OLEH: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 12 JAN: Sistem E-Pelelong Selangor diberi nafas baru bagi memudahkan pelanggan mendapat peluang ‘kerja’ yang saksama.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Amin Ahmad Ahya, berkata inisiatif itu juga bertujuan memudahkan proses pelelongan dan semua urusan boleh dilakukan secara atas talian atau ‘online’.
Katanya, setakat ini, seramai 353 dilantik menjadi pelelong di Selangor.
“Jumlah ini ramai dan menyebabkan peluang kerja terhad. Jadi pelelong ini tidak boleh bergantung dengan Selangor sahaja kerana terhad dan ramai,” katanya di Majlis Pelancaran Sistem E-Pelelong di Ballroom Dewan Jubli Perak, di sini.
Amin berkata objektif sistem itu juga bertujuan untuk melaraskan kemudahan dan informasi dan mengelakan salah guna kuasa atau ketirisan.
Katanya, pihaknya akan meminta Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengenal pasti penerima kerja yang sudah dilantik supaya isu pertindihan atau kroni tidak timbul.
“Sebagai contoh Seksyen ini perlu melihat nama syarikat berkaitan tidak terlibat dengan pemilik yang sama. Ada kes nama syarikat lain tetapi pemilik merupakan isterinya, anak, atau adik beradik.
“Bukan mudah untuk dikenal pasti tetapi kita cuba. Kita minta pelanggan mengisi maklumat syarikat dan memasukan nama hubungan yang berkaitan bagi memudahkan urusan. Kita tidak mahu disebabkan anda, orang lain tidak dapat peluang ini,” katanya.
Beliau berharap dengan wujudnya sistem itu ia memudahkan pelanggan dan mendapat layanan adil dari Kerajaan Negeri.
“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri memastikan negeri ini berjaya ke arah ‘Smart Selangor’ dan menggunakan kemajuan teknologi untuk memberikan perkhidmatan,” katanya.
EZY