Categories
AGENSI SELANGOR

Setengah jam tolak adik berkerusi roda demi dapatkan vaksin

PETALING JAYA, 20 SEPT: Seorang kakak sanggup menolak kerusi roda lebih dua kilometer bagi memastikan adiknya menerima suntikan pelalian di Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak hari ini.

San Suet Mooi, 57, berkata beliau walaupun mengambil masa 30 minit untuk tujuan itu namun beliau melakukannya asalkan San Siew Won, 52, berada dalam keadaan selamat dan dapat menghindari dari dijangkiti Covid-19.

“Kami sekeluarga semua sudah divaksin, hanya tinggal dia seorang sahaja. Jadi apabila ada program ini yang dekat dengan rumah saya bawa dia datang ke sini untuk pastikan kami sekeluarga lengkap menerima suntikan.

“Dia ada penyakit angin ahmar jadi pergerakan terbatas, nak angkat bawa masuk ke dalam kereta pun susah jadi perlu guna kerusi roda,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Suet Mooi berkata adiknya itu tidak membantah dan mengangguk tanda setuju ketika mereka sekeluarga mahu mendaftarkannya bagi mendapatkan vaksin.

“Kami terangkan dia tidak dapat ke mana-mana tanpa vaksin selain menjelaskan suntikan dibuat bagi memastikan dirinya dapat mencegah Covid-19,” katanya yang tinggal di Seksyen 17A.

Hari ini, sebanyak 700 dos pelalian disediakan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing di Pasar Sentosa, Seksyen 17 di sini.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata seramai 300 individu selesai menerima suntikan dos pertama dengan sebahagian besarnya membabitkan pekerja asing.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar 700 slot vaksin negeri, galak penduduk hadir

PETALING JAYA, 20 SEPT: Sebanyak 700 dos pelalian disediakan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing hari ini.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata seramai 300 individu selesai menerima suntikan dos pertama dengan sebahagian besarnya membabitkan pekerja asing.

“Selain menguar-uar di media sosial bagi memastikan warga tempatan yang belum menerima vaksin hadir, pusat khidmat juga mengguna pendekatan maklumkan kepada majikan di kawasan sekitar.

“Kaedah ini bagi memastikan warga asing yang belum divaksin untuk datang dan hasilnya setakat ini lebih 60 peratus golongan itu telah divaksin,” katanya ditemui di Pasar Sentosa, Seksyen 17.

Rajiv berkata individu yang menerima suntikan pertama hari ini akan menerima dos kedua mereka pada 11 Oktober di lokasi sama antara jam 9 pagi hingga 5 petang.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan
membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Orang ramai dipelawa buat saringan Covid-19 serendah RM60

SHAH ALAM, 26 OGOS: Orang ramai dipelawa melakukan saringan Covid-19 serendah RM60 di Kompleks Arena Petaling Jaya anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.

Wakil rakyat Rajiv Risyakaran berkata saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) itu dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Kita menggalakkan lebih ramai individu membuat saringan Covid-19 supaya dapat mengesan mereka yang dijangkiti ini dapat diasingkan lebih awal sekali gus mengelak ia daripada merebak.

“Inisiatif DUN Bukit Gasing ini tidak hanya kepada penduduk sekitar sebaliknya terbuka untuk masyarakat umum. Anda boleh pergi terus ke kompleks ini dan membuat saringan, “ katanya menerusi Facebook.

Selain saringan menggunakan RTK-Ag, turut disediakan adalah ujian polimeras masa nyata (rt-PCR) pada harga RM160 (keputusan dalam tempoh 24 hingga 48 jam).

Manakala, rt-PCR bagi individu yang mahu mendapat keputusan kurang dalam tempoh enam jam pula berjumlah RM250.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri itu menawarkan khidmat saringan Covid-19 kepada penduduk DUN berkenaan di PJ Polyclinic, Klinik Kim dekat Petaling Jaya dan Klinik One Medic, Puchong .

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Galak saringan kendiri, DUN Bukit Gasing sedia kit ujian air liur

SHAH ALAM, 16 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menyediakan kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur pada harga bawah pasaran.

Wakil rakyat R Rajiv berkata sebanyak 1,000 kit itu dijual pada harga RM10 berbanding harga pasaran tetapi setiap individu dihad kepada lima kit sahaja.

“Kita berikan subsidi ini kerana mahu menggalakkan lebih ramai masyarakat melakukan saringan Covid-19 walaupun hanya di rumah.

“Kita faham ada segelintir individu takut hendak ke klinik untuk buat ujian calitan. Kita harap ramai orang ambil peluang kerana kita jual murah berbanding pasaran sekitar RM30 ke RM40,” katanya kepada SelangorKini.

Individu yang berminat boleh ke pusat khidmat masyarakat DUN Bukit Gasing setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 10 pagi sehingga 5 petang.

Selain inisiatif DUN itu, Kerajaan Selangor juga menyediakan 60,000 kit kendiri sedemikian secara percuma kepada keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan individu berisiko tinggi di negeri ini mulai September.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 Ogos berkata kit tersebut akan dibekal kepada semua 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga hari daftar SELangkah, dua beradik dapat suntikan vaksin Selangor

PETALING JAYA, 16 JULAI: Dua beradik menerima suntikan pelalian Covid-19 melalui Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini selepas tiga hari mendaftar dengan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.

Aqmeel Aliff Azharin,26, berkata beliau dan adiknya Aimeel Aiqal,19, hanya mencuba nasib selepas mendapat keratan iklan berhubung tawaran program berkenaan.

“Kami mendaftar pada Selasa lalu tapi tak sangka hari ini terus disuntik tanpa perlu tunggu lama. Ingatkan kami tidak layak kerana warga emas lebih diutamakan.

Aqmeel Aliff Azharin, 26

“Program ini sangat bagus kerana mempercepatkan penduduk divaksin. Sekarang jangkitan virus cepat jadi ini langkah berkesan melindungi rakyat,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Garden Mall hari ini.

Sementara itu Balkish Begam, 68, menghargai usaha Kerajaan Selangor yang sentiasa mengutamakan warga emas dalam setiap program rakyat termasuk Selvax Komuniti.

Beliau sepatutnya menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 pada Jun lalu namun terpaksa dibatalkan kerana demam.

“Saya dimaklumkan perlu tunggu tiga bulan lagi kerana buat pendaftaran baharu. Anak juga pernah pergi ke PPV untuk membolehkan saya disuntik namun tidak dibenarkan dan perlu tunggu giliran.

Balkish Begam, 68,

“Akhirnya saya dapat vaksin Kerajaan Selangor. Ahad minggu lepas anak daftarkan dan terus dapat hari ini. Saya memang mahukan vaksin secepat mungkin,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax Industri dan Selvax Komuniti di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkap dan mempercepatkan proses suntikan pelalian rakyat.

Program Selvax Komuniti itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk negeri ini yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Gasing tambah dua lokasi saringan Covid-19

SHAH ALAM, 25 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menambah dua lagi lokasi untuk orang ramai melakukan saringan Covid-19.

Wakil rakyatnya, Rajiv Rishyakaran berkata saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) itu khusus untuk individu berpendapatan rendah (B40).

“Saya teruja untuk berkongsi berita gembira bahawa kita memperluaskan inisiatif ini dengan menambah dua lokasi baharu iaitu di Pusat Rakan Muda Kompleks Arena PJ dan Dewan Serbaguna MBPJ.

“Menariknya mereka yang melakukan ujian ini hanya dikenakan bayaran serendah RM70. Mari bersama kita putuskan rantaian Covid-19,” katanya di Twitter.

Menurut Rajiv, waktu operasi di Pusat Rakan Muda Kompleks Arena PJ bermula dari jam 10 pagi hingga 7 petang manakala Dewan Serbaguna MBPJ, jam 1 tengah hari hingga 5 petang setiap Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri itu menawarkan khidmat saringan Covid-19 kepada penduduk DUN berkenaan di  PJ Polyclinic, Klinik Kim dekat Petaling Jaya dan Klinik One Medic, Puchong .

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar saringan Covid-19 serendah RM30

SHAH ALAM, 30 DIS: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing boleh melakukan saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan bayaran serendah RM30.

Wakil Rakyatnya, Rajiv Rishyakaran berkata saringan untuk individu kategori berpendapatan rendah (B40) dijalankan di PJ Polyclinic dan Klinik Kim di Petaling Jaya serta Klinik One Medic, Puchong.

“Syaratnya penduduk hanya perlu bawa kad pengenalan atau bil elektrik dan air sebagai bukti mereka adalah penduduk DUN ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata tawaran turut dibuka kepada orang awam sama ada warganegara atau warga asing dengan caj dikenakan hanya RM70.

Rajiv menjelaskan harga yang ditawar berpatutan berbanding saringan RTK-Ag di tempat lain yang berharga lebih RM130.

Tambahnya, tiada temujanji perlu dibuat sebaliknya mereka boleh terus ke klinik tersebut.

“Inisiatif ini bermula sejak 6 November lalu dan masih berjalan. Tujuan kita buat adalah memastikan lebih ramai disaring demi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pejabat DUN Bukit Gasing tawar Geran Aktiviti Komuniti RM50,000

Oleh: SYASYA SUFIAN

PETALING JAYA, 5 OGOS: Pejabat DUN Bukit Gasing melancarkan program Geran Aktiviti Komuniti (GAK) dengan peruntukan RM50,000 bagi menggalakkan program kemasyarakatan dijalankan.

Adun Bukit Gasing, R.Rajiv, berkata ia bertujuan bagi menggalakkan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), penduduk setempat, belia dan pelajar yang mempunyai idea kreatif mengadakan program, aktiviti atau perkhidmatan,

Geran DUN GASING“Aktiviti dijalankan harus bermanfaat kepada masyarakat setempat.

“Tumpuan aktiviti diutamakan adalah untuk pembangunan kawasan persekitaran Bukit Gasing yang terpilih,” katanya sewaktu pelancaran, di sini hari ini.

Rajiv berkata, antara kawasan terpilih adalah di Seksyen 1, Seksyen 5 hingga 13, Seksyen 14/1 dan 14/28, Seksyen 16 hingga 18 dan Seksyen 25.

“Setiap prgoram diberikan bajet maksimum RM10,000 bergantung kepada program yang ingin dijalankan.

“Masyarakat diluar kawasan Bukit Gasing juga digalakkan memohon dengan syarat program dijalankan di kawasan ini sahaja,” katanya.

Rajiv berkata, walaubagaimanapun tidak semua permohonan akan diterima namun ia bergantung kepada kos program.

“Permohonan yang melibatkan perbelanjaan peribadi seperti perbelanjaan lawatan percutian, biasiswa, bil perubatan dan parti politik akan ditolak.

“Tarikh akhir permohanan adalah pada 31 Ogos,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh email di [email protected] atau [email protected].

EZY