Categories
NASIONAL SELANGOR

Rumah balu Ketua MIC terbakar, dapat pembelaan PKM DUN Melawati

Rumah balu Ketua MIC terbakar, dapat pembelaan PKM DUN Melawati

SHAH ALAM 30 OKT: Meskipun mendiang suaminya ketika hayat cukup dikenali dengan banyak berjasa terhadap MIC tetapi penderitaan akibat rumah terbakar yang dialami, Devi a/p Raman, 66, kira-kira tiga bulan lalu tidak dihiraukan parti yang mewakili kaum India itu.

Bagaimanapun, Devi agak bernasib baik apabila Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Melawati, S.Manikavasagam dengan disertai Penghulu Mukim Api-api, Husain Idris tampil menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal itu.

Manikavasagam berkata, antara bantuan yang dihulurkan termasuk wang tunai RM500 disumbangkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta barang binaan seperti papan dan atap dari PKM DUN Melawati.

“Mendiang S.Anandan bekas Ketua Cawangan MIC Kampung Telok Piah, dulunya seorang yang berkhidmat cemerlang dalam MIC serta pernah diberikan pingat penghormatan oleh Tan Sri V.Manikavasagam kerana jasa beliau itu.

“Namun sekarang ini apabila isteri mendiang menghadapi kesusahan, rumah terbakar tidak ada seorang pun pemimpin MIC datang menjengah atau menghulurkan bantuan, mana slogan ‘MIC care’,” kata Manikavasagam kepada TV Selangor.

Manikavasagam berkata, akibat daripada kebakaran yang membawa anggaran kerugian kira-kira RM75,000 itu, Devi juga kehilangan sumber pendapatan dari perniagaan kedai makan secara kecil-kecilan yang diusahakan di rumahnya.

Devi yang menyambut perayaan Deepavali tidak berapa lama lagi juga dimasukkan ke dalam program Jom Shopping sempena Deepavali yang diadakan di pasaraya Giant, Pasir Penampang hari ini.

“Semua bantuan yang dihulurkan ini sebenarnya tidaklah mencukupi tetapi setidak-tidaknya mampu meringankan penderitaan dan bebanan yang terpaksa ditanggung Devi,” kata Manikavasagam lagi.

-EZY