Categories
AGENDA NASIONAL

Anak fobia jarum, ibu pujuk penting vaksin jika mahu ke sekolah, bercuti

SERDANG, 8 NOV : Seorang ibu tidak putus asa memujuk anaknya sejak beberapa hari lepas bagi mendapatkan suntikan pelalian Covid-19 menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja.

Foo Seng Siang

Ho Siak Boon, 36, berkata anaknya Foo Seng Siang, 12, fobia kepada jarum sejak kecil lagi dan sering berasa cemas setiap kali membawanya ke klinik bagi mendapat rawatan kesihatan.

“Sejak dahulu lagi dia memang takutkan jarum tetapi saya dan suami tidak putus asa untuk pujuk dia pentingnya vaksinasi bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Saya juga memberi kata-kata semangat kepada dia bahawa jika divaksin dia boleh pergi ke sekolah termasuk boleh pergi bercuti,” katanya ditemui dalam Progam Vaksinasi Komuniti dan Remaja DUN Seri Serdang di Stadium Tertutup MBSJ Serdang Jaya semalam.

Selain itu, Nur Alia Abdullah, 12, hadir bersama ibunya berasa amat teruja untuk menerima vaksin kerana tidak sabar mahu pulang ke kampung di Thailand.

Nur Alia Abdullah

“Ibu kata sekiranya saya sudah lengkap dos boleh balik Thailand dan saya harap selepas ini boleh ke sana berjumpa datuk dan nenek selepas hampir lima tahun tidak berjumpa,” katanya.

Manakala, Muhammad Azmirul Abdul Salam, 14, pula leka bermain permainan video di telefon bagi menghilangkan rasa berdebar mahu disuntik.

Muhammad Azmirul Abdul Salam

“Pada mulanya sangat berdebar tetapi selepas disuntik ia tidaklah sakit seperti yang disangka, saya harap selepas lengkap dos saya boleh keluar bersama rakan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga Shobri Abu Seman, 48, berkata dia lewat mengambil suntikan vaksin kerana kurang kesedaran selain sukar untuk menjalankan urusan perniagaan.

“Saya menyarankan mana-mana individu dewasa yang belum divaksin agar segera ambil suntikan ini bagi memudahkan kita dan orang lain di samping elak mendengar berita palsu.

“Terima kasih juga Kerajaan Selangor kerana menyediakan program seumpama ini yang mana memudahkan masyarakat setempat sekiranya ada lagi yang belum divaksin,” katanya.