Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 35 peratus isi maklumat banci 2020, e-Census masih dibuka

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Setakat 21 Feb, kira-kira 10.45 juta atau 35 peratus sahaja daripada 32.7 juta rakyat Malaysia telah mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Sehubungan itu beliau memohon kerjasama orang ramai supaya mengisi maklumat bancian itu segera dan sekiranya mereka yang ingin membuat pengisian tanpa pertemuan bersemuka, boleh terus berbuat demikian melalui sistem e-Census yang masih dibuka.

Beliau berkata Banci 2020 telah bermula sejak 7 Julai lepas dengan pelaksanaan banci dalam talian (e-Census) serta kaedah Temu Ramah Melalui Telefon atau (CATI), dan DOSM masih belum melaksanakan Banci 2020 secara besar-besaran melalui pertemuan bersemuka disebabkan kekangan penularan Covid-19.

“Apa yang dilaksanakan ketika ini, anggota kami bergerak membuat bancian bersemuka secara bersasar yang tidak ada kekangan dari segi pergerakan, dan mengikut kesesuaian serta keselesaan komuniti setempat,” katanya dalam sesi soal jawab dalam program Hari Bersama Pelanggan DOSM 2021 secara maya, hari ini.

“Jika orang ramai tidak selesa dengan sistem e-census, anggota kami di lapangan akan membantu menggunakan sistem CATI atau kami boleh menghantar soalan soal selidik secara manual,” katanya.

Banci 2020 telah dilaksanakan secara dua fasa, yang pada asalnya tempoh fasa pertama 7 Julai hingga 30 Sept 2020 dan tempoh fasa kedua dari 7 hingga 24 Okt 2020, namun tempoh pelaksanaannya telah dijadualkan semula.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Banci dalam talian dibuka semula – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menyusun semula banci bersemuka dan membuka semula platform banci dalam talian, e-Census sebagai usaha mengekang penularan Covid-19, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehubungan itu, orang ramai yang belum membuat pengisian banci diminta untuk mengisi segera maklumat banci melalui www.mycensus.gov.my.

“DOSM memaklumkan sehingga kini, dianggarkan seramai 23.5 juta penduduk atau 72.0 peratus daripada kira-kira 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020),” kata beliau pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan seluruh negara kecuali Sarawak akan berada di bawah PKP selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari ini hingga 4 Februari depan.

Sementara itu, pada sidang media yang sama beliau memaklumkan 35 kes penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 telah didakwa di mahkamah dengan 21 daripadanya didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.

“Kerajaan memandang serius dan tidak akan bertoleransi terhadap penyebar berita palsu sehingga menimbulkan panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya,” katanya.

Sehingga 18 Januari, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan 141 kes daripadanya masih dalam siasatan.

Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah SKMM juga telah mengeluarkan sebanyak 424 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

6.4 juta penduduk selesai banci dalam talian setakat 6 Dis

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Seramai 6.4 juta isi rumah Malaysia telah mengisi butiran mereka di laman web Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 secara dalam talian, e-Census sehingga 6 Dis, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jumlah itu mewakili 19.7 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk negara ini.

“Kami ada 13 hari lagi sebelum fasa banci secara dalam talian ini berakhir, dan kami harap sasaran 30 peratus untuk penduduk mengisi e-Census akan tercapai menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) yang ingin tahu peratusan terkini jumlah isi rumah dan peratusan yang telah melengkapkan butiran mereka dalam laman web banci penduduk 2020 buat masa ini dan sasaran peratusan banci dalam talian yang ingin dicapai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) kali ini.

Katanya Banci 2020 dilaksana secara dua fasa, yang pada asalnya tempoh fasa pertama 7 Julai hingga 30 Sept dan tempoh fasa kedua adalah 7 hingga 24 Okt 2020.

Namun, tempoh pelaksanaannya telah dijadualkan semula iaitu fasa pertama secara dalam talian telah dilanjutkan sehingga 21 Dis dan fasa kedua secara bersemuka pada 20 Jan hingga 6 Feb 2021 berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu Mustapa berkata kementerian kini melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan respons secara dalam talian terutama bagi negeri seperti Sabah yang mempunyai peratusan respons paling rendah iaitu 6.7 peratus sahaja.

“Oleh itu bagi meningkatkan respons klinik e-Census, sebanyak 1,700 klinik telah diadakan, e-Census Hour dan e-Census Day secara dalam talian,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: 4.5 juta guna e-Census, wakili 13.4 peratus penduduk

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau ‘e-Census’ yang dilaksanakan sejak 7 Julai hingga 26 Oktober lepas merekodkan sekitar 4.5 juta penduduk atau 13.4 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia yang dibanci.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata antara negeri yang merekodkan bancian tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak dan Selangor manakala Sabah serta negeri di Pantai Timur masih berada di jajaran bawah daripada 10 peratus.

“Penerimaan (banci) pada hari ini lebih kurang 50,000 tetapi unjuran kita adalah sekitar 80,000 hingga 90,000 penerimaan harian supaya kita boleh capai 40 hingga 50 peratus penerimaan e-Census ini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk Banci 2020: Norma Baharu malam tadi.

Beliau berkata antara kekangan pelaksanaan e-Census yang disuarakan masyarakat ialah penerimaan kod pengisian dan soalan yang dianggap tidak relevan bagi sesetengah pihak.

“Macam isu kesukaran mendapatkan kod pengisian, apa yang kita lakukan di Jabatan Perangkaan ialah kita telah senaraikan seluruh tempat kediaman di Malaysia iaitu sembilan juta tetapi apabila sistem menerima maklumat dari segi alamat yang diisi, proses padanan itu mengambil masa sehingga tiga hari kerana apa yang ada dalam sistem dan apa yang diisi orang ramai adalah berbeza.

“Jadi apa yang kita lakukan ialah anggota di lapangan atau di negeri akan bantu orang ramai dengan adakan klinik e-Census bersama komuniti Rukun Tetangga dengan bergerak secara menyeluruh sebelum ini tetapi kini kita bergerak hanya di zon hijau melihat kepada penularan kes Covid-19,” katanya.

Mohd Uzir juga berkata soalan yang dikemukakan dalam Banci 2020 bukanlah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia sebaliknya adalah daripada pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta yang memerlukan maklumat untuk pelaksanaan dasar awam serta perancangan pembangunan negara.

“Jika dibandingkan pada tahun 2010, soalan hanya 50 sahaja (namun) kali ini, sebanyak 108 soalan, soalan banci ini bukan untuk orang tertentu tetapi ia adalah menyeluruh untuk 32.7 juta rakyat Malaysia, mungkin ada soalan yang tidak relevan untuk sesetengah penduduk di bandar, misalnya mengenai kemudahan elektrik, air, pengangkutan dan sebagainya.

“Tetapi untuk penduduk di luar bandar, ia mungkin bermakna kerana dari situlah kerajaan dapat tambah baik dan tahu ke mana peruntukan kerajaan dapat disalurkan… mungkin ini perlu diterangkan dan dikemukakan di media sosial,” katanya.

Mengulas fasa kedua banci yang dijadualkan semula pada 20 Januari depan berikutan penularan Covid-19, Mohd Uzir berkata ia akan dilaksanakan selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Fasa kedua, iaitu secara bersemuka, sebelum ini dirancang pada 7 hingga 24 Oktober tetapi telah dijadual semula… kita harap jika tiada halangan, kita akan bergerak pada 20 Januari depan tetapi pada masa sama, apa juga keputusan dan apa yang perlu dilaksanakan, penekanan kita lebih kepada aspek keselamatan dalam suasana norma baharu termasuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya 1.8 juta rakyat isi banci e-Census, bawah sasaran 30 peratus

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Hanya 1.8 juta rakyat Malaysia mengisi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census sejak dilaksanakan pada 7 Julai lepas, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir berkata jumlah itu adalah rendah iaitu masih di bawah sasaran 30 peratus atau kira-kira 9 juta daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk Malaysia.

Bagaimanapun beliau berharap jumlah itu akan terus meningkat walaupun mengakui sukar untuk mencapai sasaran awal.

“… Jadi (e-Census) kemungkinan rendah daripada yang disasarkan dan benda ini juga dijangkakan. Sebab banci ini adalah proses yang sinonim bahawa orang akan melawat ke rumah, jadi kalau menyatakan ia perlu diisi secara dalam talian, perkara itu agak tidak biasa.

“(Tetapi) semalam kami dapat peningkatan lebih 100,000 (bancian). Di peringkat akhir ini memang orang Malaysia akan buat dan kami jangka ia akan meningkat walaupun mungkin sasaran 30 peratus itu sukar dicapai,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio anjuran Bernama Radio yang bertajuk ‘Banci dan Kesihatan’.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata daripada jumlah banci yang diterima setakat ini, di beberapa negeri menunjukkan peningkatan iaitu Putrajaya lebih 40 peratus manakala Perak melebihi 10 peratus dan Johor kira-kira 8 peratus.

Bagaimanapun, negeri di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu masih lagi rendah kira-kira dua peratus.

Fasa pertama Banci 2020 atau e-Census kini dijalankan secara dalam talian dari 7 hingga 30 September, diikuti fasa kedua yang akan dijalankan secara bersemuka oleh pembanci dari 7 hingga 24 Oktober.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata setiap pembanci akan melawat 100 rumah sepanjang tempoh bancian fasa kedua dengan purata kira-kira lapan rumah sehari.

“Dalam sistem kami boleh lihat rumah mana yang telah menghantar e-Census tidak akan dilawati, sebab sudah ada dalam sistem. Jadi kami akan pergi ke rumah yang belum dibanci.

“Jadi kami menyeru kepada rakyat Malaysia yang masih berpeluang untuk melaksanakan e-Census ini untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing supaya tidak perlu menunggu pembanci untuk datang ke rumah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Banci 2020: MPK sasar lebih 1 juta penduduk

KLANG, 17 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyasar 1.04 juta penduduk daerah itu dibanci dalam dua fasa Banci 2020.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata bancian melibatkan 14 kawasan penguasa daerah, tiga daerah pentadbiran, 177 lingkungan banci (LB) dan 1,229 blok penghitungan (BP).

“Sambutan pada peringkat awal masih kurang memuaskan, namun kita akan terus menggiatkan promosi di semua platform untuk memastikan proses (bancian) berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia hari ini.

Beliau menjelaskan pengumpulan data fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September menggunakan kaedah dalam talian (e-Census) manakala secara bersemuka pada 7 hingga 24 Oktober depan.

Terdahulu, MPK memperkenal 14 penguasa daerah terdiri daripada pengarah dan pegawai serta 14 ‘MyCensus District’ (MyCD) daripada Jabatan Perangkaan.

Fadzli berkata inisiatif yang dilaksana setiap 10 tahun itu penting dalam memberi gambaran sebenar kependudukan semasa rakyat negara ini, khususnya di Klang.

“Justeru, kita berharap proses bancian dapat dijalankan dengan mudah walaupun negara masih menjalani fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pada masa sama, kita mahu Jabatan Perangkaan mengeluarkan satu tatacara operasi piawai (SOP) selain menyediakan peralatan keselamatan seperti cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada penyelia serta pembanci yang bertugas.”

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah penduduk Malaysia isi e-Census masih di bawah sasaran

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Jumlah penduduk Malaysia yang mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian, atau “e-Census” masih di bawah sasaran.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kurang daripada 10,000 isi rumah mengisi e-Census setiap hari berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 37,000 isi rumah.

“Sasaran masih jauh, sehari secara purata kita sasarkan 37,000 isi rumah tetapi sekarang sehari hanya 8,000 hingga 10,000 yang mengisi secara e-Census…kita akan cuba tingkatkan (bilangan mengisi e-Census),” katanya kepada Bernama, di sini semalam ketika ditanya mengenai perkembangan Banci 2020.

Setakat ini hampir 500,000 penduduk Malaysia telah mula melaksanakan tanggungjawab dengan mengisi maklumat Banci 2020 sejak 7 Julai lepas, katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan mendadak individu mengisi e-Census pada Ogos ini susulan pihaknya giat melakukan pelbagai promosi.

“Kita pun telah bergerak dengan fokus kepada agensi-agensi kerajaan dan beberapa negeri juga telah kita turun padang untuk promosi e-Census,” kata Mohd Uzir.

Projek bancian yang memasuki edisi keenam kini melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman, dijalankan dalam dua fasa, dengan fasa pertama bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini dilaksanakan menerusi e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Okt menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: 32.6 juta penduduk dibanci mulai 7 Julai

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Projek pembangunan berimpak tinggi dan berskala besar yang melibatkan 32.6 juta penduduk akan dihitung melalui Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) bermula Selasa ini.

Bertema ‘Data Anda Masa Depan Kita’, bancian tersebut adalah kali keenam dilaksanakan setiap 10 tahun sejak 1963 dan kali ini ia merangkumi sembilan juta kediaman bagi mendapatkan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Berdasarkan maklumat laman web mycensus.gov.my, aktiviti banci akan dilaksanakan di semua kawasan perumahan dan kediaman di seluruh Malaysia dalam dua fasa, iaitu fasa pertama secara dalam talian bermula 7 Julai hingga 30 September ini, manakala fasa kedua bermula 7 Oktober hingga 24 Oktober secara bersemuka.

Pembancian dijalankan ke atas semua orang di tempat tinggal biasa mereka pada hari bancian, termasuk bukan warganegara yang telah atau akan tinggal selama enam bulan atau lebih di Malaysia dalam tahun ini.

Namun, bayi yang lahir selepas Hari Banci, orang yang meninggal dunia sebelum Hari Banci, serta bagi mereka yang tinggal di luar negara ataupun akan keluar negara bagi tempoh enam bulan atau lebih untuk bekerja atau belajar, mereka dikecualikan daripada kiraan banci.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebelum ini, pewartaan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Banci 1960 menyatakan arahan banci penduduk dan perumahan dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan Hari Banci iaitu pada 7 Julai.

“Melalui pewartaan itu juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebagai Pesuruhjaya Banci yang keenam untuk menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan dengan lancar,” memetik kenyataan itu.

Selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, pengumpulan maklumat banci secara dalam talian mula diperkenalkan menerusi Portal Banci dan aplikasi mudah alih pada Banci 2020.

Bagi melengkapkan borang e-Banci (e-Census), poskad yang mengandungi panduan mengisi dan pautan e-Census di Portal Banci akan dihantar ke tempat kediaman setiap penduduk, selain aplikasi mudah alih untuk kegunaan pembanci mengisi maklumat semasa sesi temu ramah diadakan dengan menggunakan tablet atau telefon pintar.

Selain kaedah pengisian dalam talian menerusi pautan https://ecensus.mycensus.gov.my, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menghubungi penduduk yang terpilih bagi kaedah telefon.

Mohd Uzir dalam perutusan khasnya di portal DOSM berkata Banci 2020 akan menggunakan pendekatan ‘de jure’ iaitu maklumat setiap penduduk dikumpul mengikut tempat tinggal biasa pada Hari Banci.

“Sistem banci berpusat dan komprehensif ini, dengan peningkatan dan penambahbaikan ciri-ciri pembancian secara elektronik (e-Census), menyediakan satu rangka kerja bersepadu yang meliputi pengumpulan, analisa dan penyebaran data yang kompleks.

“Oleh itu, pelaksanaan MyIPCS dalam Banci 2020 akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengumpul data dan responden bagi memastikan semua penduduk diliputi.

“Soalan tambahan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga dimasukkan di dalam Banci 2020 bagi memenuhi perubahan corak gaya hidup dalam masyarakat,” katanya.

Katanya, DOSM juga telah mengadaptasi pendekatan baru dengan memperkenalkan portal MyCensus 2020 (www.mycensus.gov.my) sebagai gerbang maklumat yang membekalkan banyak maklumat banci dalam bentuk infografik, visualisasi interaktif dan pelbagai aplikasi atas talian berkaitan banci.

Penghasilan profil yang terperinci ini juga akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya, dan pengangkutan awam.

Namun, berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969), Banci 2020 turut memastikan bahawa semua maklumat individu yang dikumpul adalah sulit dan tidak akan didedahkan.

-BERNAMA