Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat Seri Setia tekad atasi isu miskin bandar

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berusaha mengatasi masalah kemiskinan bandar di beberapa kawasan di Petaling Jaya.

Justeru, beliau menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan mereka terutama di Desa Ria, Desa Mentari Kampung Lindungan, Lembah Subang dan Ladang Glenmarie.

Beliau berkata golongan berpendapatan bawah RM2,000 terpaksa membuat kerja sampingan termasuk berniaga dalam talian, berjualan tepi jalan dan mengambil upah menjaga anak-anak jiran.

“Jadi saya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berikhtiar mencari jalan untuk mendapat lesen niaga, kursus perniagaan dan pinjaman melalui skim mikrokredit Hijrah Selangor dan Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan,” katanya kepada SelangorKini.

Sebenarnya, kerja menyalur bantuan kepada penduduk miskin bandar dipikulnya sejak menjadi ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) lagi. Kedudukannya sebagai wakil rakyat melicinkan lagi usaha itu.

Halimey percaya masalah pembangunan tidak seimbang antara punca khususnya di Kelana Jaya dan Ara Damansara. Sebab itu, katanya, di celah-celah kawasan gah terselit perumahan kos rendah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang serba-serbi terpinggir.

Selain itu, beliau menubuhkan perpustakaan komuniti dan medan selera di Kampung Lindungan untuk kemudahan penduduk.

Beliau juga tidak lupa isu kekurangan tapak letak kenderaan di beberapa perumahan yang menjadi punca orang ramai disaman polis dan MBPJ.

“Saya sudah merayu MBPJ dan polis supaya jangan kerap saman mereka yang mendiami kawasan padat seperti Desa Mentari. Tambahan pula tempat letak kereta mereka tidak tersusun.

“Pada masa sama, saya juga berharap penduduk memainkan peranan dengan tidak meletakkan kenderaan sesuka hati atau menggunakan petak persendirian milik orang lain,” katanya.

Halimey turut menyeru PBT supaya mengatasi masalah kerosakan kelengkapan prasarana termasuk jalan berlubang dan lampu jalan.

Tunai janji

Beliau juga memuji agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang cekap menangani masalah pembuangan sampah haram di lereng sungai Taman TTDI Jaya dan Taman Mesra.

Halimey Abu Bakar menyantuni penduduk di sekitar DUN Seri Setia baru-baru ini. Foto Facebook Halimey Abu Bakar

“Cuma saya harap tindakan perlu dikenakan kepada pemaju yang membiarkan tanah-tanah tidak dibangunkan hingga menyebabkan ia tidak terurus dan kotor,” katanya.

Halimey turut menunaikan kebanyakan janji manifesto pilihan raya kecil pada 8 September 2018 antaranya projek menaik taraf tadika dan pusat prasekolah yang berusia lebih 15 tahun di Seri Setia.

Beliau juga memandang tinggi usaha Dato’Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu menjadikan Selangor negeri maju. Beliau berharap penduduk Seri Setia mengambil kesempatan itu supaya tidak ketinggalan.

“Kita tahu teknologi maklumat bidang yang paling berkesan terutama untuk anak-anak muda atau remaja, jadi untuk menjadi negeri maju, perkara ini mesti ditekankan Kerajaan Negeri,” katanya.

 
Bantuan lain:

– Membaik pulih tangki air lama di Lembah Subang
– Membina gerai dan kios di Petaling Jaya Selatan
– Membantu usahawan kecil mendapatkan dana usahawan mikro
– Sumbangan kit pengurusan jenazah ke semua surau

 

Categories
SELANGOR

Pakatan Harapan sapu bersih DUN di bawah Parlimen Kota Raja

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kota Raja (P.111) secara rasmi dimiliki Pakatan Harapan (PAKATAN).

Bagi DUN Sentosa (N48) dimenangi Dr G Gunaraj dengan jumlah undi sebanyak 38,106.

Jumlah itu menyaksikan beliau memenangi kerusi itu pada majoriti 33,600 undi.

Manakala, DUN Sungai Kandis (N49) pula milik Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei.

Shuhaimi memenangi kerusi itu dengan majoriti 12,490 undi daripada jumlah undian 23,998.

Selain itu, bagi kerusi DUN Kota Kemuning (N50) pula dimenangi V Ganabatirau dengan jumlah 38,106 undi dengan majoriti 21,639 undi.

DUN 48 Sentosa (dulu Kota Alam Shah) pernah dimenangi M Manoharan daripada DAP dengan undian sebanyak 12,699 pada PRU12 dan V Gabatirau (DAP) sebanyak 18,971 undian, pada PRU13.

Pada PRU13, jumlah pengundi di DUN itu sebanyak 29,507.

DUN Kota Kemuning yang dulunya Sri Muda, dimenangi oleh Shuhaimi Shafiei dari KEADILAN pada PRU12 dan 13 dengan masing-masing 15,962 serta 27, 488 undi.

Pada PRU13, jumlah pengundi di DUN itu sebanyak 49,146 undi.

DUN 49 Sungai Kandis (dulunya Sri Andalas) dimenangi oleh Xavier Jayakumar dengan undian sebanyak 20,258 (PRU12) dan 31,491 (PRU13).

Pada PRU13, jumlah pengundi di DUN itu sebanyak 56,763.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB dan Ahli MMKN kembalikan kenderaan rasmi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Azmin Ali, bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri secara rasmi memulangkan kenderaan rasmi kerajaan selepas Dewan Negeri Selangor (DNS) dibubarkan secara rasmi, berkuatkuasa hari ini.

Majlis penyerahan kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, berlangsung, di Dataran SUK.

Mohamed Azmin dalam sidang media sebelum itu memaklumkan, pihaknya akan berfungsi sebagai Kerajaan Sementara (caretaker government) dan akan mematuhi peruntukan serta garis panduan dibenarkan dalam tempoh itu sehingga kerajaan baru dibentuk.

“Kami sudah membuat keputusan tiada lagi sebarang mesyuarat Exco, tiada keputusan akan dibuat sehingga kerajaan baru ditubuhkan dan tiada kelulusan untuk sebarang projek.

“Semua ini terkandung dalam garis panduan pekeliling yang sudah ditetapkan Setiausaha Kerajaan Negeri. Kita akan mematuhinya selaras dengan peruntukan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, Speaker DNS, Hannah Yeoh, menerusi Setiausaha DNS akan menghantar notis pemakluman pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Katanya, tempoh mandat Kerajaan Negeri akan berakhir, pada Jun ini.

Pada sebelah pagi, Mohamed Azmin mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Alam Shah, Klang bagi memohon perkenan supaya Dewan Negeri Selangor ke-13 dibubarkan, berkuatkuasa hari ini.

Sultan Sharafuddin memberikan perkenan dengan menandatangani Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor ke-13 seperti diperuntukkan dalam Fasal (2) Perkara LXX (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Categories
SELANGOR

Tiada cadangan Selangor bubar awal DUN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI BULOH, 25 MAC : Kerajaan Selangor tidak bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal sebelum pembubaran di peringkat Parlimen diputuskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada keperluan keputusan itu dibuat di peringkat pentadbiran Selangor sehingga kini.

“Sudah pasti tiada pembubaran untuk tempoh terdekat. Sebaliknya tumpuan DUN Selangor terarah kepada bantahan proses persempadanan semula.

“Umum sedia maklum di peringkat Kerajaan Negeri, tindakan persempadanan itu dibuat tanpa mengikut lunas undang-undang.

“Justeru, kita akan terus membuat bantahan dan lanjutan perkara ini akan dibawa ke Mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyerahkan bantuan kewangan kepada pesara tentera di Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, hari ini.

Persidangan DUN Selangor bermula selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Isnin ini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Azmin: Agihan kerusi DUN Selangor capai muafakat positif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 27 FEB: Isu pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor bagi Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), mencapai keputusan positif hasil permuafakatan komponen PAKATAN di negeri itu.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAKATAN kekal fokus menekankan prinsip persefahaman bagi menjamin kemenangan komponen itu.

“Saya harap rundingan diselesaikan secepat mungkin kerana dalam mana-mana proses rundingan, kita perlu melihat keperluan akar umbi dan rakyat di kawasan berkenaan.

“Ini proses demokrasi kerana saya mengambil pendirian bahawa proses pertalian dengan pengundi di bawah itu penting kerana akhirnya kita mahukan kemenangan itu.

“Bila bicara soal pengagihan kerusi, ia bukan soal ‘siapa dapat apa’ tetapi faktor kemenangan itu kerana mana-mana komponen Pakatan yang boleh menjana kemenangan, kita harus beri laluan.

“Inilah persefahaman yang telah diikat dalam negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan operasi Loji Rawatan Air Semenyih 2, pagi ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin mendedahkan empat mesyuarat sudah diadakan bagi menentukan 80 peratus pembahagian 56 kerusi DUN di Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pembahagian kerusi DUN Selangor proses biasa

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 15 FEB: Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor adalah proses biasa dalam mana-mana parti komponen, termasuk Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Naib Pengerusi DAP Selangor, Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata, ia bukan masalah besar yang perlu diperbesarkan semua pihak memandangkan Parlimen masih belum dibubarkan sehingga hari ink.

“Ini adalah proses biasa yang mana Barisan Nasional (BN) juga belum selesai membuat pembahagian kerusi, justeru selagi pembubaran belum berlaku, saya rasa tidak perlu terburu-buru kerana kerusi tak lari pun, orang sahaja yang lari nanti.

“Jadi, tidak perlu risau sangat kerana di Selangor, banyak kerusi ada permintaan. Saya difahamkan perbincangan lebih tertumpu kepada kerusi yang belum dimenangi PAKATAN,” katanya pada sidang media Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina di pejabatnya, semalam.

Sementara itu, Chang Khim menasihatkan Parti Pribumi Bersatu Selangor (PPBM) supaya mengamalkan prinsip bertolak-ansur berhubung isu pembahagian kerusi.

“Biasalah orang baru memang macam itu, sentiasa mahu tunjuk taring, namun saya yakin ia hanya permulaan bagi parti itu.

“Tiba masanya nanti, mereka akan terima keputusan pucuk pimpinan yang akan mengambil kira kepentingan semua parti komponen lain dalam pembahagian kerusi,” katanya.

Terdahulu, PPBM bertegas untuk bertanding di 12 kerusi DUN yang dimenangi Umno, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu walaupun ia mendapat bantahan daripada KEADILAN.

Categories
SELANGOR

Pastikan pemaju patuh syarat pembangunan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 29 MAC: Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memastikan pemaju mematuhi segala syarat Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) diluluskan bagi mengelak tindakan perundangan dibuat ke atas pihak berkenaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, sehubungan itu sebarang pembangunan pemajuan perlu memperoleh kelulusan kebenaran merancang daripada PBT yang dinilai jabatan teknikal di peringkat kerajaan tempatan itu.

“Penguatkuasaan berasaskan perundangan sering dilakukan PBT mahupun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat projek tidak berlesen dibuat di tapak tanah pertanian berukuran kurang daripada satu ekar setiap satu yang mana ianya sukar dipantau kerana sering urusan tukar syarat tanah tidak dilaksanakan.

“Kesedaran pembeli juga perlu memandangkan mereka perlu memastikan pemaju berlesen dengan kementerian melalui penetapan syarat ditetapkan.

“Tindakan perundangan terhadap pemaju berlesen boleh dilaksanakan mengikut peruntukan terdapat di dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) sekiranya mereka dengan sengaja atau tidak, melanggar syarat diluluskan,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM29.02 juta disalur kepada tiga jenis sekolah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Selangor sudah menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah RM29.02 juta kepada tiga jenis sekolah pada 2014 hingga 2016.

Mengikut pecahan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina menerima RM17.02 juta manakala Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima RM12 juta.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebanyak 241 permohonan bantuan persekolahan ditolak pada 2016.

“Kita meminta setiap sekolah mengisi borang dan kita menilai rekod penerimaan sebelum itu.

“Jika sekolah telah menerima bantuan pada tahun lepas, mereka bukan berada dalam senarai keutamaan untuk menerima bantuan pada tahun ini sekiranya kita tidak mempunyai peruntukan yang cukup.

“Kita juga melihat kepada jumlah pelajar serta keperluan apa yang mereka minta. Sekiranya ia keperluan mendesak kita akan berikan keperluan sekolah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan ADN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.

Menurutnya, program bantuan sekolah dibawah Kerajaan Negeri diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), SRJKC, SRJKT, Sekolah Persendirian Cina.

Dua lagi jenis sekolah juga ditambah pada tahun ini iaitu Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.
=EZY=

Categories
SELANGOR

Isu Yawas: Umno-BN tandus isu, guna Jamal buruk wakil rakyat PAKATAN

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MAC: Umno-Barisan Nasional (BN) terdesak apabilamenggunakan Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi menyerang Kerajaan Negeri dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan dakwaan penyelewengan dalam program Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata tindakan Ketua Bahagian Sungai Besar itu dilihat lebih bermotif politik dan publisiti murahan ekoran Umno-BN sudah ketandusan isu untuk diketengahkan bagi menawan kembali Selangor.

“Perkara ini diuar-uarkan sejak seminggu lalu dan tindakan terdesak Jamal untuk menyerang Kerajaan Negeri dan wakil rakyat PAKATAN khususnya DAP termasuk bukan kali pertama laporan polis dibuat beliau.

“Ia secara bersiri bermula dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diikuti ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan kini saya membicarakan isu sama iaitu Yawas yang kononnya saya menyeleweng peruntukan Yawas. Biar polis siasat,” katanya kepada media di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan polis dibuat Jamal terhadap dirinya dengan dakwaan menyalahgunakan peruntukan Yawas sejak 2008.

Katanya, tindakan Jamal ke atas dirinya juga dilihat serangan peribadi dan fitnah ekoran terdapat laporan mengatakan beliau mungkin bertanding di DUN Sekinchan tambahan pendedahan dibuatnya mengenai lebih 1,200 pengundi hantu dipindah Jamal ke DUN berkenaan tempoh hari.

“Saya memang tidak pernah curi duit rakyat dan perkara ini tidak pernah berlaku kerana jika pada 2008 saya curi pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang di bawah kuasa Umno-BN awal-awal sudah menahan saya.

“Kita akan kaji (tindakan saman) tetapi saya tidak mahu isu berpanjangan dengan orang tidak bertamadun yang pakai tuala di tengah hari, orang seperti ini saya tidak mahu layan kerana saman ini memerlukan proses panjang, jika dilayan saya pun jatuh standard,” katanya berhubung kesediaan Jamal untuk disaman.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Majlis pecah tanah BN cuma tinggal cangkul, papan tanda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Jambatan ketiga Sungai Klang adalah salah satu lambang kepada amalan tidak bertanggungjawab Umno-Barisan Nasional (BN) dengan menaburkan pelbagai janji yang akhirnya tidak ditepati.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, bagaimanapun janji membina jambatan ketiga Sungai Klang yang dibuat Umno-BN itu akhirnya dilaksanakan Kerajaan Pakatan Selangor.

“Janji kerajaan BN pada 2008 nak bina Jambatan Ketiga Klang tetapi selepas pilihan raya 8 Mac 2008 tsunami politik mereka kalah walaupun mereka dah buat pecah tanah.

“Pada waktu itu mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo bersama Datuk Seri Samy Velu, pemimpin MCA dan seluruh kuncu-kuncunya buat pecah tanah tetapi jambatan tidak muncul yang tinggal hanyalah cangkul-cangkulnya dan papan tandanya.

“Namun Kerajaan Negeri laksanakan projek ini dengan peruntukan lebih RM200 juta di kawasan Sungai Pinang. Janji kita buat jambatan ketiga ditepati dan cangkul yang dicampak BN kita kutip dan kita bina,” kata Suee Lim.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menyembah ucapan terima kasih di atas titah ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Suee Lim turut menggesa Kerajaan Negeri supaya menjemput ADN pembangkang pada majlis perasmian Jambatan Ketiga Sungai Klang yang dijangka pada April atau Mei ini.

‘Jemputlah Sungai Burong dan kuncu-kuncunya datang supaya turut serta dan dia boleh tengok cangkul yang dia campakkan dahulu, selepas itu kita boleh simpan dalam muzium,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jejantas New Express Way manfaat penduduk DUN Taman Medan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Pembangunan jejantas kedua New Express Way menghubungkan kawasan Petaling Jaya Selatan 1 (PJS 1) dan Seksyen 1 bakal memberi manfaat kepada penduduk Dun Taman Medan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu, Haniza Talha berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan lanjutan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi tujuan pembinaan jejantas baru itu.

“Kita sudah membuat perbincangan bersama Exco Infrastruktur untuk membina jejantas ini dan dimaklumkan MBPJ melalui Dato’ Bandar berkemampuan untuk menyediakan fasiliti ini.

HANIZA“Untuk tempoh ini, kita dimaklumkan permohonan sudah diterima dan perbincangan masih dibuat sebelum sebarang proses pembangunan dilaksanakan demi kepentingan penduduk.

“DUN Taman Medan berharap permohonan ini akan mendapat maklum balas positif memandangkan kebanyakan penduduk daripada masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Terdahulu, Haniza berkata, kebanyakan pengguna jejantas sedia ada adalah penunggang motosikal dan tidak lagi dapat menampung kepadatan pada waktu puncak.

Beliau berkata, laluan tersebut digunakan sebagai laluan alternatif penduduk untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan utama perbandaran Petaling Jaya.

“Pembangunan jejantas kedua ini bukan sahaja menjimatkan masa pengguna jalan raya, ia juga diiyakini mampu memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk DUN Taman Medan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tambahan elaun guru KAFA 1 Januari

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kenaikan elaun guru KAFA yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam Belanjawan Selangor 2016 Selangor akan berkuatkuasa 1 Januari 2016.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kenaikan itu berdasarkan kepada tahun perkhidmatan guru berkenaan yang membabitkan tiga sumber.

jais kafaBeliau turut menafikan Kerajaan Negeri tidak menghargai peruntukan RM30.4 juta yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Hanya kira-kira 2,500 guru KAFA yang dibiayai JAKIM dari 6,900 jumlah keseluruhan mereka. Selebihnya, sebahagian besar pembiayaan datang daripada Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM59.6 juta.

“Guru yang menerima elaun RM800 akan dibantu Kerajaan Negeri dengan tambahan RM700 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,500.

“Selebihnya, ditanggung 100 peratus Kerajaan Negeri dengan elaun RM1,500,” katanya yang menjawab soalan dikemukakan Kamarol Zaki (BN-Sungai Air Tawar).

-NFN-