Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kota Anggerik pelawa penduduk mohon data internet percuma

SHAH ALAM, 29 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mempelawa penduduk kawasannya memohon data internet percuma selama 12 bulan.

Wakil Rakyat Najwan Halimi berkata permohonan Data Internet Selangor itu terhad kepada 200 orang sahaja dan boleh dimohon secara dalam talian.

“Permohonan tawaran Data Internet Selangor secara percuma selama setahun khas buat penduduk Kota Anggerik.

“Keutamaan diberikan kepada golongan pelajar, peniaga secara dalam talian, penunggang e-panggilan, belia dan ibu tunggal,” katanya menerusi Facebook.

Orang ramai boleh memohon dengan mengimbas kod QR di poster atau layari https://forms.gle/eb1ESaHcF8Lrhmb9A.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor , peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
ADN SELANGOR

Hargai wanita, ADN Kota Anggerik edar 200 kuntum ros

SHAH ALAM, 11 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mengedar 200 kuntuman ros kepada pengunjung serta peniaga wanita di Pasar Moden Seksyen 6 dan 16 hari ini sebagai simbolik penghargaan.

Wakil rakyat Najwan Halimi berkata pemberian itu sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut Isnin lalu selain merupakan tanda terima kasih terhadap pengorbanan kaum itu.

“Dalam apa jua bidang dan lapangan yang diceburi sama ada suri rumah, peniaga, penjawat awam, pendidik dan lain-lain, peranan wanita sememangnya cukup signifikan dan wajar diraikan.

“Semoga kuntuman ros ini dapat menambahkan keceriaan dan kegembiraan mereka untuk sepanjang hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, sejak menjadi wakil rakyat, beliau memastikan Hari Wanita disambut dan tahun ini memilih kawasan pasar yang menjadi lokasi tumpuan wanita.

“Edaran ros ini dilakukan bersama Penggerak Wanita Berdaya (PWB) DUN Kota Anggerik dan Batu Tiga,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang 25 tablet kepada anak orang asal

SHAH ALAM, 6 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menyumbang tablet kepada 25 anak orang asal dari Kampung Air Kuning di sini bagi melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini.

Wakil Rakyatnya Najwan Halimi berkata mereka terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik Seksyen 6 di sini yang dikenal pasti kurang kemampuan untuk memilik peranti berkenaan.

“Semoga dengan pemberian peranti elektronik itu sedikit sebanyak meringankan beban mereka dan memberi semangat kepada mereka untuk terus belajar walaupun hanya di rumah.

“Malah, sumbangan ini juga bukti bahawa kita tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan orang asal,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya agihan tablet itu akan diteruskan berdasarkan pemilihan pelajar yang dibuat pihak sekolah bagi memastikan hanya yang benar-benar layak terima manfaat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang tablet kepada murid kurang mampu

SHAH ALAM, 31 JAN: Kira-kira 30 murid sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima sumbangan tablet untuk memudahkan pembelajaran.

Wakil rakyatnya berkata bantuan bernilai RM20,000 melalui peruntukan program Mesra Rakyat bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

Najwan Halimi memaklumkan kriteria pemilihan murid dibuat dengan kerjasama sekolah untuk memastikan hanya yang layak menerima manfaat.

“Saya terima banyak rungutan daripada ibu bapa yang tidak mampu untuk membeli komputer atau tablet kepada anak mereka, justeru saya mengambil keputusan untuk menyumbang keperluan ini,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, sebanyak tiga tablet sudah diagihkan kepada murid berkenaan setakat ini dan selebihnya akan diberi secara berperingkat.

Sementara itu, wakil penerima Siti Hajar Haderan, 30, berterima kasih kepada Ahli Dewan Negeri atas bantuan itu dan mengakui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) agak mencabar.

“PdPR bukan sahaja menuntut disiplin tinggi murid tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan dan bersabar bagi memastikan anak tidak tercicir terutama yang baharu memasuki alam persekolahan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PKP: DUN Kota Anggerik teruskan program bantuan makanan

SHAH ALAM, 22 JAN: Program Bank Makanan yang diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu akan diteruskan.

Ahli Dewan Negerinya berkata rancangan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan berdasarkan lebih 3,000 keluarga menerima bantuan tersebut.

Bagaimanapun, Najwan Halimi menjangka bilangan penerima berkurang tahun ini berikutan kelonggaran kepada rakyat untuk berniaga.

“Penerimaan terhadap program kita setakat ini agak positif namun saya berasakan ada penurunan permohonan berbanding tahun lalu.

“Namun, jika ada keperluan, penduduk boleh ke pejabat DUN dan kita akan cuba bantu meringankan beban mereka dalam tempoh PKP ini,” katanya selepas meninjau program tersebut bersama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad di Klinik Selcare, Seksyen 13, di sini hari ini.

Najwan berkata pihaknya akan membantu menyumbang komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada setiap DUN dan RM50,000 kepada ahli parlimen negeri ini melalui program Mesra Rakyat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

2,000 individu disasar manfaat tawaran saringan Covid-19 serendah RM50

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 2,000 individu disasar memanfaatkan tawaran menjalani saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) serendah RM50 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik.

Wakil rakyat, Mohd Najwan Halimi berkata saringan dengan kerjasama Selgate Corporation Sdn Bhd diadakan secara berterusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula kelmarin.

Menurutnya, pendekatan itu diambil susulan peningkatan kes harian Covid-19 di Selangor kebelakangan ini.

“Harga saringan RTK-Ag di klinik yang agak tinggi sehingga mencecah RM140 sudah pasti membebankan masyarakat, jadi melalui program ini kita menanggung sebahagian kos sebenar.

“Kemudahan ini diharap memberi kelegaan kepada penduduk bagi membolehkan mereka mengetahui status kesihatan sama ada dijangkiti atau sebaliknya,” katanya selepas meninjau program tersebut bersama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad di Klinik Selcare, Seksyen 13, di sini hari ini.

Sementara itu, Najwan berkata saringan memasuki hari ketiga menerima lebih 200 penyertaan membabitkan penduduk setempat termasuk segelintir dari luar kawasan yang mempunyai keperluan mendesak.

“Walaupun bukan pengundi Kota Anggerik, kita mempertimbang permohonan individu dari luar kerana paling penting tindakan yang diambil memberi impak kepada semua.

“Justeru, saya menyaran mana-mana individu yang bergejala supaya segera tampil membuat saringan,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pilihan waktu janji temu sama ada jam 11 pagi, 12 tengah hari atau 2 petang.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi talian 0184004510.

 

Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

51 sekolah DUN Kota Anggerik terima dana naik taraf kemudahan

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebanyak 51 buah sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik menerima bantuan berjumlah RM868,000 untuk menambah baik infrastruktur.

Wakil rakyatnya Mohd Najwan Halimi berkata sumbangan oleh Kerajaan Negeri meliputi 33 sekolah agama, 14 maahad tahfiz, tiga sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil dan satu SJK Cina.

“Saya berharap sumbangan ini membantu pengurusan sekolah untuk menambah baik kemudahan sedia ada menjelang sesi persekolahan tidak lama lagi dan memastikan keselesaan pelajar mengikut norma baharu,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 23 November 2020, Dato’ Menteri Besar memperuntuk sejumlah RM22.473 juta untuk menaik taraf infrastruktur 740 buah sekolah di Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan RM9.113 juta diagih kepada 538 sekolah agama rakyat, RM6 juta untuk 101 SJK Cina dan RM2 juta kepada empat sekolah menengah persendirian Cina.

Turut menerima manfaat ialah 83 SJK Tamil melibatkan dana RM4.36 juta manakala RM1 juta kepada 14 sekolah mubaligh serta sekolah menengah jenis kebangsaan.

Categories
ADN SELANGOR

PKPB: DUN Kota Anggerik sedia bantuan makanan asas

SHAH ALAM, 16 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menyediakan bantuan makanan asas untuk penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Wakil rakyatnya Mohd Najwan Halimi berkata bantuan berupa beras, biskut, gula dan minyak boleh didapati melaui wakil kawasan perumahan masing-masing.

“Walaupun hampir semua sektor dibuka dan berkemungkinan tiada penduduk terjejas, namun DUN Kota Anggerik tetap bersedia jika ada penduduk terputus bekalan makanan.

“Mereka hanya perlu menemui wakil penduduk dan terus menerima bantuan ini,” katanya ketika dihubungi.

PKPB dilaksana di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai kelmarin hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Semalam, sebanyak 150 kes Covid-19 dilaporkan di negeri ini, jumlah kedua tertinggi selepas Sabah.

Categories
ADN AGENDA SELANGOR

Kayuhan Merdeka Kota Anggerik imbau sejarah kemerdekaan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Seramai 14 peserta daripada golongan belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan kakitangan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menjayakan Kayuhan Merdeka 2020 yang dianjur wakil rakyatnya, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Najwan Halimi berkata kayuhan sejauh 190 kilometer (km) dari Shah Alam ke Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan ke-63.

“Pemilihan Dataran Pahlawan sebagai lokasi kayuhan adalah bagi memberi apresiasi terhadap tempat bersejarah negara sekali gus mengimbau kembali kenangan ketika Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu sebaik pulang dari London.

“Pada masa sama, kita mahu mendekati anak muda melalui amalan gaya hidup sihat seperti aktiviti berbasikal yang diceburi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia sejak kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pelepasan acara kayuhan disempurnakan Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi pada jam 7 pagi di Pusat Khidmat Masyarakat Kota Anggerik.

Pada jam 11.30 pagi, peserta ekspedisi berhenti rehat di Port Dickson, Negeri Sembilan dan mereka dirai Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Semua peserta selamat tiba di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka jam 6.45 petang dan disambut Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Categories
SELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang lebih RM70,000 kepada rumah ibadat

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 7 MEI: Lebih RM70,000 sumbangan diserahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, bagi mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Negerinya, Najwan Halimi, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik, pada 5 Mei lalu.

Najwan berkata, setiap sumbangan yang diluluskan kepada semua masjid dan surau terbabit berpandukan pelbagai aspek serta kriteria.

“Program terbabit perlu memberi impak kepada masyarakat dan berpotensi untuk diperluaskan pada masa hadapan.

“Saya komited untuk memberdayakan masyarakat melalui pelbagai program dan pendekatan yang lebih segar serta dinamik,” katanya menerusi coretan di Twitter.

Pada masa sama, beliau meminta umat Islam supaya mengambil peluang memanfaatkan Ramadan supaya menjadi seorang Muslim yang lebih baik, pada tahun ini.

“Saya mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan buat kita semua,” tulisnya.

Categories
SELANGOR

Najwan sedia terima cadangan di laman sosial

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Najwan Halimi membuka ruang kepada masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik untuk menghubunginya di laman sosial jika terdapat sebarang isu mahupun cadangan.

Ahli Dewan Negeri itu berkata, inisiatif berkenaan adalah alternatif lain selain ke Pusat Khidmat Masyarakat Kota Anggerik, di Seksyen 9, di sini.

“Selain di Facebook dan Twitter, saya juga boleh dicapai menerusi laman Instagram di instagram.com/NajwanHalimi,” tulisnya di Facebook.

Beliau juga bersedia menerima aduan mahupun cadangan yang dikemukan masyarakat apabila salah seorang netizen menyuarakan hasrat itu di ruangan komen statusnya.

Perkara itu turut mendapat sambutan baik daripada netizen lain.

Pada masa sama, Najwan berkata, pihaknya masih menjalankan operasi menggunakan PKM pemangku terdahulu, iaitu Dr Yaakob Sapari.

“Selepas Aidilfitri kita akan berpindah. Antara kawasan yang dirancang setakat ini adalah Seksyen 7, Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Categories
SELANGOR

Flashmob ‘sokongan’ terhadap PAKATAN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) DUN Kota Anggerik, Najwan Halimi menyatakan rasa terharu menerima sokongan padu daripada pengguna jalan raya ketika menjalankan Flashmob Perdana, petang semalam.

Beliau berkata, berpuluh kereta yang menggunakan jalan raya berhampiran Jakel, Seksyen 7 tidak henti membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada parti itu.

“Ini jelas menunjukkan rakyat Selangor, di Shah Alam khususnya rata-rata masih berpihak kepada PAKATAN.

“Oleh itu, saya sebaga calon akan terus menegakkan keadilan, ketelusan, kebertanggungjawab serta menjadi agen perubahan bagi rakyat di DUN Kota Anggerik,” katanya.

Difahamkan, kempen disertai lebih 20 sukarelawan bermula sekitar jam 5 petang di Persiaran Kayangan, iaitu antara jalan utama menjadi tumpuan kenderaan, pada waktu kemuncak ketika orang keluar dan pulang dari tempat kerja.

Risalah juga berjaya diedarkan kepada orang ramai yang melalui jalan terbabit dan majoritinya membunyikan hon kenderaan sebagai tanda sokongan kepada calon PAKATAN.