Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma di DUN Hulu Klang, Bukit Antarabangsa esok

SHAH ALAM, 26 JUN: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa disaran membuat saringan Covid-19 secara percuma esok.

Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Negeri diadakan di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai boleh membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari http://screening.selangkah.my/login.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan program terbabit dengan menumpukan kawasan mencatat jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Program bermula Sabtu minggu lepas memanfaatkan penduduk Seri Setia dan Taman Medan diikuti Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer manakala Kajang hari ini.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Angkat martabat Silat Melayu

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 JUL: Seni warisan persilatan Melayu perlu dipertahankan agar ia tidak lapuk ditelan kemajuan era permodenan kini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Klang, Saari Sungip.

Beliau berkata, tradisi itu perlu diangkat kembali peranannya agar lebih ramai golongan belia berminat dengan seni mempertahankan diri itu.

“Melihat kepada keadaan semasa ketika ini, seni mempertahankan diri seperti silat ini wajar diangkat dan dikekalkan.

“Galakan pembabitan golongan muda terhadap keistimewaan seni ini, perlu disebar luas menerusi pelbagai usaha dan gerak kerja semua pihak dan organisasi.

“Ini termasuklah penambahan peruntukan dan komitmen berterusan masyarakat untuk mengekalkan seni silat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kelas Latihan Ibu Pejabat Lembah Keramat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Lembah Keramat, malam tadi.

Hadir sama, Guru Utama PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah dan Penghulu Mukim Hulu Kelang, Azman Hamzah.

Sementara itu, Saari turut merasmikan penubuhan Kelab Sukan Komuniti Lembah Keramat (KESUMAT) yang diwujudkan PSSCM untuk menarik lebih ramai golongan muda berminat dengan aktiviti persilatan di kawasan itu.

Memuji inisiatif dilaksanakan organisasi setempat itu, Saari komited membantu fungsi organisasi berkenaan menerusi pemberian insentif peruntukan sedia ada kepada PSSCM.

“Selain menggunakan peruntukan sedia ada, saya juga menggunakan wang sendiri untuk membantu peranan PSSCM menyebar luas seni silat ini kepada masyarakat belia,” katanya.

Terdahulu, PSSCM ditubuhkan atas dasar memberikan latihan persilatan berterusan kepada masyarakat setempat di Lembah Keramat sejak 1988.

Sepanjang penubuhannya, pelbagai fasa perubahan berjaya dilakukan termasuklah kejayaan memiliki premis sendiri dan kemudahan latihan bersilat.

Orang awam yang berminat boleh membuat pendaftaran terus di Ibu Pejabat PSSCM di AU4 Keramat, dengan kadar yuran bulanan serendah RM30.00.