usaha majikan menyertainya berbaloi walaupun keluarkan modal beli vaksin. Pekerja terlindung sekali gus membolehkan syarikat terus beroperasi,” katanya selepas terima dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Garden Mall hari ini.

Bermula hari ini kerajaan membenarkan beberapa aktiviti kepada individu lengkap vaksin antaranya makan di kedai serta menjalani aktiviti riadah.

Penjual insuran Chan Pei Yei, 30, berkata walaupun telah lengkap divaksin, dia memilih terus duduk di rumah melainkan perlu menguruskan perkara penting di luar memandangkan keadaan masih tidak selamat susulan kes Covid-19 yang kekal tinggi.

Chan Pei Yee. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Vaksin boleh kurangkan risiko jangkitan tapi kita masih terdedah wabak. Saya takut terjangkit dan akan kekal di rumah sehingga kes berkurang,” katanya.

Sementara itu warga Indonesia Solikan Yusop, 40, berkata dia bersama isteri serta dua adiknya lengkap mendapat pelalian menerusi program Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

“Alhamdulillah. Ini ikhtiar saya untuk pelihara keluarga dari jangkitan Covid-19. Terima kasih kerana tidak meminggirkan warga asing,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkap dan mempercepatkan proses suntikan pelalian rakyat.

Selvax Komuniti memberi manfaat kepada 250,000 rakyat membabitkan 500,000 dos manakala Selvax Industri ditawarkan kepada sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bandar Utama anjur pertandingan pakaian tradisional

SHAH ALAM, 17 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menganjurkan pertandingan pakaian tradisional sempena Karnival Rasa Sayang bermula semalam hingga 10 September.

Wakil rakyatnya berkata pertandingan itu diadakan untuk mempromosi dan meraikan kepelbagaian budaya menerusi pakaian daripada pelbagai latar belakang masyarakat.

Jamaliah Jamaluddin berkata penyertaan terbuka kepada semua warganegara dan peringkat umur dengan menggayakan pakaian tradisional bagi kaum atau etnik di Malaysia.

“Pakaian mestilah dilengkapi dengan aksesori atau kelengkapan peragaan yang biasanya digayakan mengikut festival bagi pakaian tradisional tersebut dan dimuat naik dengan kapsyen menarik.

“Pelbagai hadiah menarik disediakan dan pemenang akan diumumkan pada 16 September menerusi Facebook secara langsung YB Jamaliah Jamaluddin,” katanya menerusi Facebook.

Berikut cara penyertaan:

1. Muat naik gambar penuh anda menggayakan pakaian tradisional bersama dengan kapsyen. Penyertaan secara swafoto tidak akan diterima.

2. Tag Facebook YB Jamaliah Jamaluddin @Jamaliah Jamaluddin dan Facebook Quratulain Atiqah

3. Setiap penyertaan mestilah dilengkapi dengan #BudayaKitaBersamaJamaliah dan #RasaSayangBandarUtama

4. Pastikan hantaran (post) anda ditetapkan kepada ‘umum’ supaya kami dapat melihat penyertaan anda.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lengkap dua dos, peserta vaksin Selangor ‘rasa lebih selamat’ keluar rumah

PETALING JAYA, 13 OGOS: Peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti berasa lega dan lebih yakin dengan keselamatan diri apabila berjaya melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19.

Suri rumah Siti Halimah Hap Bibik, 40, berkata beliau hadir bersama adik dan kakak iparnya untuk mengambil suntikan kedua pelalian yang diperuntuk menerusi program dilaksanakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

Siti Halimah Hap Bibik. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya berasa lega dan lebih selamat jika perlu keluar membeli keperluan harian.

“Malah mengambil peluang hari terakhir program tanpa janji temu dengan membawa anak sulung berusia 18 tahun untuk mengambil vaksin,” kata ibu empat cahaya mata itu.

Pekerja kilang P Maagesan, 32, berkata beliau dan isteri B Sangari mengambil cuti hari ini semata-mata untuk melengkapkan suntikan vaksin.

P Maagesan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun perlu memandu selama satu jam untuk divaksin di Damansara, saya berpuas hati dan berharap dengan suntikan lengkap dapat melindungi kami sekeluarga daripada Covid-19,” katanya yang menetap di Kerling, Hulu Selangor.

Pekerja swasta Ramlah Zainuddin, 58, pula berkata beliau mengambil peluang hari terakhir menyertai program itu bersama suami bagi mengelak dijangkiti wabak seperti dialami Januari lalu susulan peningkatan kes ketika ini.

“Walalupun takut divaksin kerana mempunyai penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi selain mendengar pelbagai cerita tentang kesan suntikan tetapi kami hadir supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bandar Utama anjur siri temu bual pemimpin wanita

SHAH ALAM, 3 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menganjurkan siri temu bual dalam talian sempena kempen Wanita Memimpin #ChooseToChallenge mulai 1 hingga 20 Mac ini.

Wakil rakyatnya berkata kempen itu bertujuan mengiktiraf kepimpinan wanita dan membantu golongan itu memahami peranan mereka dalam pelbagai bidang atau latar belakang.

“Terdapat sembilan siri temu bual menerusi Facebook saya yang memperkenalkan pemimpin wanita daripada pelbagai kelompok.

“Kita harap perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada semua kaum hawa supaya berani melangkah ke hadapan dan menyahut cabaran ke arah keserataraan gender yang sejahtera,” kata Jamaliah Jamluddin kepada SelangorKini.

Menurutnya, wanita era kini seharusnya bangkit dan perlu memainkan peranan penting bukan sahaja dalam pengurusan rumah tangga tetapi hingga peringkat memimpin negara.

“Semoga program ini mendapat sokongan semua pihak di samping memberi kesedaran mengenai peranan kaum itu dalam sesebuah institusi kepimpinan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bandar Utama sasar bantu 20,000 keluarga terjejas

PETALING JAYA, 3 MAC: Seramai 20,000 keluarga terjejas ekoran wabak Covid-19 disasar untuk dibantu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

Wakil rakyatnya berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM100,000 kepada seluruh DUN untuk membantu golongan tersebut.

“Namun, kita juga turut menggunakan peruntukan sendiri untuk memastikan penduduk semua dibantu.

“Kita sedia menghulur bantuan berdasarkan keperluan dan berusaha menunaikan permintaan mereka,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui SelangorKini.

Menurutnya penduduk juga boleh memohon sekiranya memerlukan bantuan dengan mengisi borang yang boleh diambil di pusat khidmat.

“Borang itu turut boleh didapati di Facebook saya, malahan permohonan juga boleh dibuat sepanjang tahun,” katanya lagi.

Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian: http://tiny.cc/bantuanmakananbu

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi: 016 684 9371 (Yasmin) / 018 2444808 (Ah Yan).