Jemputan Sesi Penerangan Hutang TALAM


Sinopsis: Rakyat Selangor yang dihormati. Tuan dan puan dijemput menghadiri Sesi Penerangan Hutang TALAM untuk penerangan proses perolehan hutang dari wakil-wakil kerajaan negeri Selangor.

Selaku pembayar cukai, anda berhak tahu tahap ketelusan dan profesionalisma kerajaan anda dalam menguruskan kes ini.

http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah : Husni Kurang Moral Kritik Belanjawan PR

KUALA LUMPUR 12 OKT : Pakatan Rakyat (PR) hari ini membidas kenyataan Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Husni Hanadzlah yang mengatakan Bajet PR sebagai salah pengiraan dan ‘lemah matematik’.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyelar Husni sebagai kurang bermoral dan tidak layak mengkritik bajet PR.

“Saya rasa Husni tidak mempunyai kedudukan moral dan layak untuk mengkritik PR.

“Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 menemui 75 kes terlebih belanja dalam 14 kementerian daripada aspek pembayaran,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Manifesto dan Dasar PR menyambut baik kenyataan perbendaharaan yang mengakui ketepatan anggaran kos program PR.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata ia mengesahkan bahawa Kerajaan Pusat memandang serius segala cadangan dan penyelesaian ekonomi yang dikemukakan PR.

“Oleh sebab itu, dalam persidangan parlimen ini, ahli parlimen BN lebih gemar menghabiskan masa yang diperuntukkan membahas bajet PR.

“Tidak cukup dengan itu, menteri seperti Husni mengerah kakitangan awam di perbendaharaan dan jabatan lain bekerja lebih masa mencari bidasan kepada kami, ” katanya.

Jelasnya, kerahan itu adalah satu salahguna kuasa berbentuk partisan kerana PR tidak diberikan akses sama sekali kepada semua data,angka dan statistik yang diperlukan sepenuhnya untuk membuat unjuran.

Sehubungan itu, PR mengesyorkan penubuhan sebuah Pejabat Belanjawan Parlimen bebas yang bertanggungjawab menyediakan analisis belanjawan dan maklumat ekonomi kepada ahli parlimen secara objektif.

Katanya, cadangan itu sangat penting supaya perbahasan dasar dan keputusan kewangan boleh dibuat secara telus dan cepat.

“Sistem ini sudah lama digunakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ia bagi membentuk amalan yang adil dan saksama kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Turut serta dalam sidang media tersebut MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Negeri Anjur Siri Jelajah Perjelas Isu Talam

 

SHAH ALAM, 10 OKT : Kerajaan Selangor akan mengadakan siri jelajah penerangan isu kutipan hutang Talam Corporation Bhd (Talam) ke seluruh negeri bermula pada 13 Oktober di Junior Ballroom Hotel Oriental Crystal, Kajang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, siri jelajah ini bakal diadakan secara serentak pada setiap malam Sabtu.

Setiap empat jurucakap rasmi yang dilantik Kerajaan Negeri akan berada di tempat berbeza untuk menyampaikan pembentangan mengenai proses kutipan hutang Talam.

Empat jurucakap itu ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Selayang William Leong, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin.

“Kita juga akan menerangkan juga bagaimana hasil kutipan ini dikembalikan semula kepada rakyat Selangor menerusi program-program di bawah Geran Selangorku bagi membaiki infrastruktur dan kemudahan asas lain.

“Kerajaan Negeri berharap supaya rakyat Selangor yang masih belum memahami isu Talam ini menghadiri sesi penerangan tersebut.

?Pembentang akan menerangkan dari awal hutang ini terjadi sehinggalah kaedah yang digunakan untuk mengutip kesemua hutang RM392 juta,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid turut memaklumkan, kertas putih mengenai kutipan hutang Talam bersama-sama laporan audit KPMG telah diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurutnya, kertas putih ini akan dihebahkan kepada umum selepas dibentangkan dalam sidang DNS pada 19 November depan.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kerajaan Negeri masih menunggu perkenan DYMM Sultan Selangor berhubung cadangan mengadakan sidang khas dewan sebelum 19 November.

Beliau berkata, sekiranya cadangan itu mendapat perkenan Tuanku Sultan, maka kertas putih mengenai kutipan Talam akan dibentangkan bersama-sama dokumen penstrukturan semula air.

“Kertas putih penstrukturan semula air ini mengandungi segala dokumen hasil perbincangan dengan Kerajaan Pusat dan surat menyurat yang menunjukkan Kerajaan Negeri amat komited untuk mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.

“Laporan mengenai Program Pendemokrasian ?Selangorku Bersih? juga akan dibentangkan pada sidang khas dewan ini.

?Selepas pembentangan tersebut, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan hasil kajian yang menemui 110,000 nama pengundi yang diragui dan gagal dikesan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Tee Yong Silap Baca Belanjawan Pakatan Rakyat 2013

SHAH ALAM, 3 OKT : Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat memperuntukkan sebanyak RM 4 bilion bagi peruntukan kenaikan gaji kakitangan Kerajaan dan bukannya RM5.1 bilion seperti yang didakwa Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong.

Tee Yong dalam semalam menuduh Pakatan akan membelanjakan sebanyak RM 2.4 bilion bagi kenaikan gaji guru, RM 2 bilion bagi kenaikan gaji kakitangan awam serta RM 754 juta bagi kenaikan gaji polis di dalam Belanjawan Pakatan 2013.

Jawatankuasa Dasar dan Manefesto Pakatan yang bertanggungjawab menyediakan Belanjawan itu berkata, Tee Yong tidak membaca sepenuhnya keseluruhan dokumen tersebut.

“Pendekatan yang diambil Pakatan adalah mengekalkan anggota polis sedia ada tanpa pengambilan baru.

Ini berbeza dengan cara Umno-BN yang ingin meningkatkan pengambilan baru sehingga 30 peratus menjelang 2015 yang sudah tentu akan meningkatkan tanggungan gaji,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Badan itu dianggotai MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Strategis Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming.

Menurut Jawatankuasa ini, Pakatan mencadangkan supaya anggota polis Cawangan Khas ditukar ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi kerja-kerja membanteras jenayah.

Ini kerana tiada pengambilan baru menjelang 2015 seterusnya gaji anggota polis ini dapat dinaikkan.

Justeru itu, ia merupakan suatu proses yang mengambil masa dan bukannya kenaikan gaji serentak kerana proses penukaran anggota Cawangan Khas melibatkan latihan serta pelbagai urusan.

“Mukasurat lapan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada menyebut bahawa Pakatan mengunjurkan kenaikan gaji 15 peratus sekiranya proses ini berjalan.

“Oleh kerana ia melibatkan satu proses, ia juga melibatkan kenaikan berperingkat dalam satu tempoh masa kerana kenaikan gaji itu perlu dibiayai dari penjimatan kerana tiada pengambilan baru dalam tempoh tiga tahun,” kata mereka.

Sementara itu, Kerajaan Pakatan juga akan meneliti bentuk-bentuk faedah bukan gaji bagi mengelakkan pembaziran dengan memastikan hanya faedah bukan gaji kepada kakitangan awam disediakan pada kos berpatutan.

“Kami yakin penjimatan dari semakan terhadap perbelanjaan faedah bukan gaji boleh menampung kesan kewangan bagi tahun 2013 yang dianggarkan bernilai RM 250 juta itu.

“Mengambil kira pertimbangan ini, kenaikan peruntukan gaji kakitangan kerajaan hanyalah RM4 bilion seperti yang terkandung dalam Bajet Pakatan Rakyat 2013,” jelas mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Senjata Umno-BN Sebenarnya Kekuatan Pakatan

SHAH ALAM 16 Sept : Hutang Talam, bekalan air dan kutipan galian pasir merupakan isu yang akan memudaratkan Umno-BN sendiri bagaikan senjata yang akan melutup di muka tuannya.

Ini respon pemimpin Pakatan Rakyat terhadap rancangan Umno-BN untuk menggunakan isu-isu tersebut sebagai ?resipi? perang saraf dalam kempen gabungan itu untuk menawan-kembali Selangor di dalam pilihanraya akan datang.

Isu-isu tersebut merupakan antara kejayaan kerajaan Pakatan dalam empat tahun mentadbir Selangor.

Ketiga-tiga isu tersebut juga merupakan bukti salah urus tadbir kerajaan Umno-BN Selangor yang dulu, di mana hasil dan kekayaan negeri diberikan kepada kroni manakala risiko dan kerugian di tanggung rakyat.

Contohnya kata MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, di dalam isu hutang Talam, kerajaan Umno-BN dulu telah memberikan sebanyak 7,000 ekar tanah kepada syarikat itu yang merupakan kroni MCA.

Sebelum Pakatan menakluk Selangor, Kerajaan Umno-BN yang sama juga telah berniat untuk (melupuskan) dan tidak mengutip hutang Talam yang bernilai RM 392 juta kepada tiga anak syarikat kerajaan Selangor, kata Dr Dzulkefly.

Dalam masa empat tahun, Kerajaan Selangor telah berjaya mengutip balik hutang tersebut yang gagal diselesaikan kerajaan Umno-BN sejak 2005.

?Kita akan londehkan salah urus tadbir oleh Umno-BN dalam isu Talam. Mereka sebenarnya takut dengan kami dalam isu ini.

?Apabila mereka ajak berdebat, kami pergi,? kata Dr Dzulkefly, merujuk kepada debat isu Talam di Bandar Tun Razak pada 12 Sept di mana Dr Dzulkefly dan tiga pemimpin Pakatan yang lain dihalang untuk berdebat dengan pemimpin MCA Datuk Chua Tee Yong.

?Mereka boleh ambil peluang itu untuk memalukan kami di depan penyokong kami dan penyokong mereka. Tetapi mereka takut dan tidak benarkan kami berdebat,? kata Dr Dzulkefly.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pakatan gagal menyelesaikan ketiga-tiga isu ini dan kegagalan itu telah menjadi ?ramuan? untuk Umno-BN menawan kembali Selangor.

Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei pula mencabar Muhyiddin untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) sekiranya terdapat bukti salahlaku Pakatan dalam pengurusan galian pasir.

Ujar Shuhaimi, SPRM sendiri telah menjalankan siasatan dan mendapati tiada bukti penyelewengan dari pihak Kerajaan Selangor atau syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang menguruskan kutipan royalti hasil pasir.

Semasa pentadbiran Pakatan royalti kerajaan negeri dari pasir meningkat kepada RM32.5 juta untuk tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011, berbanding hanya RM12.51 juta dari tahun 2005 ? 2007 dibawah Umno-BN.

?Sebaliknya saya cabar Muhyiddin untuk menjawab dakwaan berlaku curi pasir besar-besaran di Johor untuk di ekspot ke Singapura.

?Ini terang-terang berlaku di Johor, tempat kelahiran Muhyiddin,? Shuhaimi berkata. Muhyiddin, yang juga MP Pagoh, adalah seorang bekas Menteri Besar Johor.?

Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar pula berkata pengurusan bekalan air Selangor sebenarnya merupakan lagi satu kejayaan bagi Pakatan Selangor di mana ia mampu memberi air percuma 20 metre padu selama empat tahun.

?Bila kita mulakan skim tersebut, Umno-BN kata Selangor akan bankrap dalam setahun.

?Sekarang empat tahun dan bukan sahaja kita boleh teruskan skim tersebut, kita sudah naikkan rizab simpanan negeri sebanyak RM 2 bilion,? kata beliau yang memegang portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

?Kita terus memberi air percuma dan ini tidak akan dihentikan dan saya percaya rakyat Selangor menyedari hakikat ini?.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemimpin Pakatan Dihalang Berdebat Isu Talam


KUALA LUMPUR 12 SEPT : Pekung Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong terbongkar malam ini apabila menghalang wakil Kerajaan Negeri Selangor untuk berdebat berkenaan isu Talam walaupun dijemput untuk berdebat.

Tindakan ini disfatkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin sebagai mencari publisiti murahan semata-mata.

Kesediaan wakil Kerajaan Negeri untuk berbahas tidak kesampaian apabila MCA tidak membenarkan keempat-empat wakil Kerajaan Negeri itu untuk berdebat dan memberi penerangan berkenaan kebenaran yang berlaku di sebalik isu Talam.

Faekah berkata tindakan Chua untuk tidak berdebat dengan ketiga-ketiga wakil lelaki itu sudah dijangkakan sejak awal lagi.

“Namun, Chua juga tidak berani untuk berdepan dengan wanita seperti saya. Terbukti Chua seorang yang tidak berani berhadapan dengan wanita,” sindir Faekah.

Faekah menambah beliau tidak datang dengan tangan kosong tetapi membawa satu bukti untuk diterangkan kepada semua.

Beliau turut membawa laporan daripada firma audit bebas, Transaction and Restructuring Sdn Bhd (KPMG) untuk dibentangkan.

“Ini kerana saya mahu rakyat terus tidak diperbodohkan dan Chua tidak memperbodohkan dirinya.

“Ini adalah orang yang tidak tahu berterima kasih kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana kami sudah mengutip setiap sen hutang yang ditimbulkan oleh pentadbiran Umno-BN sebelum ini,” katanya.

Selain Faekah, keempat-empat wakil itu terdiri daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua ; Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad.

Mereka meninggalkan majlis itu selepas dihalang untuk berdebat.

Dalam sidang media yang sama di luar dewan International Youth Centre, Tony Pua berkata pihaknya kecewa dengan tindakan MCA itu.

Katanya, hal itu jelas menunjukkan MCA menjemput untuk berdebat adalah sebagai satu alasan politik.

“Chua tidak ikhlas mahu menerangkan isu ini, jika mahu mendengar penerangan kami, kenapa mereka tidak membenarkan kami untuk menerangkan perkara sebenarnya.

“Sebenarnya, beliau (Chua) tidak mahu tahu kebenaran dan beliau juga tidak mahu mendengar laporan daripada KPMG ini. Sedangkan ini merupakan satu platform untuk kedua-dua pihak memberi penjelasan di hadapan semua rakyat,” katanya

Selain itu, Dr Zulkefly berkata MCA terlepas peluang keemasan untuk membuktikan sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bersalah.

“Chua boleh bangkitkan isu ini dan beliau juga boleh menidakkan laporan daripada KPMG ini,” katanya.

 Bagi William Leong pula, beliau mencabar Chua untuk melantik audit bebas terhadap skandal National Feedlot Corporation (NFC) untuk dibentangkan di sesi parlimen akan datang.

Dalam kekecohan malam ini empat pemuda ditahan polis.

Dipercayai, suspek ditahan polis ketika membuat provokasi.

Mereka ditahan polis selepas senjata jenis belatan jatuh dari tangan suspek ketika berlaku sedikit pergelutan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Video Berkaitan: www.youtube.com/watch?v=YOxsEWjmNPg

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Sumbang USD50 Ribu Bina Hospital Gaza

SHAH ALAM 11 SEPT: Prihatin dengan nasib dan masa hadapan rakyat Palestin, Kerajaan Negeri Selangor menyumbang USD50,000 untuk membiayai pembinaan hospital di negara bergolak itu.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Menteri Kesihatan Gaza-Palestin, Dr Basem Naim dalam majlis makan malam sempena lawatan delegasi itu ke Selangor semalam.

Ketika mengalu-alukan kedatangan Dr Basem, Abdul Khalid dalam ucapannya berharap semuga sumbangan itu menjadi permulaan yang baik ke arah itu.

“Ini mungkin tidak banyak dan tidak meliputi sepenuhnya keperluan bangunan hosital yang lengkap, tetapi kita berharap ia akan memberi satu permulaan yang baik ke arah itu,” katanya dalam majlis yang diadakan di Hadramot Restaurant, Hotel Concorde di sini.

Di samping berharap hubungan dua hala Selangor-Palestin dapat diperkukuhkan, Abdul Khalid juga menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Palestin untuk membangunkan negaranya.

“Selangor menyokong usaha membangunkan Negara Palestin dan mengukuhkan hubungan dua hala serta membina masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Palestin,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Basem pula berkata selain mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih, beliau turut melahirkan keyakinan masyarakat di Malaysia, khususnya di Selangor akan terus membantu untuk memenuhi dana pembinaan hospital di Palestin.

“Saya percaya sumbangan ini akan mendorong pihak di sini termasuk NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) menyumbang untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau turut memberitahu, selain keperluan membina hospital, Kerajaan Palestin turut berhadapan dengan masalah membekalkan eletrik ke hospital-hospital yang menuntut kos tinggi.

Dalam majlis tersebut, turut mengiringi Dr Basem adalah, Pengarah Hospital Shifa, Palestin, Dr Manhat A.K Hasan.

Majlis yang dihadiri kira-kira 70 tetamu itu antaranya Exco-exco Negeri Selangor, Dr Halimah Ali, Dr Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail, Dr Yaakob Sapari, Dr Ahmad Yunus Hairi, Ronnie Liu, Teresa Kok dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid.

Selain itu turut kelihatan dalam majlis sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Adun Meru, Dr Rani Osman.

Categories
NASIONAL

Selangor Peruntuk RM165,000 Bangun Sekolah Tamil Dan Kuil di Ijok

BESTARI JAYA,5 SEPT : Kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM 165,000 bagi pembangunan sekolah Tamil dan kuil Hindu di kawasan Ijok bagi memastikan pendidikan dan kebajikan masyarakat India terus terjamin.

Dana itu diserahkan dalam bentuk cek oleh Adun Ijok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar yang juga kepada wakil-wakil sekolah dan kuil yang diadakan di Dewan Masyarakat di sini.

Sebanyak sembilan buah sekolah jenis Tamil dan lima buah kuil di DUN Ijok menerima sumbangan bantuan pembangunan itu.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, kejayaan dalam pendidikan akan membawa kemajuan kepada Selangor justeru kerajaan memberikan keutamaan bagi membangunkan pendidikan kepada semua masyarakat.

“Sehingga kini sejak 2008, lebih RM 50 juta sudah diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan di negeri ini,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir,Ahli Parlimen Kuala Selangor,Dr Dzulkefly Ahmad, Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan,Dr Halimah Ali.

Juga hadir Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin,Dr Xavier Jayakumar, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor,Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Dr Xavier dalam ucapannya berkata, Sekolah Tamil Desa Coldfield yang telah dimulakan pembinaannya oleh Kerajaan Selangor dijangka siap dalam masa setahun.

Sekolah yang terletak di atas kawasan seluas 4 ekar itu dibina dengan kos RM 3 juta.

“Kita juga akan teruskan pembinaan rumah pekerja-pekerja ladang bagi menjaga kebajikan mereka,” kata Dr Xavier.

Dr Halimah berkata, pelbagai rancangan telah dilaksanakan untuk membangunkan semua jenis sekolah di Selangor yang selama ini kurang diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

“RM 16 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada sekolah jenis Tamil sejak 2008,” kata Dr Halimah.

Sementara itu, Ahli Majlis Kuala Selangor,R Tanarasu berkata, kerajaan Pakatan Rakyat dalam empat tahun telah banyak menyalurkan bantuan demi kebajikan rakyat khususnya masyarakat India di kawasan DUN Ijok ini.

“Sebelum 2008, sekolah-sekolah dan kuil-kuil kurang mendapat bantuan dan peruntukan daripada kerajaan negeri Selangor sebelum ini,” ujarnya.

 

Categories
NASIONAL

Selangor Kutip Hutang, Bukan “Bailout” Talam

SHAH ALAM, 4 SEPT: Laporan firma audit, KPMG Transaction Restructuring Sdn Bhd (KPMG) mendapati keputusan Kerajaan Selangor mengutip hutang bernilai RM392 juta daripada Talam Corporation (Talam) sebagai satu keputusan komersil yang baik.

KPMG juga berkata usaha mengutip hutang itu bukan satu tindakan ?bailout? di mana kerajaan negeri menggunakan duit rakyat untuk menyelamatkan sebuah syarikat daripada runtuh.

Laporan tersebut adalah bukti terkini yang menyangkal kritikan pemimpin Umno-BN terhadap proses pengutipan Talam itu yang mereka mendakwa satu ?bailout?.

Sebaliknya dalam isu ini, Talam merupakan pihak yang perlu membayar setiap sen dari hutangnya kepada kerajaan negeri tanpa sebarang pengecualian.

Hutang tersebut merupakan hutang yang gagal dikutip oleh Kerajaan Negeri ketika di bawah pentadbiran Umno-BN.

Proses ini berbeza dengan tindakan Kerajaan Pusat Umno-BN yang pernah ?bailout? syarikat kroni mereka yang sakit seperti Perwaja Steel, Renong dan Time Engineering.

Selain itu, KPMG juga mendapati usaha tersebut telah dilaksanakan dengan tertib, mengikut undang-undang, beretika serta menjaga kepentingan negeri, anak syarikat dan rakyat Selangor.

Laporan audit yang diumumkan pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco baru baru ini, menyebut penyelesaian hutang Talam itu dilaksanakan menerusi pelbagai mekanisma.

“Penyelesaian hutang ini dilaksanakan menerusi penyelesaian aset melibatkan sembilan plot tanah, dua hartanah, 60 peratus saham dalam anak syarikat Talam serta (wang) tunai.

“Perjanjian penyelesaian dengan Talam ini adalah semata-mata bertujuan mengutip hutang,” menurut petikan laporan firma audit itu lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KPMG Advisory Unit Chan Siew May dalam sidang media sama pula berkata, semakan yang dibuat tidak berdasarkan mana-mana tuduhan.

Abdul Khalid dalam sidang media itu turut berkata, laporan tersebut akan dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang pada November akan datang sebelum diedarkan kepada orang ramai.

Selain itu Abdul Khalid juga mengumumkan perlantikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua sebagai jurucakap rasmi bagi Kerajaan Negeri berhubung isu ini.

Turut diberi kepercayaan sebagai jurucakap dalam isu sama adalah Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM300,000 Bantu Nelayan Kuala Selangor

KUALA SELANGOR 19 JULAI: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kewangan dan pelbagai peralatan bernilai kira-kira RM300,000 kepada nelayan di Kuala Selangor Ahad lalu demi menjaga kebajikan golongan tersebut.

Penyerahan bantuan kepada nelayan ini disampaikan oleh Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari kepada 40 nelayan dalam bentuk kewangan serta peralatan antaranya enjin bot berkuasa kuda, pukat dan jaring bernilai RM300,000 bagi meringankan bebanan mereka.

Menurutnya, bantuan ini menunjukkan Kerajaan Negeri memandang berat akan masalah dihadapi golongan nelayan yang memerlukan sokongan dan bantuan.

?Kerajaan Negeri prihatin tentang masalah rakyat. Kerana itu hasil bumi kita pulangkan semula kepada rakyat. Kerajaan Negeri hanya membuka pintu kepada anda semua, hasilnya dari Allah Taala yang memberi anugerah kepada kita,? katanya dalam Program Penyerahan Peralatan Nelayan Daerah Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Yaakob juga menggesa semua pihak agak mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah.

“Di lautan, siapa ternak ikan? Siapa beri ikan makan? Ini semua urusan Allah Taala. Sebab itu, nelayan yang mendapat tangkapan ikan yang banyak, harus juga mengeluarkan zakat yang banyak sebagai tanda bersyukur,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Rakyat Perlu Terima Hakikat Pembangunan

TANJONG KARANG 14 JULAI : Kerajaan Selangor secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan bagi pembinaan jalan raya yang akan menghubungkan Banting di Selangor sehingga ke Taiping di Perak untuk dibangunkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata, rakyat perlu bersedia menerima perubahan bagi mengelakkan ketinggalan dalam arus pembangunan yang semakin pesat kini.

“Dan apa yang berlaku akan terdapat jalan yang bertingkat daripada Banting ke Taiping serta akan dibangunkan jalan daripada Kuala Selangor sehingga ke Sabak Bernam yang akan dilebarkan menjadi lapan jalur(lorong) iaitu empat jalur(pergi-balik).

“Buat masa kini jalan yang menghubungkan antara Kuala Selangor dan Sabak Bernam hanya mempunyai dua jalur pergi dan balik.

“Ini akan membawa perubahan yang sangat besar dan akan menyebabkan peningkatan kawasan perindustrian di Kuala Selangor dan di Sabak Bernam,” katanya.

Abdul Khalid berkata, apabila projek ini dilaksanakan kelak ia akan membawa kemakmuran ekonomi di kawasan itu dengan pembangunan kawasan perumahan baru yang kira-kira 10,000 unit dengan pertambahan penduduk dijangkakan seramai 50,000 orang.

Justeru, satu pendengaran awam akan dibuat untuk memberi penerangan dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat setempat kesan pembangunan pelebaran jalan ini.

“Dengan adanya pendengaran dan dialog ini maka rakyat boleh bertanya apa kebaikan pembangunan ini,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa Program Mesra Khas Terima Kasih Rakyat Daerah Kuala Selangor yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco-exco Selangor, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohd Misri Idris ahli-ahli majlis dan penjawat awam.

Kira-kira 500 orang penduduk sekitar daerah Kuala Selangor dan penjawat awam hadir bagi mendengar amanat daripada Menteri Besar itu.

Categories
NASIONAL

Akta Keterangan Tidak Adil Dan Perlu Dipinda

KUALA LUMPUR,28 JUN : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mendesak agar kerajaan meminda akta baru seksyen 114(A) Akta Keterangan 1950 kerana disifatkan akan memberikan ketidakadilan kepada pengguna Internet.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, kesan apabila akta digazetkan ia akan memberikan kesan implikasi ekonomi khususnya dalam usaha negara membangunkan industri berasaskan internet.

Pindaan akta itu apabila dilaksanakan akan menyebabkan pengendali atau penyedia yang menyediakan perkhidmatan blog, forum online dan portal akan disabitkan dengan kesalahan apabila terdapat pihak lain yang memaparkan komen yang melanggar undang-undang.

Dalam sidang media bersama itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun akta itu sudah disahkan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pihak kerajaan diseru agar tidak menggazetkan pelaksanaan akta itu tanpa mengira pandangan dan kesan implikasi negatif kelak.

“Ia akan mengancam kebebasan untuk bersuara dan eksperasi kepada pengguna online(internet),” katanya.

Turut sama dalam sidang media di Parlimen itu, Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan.

Akta itu diluluskan di Dewan Rakyat pada sesi April lepas.