Categories
EXCO SELANGOR

64 anak yatim, murid susah sekitar Kinrara terima kelengkapan sekolah

PUCHONG, 17 DIS : Seramai 64 anak yatim dan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima sumbangan kelengkapan persekolahan hari ini.

Antara barangan yang diberikan menerusi program kembali ke sekolah anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM) itu adalah set pakaian sekolah, kasut, stoking, beg, seluar sukan dan pelitup muka melibatkan peruntukan berjumlah RM10,000.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata bantuan itu disalurkan kepada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kinrara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yak Chee, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puchong Jaya, dan SMK Pusat Bandar Puchong (1).

“Terima kasih kepada KDEBWM, inisiatif ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar untuk meneruskan pembelajaran dengan baik sekali gus mempertingkatkan prestasi akademik.

“Semoga bantuan ini juga sedikit sebanyak meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan buat anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan bantuan kepada pelajar terpilih di Dewan Serbaguna MBSJ BK5, Kinrara di sini hari ini.

Sementara itu, Sze Han berkata DUN Kinrara turut menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan dan individu yang memerlukan boleh tampil ke pusat khidmat masyarakat (PKM).

“Setakat ini kita terima hampir 300 permohonan, sesiapa berminat boleh hubungi atau hadir sendiri ke PKM DUN Kinrara,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM peruntuk RM30,000 beli kelengkapan sekolah murid susah, anak yatim

PUCHONG, 17 DIS : KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntuk RM30,000 untuk menyediakan kelengkapan sesi persekolahan pada tahun depan, kata pengurus besar operasinya.

Mohd Idris Mohamed Yusof berkata hampir 200 anak yatim dan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, Seri Setia dan Sekinchan menerima manfaat tersebut.

“Setakat ini kita salurkan di tiga DUN ini terlebih dahulu, kita sedang meneliti sekiranya ada menerima permohonan dari kawasan lain pada masa akan datang, jika ada keperluan kita pertimbang untuk bantu.

“Kita harap sumbangan ini memberi semangat kepada pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan sesi persekolahan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 64 anak yatim dan pelajar DUN Kinrara di Dewan Serbaguna MBSJ BK5, Kinrara di sini hari ini.

Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han.

Pada masa sama, KDEBWM bercadang akan menganjurkan pelbagai aktiviti mendidik pelajar sekolah mengenai kempen kesedaran menjaga alam sekitar pada masa akan datang.

“Selain sumbangan barang sekolah, ini juga salah satu program tanggungjawab sosial korporat kita bagi mendidik dan beri kesedaran kepada pelajar untuk menjaga kebersihan,” katanya.

Categories
ADN EXCO SELANGOR

Subsidi 1,000 kit ujian kendiri khas buat penduduk DUN Kinrara

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Negeri (DUN) Kinrara menyediakan 1,000 kit ujian air liur bersubsidi bagi mengesan status jangkitan dengan cepat.

Kit kendiri bernilai RM10 setiap satu dikhususkan untuk penduduk setempat dan terhad 10 set bagi setiap keluarga, kata wakil rakyatnya Ng Sze Han.

“Jika permintaan tinggi, kita akan menambah lagi bilangan kit. Ini memudahkan dan meringan beban penduduk,” katanya menambah kit boleh didapati di pusat khidmat atau hubungi talian 011-25816296.

Pada 9 September, sebanyak 1,000 kit ujian kendiri sumbangan Kerajaan Selangor disediakan untuk pesakit Covid-19 sekitar DUN itu.

Selain kit ujian air liur, pek itu turut mengandungi penyedut oksigen, paracetamol, vitamin C 500mg, kit sanitasi, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 60,000 kit ujian kendiri akan diagihkan secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan alatan tersebut diagihkan melalui pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selalu dengar keburukan vaksin, anak lega ibu akhirnya setuju disuntik

PUCHONG, 28 SEPT: Seorang anak berasa lega apabila ibunya bersetuju menerima vaksin di program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kinrara semalam.

M Suraish, 38, berkata ibunya M Achutha Devi, 58, risau kerana sering mendengar berita berkaitan kesan vaksin yang diceritakan rakan-rakannya.

M Suraish

“Saya memujuk dan menerangkan kepada ibu pentingnya mengambil suntikan dalam mencegah jangkitan Covid-19.

“Akhirnya ibu menerima penjelasan yang diberikan dan bertambah yakin selepas dinasihati doktor sebelum disuntik,” katanya.

Manakala Nurul Adani Jamaluddin, 18, berkata beliau menunggu giliran suntikan menerusi MySejahtera sejak beberapa bulan tetapi tidak mendapat janji temu.

Nurul Adani Jamaluddin

“Saya perlu mengambil suntikan kerana pulang ke kampus pada November untuk melanjutkan pelajaran.

“Perasaan sangat bersyukur apabila pendaftaran menerusi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) amat mudah dan terus dapat vaksin,” katanya.

Bong Ming Zi

Bagi Bong Ming Zi, 22, mengambil vaksin menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam mengekang penularan wabak.

“Ibu saudara memaklumkan tentang program ini dan saya terus buat keputusan untuk hadir walaupun menaiki Grab,” katanya.

Sebanyak 350 dos pelalian Covid-19 disediakan pada program Selvax bergerak DUN Kinrara yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1 semalam.

Categories
ADN SELANGOR

200 dos vaksin bergerak DUN Kinrara habis dalam tempoh empat jam

PUCHONG, 27 SEPT: Kira-kira 200 dos vaksin habis diberikan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara dalam tempoh empat jam menerusi Vaksin Selangor (Selvax) bergerak.

Penyelaras Selgate Aznil Nor Rashed berkata biarpun sambutan positif diterima keadaan masih terkawal dengan penduduk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Penyelaras Selgate, Aznil Nor Rashed

“Kebanyakan penduduk menunggu seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan giliran vaksin. Bagi DUN Kinrara kita menyediakan dua vaksinator untuk proses suntikan kepada penduduk.

“Setakat jam 1 tengah hari 60 peratus daripada warga asing hadir untuk mendapatkan suntikan pelalian dan selebihnya merupakan warga tempatan,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Aznil dos kedua berlangsung pada 18 Oktober hadapan di kawasan yang sama.

Terdahulu sebanyak 350 dos pelalian Covid-19 disediakan pada program Selvax bergerak DUN Kinrara.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata suntikan terbuka kepada semua individu termasuk warga asing yang berusia 18 tahun ke atas.

Selvax bergerak DUN Kinrara berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1.

Categories
ADN SELANGOR

Selvax bergerak di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1 esok

SHAH ALAM, 26 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak berada di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1, Puchong esok.

Wakil rakyat DUN Kinrara Ng Sze Han berkata program bermula jam 9 pagi hingga 3 petang itu menawarkan 350 dos untuk individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

“Sila pastikan anda memuat turun aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dan membawa kad pengenalan atau pasport bagi yang bukan warganegara,” katanya di Facebook.

Program percuma anjuran Kerajaan Negeri itu berjalan sejak 12 September lalu di seluruh DUN dan parlimen secara berperingkat.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

Categories
ADN SELANGOR

Selvax bergerak DUN Kinrara pada Isnin, sedia 350 dos

SHAH ALAM, 25 SEPT: Sebanyak 350 dos pelalian Covid-19 disediakan pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kinrara yang berlangsung Isnin ini.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata suntikan terbuka kepada semua individu termasuk warga asing yang berusia 18 tahun ke atas.

Program dijalankan di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1, Puchong dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

“Sila pastikan anda memuat turun aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dan membawa kad pengenalan atau pasport bagi yang bukan warganegara,” katanya di Facebook.

Hari ini program bagi memastikan tiada penduduk Selangor tercicir daripada vaksinasi diadakan di Dewan Komuniti Damansara Damai dan Kampung Chempaka Basketball Court, Bandar Utama.

Program percuma anjuran Kerajaan Negeri itu berjalan sejak 12 September lalu di seluruh DUN dan parlimen secara berperingkat.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kinrara agih lebih 5,000 pek makanan, ringan beban penduduk

SHAH ALAM, 17 OGOS: Lebih 5,000 bakul makanan diagih kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara sejak penularan pandemik Covid-19 melanda negara.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata pihaknya turut menyumbang 10 tan sayuran dan lima tan ikan segar di beberapa kawasan perumahan sebagai inisiatif meringankan beban mereka.

“Setiap Jumaat dan Ahad, sebanyak 500 bungkusan makanan turut diberi kepada penduduk menerusi projek Dapur Kinrara.

“Kami akan terus menyumbang terutama kepada mereka yang terjejas,” katanya di Facebook.

Dapur Kinrara diwujudkan hujung tahun lalu sebagai dapur berpusat yang akan mengagihkan makanan tengah hari secara percuma kepada golongan memerlukan.

Projek berkenaan berjalan di dua lokasi dan mendapat sambutan menggalakkan.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kinrara agih baucar Jom Shoping mulai esok

SHAH ALAM, 8 OGOS: Penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang lahir pada Mac hingga Ogos dipelawa mengambil baucar Jom Shopping bermula esok.

Wakil rakyatnya berkata penyerahan baucar bernilai RM100 itu diberikan selama 15 hari hingga 23 Ogos hadapan di Pusat Khidmat DUN Kinrara bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Bagaimanapun warga emas digalakkan untuk terus berada di rumah dan boleh mewakilkan ahli keluarga untuk tuntutan baucar.

“Wakil hanya perlu membawa salinan kad pengenalan penerima ketika hadir mengambil baucar,” kata Ng Sze Han di Facebook.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE kepada peserta warga emas berusia 60 tahun dan OKU. Untuk semakan status ahli boleh layari http://mesra.yawas.my/smue/.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Kinrara agih makanan rumah ke rumah pastikan bekalan cukup

SHAH ALAM, 29 JUN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara mengambil inisiatif turun ke kawasan perumahan bagi mengagihkan makanan asas kepada penduduk.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata langkah tersebut berikutan ada penduduk berasa malu untuk memohon bantuan meskipun berdepan masalah kekurangan bekalan makanan.

“Kelmarin kami edarkan ikan segar kepada penduduk. Selalunya bakul makanan hanya diberi kepada yang memohon, namun kami sedar ada yang tidak selesa untuk mohon bantuan.

“Jadi dengan cara ini, kami juga dapat mendengar keluhan rakyat dan mengenal pasti jenis bantuan lain yang diperlukan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Sze Han berkata program Dapur Kinrara yang menyediakan makanan tengah hari untuk golongan memerlukan terus mendapat sambutan menggalakkan.

“Setakat ini program berjalan di dua lokasi. Kita harap ramai akan menyokong kerana ia memberi manfaat kepada golongan susah,” katanya.

Dapur Kinrara diwujudkan hujung tahun lalu sebagai dapur berpusat yang akan mengagihkan makanan tengah hari secara percuma kepada golongan memerlukan pada setiap Ahad.

Categories
EXCO SELANGOR

Khidmat kaunseling percuma Kinrara bantu individu atasi tekanan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyediakan khidmat kaunseling secara percuma khusus untuk penduduk di kawasan sekitar.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata sesi tersebut diadakan pada Sabtu hingga Isnin mulai jam 10 pagi hingga 6 petang di Balai Masyarakat JKP Zon 16 Puchong.

Beliau menjelaskan program kendalian dua pakar meliputi kaunseling individu dan kumpulan, pengurusan tekanan dan emosi, kerjaya serta keluarga.

“Melalui waktu sukar? Jika anda dapati sukar untuk mengatasi tekanan, gelisah dan kemurungan, segera datang dan bercakap dengan kaunselor kami,” tulisnya di Facebook.

Sze Han menambah orang ramai yang ingin menyertai sesi kaunseling tersebut perlu membuat temu janji terlebih dahulu.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 bagi menangani isu kesihatan mental menerusi kelas interaktif.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu tersebut antara fokus umum Kerajaan Selangor bagi membantu rakyat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

 

Categories
ADN SELANGOR

Rapat jurang digital, 100 penduduk B40 DUN Kinrara terima komputer riba

SHAH ALAM, 24 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyumbang 100 komputer riba kepada penduduk sebagai langkah merapatkan jurang pendigitalan.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata bantuan diutamakan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan urusan pembelajaran anak-anak penerima.

“Sebanyak 500 permohonan diterima namun setakat ini hanya 100 keluarga layak mendapat bantuan itu.

“Kita akan melawat rumah pemohon dan lakukan penelitian lanjut. Ini antara kaedah memastikan golongan sasar yang terima manfaat,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan program Dapur Kinrara diperkenalkan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Sze Han, pihaknya mengutamakan program terbabit memandangkan manfaat lebih besar diterima penduduk.

“Setiap Ahad dari jam 12 hingga 2 petang kita agihkan makanan tengah hari percuma kepada golongan memerlukan dan terbaharu pada minggu lalu kita sediakan lebih 200 bungkus,” katanya.