Categories
AGENDA NASIONAL

Durian ‘Mustaqim’ karya santai, tegur sikap penjual

DUNGUN, 28 JULALI: Durian Mustaqim bukanlah varieti baharu raja buah di negara ini, namun ia tular dan menjadi sebutan ramai susulan kreativiti seorang penggiat YouTube atau YouTuber iaitu Muhamad Sukri Sulaiman.

Anak muda berusia 26 tahun dari Kampung Sura Tengah, Dungun itu adalah pencetus kepada fenomena ‘durian Mustaqim’ melalui beberapa siri video yang dimuat naik ke media sosial seperti YouTube, Facebook, Tik Tok dan Instagram.

Muhamad Sukri berkata lakonan dalam video itu adalah karya santainya yang memaparkan realiti semasa mengenai durian termasuk harga tinggi yang menjadi keluhan pembeli, susah payah penanam durian dan manipulasi harga yang dilakukan oleh orang tengah dalam urusan jual beli.

“Saya pilih nama durian Mustaqim kerana sebutannya yang begitu hampir dengan Musang King. Ia sangat ‘catchy’ dan sesuai untuk jadi jenama dari sudut pemasaran video tersebut.

“Namun, harga durian Mustaqim iaitu RM800 untuk satu kilogram itu sekadar gurauan, tak sangka pula ia terus tular dan menjadi ‘penanda aras’ untuk netizen buat perbandingan harga durian di pasaran Malaysia ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pemilik Sukri Sulaiman Production itu bukanlah nama baharu di Terengganu kerana beliau telah terlibat dengan penghasilan pelbagai jenis video kreatif sejak 2016 dan banyak memenangi pertandingan yang disertai sepanjang tempoh itu.

“Pada mulanya, saya hanya gunakan telefon pintar sahaja untuk menghasilkan video nak bantu usahawan di sekitar Terengganu promosikan produk dan perkhidmatan mereka tanpa sebarang caj.

“Lama-kelamaan, permintaan semakin tinggi dan saya pun ada ikuti kursus daripada beberapa penggiat YouTube terkenal bagaimanakah caranya untuk menjana wang daripada video yang dihasilkan agar mampu menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama,” katanya yang kini turut menganjurkan kelas untuk mereka yang berminat menjadi seorang YouTuber.

Ditanya cabaran dalam menghasilkan video durian Mustaqim yang bermula pada Mei tahun lepas, Muhamad Sukri berkata beliau terpaksa menjalankan penggambaran untuk 10 siri video tersebut (tiga siri pada 2020 dan tujuh siri pada tahun ini) di sekitar rumahnya sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Pelakon pun kawan-kawan rapat dan jiran terdekat. Kami gunakan ‘props’ sekadar yang ada, bina sendiri pondok durian di belakang rumah…cipta suasana yang sesuai dijadikan lokasi kebun durian.

“Dialog juga santai dalam dialek Terengganu, meskipun agak ‘kasar’ namun itulah realitinya perbualan rakyat di negeri ini dan kami sediakan sari kata untuk memudahkan penonton faham jalan cerita video tersebut,” katanya.

Ditanya impak positif video durian Mustaqim itu, beliau berkata ramai pembeli dan penjual durian memahami pengajaran yang hendak disampaikan iaitu tidak menipu dalam urusan jual beli, menghargai kesusahan pekebun durian dan memahami konsep permintaan dan penawaran untuk durian berkualiti tinggi.

“Durian Mustaqim bukan sekadar lakonan, saya mahu berdakwah melalui video itu agar semua pihak mengamalkan konsep patuh syariah dalam kehidupan terutama dalam perniagaan.

“Begitu juga dengan ratusan video lain yang telah dihasilkan, niat saya agar penonton dapat mencari nilai-nilai murni kemanusiaan. Itu juga yang saya pesan kepada lebih 200 peserta kursus yang saya kendalikan agar mereka pastikan pelakon beragama Islam tutup aurat dan tonjolkan kebaikan agar semua yang menonton dapat sesuatu yang positif dalam video yang dihasilkan,” katanya.

Selain durian Mustaqim, video hasil kru produksinya yang pernah mendapat tontonan tertinggi ialah ‘Suamiku Rock’ iaitu sebanyak 6.3 juta tontonan di Facebook.

Harapannya agar lebih ramai anak muda menggunakan bakat dan kreativiti yang ada di platform yang tepat kerana media sosial menawarkan potensi besar untuk menjana pendapatan lumayan pada masa ini dan akan datang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Shopee, Fama jalin kerjasama elak kes penipuan durian

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Inisiatif penjual durian memilih memasarkan jualan mereka secara dalam talian kerana jangkaan kemuncak musim pada pertengahan bulan Julai, menyebabkan kes penipuan atau scam melibatkan raja buah itu muncul.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang membeli dari Shopee tidak perlu bimbang kerana platform e-dagang akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memperkasakan pekebun dan penjual durian yang sah melalui kempen e-Fiesta Durian.

Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata kerjasama itu telah mendigitalkan 211 penjual durian dan telah membantu dalam persediaan mereka menjelang kempen e-Fiesta Durian.

“Kami difahamkan terdapat banyak penipuan berkaitan durian di media sosial dan kami di sini untuk memberi jaminan kepada pengguna supaya tidak takut kerana semua transaksi di Shopee dilindungi oleh polisi Jaminan Shopee kami,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menambah, polisi itu akan memastikan Shopee menahan bayaran secara escrow sehingga pembeli mengesahkan bahawa barangan yang diterima adalah tulen dan dalam keadaan baik sebelum wang itu dikeluarkan kepada penjual.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata dalam proses mereka untuk menormalkan penjualan dan pembelian produk pertanian secara dalam talian akibat pandemik ketika ini, ia telah bekerjasama dengan Shopee untuk meneruskan e-Fiesta Durian mereka untuk tahun kedua.

“Berdasarkan rekod kempen bersama kami sebelum ini, kerjasama antara FAMA dan Shopee mencatatkan pulangan pelaburan sehingga lapan kali ganda yang secara langsung memberi manfaat kepada pekebun dan penjual durian,” katanya.

Kempen e-Fiesta Durian akan berlangsung dari 10 hingga 31 Julai dengan baucar diskaun menarik sehingga 50 peratus, diskaun RM15 dengan perbelanjaan minimum RM60 dan potongan RM30 dengan perbelanjaan minimum RM100 yang boleh dituntut melalui mikrosit eFAMAPLACE.

Layari mikrosit eFAMAPLACE melalui portal dalam aplikasi Shop Malaysia di Shopee atau lawati – https://shopee.com.my/m/efama

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Resepi warga maya bantu peniaga ketengah aiskrim durian D24

KUANTAN, 20 FEB: Perkongsian resipi makanan di media sosial oleh warga maya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ternyata memberi manfaat kepada peniaga Norhabibah Herman, 30, apabila ‘menemukannya’ dengan menu aiskrim durian buatan sendiri yang kini menjadi pendapatan sampingannya.

Ibu kepada seorang anak perempuan itu berkata beliau pada mulanya hanya sekadar ‘suka-suka’ mencuba resipi itu, sebelum ahli keluarga dan rakan-rakannya memujuknya supaya menjual pemanis mulut berkenaan pada Disember lepas.

“Saya cuba untuk buat aiskrim durian selepas melihat resipi di Facebook dan sama sekali tidak berhasrat untuk menjadikannya sebagai produk jualan memandangkan fokus kini untuk menjual durian crepe yang dihasilkan 200 pek setiap hari sejak 2015.

“Selepas mendapat keyakinan dan mengolah sedikit resipi tersebut mengikut cita rasa sendiri baru saya mengambil tempahan daripada orang ramai, malah apa yang membuatkan saya berani mengetengahkan aiskrim ini kerana raja buah mempunyai peminatnya tersendiri yang pasti menggemari apa sahaja produk berasaskan durian,” katanya kepada Bernama.

Selain ramuan lain, anak jati Kuantan itu berkata antara bahan digunakan bagi menghasilkan aiskrim mengikut resipi istimewanya itu ialah isi durian jenis D24 dan susu yang diadun sebelum dibekukan.

“Selain mudah dapat, durian jenis D24 mempunyai rasa yang lemak dan baik untuk hasilkan produk. Saya memperoleh stok isi durian ini sama ada daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sendiri atau pembekal lain di seluruh Malaysia.

“Sehari saya mampu hasilkan 70 hingga 80 bekas aiskrim bergantung kepada tempahan pelanggan dan dijual dengan harga RM6 sebekas,” katanya yang menjalankan perniagaan berkenaan bersama suaminya Mohd Syukri Sulaiman, 32.

Menurutnya, penghasilan aiskrim durian itu tidak mengambil masa yang lama iaitu sekitar 20 minit, bagaimanapun proses membekukannya memerlukan sekurang-kurangnya enam jam, namun bagi hasil terbaik perlu dibekukan dalam tempoh sehari.

Norhabibah berkata beliau sama sekali tidak pernah terlintas produk yang diketengahkan dengan jenama Eskrem Durian D24 by Ebah Herman itu akan mendapat permintaan ramai termasuk FAMA yang turut memasarkannya di House of Durian FAMA di Jerantut, dekat sini.

“Rata-rata pelanggan memang suka dengan resipi aiskrim durian ini kerana rasanya yang lemak, mereka kata seolah-olah makan seulas durian segar,” katanya.

Buat masa ini, beliau hanya mempromosikan aiskrim buatannya melalui laman Facebook dan Instagram malah berhasrat mengetengahkan produk berkenaan luar dari Kuantan dengan melantik ejen jualan di sekitar Pahang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengeluaran durian negara cecah 443,000 tan metrik menjelang 2030

RAUB, 13 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menjangkakan pengeluaran durian negara meningkat kepada 443,000 tan menjelang 2030 berbanding 384,170 tan pada 2019.

Setiausaha Bahagian Pemasaran dan Eksport Mafi Khalid Ibrahim berkata unjuran itu berdasarkan saiz kawasan tanaman durian negara seluas 72,536 hektar pada 2019.

Katanya Pahang, Johor dan Sarawak merupakan tiga negeri penyumbang utama kepada pengeluaran durian negara dengan Pahang mengeluarkan sebanyak 89,916 tan, Johor (87,838 tan) dan Sarawak (34,650 tan).

“Raub, Pahang adalah pusat pengeluaran utama durian bagi varieti Musang King. Daerah ini mempunyai kawasan penanaman durian berkeluasan 11,201.2 hektar dan pengeluaran sebanyak 70,650 tan metrik bernilai RM1.3 bilion.

“Musang King, D24, Duri IOI dan durian kampung merupakan varieti popular yang ditanam di sini,” katanya pada Program Durio Tour @Raub 2020 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Mengenai eksport durian, beliau berkata lima destinasi eksport utama negara ialah Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, China serta Vietnam, dan pada 2018, Malaysia mengeksport sejumlah 23,381 tan raja buah itu dengan nilai RM118.2 juta.

Mengenai program pelancongan durian atau Durio Tourism, Khalid optimis negara mampu merancakkan usaha itu selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Menurutnya kaedah baharu digunakan bagi mempromosi Durio Tourism termasuk menggunakan pempengaruh media sosial yang mempunyai ratusan ribu pengikut.

“Pada Program Durio Tour @Raub 2020, Mafi berkesempatan membawa enam pelajar antarabangsa dari China dan lima pempengaruh serta dua wakil Kedutaan China untuk merasai pengalaman mengenali durian dan kawasan penanaman durian,” katanya yang yakin usaha itu akan dapat mempromosikan Durio Tourism negara kepada pelawat China.

Sementara itu, Pengarah Kanan Galakan Pasaran FAMA Rosilawati Abu Hassan yang turut hadir berkata program tersebut dapat memberikan kesan positif terhadap permintaan durian sejuk beku di China, sekali gus meningkatkan nilai eksport durian negara.

Menurutnya bagi memastikan kesegaran buah sepanjang perjalanan ke China, durian Musang King yang berkualiti tinggi dibawa terus dari dusun ke kilang dan diproses pada hari sama.

Selepas menjalani proses, buah akan dibungkus dengan kaedah pek vakum sebelum diletakkan di bilik sejuk beku yang bersuhu -18 darjah Celsius.

“Di bilik sejuk beku ini, durian boleh bertahan hingga enam bulan,” katanya.

Rosilawati berkata sehingga 25 Februari lepas, terdapat 14 kilang pemprosesan durian sejuk beku bagi whole fruit di seluruh negara yang mendapat kelulusan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC).

Program Durio Tour @Raub 2020 kali ini menjelajah sekitar Dataran Durian, Zamri Othman Agro Farm, Lembah Temir Resort dan PHG. Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga durian perlu dikawal, elak pengguna tertipu – PPMM

KANGAR, 8 JULAI: Setiap kali tiba musim ‘raja buah’ pasti ada pengguna yang mengeluh, apabila merasa diri mereka tertipu selepas membeli durian pada harga tinggi sedangkan kualitinya tidak seberapa.

Lebih mengecewakan, apabila pulang ke rumah mendapati bahawa buah durian yang dibeli mengkal (tidak masak), busuk, tawar, isi berwarna putih dan sebagainya.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, sudah tiba masanya pihak kerajaan campur tangan memperkenalkan harga siling buah durian klon, mengikut gred.

“Sebagai contoh harga buah durian jenis Musang King mempunyai gred A, B dan C, harga siling ditetapkan berdasarkan gred buah dan tindakan diambil kepada peniaga menjualnya lebih tinggi daripada harga yang telah ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini, mengenai sikap segelintir peniaga durian yang menjual buah tersebut, mengikut model kereta yang digunakan pembeli.

“Bukan semua orang mampu membeli durian, lebih-lebih lagi mereka mempunyai anak yang ramai.

“Sebagai contoh apa perasaan seorang ayah kepada lima orang anak yang hanya mampu membeli sebiji dua buah durian tetapi apabila pulang ke rumah mendapati buah yang dibeli rosak atau isinya keras,” katanya.

Che Hassan berkata, alasan yang diberikan harga durian tidak boleh dikawal kerana ianya buah bermusim adalah tidak wajar lagi.

Beliau menasihati pengguna agar membawa bekas ketika membeli buah durian agar mereka tidak mudah tertipu.

“Nasihat saya apabila beli buah durian, jangan bawa balik sekali dengan kulit, sebaliknya kupas durian dan letak isi dalam bekas terlebih dahulu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor berpotensi perluas tanaman durian

SHAH ALAM, 26 JUN: Selangor berpotensi bagi tanaman durian kerana memiliki akses mudah daripada aspek logistik dan agropelancongan, kata penolong pengarah kanan, cawangan pendidikan pasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor.

Mohd Firdaus Ab Aziz berkata hasil penanamannya boleh menjadi penyumbang kepada pendapatan negara sebagai menggantikan tanaman lain yang kurang menghasilkan pulangan dan produktif.

“Durian klon komersial seperti D197 atau Musang King dikategorikan sebagai sumber kekayaan baharu negara selain kelapa, nanas, jagung bijirin dan tenusu.

“Durian boleh ditanam atau diusahakan di mana-mana sahaja dengan kaedah betul selain pengusaha perlu memastikan bekalan air mencukupi, pembajaan dan pengurusan ladang yang sesuai sebaliknya tidak boleh tanam, tinggal dan tuai sahaja,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata Malaysia turut menjadi pengeksport durian D197 atau Musang King kepada hampir 20 negara termasuk Singapura, China, Korea dan Amerika Syarikat.

“Di sini (Malaysia) dilihat potensi besar tanaman durian Musang King khususnya untuk diusahakan pengusaha tempatan, malah selepas dibenarkan secara rasmi tahun lalu untuk mengeksportnya secara sejuk beku dalam bentuk biji (whole fruits), jumlah eksport komoditi terus meningkat.

“Bagaimanapun, hanya durian daripada klon D197 dan D24 dibenarkan memasuki pasaran China dalam bentuk biji, pulp dan pes,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 5,000 durian habis dimakan dalam 30 Minit di Bentong

YALA, 25 OGOS: Lebih 5,000 biji durian habis dimakan dalam masa kurang 30 minit di pesta makan durian dan buah-buahan tempatan di Betong,Yala, selatan Thailand, semalam.

Kira-kira 3,000 pengunjung dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang berkunjung ke Kg Piyamit di Mukim Tanah Merah untuk menikmati keenakan raja buah secara percuma.

Bufet durian dan buah-buahan tempatan anjuran Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah, Betong itu mendapat sambutan hangat kalangan penduduk tempatan serta pelancong Malaysia dan Singapura.

Presiden Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah, Wirat Saethan berkata, pesta makan durian secara percuma yang masuk tahun kelapan itu mendapat sambutan ramai.

“Pesta ini bertujuan untuk mempromosikan durian dan buah-buahan tempatan selain memperkenalkan produk pelancongan di Betong,” katanya kepada Bernama.

Selain menikmati durian, pihak penganjur turut mengadakan pertandingan makan buah-buahan tempatan dan makanan seperti makan ayam Betong dan mee goreng Betong.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Guna kupon lelong durian

TUMPAT, 14 JULAI: Dengan hanya RM10, orang ramai yang mengunjungi gerai menjual durian milik seorang peniaga di Kampung Semat Jal di sini, boleh mengukir senyuman apabila boleh membawa pulang sekurang-kurangnya 10 biji durian.

Bagaimanapun, setiap pembeli perlu datang ke gerai itu seawal 8 pagi bagi mendapatkan kupon yang disediakan oleh peniaga berkenaan bagi mengelak berlakunya suasana kecoh.

Pemilik gerai ‘Pemburu Buah Group’ itu, Shahmi Azani Mohd Tanazi, 26, berkata beliau memilih menjual durian dengan kaedah itu bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati buah yang kini menjadi rebutan ramai.

Beliau berkata konsep isi ‘sampai penuh plastik’ itu dimulakan sejak dua minggu lalu dan setiap hari sebanyak 20 tan durian berjaya dijual.

Katanya orang ramai yang memiliki kupon bermula nombor satu sehingga 100 akan beratur mengikut giliran dan apabila nama dipanggil mulai pukul 10 pagi mereka dibenarkan mengisi durian ke dalam plastik seberapa banyak yang boleh diisi.

Shahmi Azani berkata bekalan durian yang dijualnya itu diperoleh dari Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan dan sejak dijual bermula dua minggu lalu, bekalan raja buah itu tidak pernah putus.

“Apabila menjual (durian) secara longgok dengan harga yang murah, sudah pasti mendapat sambutan hangat sehingga terpaksa menggunakan kupon bagi mengelakkan mereka berebut dan mendatangkan risiko terutama kepada warga emas dan ibu mengandung, “ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain durian kampung, gerai itu turut menjual pelbagai jenis durian seperti Musang King, D2, D13, Udang Merah, D88, Holo, D24, IOI, durian kahwin dan durian Cikgu secara timbang bermula dari RM3 sehingga RM25 untuk satu kilogram.

“Saya sudah mengusahakan perniagaan ini sejak 11 tahun dan setiap kali musim durian, lokasi di sini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai,” katanya sambil menambah setiap hari durian habis dijual kepada pembeli dari merata tempat di negeri ini termasuk Bachok, Ketereh, Kok Lanas, Wakaf Che Yeh dan juga Terengganu.

Seorang pembeli yang ditemui, Mansor Abdullah, 45, berkata keluarganya memang penggemar durian dan amat bertuah kerana ada peniaga yang prihatin yang sanggup menjual durian dengan kaedah seperti ini.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya dan keluarga merasa buah durian hari ini dengan harga yang murah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Jual durian tanpa kulit dapat sambutan

SINTOK, 9 JULAI: Inisiatif seorang pemuda menjual buah durian tanpa kulit, berbaloi apabila gerainya yang terletak di Batu 15, Jalan Sintok, di sini menjadi tumpuan terutama oleh penggemar buah tersebut dari sekitar kawasan ini.

Mohd Izzuwan Ismail, 30, yang berasal dari Changlun, dekat sini berkata dia mengambil inisiatif menjual dengan cara itu bagi memastikan hanya isi durian yang elok sahaja dijual kepada pelanggannya demi kepuasan mereka.

“Saya mendapatkan durian daripada pemilik kebun durian dan bukan semua isi buah itu elok kerana ada buah yang sedikit berlubang dan buruk dan tidak boleh dijual kepada pelanggan.

“Jadi saya cuba menjual ulas isinya tanpa kulit dengan mengambil hanya isi yang elok sahaja dan diletakkan di dalam bekas sebelum dijual pada harga RM25 sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di gerainya di sini.

Katanya, ternyata kaedah menjual seperti itu lebih menarik minat penggemar raja buah apabila kira-kira 200 biji durian di gerainya terjual setiap hari.

Mohd Izzuwan berkata gerainya turut menjual durian secara biji pada harga RM8 hingga RM25 sekilogram dan antara jenis durian yang dijual termasuk Udang Merah, D29 dan durian kampung.

Dia turut membenarkan pelanggannya memulangkan durian yang dibeli sekiranya didapati tidak elok dan akan menggantikan dengan buah yang lain.

Sebelum ini, kisah Mohd Izzuan yang menjual buah durian tanpa kulit ditularkan di laman sosial oleh seorang pelanggannya dan sejak itu gerainya yang mula dibuka pukul 10 pagi dikunjungi orang ramai.

“Selalunya saya akan berniaga dari 10 pagi hingga 5 petang, tapi selepas tular pada Ahad lepas, semalam (Isnin) durian sudah habis dijual pada pukul 2 petang,” kata anak kedua daripada lapan beradik itu.

Mohd Izzuan berkata selain menjual durian di gerai, dia turut menjual buah itu secara dalam talian dan membuat penghantaran ke semua daerah di negeri ini termasuk ke Pulau Langkawi.

“Sebelum ini, saya sudah hantar 20 bekas durian ke Pulau Langkawi dan banyak lagi pesanan yang saya terima,” katanya yang turut dibantu oleh adik-beradiknya yang lain.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Promosi durian: Malaysia-China jalin kerjasama

BEIJING, 28 APR: Sempena penganjuran Forum Jalur dan Laluan Untuk Kerjasama Antarabangsa, festival durian diadakan di sini untuk mempromosikan ‘raja buah’ Malaysia itu kepada rakyat China.

Acara itu yang berlangsung dua hari bermula 26 April itu, dianjurkan oleh syarikat senaraian awam, PLS Plantation Berhad yang turut menandatangani Perjanjian Induk (HoA) dengan rakan dagangan China dan Malaysia.

Majlis perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PLS Plantation menandatangani HoA dengan Shanghai Greeenlanf Group, ZTE Corporation dan PTSKY dari China serta FGV Holdings Berhad dari Malaysia.

“Ini adalah sebahagian daripada rancangan PLS Plantation untuk meningkatkan lagi hubungan dagangan antara Malaysia dan China dalam perniagaan durian,” kata syarikat itu dalam kenyataan, malam tadi.

PLS Plantation yakin durian Malaysia akan mendapat permintaan serta diedarkan di serata bandar di China dan mendatangkan aliran pendapatan bagi bahagian perniagaan durian syarikat itu.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Dr Mahathir berada di China untuk menghadiri forum itu yang berakhir semalam.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

PNSB jamu raja buah erat hubungan antara agensi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 OGOS: Program Jom Bersantai Sambil Makan Durian anjuran Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dijadikan landasan bagi merapatkan hubungan dengan jabatan dan agensi lain, di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Seri Ahmad Omar berkata, program terbabit juga memberi peluang PNSB mengenali rakan niaga dengan lebih dekat.

“Musim durian bukanlah ada sepanjang tahun, justeru PNSB mengambil peluang ini untuk menyantuni rakan daripada jabatan atau agensi lain serta rakan niaga kami.

“Ini peluang yang baik untuk kami beramah mesra, di samping merapatkan lagi silaturahim dengan mereka,” katanya kepada Media Selangor, pada program berkenaan yang berlangsung di Stadium Mini Shah Alam di sini, semalam.

Beliau berkata, PNSB sedia menganjurkan program sama, pada masa akan datang jika terdapat kesesuaian waktu dan bekalan durian mencukupi.

Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri kakitangan daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB).

Categories
SELANGOR

Makan durian sampai puas, hanya sedekah RM40

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JULAI: Dengan hanya mendermakan RM40, anda boleh nikmati raja buah dan buah-buahan tempatan selama satu jam, di The Summit USJ, pada Sabtu dan Ahad ini.

Naib Presiden Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia (CWS), Teoh Teik Hoong berkata, Program Amal Jom Durian yang diadakan buat kali ke-11 itu bertujuan memenuhi impian akhir kanak-kanak mendeirta sakit kronik.

“Sesi untuk sektor korporat yang ingin menyumbang dengan membeli meja berharga RM5,000 atau RM10,000 dibuka, pada hari Sabtu. Penyumbang akan diberi meja untuk 10 orang dan boleh menikmati raja buah itu hingga puas.

“Pada hari sama, diadakan meja khas untuk orang ramai yang ingin menikmati raja buah, namun harga dikenakan satu kepala RM100, mereka boleh makan durian selama tiga jam.

“Program bersambung hari Ahad untuk orang ramai sertai aktiviti makan durian sama ada sesi satu antara 5 hingg 6 petang, sesi kedua 6.15 petang hingga 7.15 malam atau sesi ketiga dari jam 7.30 malam hingga 8.30 malam, pelbagai jenis durian dihidangkan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, enam tan durian dan buah-buahan tempatan disediakan untuk dinikmati peserta program amal itu.

Katanya, penggemar durian boleh menikmati seberapa banyak ulas durian yang mampu dalam tempoh satu jam, sekali gus menyumbang kepada tabung persatuan.

“Kita harap dapat kutip lebih banyak dana menerusi program amal terbesar, di negara ini dan menunaikan banyak impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik,” katanya.