Categories
AGENDA NASIONAL

MB bantu kempen calon KEADILAN DUN Bukit Naning, Semerah

MUAR, 11 MAC: Dato’ Menteri Besar Selangor berhujan ketika turun padang membantu kempen jentera parti KEADILAN pada Pilihanraya Negeri (PRN) Johor di Bukit Naning di sini,  malam tadi.

Hujan lebat lebih sejam sekitar jam 9 malam itu tidak menghalang Dato’ Seri Amirudin Shari untuk memberi ucapan menyeru orang ramai untuk menyokong calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni.

Kehadiran Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor ke program Santai Anak Muda turut disambut ratusan penyokong parti.

Beliau kemudian meluangkan masa lebih sejam di Nibong Darat, Batu Pahat untuk berkempen bagi calon DUN Semerah Khuzzan Abu Bakar.

Amirudin yang dijadual meneruskan kempen di DUN Rengit dan DUN Layang-layang pada pagi ini bagaimanapun bergegas pulang ke Selangor berikutan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang.

Pada PRN Johor kali ini menyaksikan pertandingan lima penjuru bagi DUN Bukit Naning dan DUN Semerah.

Bagi DUN Bukit Naning, Md Ysahrudin yang juga penyandang akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Bebas.

Manakala bagi DUN Semerah, Khuzzan yang juga penyandang berdepan saingan calon dari BN, PN, Pejuang dan Putra.

Orang ramai hadir mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Dato Seri Amirudin Shari yang hadir berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Batu Pahat pada 10 Mac 2022.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI