Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

415 keluarga di DUN Bukit Melawati selesai terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 8 JAN: Seramai 415 keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati yang terjejas akibat banjir selesai menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 setakat semalam.

Wakil rakyat Juwairiya Zulkifli berkata penerima adalah dari Kampung Asahan, Kampung Bukit Kuching dan Kampung Tanjung Siam.

“Serahan diagih kepada mangsa secara berperingkat di pusat pemindahan sementara dan selesai diberi semalam.

“Kita harap sumbangan daripada Kerajaan Selangor kepada mangsa banjir ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka mengharungi kehidupan pascabanjir,” katanya ketika dihubungi.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bukit Melawati peruntuk RM2,000 baik pulih gerai anak muda

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak RM2,000 dibelanjakan untuk membaik pulih bumbung gerai milik anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif itu diharap memberi keselesaan kepada tiga peniaga di Bandar Baru Kuala Selangor yang hanya menggunakan kain kanvas di gerai itu terutama ketika musim hujan.

“Sebelum ini mereka hanya memasang kanvas bagi menggantikan bumbung, adakalanya bahan itu selalu terkoyak dan terbang jika berlaku angin kuat atau hujan lebat.

“Kasihan dengan nasib menimpa anak muda ini dan kita mengambil inisiatif untuk menaja kos baik pulih bumbung gerai tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Juwairiya berkata, seramai tiga peniaga terdiri daripada anak muda menjalankan aktiviti perniagaan dengan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

“Saya harap selepas ini mereka dapat berniaga dengan lebih selamat dan selesa walaupun ketika cuaca hujan. Pada masa sama, semoga lebih ramai belia menceburi bidang perniagaan pada masa akan datang,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Melawati sedia talian sokongan emosi ketika pandemik

SHAH ALAM, 5 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati mewujudkan perkhidmatan Talian Harapan secara percuma kepada penduduk yang memerlukan bantuan sokongan emosi.

Wakil rakyatnya berkata individu yang mengalami masalah kemurungan, kekeluargaan atau rumahtangga, penceraian, pembelajaran, sosial, anak autisme atau hiperaktif dan kecelaruan identiti boleh hubungi talian tersebut.

“Talian Harapan merupakan talian sokongan emosi dan psikososial yang akan menghubungkan anda dengan pihak kaunselor untuk mendengar masalah dan membantu menangani isu berkaitan.

“Ia juga demi menjaga tahap kesihatan mental rakyat khususnya terutama wanita yang terpaksa mengurus ahli keluarga ketika tempoh pandemik Covid-19 dengan pelbagai cabaran,” kata Juwairiya Zulkifli di Facebook.

Turut mendapat kerjasama Klinik Psikologi Azlina, penduduk sekitar yang mempunyai masalah dinyatakan boleh menghubungi talian 017-8860253 untuk membuat janji temu di Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Melawati.

Categories
AGENSI SELANGOR

Warga emas daftar banyak kali, mahu diri divaksin

KUALA SELANGOR, 18 JUN: Meskipun sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera, seorang warga emas tetap hadir ke program pendaftaran vaksin Covid-19 bergerak anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati hari ini.

Umaruddin Nuntah, 63, berkata ia bagi memastikan permohonannya diterima berikutan bimbang pendaftaran sebelum ini tidak diproses kerana sehingga kini masih tidak mendapat tarikh janji temu.

Umaruddin Nuntah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya juga ada beri nama kepada pengurusan masjid kampung supaya dapat suntikan. Jiran dan kawan lain ramai yang sudah vaksin.

“Malam tadi anak di Kuala Lumpur maklumkan ada program ini, jadi saya bawa isteri Sabariah Harun untuk sama-sama daftar. Saya harap giliran disuntik diterima awal,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang orang kelainan upaya (OKU) Lim Lian Sin tetap gagah hadir bertongkat bagi memastikan dirinya mendapat suntikan imunisasi.

Lim Lian Sin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Lian Sin, 79, berkata dia membuat pendaftaran itu secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak kerana sedar akan kepentingan vaksin selain dirinya merupakan golongan berisiko.

“Pakcik tak tahu guna telefon (telefon pintar). Pakcik pun tidak tahu membaca menulis. Tadi datang tunjuk kad pengenalan sahaja. Nanti bila dapat tarikh, mereka akan beritahu,” katanya.

Program selama dua jam di Taman Senangin, Jajaran Sungai Buloh itu berjaya membantu 66 individu membuat pendaftaran dengan 90 peratus merupakan warga emas.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bukit Melawati tawar saringan Covid-19 serendah RM20

SHAH ALAM, 1 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menawarkan saringan Covid-19 serendah RM20 kepada ibu tunggal, suri rumah dan warga emas bagi meringankan beban golongan terbabit.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata turut menerima manfaat harga terendah itu ialah golongan mahasiswa dan penghantar makanan.

“Bagi pengundi lain bayaran dikenakan cuma RM40. Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) ini diadakan pada 6 Februari ini di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Melawati.

“Inisiatif dengan kerjasama Selgate Corporation ini juga untuk mencegah penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi pejabat di talian 03-3281 4233 atau 017-877 4068 untuk pendaftaran.

 

Categories
ADN SELANGOR

200 keluarga DUN Bukit Melawati terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 22 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menghulur bantuan bakul makanan kepada 200 keluarga berpendapatan rendah (B40) yang terjejas ekoran pandemik, hari ini.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan itu adalah peruntukan Mesra Rakyat yang diumum Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Kita Selangor pada Rabu lalu.

“Alhamdulillah bantuan ini meringankan beban mereka yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP2.0),” kata Juwairiya Zulkifli ketika dihubungi.

Menurutnya, program Mesra Rakyat seumpama itu akan diteruskan termasuk meneliti jenis bantuan lain diperlukan penduduk.

“Perbincangan akan dibuat untuk menentukan bentuk barangan yang sesuai sama ada lampin pakai buang atau kit perlindungan Covid-19 kepada pelajar,” tambahnya.

Rabu lalu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada setiap DUN dan RM50,000 kepada ahli parlimen negeri ini bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

Kempen ‘Malaysiaku’ sasar RM10,000 bantu veteran ATM

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyasarkan kutipan RM10,000 menerusi kempen ‘Malaysiaku’ untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ahli Dewan Negerinya berkata program dengan dengan kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuala Selangor menyasarkan bekas tentera yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) serta bantuan bencana alam, kebakaran rumah dan kerusi roda.

“Menerusi kempen ini kita menjual 1,000 unit Pin Merdeka yang berharga RM10 seunit dan seluruh kutipan ini akan disalurkan terus ke Tabung PVATM cawangan Kuala Selangor.

“Selain mengumpul dana, objektif kempen ini antara lain meningkatkan kesedaran rakyat mengenai pengorbanan veteran tentera dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda tentang pengorbanan dilakukan golongan tersebut mempertahan negara,” kata Juwairiya Zulkifli pada sidang media hari ini.

Beliau berharap masyarakat di Selangor khususnya di Kuala Selangor dapat bersama menyokong dan menjayakan kempen tersebut dengan menghubungi Pejabat DUN Bukit Melawati di talian 03-32814233.

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk Bukit Melawati dipelawa jayakan Program Jimat Air

SHAH ALAM, 21 OGOS: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati dipelawa sertai Program Jimat Air di Balai Raya Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor, Ahad ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata program dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bukit Kuching dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Bukit Melawati memberi peluang kepada masyarakat menimba ilmu teknik penjimatan air.

“Kempen ini bertujuan memupuk sikap penjimatan air dalam kalangan pengguna sekali gus dapat mengelak daripada terpaksa menanggung bil domestik yang berlebihan,” kata Juwairiya Zulkifli di Facebook.

Program bermula jam 8 pagi turut menyediakan aktiviti menarik lain, antaranya pemeriksaan kesihatan secara percuma, bengkel canting batik bersama wanita PWB, kuiz dan cabutan bertuah.

Juwairiya turut mengingatkan orang ramai yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti disaran Kementerian Kesihatan.

“Anda yang ingin hadir ke program diwajibkan untuk sentiasa mematuhi SOP kesihatan seperti memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman serta menjaga jarak fizikal masing-masing. Tidak dibenarkan hadir ke program atau mengikuti aktiviti ini jika bergejala.”

Categories
ADN SELANGOR

RM92,465 bantu rakyat, petugas barisan hadapan DUN Bukit Melawati

SHAH ALAM, 12 APRIL: Sebanyak RM92,465 sudah dibelanjakan bagi membantu warga serta petugas barisan hadapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kata Ahli Dewan Negerinya (ADN).

Juwairiya Zulkifli berkata sumbangan antaranya berupa 1,750 set barangan asas dapur, 4,000 topeng muka, 1,520 pembersih tangan, 450 kilogram hasil tani dan 2,580 pek makanan tengah hari.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari kerana memudahkan urusan wakil rakyat mengagihkan bantuan.

“Terima kasih juga kepada semua petugas, sukarelawan, kakitangan pusat khidmat saya, ketua-ketua kampung, ahli majlis, ahli jawatankuasa cabang Kuala Selangor serta semua yang terlibat membantu menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya di Facebook.

Setakat 12 tengah hari semalam, Kuala Selangor mencatatkan tiga kes positif jangkitan Covid-19, sekaligus menjadikan kawasan tersebut antara yang terendah.

Categories
SELANGOR

180 kanak-kanak terima sumbangan “Back To School”

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 30 DIS: Seramai 180 kanak-kanak yang bakal memasuki Tahun Satu pada 2019 menerima sumbangan “Back To School” daripada Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli.

Juwairiya berkata, program sumbangan “Back To School” itu anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat Bukit Malawati, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

“Sumbangan ini diberikan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah yang dipilih sendiri oleh ketua kampung di Dewan Undangan Negeri Bukit Malawati.

“Setiap peserta menerima peralatan sekolah seperti beg dan pakaian sekolah dengan jumlah RM200 setiap seorang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Juwairiya berkata, beliau optimis hadiah disumbangkan Kerajaan Negeri itu sedikit sebanyak mampu membakar semangat pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Jadilah anak bangsa yang cintakan negara dan tanah air, menjadi kebanggaan negara dengan cemerlang sahsiah serta akademik, selamat maju jaya saya ucapkan.

“Bagaimanapun, tidak ketinggalan jutaan terima kasih kepada pihak MBI dan YAWAS atas sumbangan diberikan ini,” katanya.

Terdahulu, Juwairiya menyerahkan sumbangan itu kepada setiap penerima di Pasaraya Ekonomi Berjaya, Kuala Selangor, di sini, semalam.

Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Melawati meriah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 8 JUL: Cuaca panas tidak menjejaskan keterujaan orang ramai untuk membanjiri perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN Bukit Melawati, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, majlis penuh riang itu merupakan acara julung kali diadakan pihaknya bagi meraikan Syawal.

Katanya, ia sekali gus merapatkan ukhwah antara pemimpin tempatan dan menyatu padukan rakyat berbilang kaum di kawasan itu.

“Kami menjemput semua masyarakat terutama di daerah ini, tidak mengira bangsa dan agama untuk memeriahkan program.

“Ia termasuklah pengerusi tokong dan kuil, nazir masjid serta ketua-ketua jabatan iaitu dengan khidmat yang diberikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

“Alhamdulillah, kami menerima sokongan padu daripada seluruh lapisan masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui SelangorKini, semalam.

Hadir sama menyerikan majlis adalah, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi serta beberapa kepimpinan lain.

Pada masa sama, Dato’ Menteri Besar itu merasmikan Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Melawati dan menyerahkan 1,000 borang keanggotaan ahli baharu Pakatan Harapan (PAKATAN).

Selain itu, turut dilangsungkan penyerahan Insentif Perkahwinan Belia (IPB) yang membabitkan 38 penerima.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

450 penduduk DUN Bukit Melawati terima baucar jom shopping

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Seramai 450 penduduk di DUN Bukit Melawati menerima bantuan baucer Jom Shopping Aidilfitri, di pasar raya besar Giant, Pasir Penambang, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, program itu dilaksanakan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan kesinambungan program Jom Shopping yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Setiap penerima yang layak diberikan vaucher bernilai RM100 tajaan Kerajaan Selangor bagi membantu rakyat membeli keperluan barangan dalam membuat persiapan menyambut perayaan.

“Kita berharap dengan usaha ini sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan dan meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan,” tulisnya di laman facebook.

Katanya lagi, beliau berhasrat untuk memohon penambahan kouta di kawasannya kerana masih ramai rakyat yang dilihat memerlukan bantuan itu.

“Untuk permohonan orang ramai boleh membuat pendaftaran melalui ketua kampung atau terus datang ke pejabat DUN Bukit Melawati,” katanya.

Pada masa sama, Juwairiya berkata, beliau sempat membuat tinjauan harga barang di pasaraya tersebut yang telah menukar harga barang dengan lebih rendah sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diletakkan pada kadar sifar peratus sejak 1 Jun lalu.

=EZY=