Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda sokong kempen perangi diabetes anjuran Selangor FC, Sanofi

SHAH ALAM, 23 FEB: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan memberi sokongan kepada kempen perangi diabetes anjuran Selangor FC dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Sanofi Aventis Malaysia (Sanofi).

Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerusi video bertitah semua individu perlu menjaga kesihatan dan mula mengurangkan pengambilan gula berlebihan.

“Kepada semua yang beta kasihi, kesihatan adalah sesuatu yang amat berharga dalam kehidupan, yang tidak boleh kita jual beli dan ia perlu dijaga.

“Diabetes merupakan salah satu penyakit kronik yang sudah lama wujud dalam kalangan kita, ia berlaku apabila kandungan gula dalam darah melebihi tahap normal sehingga membawa kepada penyakit jantung, strok dan membahayakan kesihatan,” titah baginda di Facebook Selangor FC.

Pada masa sama, baginda berharap rakyat tahu cara melawan penyakit bahaya itu dan tidak mengambil sikap sambil lewa dalam pemakanan seharian.

“Pepatah ada berkata mencegah lebih baik daripada merawat, jom mula amalkan diet sihat, kurangkan pengambilan gula berlebihan, kerap bersenam dan buat pemeriksaan bulanan untuk tahu tahap kesihatan. Ayuh, kita lawan diabetes!,” titah baginda.

Selangor FC bersama Sanofi melancarkan kempen memerangi diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia dengan petisyen secara dalam talian.

Pihaknya menyasarkan 10,000 ikrar daripada masyarakat bagi mengisytiharkan kempen perangi diabetes menerusi pautan https://www.change.org/war-against-diabetes-MY.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda dilantik Pro Canselor UPM, berkenan kurnia ijazah kepada 954 graduan

SHAH ALAM, 15 JAN: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pemahsyuran disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang merupakan Canselor UPM pada Rabu lalu di Istiadat Konvokesyen ke-44.

Pelantikan berkuatkuasa selama tiga tahun bermula Oktober 2021 hingga Oktober 2024 itu turut melibatkan Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim untuk jawatan sama.

Facebook Selangor Royal Office memaklumkan selepas pemahsyuran terbabit Tengku Amir berkenan mengurniakan ijazah kepada 954 graduan.

Sultan Sharafuddin berkenan mengabadikan gambar bersama Tengku Amir yang baharu dilantik sebagai Pro Canselor UPM.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenan mengabadikan gambar bersama DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang baru dilantik sebagai Pro Canselor UPM. Foto Facebook Selangor Royal Office
Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan lawat Kapal Perang Jepun, JS Osumi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 MEI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan berangkat ke Pulau Indah untuk melawat Kapal Perang Jepun, JS Osumi (LST-4001) atas jemputan Japan Maritime Self Defense Force (JMSDF).

Menerusi laman facebook Selangor Royal dimaklumkan, kapal berkenaan berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang bermula 15 Mei hingga 17 Mei ini.

Baginda diiringi DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Ketibaan Baginda berdua disambut Komander Kapal, Kapten Tomonori Kobayashi dan Duta Besar Jepun Ke Malaysia, H.E. Makio Miyagawa.

Hadir sama, Panglima Tentera Laut, YBhg. Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Baginda meluangkan masa hampir dua jam di dalam kapal tersebut dan dibawa melawat ke beberapa bahagian utama kapal, serta diraikan oleh anak-anak kapal dalam satu majlis resepsi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri dan Raja Muda cemar duli ziarah mangsa banjir

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 20 OKT: DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin berserta DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di sini, malam tadi.

Bertempat di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Batu 4, baginda berdua mula tiba pada jam 7.30 malam dan meluangkan masa lebih sejam di sana.

Seramai 43 keluarga merasa bertuah apabila Raja Muda dan Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan menikmati santapan malam bersama mereka.

2ac9cbba-bed7-41fb-9586-2760db9c30a6Terlebih dahulu, baginda berdua mesra melayan kesemua 167 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak beberapa hari lalu.

Malah, Raja Muda dan Tengku Permaisuri dilihat sudi membantu sukarelawan menyediakan makan malam selain menghidang kepada mangsa.

Turut mengiringi Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

98d689a5-fb9a-4b96-ba95-a1bfdb45966dSehingga jam 2.30 petang semalam, hanya dua pusat pemindahan sementara berstatus aktif dengan menempatkan 97 keluarga dengan 405 mangsa.

Selain Dewan Dato’ Ahmad Razali, Batu 4, sebuah lagi pusat masih aktif ialah Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda.

-nR-