Categories
AGENDA NASIONAL

Aidiladha tidak bermakna selepas hilang isteri, anak serentak akibat Covid-19

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sambutan Aidiladha tidak bermakna bagi seorang lelaki warga emas dari Kuala Selangor apabila isteri dan anaknya maut akibat Covid-19 minggu lalu.

Mohd Latiff Rahmad, 67, dari Kampung Batu 4, Ijok berkata isteri, Sainon Kutut, 61, dan anak, Azman Mohd Latiff, 25, meninggal dunia selang enam jam pada Rabu lalu, lapor Berita Harian.

“Susah nak digambarkan apa yang dirasa ketika ini. Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya sewaktu Dia ‘ambil’ isteri dan anak dalam waktu singkat.

“Selepas ini, saya harus kuat menempuh kehidupan tanpa mereka,” katanya.

Menurut Mohd Latiff, isterinya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada jam 4.30 pagi manakala Azman pula menyusul enam jam kemudian di rumah dipercayai sesak nafas.

Katanya, beliau menerima berita kematian Azman yang dibawa ke Hospital Tanjong Karang ketika beliau sedang mendengar taklimat pengurusan jenazah isterinya di HSB.

Terdahulu, Mohd Latiff dikunjungi Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM bentang akta kawalan vape, rokok elektrik di Parlimen Mac 2020

KUCHING, 8 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, ‘vape’, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac 2020.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM ketika ini dalam fasa akhir dalam penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh serta dapat menangani pelbagai isu terkini.

“Kita hampir di penghujung perbincangan bersama Peguam Negara dan sangat mengharapkan dapat membentangkannya di Parlimen pada suku yang pertama sebelum Mac tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri larian ‘Stop The Stigma’ anjuran Hospital Umum Sarawak di Bangunan DUN lama di sini, hari ini.

Beliau berkata, akta itu merangkumi bukan sahaja tembakau tetapi beberapa sisi lain yang bersangkutan dengan nikotin yang terdapat di dalam ‘vape’ ataupun rokok elektronik.

Sebelum ini, Timbalan Menteri, Dr Lee Boon Chye mengetuai jawatankuasa khas yang melihat kepada persoalan mengenai vape dan shisha yang membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) dan farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk tembakau yang mengandungi nikotin.

Mengenai acara larian berkenaan, Dzulkefly berkata, ia bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat sejagat mengenai kepentingan kesihatan mental serta masalah kesihatan mental yang semakin meningkat.

“Di Malaysia, trend tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja telah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati prevalen idea bunuh diri dalam kalangan remaja berusia 13-17 tahun adalah 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pegawai Perhubungan Politik: PAS Cadang Nama Dr Dzulkefly Ahmad – BULETIN 13

Sinopsis

Buletin 13 Untuk 10062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pas Selangor mencadangkan bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar.

2. Undang-undang bagi mempertahankan institusi Raja-raja sudah mencukupi dan pengubalan undang-undang baru bagi tujuan tersebut dikhuatiri akan digunakan untuk mengekang hak bersuara rakyat, kata pemimpin Pakatan Rakyat hari ini.

3. Penggunaan kuasa Kerajaan Persekutuan oleh Umno untuk mengekang kritikan terhadap gagasan itu mencerminkan keangkuhan parti itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sebar Fitnah Terhadap PR Melalui Risalah

Fitnah flyers masa ceramah di dataran kuala selangor 01

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Ribuan risalah fitnah mengenai Pakatan Rakyat(PR) disebarkan ketika siri Jelajah Merdeka Rakyat di Dataran Hotel Sun Inn, Kuala Selangor.

Risalah berkenaan didakwa didalangi oleh Umno-BN bagi mengelirukan pengundi yang hadir bagi mendengar taklimat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, dan calon DUN Bukit Melawati, S.Manikavasagam.

Wakil calon DUN Melawati, Noor Azhar Jamil mendakwa risalah berkenaan turut disebarkan secara meluas di beberapa kawasan di pekan Kuala Selangor.

Katanya, tindakan kotor ini mencemarkan amalan demokrasi yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN.

Sehubungan itu, satu laporan polis akan dilakukan supaya siasatan khas dapat dilakukan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Kita bercadang untuk buat aduan di balai polis, ini merupakan konspirasi terancang pihak yang didakwa daripada parti lawan,” katanya ketika ditemui di bilik gerakan DUN Melawati.

Antara isi kandungan risalah fitnah berkenaan adalah janji PR untuk menjadikan Islam tidak menjadi agama rasmi, kalimah Allah boleh digunapakai semua agama, dan hak keistimewaan Melayu dihapuskan.

Pada siri ceramah yang berlangsung semalam, hampir 3,000 penduduk Kuala Selangor hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap PR.

Categories
NASIONAL

Manifesto Air Percuma : BN Selangor Telan Ego Sendiri

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01

SHAH ALAM, 18 APRIL : BN Selangor disifatkan terpaksa menelan ego dan keangkuhan sendiri apabila berhasrat meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat di negeri ini jika berjaya menawan Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Calon PAS Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tawaran manifesto BN ini jelas bercanggah dengan pendirian parti itu yang sebelum ini lantang mengkritik pemberian air percuma boleh memufliskan negeri.

Tegasnya, tawaran itu juga menunjukkan bahawa BN sekali lagi cuba menciplak apa jua manifesto Pakatan Rakyat (PR) baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri Selangor khususnya.

“Kalau dakwaan mereka bahawa negara akan muflis kerana manifesto PR, maka apakah dengan mereka meniru manifesto kami di peringkat Persekutuan dan Negeri itu akan turut membankrapkan negara dan negeri?

“Sedangkan semasa di awal pemerintahan PR dahulu, mereka membuat pelbagai kecaman dan kritikan antaranya termasuklah pemberian air percuma yang hanya merugikan Kerajaan Negeri.

Kalau begitu kecamannya, mengapa BN masih meniru program dan polisi PR Selangor,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Terdahulu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam satu kenyataan pada 3 Jun 2011 menegaskan untuk tidak mengusulkan kepada Kerajaan Pusat berhubung pemberian 1000 liter air percuma kepada rakyat kerana mendakwa tidak mendatangkan faedah.

Bagaimanapun, BN Selangor menerusi manifesto PRU-13 bercadang meneruskan program pemberian air pecuma kepada rakyat di negeri ini jika berjaya merampas Selangor daripada PR.

Tambahnya, jika Kerajaan BN benar-benar ingin membantu rakyat, maka seharusnya tawaran air percuma itu diperluaskan ke setiap pelusuk negara ini.

Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak yakin usaha itu dapat dilakukan berikutan amalan monopoli dan kronisme masih diamalkan pentadbiran Umno-BN.

“Mereka boleh janji untuk memberikan air percuma, tetapi pengurusan air itu akan tetap diberikan kepada syarikat konsesi iaitu kroni mereka sendiri.

“Sepatutnya mereka boleh berikan air percuma kepada rakyat sejak dulu lagi, tetapi mereka tidak mahu kerana ia tidak mendatangkan untung kepada kroni,” tegasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Undi Pakatan Hapus Tol Lebuhraya, Undi Umno-BN Dapat Dua Lagi Lebuhraya Tol

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01

KUALA LUMPUR, 11 APR : PAS mendakwa Umno-BN telah memetrai beberapa perjanjian projek pembinaan lebuh raya baru yang disembunyikan bagi meredakan sentimen pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan, kerajaan Umno-BN hampir memuktamadkan dua perjanjian untuk lebuhraya bertol walaupun projek tersebut belum diumumkan.

Dua lebuhraya tersebut adalah Damansara-Shah Alam (DASH) dan Ulu Kelang Selatan. Kedua-duanya dimiliki syarikat Prolitas yang seratus peratus milikan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Antara projek lain adalah Lebuhraya Kinrara-Damansara dan pemanjangan Lebuhraya Duta-Ulu Klang.

Maklum Dr Dzulkefly lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mengulangi pengumuman tidak menaikkan tol sehingga 2016.

Namun beliau gagal untuk menciplak tawaran Pakatan Rakyat (PR) menangani lebuhraya bertol memandangkan mereka sudah sebati dengan sistem ‘patronage’ dan ‘monopoli’ yang memperkayakan kroni berkepentingan, kata Dr Dzulkefly.

“Kenapa selepas 2016 kadar tol akan terus meningkat pada kadar lima peratus setiap tiga tahun sehingga tahun 2037? Nyata Najib tidak punya kommitmen menurunkan kos saraan hidup rakyat.

“Lebih malang lagi kerajaan Najib bercita-cita untuk meneruskan agenda penswastaan lebuhraya sebagai kaedah pembinaan lebuhraya dan merangsang sektor pembinaan,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS.

Jelasnya lagi, BN dengan bangga meletakkan Lebuhraya Pantai Barat (West Coast Expressway) dalam manifesto mereka yang akan mengenakan tol.

Walaupun faedah subsidi empat peratus telah dihapuskan setelah dilalui rundingan baru, projek ini tidak berdaya saing dan kini terpaksa diberikan suntikan RM 2.2 bilion pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus, ujar Dzulkefly lagi.

Sejajar dengan prinsip Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat kekal dengan pendirian menghapuskan tol secara berperingkat bermula dengan lebuh raya yang sudah mendapat pulangan modal.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Akhirnya Penduduk Kg Felda Bukit Cherakah Dapat Geran Tanah

MB geran tanah borang 5A bukit cherakah 03

KUALA SELANGOR, 27 MAC : Di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor penantian puluhan tahun penduduk Kampung Felda Bukit Cherakah memiliki geran tanah akhirnya ditunaikan.

Penyerahan borang 5A kepada 281 penduduk itu disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di masjid kampung berkenaan di sini.

MB geran tanah borang 5A bukit cherakah 01Seorang penduduk, Torman Basri, 64, nyata gembira apabila penantiannya lebih 22 tahun untuk memiliki hak milikan tanah akhirnya ditunaikan dalam tempoh singkat.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana akhirnya menunaikan hasrat saya untuk menerima hak milikan tanah ini setelah lebih 22 tahun mendiami kawasan ini.

“Kami penduduk kampung memohon lebih tiga kali untuk mendapat hak milikan tanah sejak kampung ini mula dimajukan. Tetapi hari ini ia tertunai. Malah harga premium yang ditawarkan juga berpatutan untuk dibayar oleh peneroka seperti kami,” katanya.

MB geran tanah borang 5A bukit cherakah 02Perasaan sama turut dikongsi Faridah Hasbi Asari, 53, yang menyifatkan pemberian Borang 5A itu adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Saya sangat bersyukur dan lega kerana apa yang ditunggu akhirnya dapat juga. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Daerah Kuala Selangor yang bersusah payah membantu penduduk mendapatkan hak milikan tanah,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa memastikan mana-mana penduduk yang layak diberikan hak milikan tanah untuk kediaman mereka.

Katanya, setelah diberikan borang 5A, penduduk hanya perlu membayar premium sejumlah RM1,000 bagi membolehkan mereka menerima geran.

“Saya harap semuanya dapat menyelesaikan pembayaran premium tersebut. Kalau betul tidak boleh bayar, kita akan minta mereka kerja dan beri tempoh selama dua bulan untuk mereka bayar. Ini adalah tanah untuk generasi kita akan datang,” katanya.

Borang 5A adalah surat tawaran memiliki tanah dari Kerajaan Negeri kepada seseorang individu.

Borang tersebut juga diangap sebagai pengesahan pemilikan tanah oleh seseorang individu dengan bayaran premium RM1,000 sahaja.

Ketika di era Umno-BN mentadbir, penerima borang 5A dikehendaki membayar premium sekurang-kurangnya 20 peratus dari nilai tanah menyebabkan terdapat penerima tawaran dikalangan berpendapatan rendah terpaksa menolak kerana tidak mampu membayar premium yang tinggi.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohamad Yazid Bidin.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jom Shopping Ibu Tunggal Agih Kekayaan Negeri

jom shopping ibu tunggal 02

IJOK 3 MAC : Usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan program baru ‘Jom Shopping Ibu Tunggal’ dilihat bertepatan sebagai medium membantu meringankan beban golongan tersebut.

Seorang peniaga, Siti Junaidah Ahmad Supaat, 35, memuji dan berterima kasih atas usaha ini yang menurutnya harus diambil peluang oleh semua ibu tunggal.

“Walaupun dilihat kecil oleh sesetengah pihak, dengan perbelanjaan berhemah, banyak yang kita akan perolehi dengan voucher yang diberi,” ujar beliau yang pertama kali menerima bantuan seumpama ini.

jom shopping ibu tunggal 03Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal, Norzihan Kaswin 50, berkata program ini antara bukti bahawa perubahan ketara dapat dilihat semenjak lima tahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Kita dapat lihat ini (Kerajaan Negeri sekarang) lebih baik, pelbagai program disediakan untuk rakyat.

“Harap usaha demi kebaikan rakyat ini dapat terus dijalankan supaya rakyat terus beroleh manfaat daripada kekayaan negeri,” ujar ibu kepada dua anak ini.

Kira-kira 80 orang ibu tunggal daripada DUN Ijok dibawa membeli barang keperluan di Pasaraya Econsave Alam Jaya di sini dengan ditemani sendiri Menteri Besar yang juga Adun Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

jom shopping ibu tunggal 01Setiap mereka menerima voucher membeli belah bernilai RM 100.

“Ini antara usaha kita agar rakyat dapat menikmati hasil yang diperolehi daripada negeri ini dan bukannya hasil hanya diberi kepada golongan tertentu sahaja,” tegas Abdul Khalid dalam ucapannya.

Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Salbiah Tunut, MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Adun Bukit Melawati, M. Muthiah serta Pengarah Eksekutif Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Lai Sia Ling.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Persekutuan Perlu Guna Saham Emas Benarkan Selangor ambilalih Syabas

MB Pc EXCO 13FEB 2013 01

SHAH ALAM, 13 FEB: Sebagai pemegang saham emas(golden share) Kerajaan Persekutuan diminta menggunakan kuasanya bagi membolehkan Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) menerima tawaran harga Kerajaan Negeri bagi mengambil alih operasi pengurusan bekalan air di Selangor.

Langkah ini sekaligus mempercepatkan penyelesaian penyusunan semula industri air demi kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya mereka enggan berbuat demikian, Kerajaan Negeri akan membawa Kerajaan Persekutuan ke mahkamah kerana melanggar Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wsia 2006).

Beliau menegaskan, ini bukanlah pengambil alihan biasa syarikat komersil sebaliknya melibatkan perjanjian antara tiga pihak iaitu Syabas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang pemegang sahamnya adalah rakyat.

“Urusniaga tidak boleh berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco.

Ketika mengulas berkaitan soal harga yang ditawarkan sama ada lebih tinggi atau rendah berbanding sebelum ini, Abdul Khalid menyatakan perkara berkenaan disifatkan sensitif dan sulit.

Beliau menambah, dokumen tawaran akan dihantar kepada syarikat konsesi pada minggu depan.

Usaha pengambil alihan ini susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa Kerajaan Persekutuan tiada masalah dengan usaha Selangor untuk menstruktur semula industri tersbut.

Makluman pengambil alihan pengurusan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari dibuat melalui surat yang ditulis Kerajaan Negeri kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui.

Tempoh 14 hari tersebut bermula pada 4 Februari dan akan akan tamat minggu depan.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat tersebut.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri akan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai pelan dan langkah-langkah yang akan dilakukakan selepas pengambilalihan perkhidmatan air ini dalam ‘Forum Air Untuk Rakyat’ yang akan diadakan selama 10 hari bermula 18 Februari sehingga 28 Februari di seluruh negeri.

Antara jurucakap yang terlibat adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin.

“Kita akan iklankan tarikh dan tempat forum air ini akan diadakan di beberapa akhbar utama untuk memudahkan rakyat merancang dan membuat persediaan awal.

“Kita berharap rakyat dapat menggunakan forum air sebagai platform untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung isu air di Selangor dan Lembah Klang,” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jurucakap TALAM Pakar Ekonomi dan Perundangan

SUBANG JAYA, 25 NOV: Pemilihan empat jurucakap rasmi berkaitan penyelesaian hutang Talam Corporation Berhad (Talam) oleh Kerajaan Negeri adalah kerana mereka mempunyai kepakaran di dalam bidang ekonomi dan perundangan.

Mereka juga merupakan antara individu yang telah mendalami isu Talam secara terperinci bermula daripada 2010 semasa Kerajaan Negeri mula melaksanakan proses kutipan hutang tersebut.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Negeri Selangor, Teresa Kok berkata firma juru audit bebas antarabangsa KPMG juga dilantik bagi meneliti proses kutipan hutang tersebut bagi memastikan ia dilakukan secara profesional dan cekap.

Teresa berkata demikian bagi menyangkal dakwaan daripada Adun Umno-BN baru-baru di dalam sidang Negeri Selangor yang mempersoalkan perlantikan tersebut.

?Urusniaga ini dijalankan dengan amalan profesional dan dijalankan dengan menggunakan penasihat yang profesional, tetapi mereka (Umno-BN) hina kepakaran mereka.

“Bila Kerajaan Negeri beri taklimat secara rasmi mereka tak mahu datang dan lepas itu cakap bukan-bukan di belakang.

?Malah laporan juruaudit profesional, KPMG juga mereka hinakan,” ujar beliau apabila ditemui di program karnival kampung tradisi di Kampung Tengah A, Puchong di sini semalam.

Pada awal September 2012 Kerajaan Negeri telah melantik empat individu sebagai jurucakap rasmi bagi menerangkan isu Talam ke masyarakat umum.

Mereka adalah MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, MP Selayang, William Leong, MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin

Tony Pua sebelum melibatkan diri dalam politik merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Cyber Village Sdn Bhd, sebuah syarikat yang tersenarai di papan kedua bursa saham Singapura.

Beliau memegang ijazah dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Keble College, University Oxford.

Pada awal tahun ini, Tony telah menulis buku bertajuk ?The Tiger That Lost Its Roar”, A tale on Malaysia’s political economy.? yang menceritakan kemuduran ekonomi Malaysia.

Manakala Dr Dzulkefly merupakan seorang pemimpin Pas yang sering menulis dan berdebat tentang isu ekonomi di dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu, Faekah merupakan seorang peguam sebelum beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Dzulkefly : Saya Sedia Mengadap Sultan Bela Nurul Izzah

KUALA LUMPUR, 7 NOV : MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad bersedia mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan isu sebenar kontroversi kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Saya yakin mereka tidak berlaku adil. Ini disebabkan memutarbelitkan maklumat. Tidak munasabah Nurul Izzah mengajak orang keluar agama.

“Saya yakin Sultan tidak mendapat kenyataan Nurul Izzah sebenar, saya bersedia mengadap Sultan, bagi memberi informasi yang sebenarnya,” katanya di lobi parlimen reaksi Sultan Selangor berhubung isu berkenaan.

Dilaporkan bahawa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terkejut dengan kenyataan Nurul Izzah berkaitan kebebasan beragama, sebagaimana dipetik oleh beberapa media sejak hujung minggu lalu.

Nurul Izzah berkata kenyataannya telah diputar-belitkan oleh setengah media bagi mengambarkan yang beliau menyokong tindakan orang Islam untuk keluar agama.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor dan pelindung hak dan kepentingan kaum Melayu juga berasa terkejut dan kesal dengan kenyataan tersebut.

Semalam, Nurul Izzah berkata beliau telah menghantar surat saman kepada beberapa surat khabar dan blog pro-Umno yang memfitnah beliau sebagai menyokong kebebasan orang Islam untuk menukar agama.

Categories
SELANGOR

Program Korban DUN Ijok Disambut Meriah

IJOK, 27 OKT : Program korban Aidiladha DUN Ijok bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kampung Harmoni di sini hari ini dijalankan secara sederhana tetapi meriah dengan kehadiran penduduk termasuk dari kampung berhampiran.

Selain kampung ini, program turut melibatkan empat kampung lain iaitu Kampung Ijok, Kampung Bukit Badong, Kampung Jaya Setia dan Kampung Rantau Panjang selain program beramah mesra Menteri Besar dan rombongan bersama penduduk kampung.

Abdul Khalid dan rombongan hadir dengan menaiki bas Merdeka Rakyat disambut penduduk kampung dalam suasana meriah.

Dalam ucapannya beliau berkata, program sambutan Aidiladha termasuk korban itu adalah salah satu program mesra bersama rakyat yang dirancang Kerajaan Negeri.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat menjalankan program Aidiladha termasuk majlis korban yang mengingatkan kita tentang tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Oleh sebab itulah dalam perayaan ini kita mesti mengingati Allah SWT dengan bertakbir dan bertahmid serta bersyukur.

“Diharapkan juga rakyat Selangor dan umat Islam yang pergi menunaikan ibadah haji dapat menjalaninya dengan jaya dan mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Sebanyak 12 ekor lembu termasuk 10 ekor sumbangan Kerajaan Negeri dikorbankan dalam program tersebut di mana kira-kira 200 penduduk kampung hadir berkerjasama menjayakannya.

Daging korban kemudian diagihkan kepada penduduk kampung termasuk golongan saudara baru dan anak yatim dari DUN Ijok.

Menerusi program mesra bersama Menteri Besar itu, penduduk kampung turut berpeluang menaiki bas Merdeka Rakyat dan dibawa menjelajahi ke kawasan berhampiran di Ijok.

Ketua Pemuda dan Belia Kampung Harmoni, Ramzi Sobhi berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu dalam menjayakan program tersebut.

“Saya berbesar hati kita dapat menjalankan program ini dengan jayanya. Biarpun secara sederhana tetapi ia memberi makna kepada kami di kampung ini,” katanya.

Saudara baru, Nur Irdina Chai Abdullah, 28 Dari Batu Lapan, Ijok ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana dapat turut serta dalam program tersebut buat kali pertama selepas empat tahun memeluk agama Islam.

“Saya begitu gembira dapat bersama masyarakat Islam lain di kampung ini menyambut Aidiladha dan mendapat daging korban selain menikmati makanan secara kampung yang disediakan di sini,” katanya.