Categories
ADN BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

DUN Sungai Tua agih bantuan kemasyarakatan RM16,000

GOMBAK, 12 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menyalurkan bantuan berjumlah RM16,000 bagi memenuhi keperluan penduduk di situ.

Wakil rakyatnya berkata bantuan memanfaatkan persaudaraan gereja daerah Gombak, kelab bola sepak Batu Caves FC, waris pesakit Covid-19, pesakit jantung dan radang paru-paru serta pelajar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari sumbangan turut membantu menggerakkan program berkhatan dan gotong-royong Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Nahkoda.

“Program agihan bantuan ini sememangnya menjadi rutin wajib saya yang diatur setiap bulan. Bantuan diserahkan selepas menerima permohonan penduduk sekitar,” katanya ditemui di pejabat pusat khidmat DUN terbabit di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Gereja Daerah Gombak Rev Henry Sandanam, 50, berkata dana berjumlah RM10,000 akan digunakan untuk agihan makanan asas kepada 200 penganut Kristian memerlukan sempena Krismas.

“Saya gembira kerana beliau (Amirudin) sering turun padang ke lapangan bagi membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Maah, setiap tahun bantuan sampai kepada kami (persaudaraan gereja).

“Dengan bantuan ini, kita akan tolong masyarakat Kristian yang terkesan dengan pandemik Covid-19 memandangkan Krismas bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Pengerusi Kelab Bola Sepak Batu Caves FC Selvaraj, 55, pula menghargai bantuan berjumlah RM1,500 bagi membeli mesin rumput di Padang Awam Batu Caves sempena pertandingan bola sepak warga emas pada 26 Disember ini.

“Kita akan beli mesin tersebut Isnin ini supaya padang tersebut boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak yang menyasarkan pemain berusia 50 hingga 60 tahun,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB santuni warga Sungai Tua, agih bantuan sekolah

GOMBAK, 4 DIS: Kesibukan tugas tidak menghalang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turun padang bertemu penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua hari ini.

Beliau yang juga wakil rakyat di situ memulakan jelajah dengan menyerahkan bantuan persekolahan kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves.

Dalam majlis itu, seramai 2,157 ahli yang lahir pada 2015 dan bakal memasuki darjah satu menerima beg, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, beg tuisyen, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Amirudin turut melancarkan Kelab Motosikal Helang selain meninjau aktiviti Team Selangor antaranya simulator motosikal, pameran agensi kerajaan, klinik asas bola sepak dan permainan dalam talian.

Beliau kemudian menghadiri mesyuarat agung tahunan kali keenam bersama penduduk Pangsapuri Lakeview, yang antara lain membincangkan penambahbaikan sejak Oktober tahun lalu.

Usai pertemuan itu, Amirudin menghadiri majlis jasamu dikenang anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Tua Baharu di Hotel RHR Selayang.

Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan sijil dan elaun mesyuarat kepada pengerusi MPKK Mejar Bersara Ramli Jamaludin, 78, yang akan bersara akhir bulan ini termasuk 13 ahli jawatankuasa.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih RM200,000 dibelanja, sedia pek makanan di DUN Sungai Tua

GOMBAK, 15 OGOS: Lebih RM200,000 dibelanjakan untuk menyediakan bakul makanan kepada keluarga terjejas akibat Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua setakat ini, sejak Januari.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi keperluan perubatan dan pendidikan seperti pemberian komputer riba.

“Lebih RM200,000 disediakan untuk bakul makanan sahaja. Macam hari ini kita dapat sumbangan daripada pihak lain yang kita tambah lagi bagi membantu lebih ramai penduduk,” kata Dato Seri’ Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan makanan kepada wakil penduduk sekitar Gombak.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata bantuan barang basah dan kering kepada 2,000 keluarga itu disumbangkan Tenaga Nasional Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Kelab Lions Selangor.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Kestabilan politik mudahkan usaha bantu rakyat

GOMBAK, 13 DIS: Kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri membolehkan usaha membantu golongan terjejas akibat Covid-19 berjalan lancar, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berbeza dengan negeri lain, keutuhan serta muafakat dalam kalangan pemimpin di Selangor amat baik serta memudahkan perancangan pasca Covid-19.

“Kita tidak mahu kerajaan yang tidak stabil, sebab itu kita kena pertahankan mandat yang ada serta kukuhkan muafakat.

“Kerajaan yang tidak stabil menyebabkan wujudnya perasaan curiga antara satu sama lain, apabila tidak puas hati mula tukar kerajaan dan kita tidak mahu keadaan ini berlaku di Selangor,” katanya berucap pada Siri Jelajah DUN Sungai Tua hari ini.

Beliau turut berkongsi kejayaan Selangor sebagai negeri paling awal mengumumkan bantuan kepada golongan sasaran menerusi pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin berjumlah RM127.8 juta pada 20 Mac.

Pada 1 April Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta diikuti pelan pemulihan ekonomi negeri jangka sederhana berjumlah RM260.14 juta pada 13 Julai yang memanfaatkan 3.5 juta rakyat di negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB sumbang RM100,000 untuk masyarakat DUN Sungai Tua

GOMBAK, 28 NOV: Sejumlah RM100,000 disalurkan kepada 600 individu, keluarga dan pertubuhan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, hari ini.

Dato’ Menteri Besar menyampaikan bantuan kepada pihak terpilih iaitu murid sekolah, penduduk dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua, Dataran Selayang.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan itu turut meluangkan masa kira-kira 20 minit bertanya khabar serta mendengar masalah penduduk setempat.

Beliau kemudian meninjau tapak pembinaan pusat rekreasi dan mercu tanda baharu Sungai Tua seluas 0.2 hektar di Jalan Sri Selayang.

Fasa 1 projek bernilai RM600,000 itu bakal siap hujung tahun ini manakala fasa 2 pada pertengahan 2021.

Projek tersebut menggunakan dana Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hasil kutipan caj pembangunan sekitar kawasan tersebut.

Categories
ADN SELANGOR

MB tinjau rumah runtuh, arah bantuan segera kepada mangsa

GOMBAK, 13 SEPT: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa melawat keluarga sebuah rumah yang runtuh di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan memastikan mangsa terdiri pasangan suami isteri serta dua anak menerima bantuan sewajarnya termasuk peruntukan baik pulih rumah.

“Saya melahirkan simpati kepada keluarga ini, ada mangsa mengalami kecederaan parah dan sama-sama kita berdoa semoga mereka diberi kekuatan dan cepat sembuh.

Keadaan rumah mangsa yang runtuh di Kampung Wira Damai Batu Caves, Gombak pada 13 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pejabat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua akan memantau perkembangan mangsa dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan mereka terjaga,” katanya selepas melawat keluarga mangsa.

Beliau berkata struktur rumah yang runtuh akan dikeluarkan esok bagi membolehkan kerja baik pulih dilakukan.

Rumah tersebut didiami pasangan suami isteri berumur 29 dan 27 tahun serta dua anak masing-masing berumur empat tahun dan dua bulan.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, struktur dinding dan bumbung menghempap seorang wanita dan anaknya berumur dua bulan sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Sedia pelan tangani bencana di Kampung Melayu Wira Damai

GOMBAK, 13 SEPT: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua akan menyediakan pelan menangani bencana di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves di sini, berikutan keadaan penempatan padat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penduduk di kawasan tersebut perlu diberi kesedaran serta panduan mengenai tindakan perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.

“Kawasan penempatan ini padat, sempit dan bilangan penghuninya ramai. Jadi saya telah minta pejabat DUN berbincang dengan bomba mengenai tindakan atau pelan keselamatan yang perlu dipatuh penduduk.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari

“Saya syorkan semua pihak terbabit berbincang mengenai pelan keselamatan bagi memudahkan urusan pasukan penyelamat jika berlaku kebakaran atau bencana lain,” kata Dato’ Menteri Besar.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa sebuah rumah yang runtuh di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves di sini hari ini.

Amirudin berkata beberapa alat pemadam api perlu diletakkan di kawasan strategik kampung tersebut dan penduduk perlu dilatih menggunakan peralatan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nilai sumbangan DUN Sungai Tua cecah RM220,580 – MB

SHAH ALAM, 11 MEI: Jumlah terkumpul sumbangan yang diagihkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencecah RM220,580.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan disalurkan meliputi barangan keperluan asas termasuk makanan, pelitup muka serta pencuci tangan kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, pusat khidmat DUN berkenaan turut menyediakan sumbangan juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan pada setiap hari sepanjang Ramadan.

“Tahun-tahun sebelum ini, rezeki saya dapat selalu berbuka dengan komuniti di kawasan saya, namun disebabkan ancaman wabak Covid-19 saya gantikan dengan sumbangan makanan untuk masyarakat di sini sambil mendengar perkembangan kehidupan mereka dalam suasana ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, Amirudin berkata Sungai Tua sentiasa dekat di hatinya dan berharap semua masyarakat dapat mengharungi ibadah puasa dengan penuh kesabaran dan keredaan.

Pada 8 Mei lalu, beliau juga sempat melawat dan menyerahkan barangan keperluan asas kepada penduduk di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Selayang bagi meringankan beban kewangan selain mengurangkan pergerakan ke kedai runcit semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

Categories
ADN SELANGOR

200 penduduk Sungai Tua terima bantuan Krismas dan sekolah

BATU CAVES, 21 DIS: Seramai 200 orang dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima sumbangan Krimas dan Kembali ke Sekolah (Back To School) bagi Zon 7 di sini hari ini.

Setiausaha Politik DUN Sungai Tua, A. Rahim Kasdi berkata sumbangan itu berupa beg sekolah, alat tulis, baucar RM100 dan barang keperluan harian.

“Bantuan ini salah satu contoh kita meraikan pelbagai kaum di Malaysia khususnya DUN Sungai Tua untuk dimanfaatkan oleh golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Baucar Krismas dan Kembali Ke Sekolah di Pangsapuri Laksamana Jaya A, di sini.

Daripada jumlah itu, 100 orang menerima baucar Jom Shopping, 60 orang menerima bantuan Kembali Ke Sekolah dan 40 lagi menerima hamper barangan keperluan harian.

Categories
ADN SELANGOR

2,000 penduduk Sungai Tua meriahkan Hari Kemerdekaan

BATU CAVES, 31 OGOS: Lebih 2,000 penduduk pelbagai bangsa termasuk Melayu, Cina dan India berhimpun bagi menghangatkan program sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, hari ini.

Orang ramai dilihat berhimpun seawal jam 8 pagi untuk melihat perbarisan disertai enam kontinjen dengan kekuatan 300 anggota termasuk dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Sekolah Menengah (SM) Seri Selayang, SM Taman Selayang, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kheow Bin Batu Caves, SJK Tamil Batu Caves dan Azmida College.

Amirudin Shari bersama Konvoi Perarakan Jalur Gemilang di Program Sambutan Hari Kemerdekaan DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Program dimeriahkan dengan perarakan konvoi Jalur Gemilang bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua dengan bermotosikal dan juga kenderaan pacuan empat roda.

Tambah menarik apabila program diadakan di Padang Awam Batu Caves di sini itu diserikan dengan persembahan pentomen oleh pelajar Azmida College.

Categories
SELANGOR

Lebih 1,000 penduduk DUN Sungai Tua terima bantuan Aidilfitri

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 25 MEI: Lebih 1,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima pelbagai bantuan sempena kedatangan Aidilfitri kali ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan itu turut membabitkan 600 peserta Jom Shopping.

“Seramai 600 orang terbabit dalam Jom Shopping yang membabitkan 300 peserta semalam dan selebihnya hari ini.

“Saya harap bantuan ini dapat meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri nanti,” katanya yang ditemui pada Program Jom Shopping Sempena Aidilfitri Peringkat DUN Sungai Tua di Pasaraya Giant Batu Caves, di sini hari ini.

Amirudin berkata, selain Jom Shopping, pihaknya turut mengagihkan bantuan zakat dan daging lembu yang menjadi tradisi sejak 2008.

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

32 pasukan sertai Futsal Piala Belia DUN Sungai Tua

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 17 SEPT: Seramai 32 pasukan beraksi pada Kejohanan Futsal Piala Belia DUN Sungai Tua bawah 17 tahun, di Gelanggang Futsal Sungai Kertas, di sini, semalam.

Kejohanan sempena meraikan sambutan Hari Malaysia itu dianjurkan Pertubuhan Belia K’tas dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kertas.

Program berlangsung selama sehari mulai jam 9 pagi dan hingga 10 malam.

Pegawai Penyelaras dan Koordinasi kepada Dato’ Menteri Besar, Muadzam Mohamed Shariff berkata, program terbabit diadakan khusus kepada golongan belia sebagai usaha memperhebatkan aktiviti komuniti yang bermanfaat terhadap kelompok berkenaan.

“Program ini sememangnya memberikan peluang dan ruang untuk golongan belia berkumpul beramai-ramai, sekali gus membina semangat muafakat antara mereka.

“Pada masa sama, ia mampu mendidik dan menanam semangat cintakan negara sempena Hari Malaysia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, pasukan KPKC FT mencatat kemenangan selepas menumpaskan Permai FT C pada perlawanan peringkat akhir dengan keputusan 4-2.

Kemenangan itu membolehkan KPKC FT membawa pulang piala pusingan, medal dan wang tunai RM500.

Manakala Naib Juara menerima hadiah wang tunai RM300 berserta medal.

Hadiah disampaikan beliau sendiri yang juga merangkap Mantan Pengerusi Induk Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun berkenaan, Jamil Azaman.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut hadir merasmikan pembukaan kejohanan dan meluangkan kira-kira sejam bertemu setiap pasukan bertanding.