Categories
SELANGOR

DUN Damansara Utama anjur seni dinding ‘Bestnya Malaysiaku’

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 11 OKT: Pusat Khidmat DUN Damansara Utama mengajak orang ramai untuk menyertai Pertandingan Seni Dinding ‘Bestnya Malaysiaku’.

Adunnya, Yeo Bee Yin berkata pertandingan akan dijalankan di 22 buah dinding yang terletak di kawasan komersial SS2.

yb3Katanya, mereka yang berminat boleh menyertai sama ada secara individu atau berkumpulan dan menghantar terlebih dahulu cadangan seni dinding untuk dipertimbangkan.

“Hanya 22 peserta akhir akan dipilih bagi mempersembahkan cadangan kerja seni mereka di atas dinding-dinding.

“Mereka akan diberi masa maksimum lapan hari untuk menyiapkan hasil kerja seni mereka pada tarikh sama ada 8, 9, 15, 16, 22, 23, 29 atau 30 November,” katanya dalam sidang media semalam.

Kata Bee Yin sesiapa yang berminat perlu mengisi borang secara atas talian di http://bit.ly/bestnyamalaysiaku dengan kertas kerja merangkumi konsep diinginkan, dinding yang dipilih, material diperlukan serta bajet.

“Kami akan menyediakan material yang diperlukan dengan maksimum bajet RM 1,500 setiap dinding.

“Para peserta juga bebas untuk mencari penaja sendiri ataupun menggunakan material sendiri, contohnya bahan kitar semula.

“Konsep mestilah asli, tidak mnyentuh isu sensitif dan pihak penganjur berhak mencadangkan perubahan kepada reka seni ketika fasa kertas kerja,” katanya lagi.

Tarikh tutup kertas kerja pertandingan anjuran bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Street Art Movement (S.A.M) itu ialah pada 27 Oktober ini dan para peserta terpilih akan diumumkan pada 31 Oktober ini.

Sementara itu, para pemenang pula akan diumumkan pada 6 Disember depan bagi merebut hadiah wang tunai.

Tempat pertama akan menerima RM3,000, kedua (RM2,000), ketiga (RM1,000), tiga hadiah saguhati (RM500) dan 16 peserta lain akan menerima RM200.

EZY