Categories
EXCO SELANGOR

2,000 keluarga di Taman Sri Muda terima bantuan banjir

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 2,000 keluarga yang terkesan banjir di Taman Sri Muda menerima sumbangan RM1,000 melalui program Bantuan Selangor Bangkit (BSB), hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning berkata V Ganabatirau berkata pemberian itu merupakan fasa keempat untuk mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

“Mangsa banjir juga turut menerima bantuan wang ihsan RM1,000 dari kerajaan persekutuan pada hari ini.

“Selain itu pihak kami berharap kerajaan persekutuan dapat menyegerakan bantuan barang keperluan harian (BKH) bernilai RM2,500 kerana masih terdapat ramai yang belum menerima,” katanya menerusi Facebook.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini

Categories
ADN SELANGOR

Bantuan RM1,000 mangsa banjir DUN Kota Kemuning disegera

SHAH ALAM, 9 JAN: Agihan bantuan RM1,000 untuk mangsa banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning termasuk Taman Seri Muda akan disegerakan.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata setakat ini seramai 100 penduduk menerima sumbangan berkenaan manakala baki diagih berperingkat minggu depan.

“DUN saya paling terjejas dalam banjir kali ini dan saya harap permohonan mangsa banjir disegerakan dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Beliau yang ditemui pada Program Bazaar Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman di sini menambah pihaknya bersedia menyediakan lokasi bagi mempercepat agihan sumbangan.

“Pihak kuil dan beberapa masjid juga bersetuju untuk menjadikan tempat mereka sebagai lokasi pemberian bantuan,” kata Ganabatirau.

Setakat pagi semalam, seramai 20,086 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 dengan belanja keseluruhan RM20.196 juta.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

 

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kota Kemuning terima 500 bakul makanan sumbangan PKPS

SHAH ALAM, 14 SEPT : Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menerima 500 bakul makanan sumbangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 9 September lalu.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata barangan itu meliputi beras, gula, bawang, ubi kentang, cili kering, minyak masak dan mi segera untuk diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan.

“Terima kasih kepada pihak PKPS terhadap sumbangan yang diberikan ini dan pusat khidmat masyarakat akan memastikan bantuan diberikan kepada golongan benar-benar memerlukan.

“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Ganabatirau turut meminta ketua kampung, ahli majlis dan ketua komuniti sekitar kawasannya untuk mengesan individu atau keluarga yang layak untuk menerima bantuan tersebut.

“Bakul makanan ini juga akan diagihkan kepada ketua kampung, ahli majlis dan ketua komuniti untuk disampaikan kepada mereka yang layak supaya tiada yang terputus bekalan asas,” katanya.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk kediaman mewah di Kota Kemuning antara penerima bakul makanan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning mengagihkan 6,400 bakul makanan kepada masyarakat terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak Jun lalu.

V Ganabatirau berkata agihan bakul makanan kepada masyarakat sekitar Kota Kemuning tidak hanya memfokuskan golongan berpendapatan rendah tetapi turut melibatkan mereka yang tinggal di kediaman mewah.

“Walaupun banyak penduduk di DUN Kota Kemuning tinggal di rumah mewah tetapi ada sebahagian daripada mereka berdepan dengan kesusahan kerana syarikat ditutup.

“Selain bakul makanan, kita juga memberi sumbangan peralatan kesihatan, baucar Pasaraya Speedmart bernilai RM80 dan wang tunai untuk pengurusan jenazah Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Ganabatirau yang juga EXCO kebajikan masyarakat berkata pihaknya juga terus memperkasakan program “Sponsor A Family” iaitu keluarga berkemampuan membantu keluarga terkesan.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) berjumlah RM30,000

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kota Kemuning gerakkan lebih 10 pasukan cari keluarga terjejas

SHAH ALAM, 5 JULAI: Lebih 10 pasukan digerakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning untuk mengesan keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19.

Wakil rakyat V Ganabatirau berkata pasukan yang menjalankan rondaan terdiri daripada ahli majlis, ketua kampung dan komuniti serta pusat khidmat masyarakat.

“Setiap pasukan bergerak mencari rumah keluarga terjejas sama ada yang mengibarkan bendera putih atau sebaliknya dan mereka dibekalkan dengan 10 bakul makanan bagi memudahkan memberi bantuan.

“Untuk hari ini, kita mengagihkan kira-kira 100 bakul makanan termasuk enam keluarga yang mengibarkan bendera putih,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ganabatirau yang juga EXCO kebajikan masyarakat berkata pihaknya mewujudkan program “Sponsor A Family” iaitu keluarga berkemampuan membantu keluarga terkesan.

“Program ini salah satu usaha menggalakkan orang ramai membantu keluarga terkesan atau mereka boleh terus memaklumkan kepada wakil rakyat,” katanya.

Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula semalam sehingga 16 Julai.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kota Kemuning bantu tujuh pesakit kronik

SHAH ALAM, 14 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menyerahkan bantuan cek bernilai RM3,500 kepada tujuh pesakit kronik di Kampung Bukit Lanchong, pada 11 Februari lalu.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata daripada jumlah itu masing-masing terima cek berjumlah RM500 untuk menampung rawatan dan perbelanjaan harian mereka.

“Rata-rata penerima ini adalah terdiri dalam kalangan penghidap sakit buah pinggang tahap empat, lumpuh, diabetis yang mana kaki telah dipotong.

“Kehidupan mereka amat daif, ada yang tidak bekerja dan hilang mata pencarian. Justeru, kita terpnaggil untuk menghulur bantuan bagi meringankan bebanan golongan ini,” katanya di Facebook.

Program itu diwakili Ahli Majlis MPP Zon 7 Mohd Tarmizi Lazim yang mewakili ahli dewan negeri terbabit untuk menghulur sumbangan kepada pesakit tersebut.

Sumbangan berjalan lancar dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan aspek keselamatan seperti diarahkan pihak berkuasa.

Categories
SELANGOR

Lebih 1,500 pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kota Kemuning

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JUN: Kira-kira 1,500 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kota Kemuning, di Dewan Kenangan, Seksyen 28, di sini.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau menzahirkan rasa gembira dan teruja melihat pelbagai kaum memeriahkan sambutan itu.

Katanya, penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri itu berjaya menjadi medium untuk merapatkan ukhwah antara rakyat pelbagai kaum.

“Ini membuktikan keunikan dan kelebihan masyarakat di negeri ini yang sentiasa bersatu padu dalam kepelbagaian dan perbezaan diraikan bersama dalam perayaan dengan begitu meriah tanpa mengira bangsa dan agama.

“Walaupun disambut dalam keadaan sederhana, namun saya gembira melihat kehadiran rakyat di DUN saya.

“Tanpa persediaan awal, saya khuatir tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, Ganabatirau menyifatkan semangat dan tradisi rakyat saban tahun dalam menyambut perayaan di negara ini tidak mungkin dapat merasai suasana seperti ini di negara lain.

“Semangat yang ditunjukkan berjaya merapatkan jurang perbezaan agama dan kaum oleh masyarakat di negeri ini untuk meraikan Aidilfitri dan ia merupakan satu contoh terbaik yang perlu diikuti oleh generasi akan datang,” katanya.