Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Satu guru pantau lima murid, pastikan mahir 3M

KLANG, 18 APRIL: Seorang guru bertanggungjawab memantau lima murid yang mengalami masalah pembelajaran melalui program Sinar Ilmu Harapan Sentosa.

Pengarah projeknya berkata kelas percuma selama tiga bulan memerlukan kaedah berbeza berikutan golongan tersebut tidak mahir menulis, membaca dan mengira (3M).

“Kalau sekadar hendak membaca dan menulis, ia tidak boleh membantu mereka, justeru kita gunakan pelbagai deria dengan mata mesti memandang, telinga mesti mendengar dan tangan mesti merasa.

Pengarah projek Sinar Ilmu Harapan Sentosa Dr R Uma Rani

“Jadi apabila dia sebut mata memandang, telinga mendengar dan tangan itu ada aktiviti jadi perkara ini akan simpan dalam otak mereka dan dibuat berulang kali,” kata Dr R Uma Rani.

Inisiatif anjuran pusat khidmat DUN Sentosa menyasar seramai 30 murid untuk mengikuti kelas terbabit pada setiap Sabtu.

Uma Rani yang juga setiausaha Persatuan Dyslexia Selangor mengakui berdepan cabaran berikutan ada murid yang bersekolah selama enam tahun tidak tahu menulis nama sendiri.

Sementara itu, beliau berkata prestasi murid akan dipantau selepas tiga bulan dan kelangsungan program bergantung kepada wakil rakyatnya Dr G Gunarajah.

“Di sini kita buat kelas antara dua hingga tiga jam secara percuma berbanding kelas terapi di luar yang mencecah kos RM250 selama sejam,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kelas percuma bantu murid hadapi masalah pembelajaran

KLANG, 18 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menganjurkan kelas percuma selama tiga bulan untuk membantu murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

Wakil rakyatnya berkata program Sinar Ilmu Harapan Sentosa bagi memastikan murid terlibat sekurang-kurangnya mengenali 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Dr Gunarajah R George menjelaskan inisiatif itu menumpukan murid darjah tiga hingga enam yang dianggap berada dalam fasa kritikal berikutan bakal ke sekolah menengah.

“Masih terdapat anak-anak kita yang belum tahu membaca, menulis dan mengira iaitu asas yang perlu ada bagi seorang pelajar.

“Jika mereka tahu tiga kaedah ini, maka tiada masalah buat mereka nanti. Mereka boleh berniaga dan sebagainya,” katanya ditemui di pusat khidmatnya di sini hari ini.

Gunarajah menambah pihaknya bersama Persatuan Dyslexia Selangor menyaring 30 murid untuk menyertai program terbabit bagi memilih peserta yang layak.

Beliau berkata inisiatif yang diuar-uarkan melalui media sosial sejak 8 April turut mendapat sambutan dari mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

“Daripada 100 orang yang datang bukan semua benar-benar menghadapi masalah, justeru hanya 30 orang sahaja dipilih bagi mengikuti kelas secara percuma setiap Sabtu selama tiga bulan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

60 usahawan wanita berjaya dilahirkan di DUN Sentosa

KLANG, 21 MAC: Seramai 60 daripada 200 peserta Wonderful of Women (WOW) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya menjadi usahawan sejak pertubuhan itu diwujudkan dua tahun lalu.

Wakil rakyatnya Gunaraj George berkata kebanyakan peserta menceburi perniagaan minyak wangi, katering, makanan tradisional, bakeri dan biskut.

Menurut Gunaraj, pihaknya menyediakan lokasi sesuai kepada usahawan terbabit untuk memasarkan produk masing-masing melalui ‘car boot sale’.

“Potensi perniagaan mereka sangat baik kerana sedar bahawa pendapatan isi rumah harus ditingkatkan pada masa kini terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Malah, mereka mengambil komitmen sendiri dan sanggup bekerja kuat untuk membantu suami sehingga ada yang meraih pendapatan tambahan mencecah sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis minum petang anjuran WOW DUN Sentosa sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Kelab Eksekutif Klang di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan seramai 100 usahawan wanita dilahirkan setiap tahun selain berhasrat menarik lebih ramai mendaftar dalam pertubuhan terbabit.

“Justeru, mereka perlu diberi kesedaran untuk sentiasa bersedia meneroka dunia perniagaan. Tidak kira sama ada sudah berkerjaya atau sebaliknya, tetapi jika ada masa terluang kesempatan itu harus diambil,” katanya.

WOW ditubuhkan bagi memperluas peluang kepada wanita dalam bidang pendidikan, perniagaan, sosial dan politik selain memelihara hak serta kepentingan wanita secara adil dan saksama.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wang tunai, cabutan bertuah menanti individu sahut cabaran 60 hari sihat

KLANG, 2 MAC: Ganjaran wang tunai keseluruhan RM2,700 dan cabutan bertuah menanti penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa yang menyahut cabaran 60 hari sihat sejahtera.

Wakil rakyat Gunaraj George berkata program julung kali itu akan bermula 8 Mac hingga 6 Mei dengan mempertandingkan kategori ‘Fit Sentosa’ dan ‘Healthy Sentosa’.

“Peserta mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti boleh menyertai kategori ‘Fit Sentosa’ dan pemenang akan diadili berdasarkan pengurangan berat badan manakala ‘Healthy Sentosa’ terbuka kepada semua.

“Untuk kedua-dua kategori, ukuran berat dan tinggi akan diambil secara bersemuka sebelum dan selepas program berlangsung,” katanya pada pelancaran Sihat Sejahtera Sentosa ‘Cabaran 60 Hari’ di Pusat Khidmat DUN Sentosa semalam.

Menurutnya, individu terbabit perlu mengikuti sekurang-kurangnya lapan kelas zumba, empat modul ceramah rahsia kesihatan dan menghantar rakaman video berat badan kepada penganjur setiap Ahad.

Beliau berkata, seramai 1,000 individu berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun disasar menyertai program berkenaan dengan 150 penyertaan diterima setakat ini.

Gunaraj turut memaklumkan setiap penyertaan dikenakan yuran sebanyak RM20 yang akan disumbang kepada rumah anak yatim sekitar Sentosa.

“Peserta juga menerima baju T, botol air dua liter, percuma 24 sesi zumba dalam talian dan lapan sesi ceramah rahsia kesihatan,” katanya.

Individu berminat boleh mendaftar di pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScvxRPIhBkXp66tlHrIn5wIN6BTzE4eH9ywFYbl0ecat2UjpQ/viewform?fbzx=3209384114755977333 sebelum 5 Mac.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa bina pusat kitar semula, atasi isu sampah

KLANG, 23 FEB: Pusat kitar semula bakal dibina di Jalan Dato Dagang 31 di sini bagi mengatasi masalah lambakan sampah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, kata wakil rakyatnya.

Menurut Dr Gunaraj George tindakan berkenaan dilaksana berikutan jumlah pembuangan sampah di kawasannya meningkat saban tahun.

“Antara usaha lain yang akan dilaksanakan ialah semua pusat komersial dan kediaman dikehendaki menyediakan tong sampah masing-masing.

“Tidak ketinggalan, kita juga akan memastikan premis terbiar seperti rumah kosong tidak dijadikan sasaran lokasi pembuangan sampah haram,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Pembersihan Yang Mantap DUN Sentosa di pusat khidmatnya semalam.

Hadir sama Pengarah Perkhidmatan Persekitaran Majlis Perbandaran Klang (MPK), Zaireezal Ahmad Zainuddin dan Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM, Mohd Idris Mohamed Yusof.

Mengulas lanjut, Dr Gunaraj berkata usaha berkenaan juga mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), MPK dan KDEBWM.

Beliau turut menggesa supaya penduduk DUN Sentosa memberikan kerjasama supaya masalah sampah diselesaikan sepenuhnya selari dengan matlamat Selangor menuju Negeri Pintar menjelang 2025.

“Program ini tidak akan berjaya sekiranya hanya saya dan agensi yang terlibat melakukannya, oleh itu kerjasama daripada persatuan penduduk dan sebagainya amat diperlukan,” katanya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM kesan 55 lokasi sampah haram di DUN Sentosa

SHAH ALAM, 23 FEB: Sebanyak 55 lokasi pembuangan sampah haram dikesan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sepanjang tahun lalu.

Pengurus Besar Operasi Mohd Idris Mohamed Yusof berkata lokasi membabitkan Sungai Jati, Bukit Nenas, Labuhan Dagang dan Andalas.

“Bagi menangani masalah ini, kita akan menubuhkan jawatankuasa khas dan memantau isu ini dalam tempoh enam bulan.

“Justeru akan ada peruntukan tambahan untuk menggerakkan usaha ini, walaupun aktiviti tidak bermoral ini akan berulang, tetapi usaha KDEBWM adalah untuk mengurangkan lokasi tapak sampah haram,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Pembersihan Yang Mantap DUN Sentosa, semalam yang turut dihadiri Ahli Dewan Negerinya, Dr Gunaraj George.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan sebanyak 874 kes berkaitan pembuangan sampah haram dan pelepasan air sampah direkodkan sehingga September 2020.

Daripada jumlah itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 346 kes yang telah dijatuhkan hukuman.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa sediakan pek makanan bantu penduduk terjejas

SHAH ALAM, 9 OKT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menyediakan pek makanan asas untuk keperluan penduduk terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ahli Dewan Negerinya berkata barangan tersebut yang telah disediakan mengikut permintaan boleh diperolehi di pejabatnya dengan menghubungi talian 03-3381 7602.

“Untuk PKPB selama dua minggu kita harap masyarakat bersiap sedia dengan bekalan makanan di rumah kerana kebanyakan mereka tidak boleh bekerja dan sebagainya,” kata G Gunarajah ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan antara kawasan di DUN Sentosa dikenakan PKPB susulan peningkatan kes positif Covid-19 adalah Bandar Bukit Tinggi, Taman Sentosa, Jalan Dato’ Dagang dan pinggiran Andalas.

Katanya, beliau akan melawat semua kawasan itu bagi melihat sendiri aktiviti harian penduduk dan operasi perniagaan bermula hari ini selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai kawalan laluan keluar masuk daripada polis.

PKPB dilaksanakan di 36 kawasan di mukim Klang bermula hari ini hingga 23 Oktober sebagai langkah pencegahan wabak berkaitan di daerah Klang.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa wujud Pusat Pembangunan Komuniti

KLANG, 26 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa melakar kejayaan apabila mewujudkan Pusat Pembangunan Komuniti (PPK) yang dilengkapi akses internet bagi kemudahan pelajar.

Ahli Dewan Negerinya, G Gunarajah berkata ruang khas itu juga boleh dimanfaatkan persatuan penduduk atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan mesyuarat, seminar dan latihan secara percuma.

“Kita menyewa satu lagi bangunan baharu untuk membuka pusat ini. Komuniti setempat dan sukarelawan bersama-sama mengecat serta mencantikkan lagi tempat ini supaya sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Saya berterima kasih kepada Biro Pendidikan yang bertungkus lumus mewujudkan ini (PPK) dan percaya kerja keras bakal memberi manfaat kepada warga Sentosa,” katanya pada Pelancaran Cakna Siswa dan PPK hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Cakna Siswa pula memberi peluang kepada pelajar di kawasan itu mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Kita sentiasa prihatin dengan golongan siswa dan siswi, jadi ruang pelajaran disediakan kepada mereka dengan menggunakan segala fasiliti di sini (PPK) seperti komputer dan mesin pencetak,” katanya.

PPK beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula dari 10 pagi hingga 6 petang.

Categories
ADN SELANGOR

Usaha basmi denggi, kes di DUN Sentosa turun

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kes demam denggi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa turun dari 347 pada Januari kepada 86 pada Julai hasil pelbagai aktiviti diambil pejabat DUN berkenaan.

Ahli Dewan Negerinya berkata antara usaha termasuk gotong royong (cari dan musnah), penubuhan Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di lokaliti tertentu, ceramah dan latihan pencegahan.

“Tanpa menunggu pihak berwajib, persatuan penduduk juga menggunakan mesin pam racun untuk membunuh jentik-jentik dan membuat penyemburan berkala bagi mengawasi kawasan mereka dari wabak denggi.

“Saya berharap masyarakat sedar kes denggi juga adalah ancaman dan kita patut kekal menjaga persekitran rumah walaupun sibuk dengan aktiviti seharian,” kata Dr Gunaraj George dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan kes denggi bertambah disebabkan masyarakat mengabaikan aspek kebersihan terutama di kediaman strata dan kawasan industri.

“Oleh itu tindakan tegas diambil terhadap mereka yang masih berdegil, bermula Januari hingga Julai lalu, Pejabat Kesihatan Daerah dan Majlis Perbandaran Klang mengeluarkan 203 kompaun, 36 kes sudah didakwa manakala 68 lagi diberi notis kepada pemilik kediaman dan premis niaga.”

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa anjur program kesihatan payudara

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menganjurkan program Pemeriksaan Ujian Payudara (i-Breast Exam Screening) secara percuma Sabtu ini.

Ahli dewan negerinya, Dr G Gunaraj berkata program dengan kerjasama UE LifeSciences dan APBio itu terhad kepada 50 wanita berusia 21 tahun ke atas.

“Kita mengalu-alukan semua wanita di DUN Sentosa daftar dan sertai program bermanfaat ini. Taklimat kesedaran mengenai penjagaan dan kesihatan payudara turut diadakan sebelum mereka melakukan ujian saringan,” katanya kepada SelangorKini.

G Gunaraj berkata program tersebut diadakan dua sesi (9 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 1 tengah hari hingga 4 petang) demi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pandemik Covid-19.

Mereka yang berminat masih boleh mendaftar dengan hubungi 012-293 6667 atau mengisi maklumat diri secara dalam talian menerusi pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfTIuqTErLTbURVtWPO9wMe5A2nXTWczos8C2nmjBPyEf5OEw/closedform.

Categories
ADN SELANGOR

Program bimbingan ke IPTA DUN Sentosa berjaya tarik 30 pelajar

SHAH ALAM, 12 OGOS: Program Trek Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya menarik hampir 30 pelajar walaupun baru dilancarkan hujung Julai lalu.

Ahli Dewan Negeri berkata program itu membimbing pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan lepasan SPM tahun lalu mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Menjadi satu tanggungjawab kita bagi memastikan anak muda dibimbing agar mereka berada di trek yang betul supaya mendapat peluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sehingga kini, seramai sembilan pelajar lepasan SPM 2019 berjaya dibimbing,” kata Dr G Gunarajah dalam kenyataan.

Beliau menambah program yang dijalankan setiap Selasa, jam 7 petang di Pusat Khidmat Masyarakat Sentosa terus memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada pelajar.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar satu rumah satu tong sampah di DUN Sentosa

SHAH ALAM, 23 FEB: Setiap rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa perlu dibekalkan tong sampah bagi mengelakkan taburan sisa di jalan raya, kata ahli dewan negerinya (ADN).

Dr G Gunaraj berkata ketika ini penduduk terpaksa menggantung beg plastik sampah di hadapan pintu pagar yang akhirnya menyebabkan lambakan.

“Saya sudah bertemu dengan Majlis Perbandaran Klang supaya setiap rumah yang membayar cukai tahun ini dibekalkan tong sampah seperti dilaksanakan pihak berkuasa tempatan lain,” katanya ketika Majlis Minum Petang ADN Sentosa bersama media di Kafe The View i-City di sini, hari ini.

Sementara itu, Gunaraj berkata media cetak masih memainkan peranan penting dalam kalangan masyarakat walaupun media sosial semakin berkembang pesat.

“Media (cetak) inilah yang menyampaikan dasar kerajaan dengan lebih tepat dan pantas, malah fakta yang dibekalkan juga lebih dipercayai berbanding media sosial,” katanya.