Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan ayam murah dapat sambutan, pembeli harap laksana sekali sebulan

SHAH ALAM, 27 FEB : Orang ramai berharap jualan ayam murah, telur serta barangan keperluan asas yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Juerah Din. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Pembeli Juerah Din, 71, berkata program itu sangat membantu rakyat terutama ketika harga bekalan asas sedang meningkat naik ketika ini.

“Saya harap Kerajaan Selangor dapat anjurkan program ini setiap bulan kerana ia membantu rakyat membeli barangan mentah pada harga berpatutan.

“Terima kasih juga kerana sentiasa prihatin dengan nasib rakyat yang terjejas,” katanya ketika ditemui SelangorKini di program jualan di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah di sini.

Yee Ka Men. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Manakala, Yee Ka Men, 82, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli makanan asas itu yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Hari ini saya beli ayam segar, beras dan telur. Harga ayam di sini RM8 sekilogram sangat murah ditambah lagi kupon RM5 daripada wakil rakyat Batu Tiga bertambah murah, terima kasih.

“Macam telur gred B selalu di pasar raya RM14 tetapi hari ini hanya RM11.70, beras lima kilogram saya beli RM13 sahaja. Sangat jimat,” katanya.

Bagi D Thilakam, 55, pula beliau mendapat tahu program jualan murah menerusi kumpulan WhatsApp serta terus hadir bersama jiran untuk mendapatkan ayam dan telur.

D Thilakam. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Susah nak dapat ayam sekarang, di pasar raya selalu habis, jika ada pun agak mahal. Terima kasih juga wakil rakyat Batu Tiga sediakan kupon RM5 yang sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.

Sebanyak 800 ekor ayam segar, telur dan beberapa makanan asas dijual menerusi jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan pejabat DUN Batu Tiga di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah.

Inisiatif menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram menerusi Program Intervensi Harga Ayam dan Telur bermula 7 Februari lepas bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Program melibatkan penjualan 50,000 ekor ayam dengan dana RM1 juta diperluas ke seluruh negeri selepas mendapat sambutan orang ramai.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Dapur masak, set tilam bantu 500 mangsa bah DUN Batu Tiga

SHAH ALAM, 14 JAN: Seramai 500 keluarga mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga akan menerima kelengkapan asas hujung minggu ini.

Antara barangan yang bakal diagih ialah dapur memasak, periuk nasi, cerek, set tilam dan tikar getah, maklum Ahli Dewan Negerinya Rodziah Ismail.

Katanya, keperluan sumbangan OCBC Al-Amin Bank Berhad, Lions Club of Klang dan Lions Club of Selangor Miracle diedar ke Kampung Padang Jawa dan Kampung Jawa.

“Kita harap barangan ini dapat melegakan mangsa banjir. Mereka akan pergi rumah ke rumah untuk memberi sumbangan ini,” katanya kepada Selangorkini.

Sebelum ini, Rodziah mengalu-alukan individu atau syarikat swasta untuk menyumbang barang keperluan asas meliputi makanan dan tong gas kepada mangsa banjir.

Katanya, ia berikutan ramai yang terkesan bencana sudah pulang ke rumah masing-masing dan memerlukan semula bekalan yang musnah.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat alu bantuan barang asas buat mangsa banjir

SHAH ALAM, 23 DIS: Individu atau syarikat swasta dialu-alukan untuk menyumbang barang keperluan asas meliputi makanan dan tong gas kepada mangsa banjir.

Wakil rakyat Batu Tiga Rodziah Ismail berkata ramai yang terkesan dengan bencana itu sudah pulang ke rumah dan memerlukan semula bekalan yang musnah.

“Sudah pasti sukar untuk mereka dapatkan bekalan dalam keadaan diuji ketika ini, justeru saya menyeru yang ingin membantu untuk hubungi Pusat Khidmat Rakyat DUN Batu Tiga,” katanya.

Beliau juga menggalakkan sumbangan seperti susu bayi, lampin pakai buang, selimut, tuala dan alatan mandian dengan menghubungi 013-561 1620/019-232 6466/ 013-606 2222.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat cadang laksana pusingan kedua vaksin bergerak

SHAH ALAM, 13 SEPT: Wakil rakyat Batu Tiga bercadang mahu mengadakan program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak pusingan kedua dalam masa terdekat.

Rodziah Ismail berkata ia susulan sambutan positif daripada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu hari ini.

ADN Batu Tiga Rodziah Ismail bercakap kepada pemberita selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Batu Tiga di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 13 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita sasar 300 dos di DUN Batu Tiga dan sehingga 1 tengah hari ini 280 dos sudah diberikan kepada penduduk. Jika melebihi sasaran apabila kaunter ditutup petang ini akan buat satu pusingan lagi.

“Hasil tinjauan, kebanyakan penduduk yang masih belum menerima vaksin mengatakan mereka tidak dapat hadir ke Selvax Komuniti kerana disahkan positif Covid-19 atau menjalani kuarantin,” katanya selepas meninjau program Selvax bergerak di Kompleks Padang Jawa.

Mengulas mengenai program Selvax bergerak hari ini, Rodziah berkata, beberapa pemohon terpaksa ditolak kerana individu berkenaan tinggal di luar kawasan DUN Batu Tiga.

“Ada yang terpaksa ditolak kerana kita yakin Selvax bergerak akan sampai di tempat mereka,” katanya.

Program Selvax bergerak bermula semalam dari 9 pagi hingga 5 petang dianjurkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir dari menerima pelalian.

Sukarelawan DUN Batu tiga membantu orang ramai mendaftar Langkah Masuk Dengan Selamat (SELagkah)
dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Batu Tiga di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 13 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selvax bergerak berlangsung selama seminggu itu melibatkan 11 DUN bermula di Bandar Baru Klang diteruskan ke DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 4,000 penduduk DUN Batu Tiga mohon Selvax Komuniti

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima hampir 4,000 permohonan mendapatkan suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti sejak dibuka 7 Julai lalu.

Bagaimanapun, wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata hanya 2,500 individu diberi tarikh janji temu untuk menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19 semalam.

Beliau menjelaskan mereka yang layak terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), peniaga pasar, penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), pengasuh kanak-kanak serta petugas masjid dan rumah ibadat.

“Kita tidak sangka menerima permohonan sebanyak itu namun terpaksa mengutamakan mereka yang benar-benar layak selain tinggal berhampiran dengan PPV ini kerana mahu pergerakan lebih cepat.

“Mudah-mudahan kesemua yang terpilih dapat hadir tetapi kita dapati ada yang gagal berbuat demikian kerana sedang menjalani kuarantin di rumah dan mendapat tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Rodziah yang ditemui selepas meninjau PPV terbabit berpuas hati dengan proses pemberian vaksin dikendalikan petugas kesihatan Selgate Healthcare.

“Alhamdulillah, keadaan agak terkawal serta mengharapkan mereka yang hadir kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) selain datang awal bagi mengelak kesesakan,” katanya.

Selvax Komuniti bakal memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan OKU membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai dengan melayari laman sesawang http://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.

Categories
ADN SELANGOR

Covid-19: Pejabat DUN Batu Tiga ditutup enam hari

SHAH ALAM, 18 MEI: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga ditutup sehingga 23 Mei ini.

Wakil rakyatnya, Rodziah Ismail berkata penutupan sejak 17 Mei itu disebabkan perebakan kes Covid-19 khususnya di Seksyen 23.

“Bagaimanapun operasi pusat khidmat saya dijalankan menerusi Aplikasi N41 bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

“Untuk menggunakannya, orang ramai boleh muat naik aplikasi berkenaan menerusi Google Play atau Apple Store,” katanya menerusi Facebook.

DUN Batu Tiga menjadi pusat khidmat pertama negeri ini melancarkan aplikasi sebagai pemudah cara untuk urusan penduduk setempat.

Aplikasi N41 membolehkan penduduk melaporkan masalah, memohon bantuan atau mendaftar skim Kerajaan Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

DUN Batu Tiga pertama lancar aplikasi, adu masalah di hujung jari

SHAH ALAM, 25 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menjadi pusat khidmat pertama negeri ini melancarkan aplikasi sebagai pemudah cara untuk urusan penduduk setempat.

Wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata sistem N41 yang diwujudkan awal Februari membolehkan penduduk melaporkan masalah, memohon bantuan atau mendaftar skim Kerajaan Selangor.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi di telefon dan mengisi maklumat peribadi. Pihak kami akan kenal pasti sebelum mengambil langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui pada program Kembali ke Sekolah anjuran DUN Batu Tiga kelmarin.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri menjelaskan aplikasi terbabit memudahkan pihaknya memantau perkembangan DUN selain memastikan rakyat bermasalah terus dibantu.

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play Store.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Batu Tiga agih alatan sekolah, bantu 514 pelajar kurang mampu

SHAH ALAM, 24 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga memperuntuk lebih RM60,000 bagi membantu 514 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah sempena sesi persekolahan minggu depan.

Wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata bantuan meliputi wang tunai dan barangan persekolahan seperti tali pinggang, stoking serta kapur kasut selain 50 komputer riba.

“Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga memandangkan masih ramai yang terkesan akibat penularan Covid-19,” katanya pada program Kembali ke Sekolah DUN Batu Tiga semalam.

Rodziah berkata sumbangan terbabit mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Pemerbadanan Menteri Besar dan individu perseorangan.

Jelasnya, agihan kepada 250 keluarga diserahkan secara berperingkat hingga hujung minggu ini.

Categories
ADN SELANGOR

742 ahli SMUE DUN Batu Tiga terima baucar beli-belah

SHAH ALAM, 13 FEB: Seramai 742 ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kelahiran Februari terima baucar Jom Shopping daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga.

Wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata agihan itu diharap membantu meringankan beban penerima terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Inisiatif Kerajaan Negeri ini sememangnya ditunggu-tunggu warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang meraikan ulang tahun kelahiran.

“Selamat hari lahir saya ucapkan kepada semua penerima, saya harap baucar RM100 ini membantu anda untuk membeli barangan keperluan,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE kepada peserta warga emas berusia 60 tahun dan OKU. Untuk semakan status ahli boleh layari http://mesra.yawas.my/smue/.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 1,000 pelajar DUN Batu Tiga terima bantuan Tawas, iSafe

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 899 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima sumbangan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

Ahli Dewan Negeri Rodziah Ismail berkata serahan berupa beg sekolah, alat tulis, bekas makanan dan botol air.

“Penerima adalah murid tahun satu yang bakal mula sesi persekolahan tahun depan. Semoga pemberian ini beri semangat kepada mereka untuk mulakan sesi pembelajaran,” katanya ketika dihubungi.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri menambah seramai 294 pelajar tingkatan satu yang lahir pada 2008 turut menerima kit iSafe iaitu peralatan mencegah penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, antara barangan terkandung dalam kit yang mula diagihkan tahun ini termasuk pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Beliau menambah sumbangan mula diserah pada 19 Disember dan masih berlangsung sehingga 27 Disember ini di Pusat Khidmat Masyarakat DUN tersebut.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Batu Tiga tumpu aspek keselamatan, kesejahteraan tahun depan

SHAH ALAM, 23 DIS: Keselamatan dan kesejahteraan komuniti antara aspek penting akan diberi tumpuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga tahun hadapan.

Justeru, Ahli Dewan Negerinya menggesa masyarakat untuk bersama memainkan peranan ke arah merealisasikan matlamat itu.

“Perkara membimbangkan ketika ini adalah komuniti kerana selama ini terdapat usaha dilaksanakan pihak agensi baik pihak berkuasa tempatan mahupun kerajaan sebaliknya komuniti itu tidak bergerak.

“Oleh sebab itu kita mahu mereka bangkit dan sedar mengenai hak serta tanggungjawab untuk merasai kehidupan yang sejahtera,” kata Rodziah Ismail selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Transit Warga Emas di Kompleks Warga Emas Seksyen 24 di sini semalam.

EXCO Kerajaan Negeri itu menambah isu infrastruktur tidak lagi menjadi masalah kerana berjaya ditangani sepanjang tiga penggal sebagai wakil rakyat kawasan terbabit.

“Kita mahu rakyat bekerjasama dalam setiap program dijalankan seperti kitar semula dan aktiviti yang boleh menghidupkan semula tanah terbiar,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor dengar luahan penduduk DUN Batu Tiga

SHAH ALAM, 21 SEPT: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga berpeluang menyuarakan sebarang isu air melalui Program Penerangan Jimat Air Selangor.

Ahli Dewan Negerinya berkata program julung kali itu menjadi pendekatan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyalurkan maklumat kepada pemilik akuan.

“Ini program pertama dan dua program sama akan dijalankan pada masa terdekat. Melalui program ini wakil komuniti dipanggil dan mereka berpeluang meluahkan masalah.

“Dengan cara ini kita dapat tangani masalah rakyat dengan baik sekali gus kebajikan mereka terjaga,” kata Rodziah Ismail pada Program Penerangan Jimat Air Selangor semalam.

Program berbentuk kempen kesedaran itu memfokuskan langkah atau tindakan perlu diambil penduduk supaya menggunakan air secara berhemah yang disampaikan wakil Air Selangor.